BAB 6: Lily
Pada hari sabtu, tidak ada sesi kuliah dilakukan. Seperti biasa setiap hari sabtu dan ahad, semua pelajar akan berada di asrama. Maklumlah hari cuti.
Awal pagi lagi, Janna memberikan aku satu sampul surat, besar dan berat. Aku menyambutnya dengan hairan.
“Gue rasa dari fakultas lo.” Kata Janna.
Aku mengangguk saja.
Janna menguap. “Mana sik Salsa sama London. Tumben hilang serentak.”
Aku mengangkat bahu. Membiarkan Janna tercari-cari kerana aku tidak kisah. Mataku lagi memandang sampul surat di tanganku. Aku membukanya dengan cermat. Isi di dalam sampul itu aku keluarkan..
“Tak mungkin..” bisikku. Ia adalah buku nota milikku.. ia adalah diari. Buku inilah yang menjadi saksi hari-harinya selama dia berada di dalam asrama kurungan komuniti sesat itu.. tapi. Bagaimana bisa buku ini ditemui..dan dihantar ke sini? bukankah diari ini sepatutnya disimpan oleh..
Aku berdebar.. buku itu ku belek setiap muka surat. Sekeping gambar tiba-tiba jatuh di atas pahaku. Aku mengambilnya.. gambar itu ku tatap lama.. “Lily..” bisikku.
Di dalam gambar itu, kelihatan sosok tubuh aku dan Lily, masing-masing berumur 10 tahun.. Hari pertama aku dan Lily dimasukkan ke dalam asrama kejam itu.. Kami berdua menjadi sangat rapat. Fikiran dan filosofi kami adalah sama. iaitu inginkan kebebasan dan ingin keluar dari sana. Yang berbeza adalah perwatakan kami sahaja.. Lily seorang yang lemah lembut.. berbeza denganku, aku sedikit kasar dan melawan. Lily selalu diberikan perhatian, kerana secara fizikal, dia sedikit unik. Dia seorang albino.. keunikan itu menyebabkan dia disanjung selalu.. Bulu mata Lily yang berwarna putih berkilat, kulitnya cerah setulus hatinya. Aku dan Lily.. sepasang belangkas yang tidak terpisahkan.
‘Kau bulan.. aku matahari..’ itu bicara pujukan Lily dulu saat ramai orang mengejek diriku yang tidak sesuai berkawan dengannya. Tapi, bila aku fikirkan kembali.. jika aku bulan dan Lily pula adalah matahari, seharusnya kami berdua tidak akan bersama-sama. Pasti ada jarak pemisah. Itu sudah lumrah alam..
Ketika berumur 16 tahun, Lily akhirnya dipindahkan.. entah ke mana.. aku hanya sempat memberikannya buku nota ini.. agar dia tidak melupakan aku. Sejak itu, kehidupanku di asrama Dahlia semakin teruk.. Tidak ada sesiapa lagi yang akan meluruskan emosiku, tidak ada sesiapa lagi yang akan kisah akan diriku.. separuh jiwaku pergi bersama Lily, kerna itu aku inginkan kebebasan dari sana.. Genap umurku 18 tahun, aku berjaya untuk bebas. Tapi malah kejadian tragis yang aku hadapi. Kemudian, aku di sini.
Agh!! Aku membuang segala cerita di fikiranku..
Secara tak segaja, aku terpandang ada sekeping nota yang tersisip di sampul tersebut.
Nota itu ku baca.. ‘Datang ke hutan belakang fakulti politik. Lily tunggu kau di sana.’ Aku berdebar. Benarkah nota ini? Benarkah Lily ada di sini? Benarkah?
Aku bingkas. Buku diari dan gambar itu ku selitkan di bawah bantal. Aku mencapai burnous dan kad matrik. Lalu keluar dari bilik dan menuju ke perhentian bas. Aku mahu ketemu dengan Lily.
–
Sampai sahaja di kawasan fakulti aku terus menuju ke bahagian belakang. Di sana ada hutan tebal setebal pemikiranku yang diselubungi keraguaan akan tindakanku ini.. debaranku semakin kuat. Sebahagian dari diriku menahan aku untuk tidak menghadapi apa-apa kemungkinan risiko di dalam hutan tersebut. Lebih-lebih lagi di setiap pondok dan gazebo di beberapa kawasan berdekatan fakulti selalunya dijaga oleh askar-askar yang bertugas. Cuma, pada hari ini, aku beruntung sekali. Udang-udang itu tidak ada. Mungkin sahaja hari ni hari minggu. Mereka berehat di barak dan bangunan khas yang disediakan oleh OWL, ia terletak berdekatan dengan Fakulti Pertahanan dan Keselamatan Strategik (FPSK).
Di sini, pelajar lebih gemar memanggil askar-askar itu sebagai udang-udang, kerana dalam permainan catur, mereka itu ibarat pawn. Sebenarnya, tidak ada kaitan dengan udang tetapi, jika istilah itu diejek dan diperlekehkan oleh golongan pelajar, terutamanya pelajar politik, mereka sengaja meletakkan huruf ‘r’ di dalam pawn.. ‘p..r..awn , prawn.’ Sama erti dengan udang.
Dan aku tahu, pada hari-hari perkuliahan biasa, di sebalik tembok, kawasan-kawasan checkpoint di setiap sudut, wajah mereka kosong, langkah mereka teratur. Sememangnya, mereka itu ibarat pawn dalam papan catur besar ini. Barisan pertama yang sentiasa diletakkan di hadapan, dikorbankan tanpa ragu demi mempertahankan sesuatu yang lebih besar dari mereka sendiri.
Tidak ada sesiapa yang tahu nama mereka. Tidak ada sesiapa yang bertanya dari mana asal mereka. Bagi OWL, mereka hanyalah buah-buah kecil yang bergerak di atas arahan, patuh kepada peraturan dan bersedia gugur bila-bila masa.
Aku juga tahu, ada yang memegang gelaran dalam sistem ini sebagai, knight atau bishop, the queen, the king.. tapi aku masih belum tahu siapa mereka. Di atas permainan papan catur besar ini.. aku sudah sedia mengistiharkan diriku sebagai pemegang wildcard.. kerana itu aku berada di dalam hutan sekarang. Aku enggan bermain mengikut peraturan. Aku cuma ingin bebas. Untuk langkah sekarang pula.. aku ingin bertemu dengan Lily meski harus berhadapan dengan apa jua resiko.
Angin bertiup membelai rambut dan cuping telingaku. Kini, kakiku telah masuk ke dalam hutan, jauh dari kawasan fakulti, sekelilingku cuma pokok-pokok dan semak samun. Nampaknya aku sudah berada jauh benar di dalam hutan…
Jauh!
“Theo..”
Aku menoleh.. terkejut aku melihat sosok Lily yang sedang berdiri beberapa meter di belakangku.
Lily tersenyum, tapi senyumannya ada yang kurang. Cuma waktu itu aku tidak menunggu lama. Aku terus berlari dan pantas memeluk Lily.. aku rindukan Lily. Lily juga memelukku dengan erat.. setelah pelukan terlerai.. aku melihat dia menangis.. wajahnya sedikit pucat.. aku perasan dia sudah lebih kurus dari sewaktu kami bersama-sama di asrama Dahlia.
“Aku rindukan kau.. tapi.. aku.. aku tak dapat lama-lama di sini..” bisiknya.
Aku terdiam. “Kenapa? Kau.. nak pergi mana lagi..dan.. Chairman sebenarnya pindahkan kau asrama kat mana? Kau juga ikut program OWL ni??” aku tidak mahu berjauh dengan sahabatku ini. Begitu banyak persoalan yang aku bentangkan.
Lily menggeleng dia mula tersedu-sedu. “Kau tak faham.. aku tak dapat beritahu semuanya..”
Aku jadi bimbang.. “Kita dah bebas.. Lily..” entah apa yang cuba aku katakan. Aku belum mendapat jawapan dari persoalanku, aku malah beranggapan ayat ini dapat menghapuskan air mata Lily.
“Kau.. kau yang dah bebas..” balas Lily perlahan. “Aku.. masih dalam tahanan Chairman..”
“A..apa?” Aku sungguh terkejut.. apa sebenarnya yang berlaku di dalam hidup Lily? Apa maksud Lily.. bukankah dia disayangi oleh ketua komuniti Helang Putih tu? Bukankah dia dipindah masuk ke asrama yang lebih tinggi taraf fasilitinya? Bukankah..
“Aku tak ada masa yang banyak.. Theo.. aku kena pergi.. aku tak dapat ceritakan semua, tapi aku ada tulis.. di dalam buku nota kau.. dan.. dan aku terpaksa kembalikan buku tu kepada kau sebab aku tahu, aku tak akan bebas.. ” Sekali lagi Lily memeluk erat tubuhku. “Aku.. bersyukur sebab kau masih ingatkan aku.. aku.. mahu kau selamat.. dan bebas. Tujuan aku jumpa kau sekarang, hanya untuk ucap.. terima kasih.” Bisik Lily dalam tangisannya.
Entah mengapa aku menjadi sayu. Aku tahu dia ingin berkata lebih daripada apa yang terucap kerana aku juga begitu. Aku hendak tarik dia dan selamatkan dia dari semua tahanan yang menggari dirinya. “Kita akan bebas bersama..” bisikku.
Lily menggeleng.. pelukan dileraikan.. “Maafkan aku.. aku perlu pergi..” Lily berlari meninggalkan aku.
Aku mahu mengejar Lily. Tapi badanku terpaku di sana, dari jauh aku melihat Lily menyambut tangan seseorang. Mataku tidak dapat mengenalpasti siapa orang tersebut. Aku hanya menjerit nama Lily di dalam hatiku.. raunganku kuat sehingga badanku hanya lumpuh di sana. Aku bagaikan terkaku sendirian. Kenapa aku tak mengejar Lily? Kenapa aku hanya menurut saja kata-kata Lily? Mungkin.. mungkin aku terlalu terkurung di dalam asrama Dahlia selama bertahun-tahun, membuatkan aku hanya dengar dan patuh.
Beberapa minit berlalu.. aku masih berdiri kaku. Terjerat dalam fikiran seakan terpukau dengan memori gelapku.
Aku menoleh, saat aku mendengar ada sesuatu di dalam semak yang berada di belakangku. Belum sempat aku berpusing sepenuhnya, badanku dirangkul dari belakang. Mulut dan hidungku ditekup dengan kain yang dibasahkan dengan bahan kimia. Aku pitam.
🌝NOTA DARI PENULIS:
Setiap hari jam 8pm penulis akan update novel online ni. Jika korang mahu baca novel/chapter yg lainnya boleh check di RAK BUKU NOVEL ONLINE MALAY 📖.
Like page Naiematus untuk dapat update terkini! Jangan lupa komen di bawah!😊








Leave a Reply