Posting kali ini adalah nukilan biasa. Ianya tentang buah langsat. Mungkin bukan musimnya, maka saya mendapat harga rm10/sekilo. Menurut saya sangat sedikit dan mahal.

Mengenang kembali ketika saya berumur 10 tahun. Cukup dewasa untuk mandi sungai. Kami ada kebun yang besar, mungkin 9 hektar. Mungkin lebih. Entah. Soal tanah ini saya tak pasti.. tapi ia terletak di kg. Purgakis. Hanya saja dulu, kami biasa memanggilnya sebagai Batu 4. Memori saya di sana kebanyakannya tentang buah ini.

Langsat

Jadi ikuti saya untuk terbang ke masa belakang. Masing-masing claim pokok langsat masing-masing. Tidak lupa pula mengukir nama pada batang pokok tersebut. Bapa seorang yang berahsia misterius suka tinggal jauh dari kami pada zaman itu. Zaman ketika fikiranku mungkin masih mendambakan kehadiran seorang ayah di sisi macam budak kecik yang lain. Selalu berfikir kenapa bapa tinggal jauh-jauh. Ada agenda yang tersembunyi?

Waktu kecil dulu, saya ingat lagi.. Kadang bapa datang ke kami (kampung yang berbeza) dua bulan sekali, atau sebulan sekali.. persis kehadiran YB. Beliau datang membuka kaunter pertanyaan, membentang idea di kaki lima. “Kumpul semua masalah kamu dan kasitau satu-satu.” Semestinya kami memberi hidangan kopi panas. Seingat saya ini adalah tradisi keluarga kami.

Setiap cuti sekolah, kami akan senarai dan tulis semua keperluan di atas kertas dan kumpul bagi sama bapa. Klasik..

Dari kecil kami dididik terbiasa tanpa ‘kehadiran nyata’ seorang bapa. Tapi saya tahu dia tidak menghilang saja-saja. Ada rahsia dan kegiatan yang dia sembunyikan.. Kami adik beradik sangka ada konspirasi tentang rahsia kerajaan sepanjang dia ‘hilang’, atau dia cuma sibuk mengurus kerja di sekolah dan kebunnya.. Tapi bagi saya, dia ada di mana-mana. Dia wujud di dalam ketiadaan. Tetap tak akan hilang. Sekurang-kurangnya ini yang saya rasakan sebagai seorang anak nombor 8 dari 9 orang adik beradik.

Jadi sebab itu, kemungkinan kami terbiasa. Datang berjumpa bapa dan meminta penyelesaian kepada semua masalah. Tentang dunia, alam dan spiritual.

Tapi kini saya faham. Masa kecil, saya mendambakan sosok seorang ayah. Dalam masa yang sama, bapa juga mendambakan sesuatu.. ketenanganSaya dan bapa cuma dua jiwa yang menjalankan kehidupan  di ruang masa yang berbeza. Kami mencari benda yang berbeza.

Nukilan ini sepatutnya tentang buah Langsat, tapi kini hanya mengisahkan tentang memori kehadiran bapa setiap kali musim langsat.

Mungkin sebab itu, saya gemari buah ini. Bau dan rasanya mengikat memori kecil dulu tentang seorang bapa yang penuh berahsia.

Saya terlatih sendirian, mungkin sedikit keras kepala, hati nekad, dan lebih suka bergabung dengan alam. Sejujurnya saya melihat cerminan bapa di dalam diri saya sendiri.

Dewasa ini, saya ketuk kepala sendiri..

Tidak ada yang salah, namanya juga pertama kali hidup di dunia..

Semoga bapa sentiasa sihat dan diberkati Allah. Amin.

✍🏻

2 responses to “Cerpen : Buah Nostalgia, Langsat”

  1. lina avatar

    Tulisan ini terasa sangat jujur dan hening. Langsat di sini bukan sekadar buah, tapi penanda waktu, penanda rindu, jarak, dan cara seorang anak belajar memahami kehadiran ayah yang tidak selalu nyata, tapi tidak pernah benar-benar hilang.
    Saya suka bagaimana sosok bapa digambarkan “wujud di dalam ketiadaan”. Itu kalimat yang tinggal lama di kepala, kerana memang begitulah banyak hubungan ayah-anak: tidak selalu dekat secara fizikal, tetapi membentuk kita secara senyap.

    1. Nemlogue avatar

      Benar. Kita semua hanya manusia yang pertama kali hidup di dunia ni. Rupanya jarak hanya ilusi sahaja. Secara roh kita sungguh dekat.

Leave a Reply

I’m Nem

Nemlogue.com is a small space where I keep fragments of the world – Writing, poems, paintings, art crafts, blogs and thoughts that didn’t have time to be said aloud.

Degree in Politics and a Master in Education (Economy). But i still love poems and creative writing.

Let’s connect

Discover more from Nemlogue.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading