BAB 5: Kayden Henry
Dalam perjalanan hendak ke pejabat. Aku dan Adiel berhenti di ruang legar bangunan tengah yang memisahkan di antara blok akademik Malaysia dan Indonesia.
Di hadapan kami ada papan pernyataan. Di situ aku melihat carta organisasi bagi tenaga pengajar fakulti Politik dan Pemerintahan. Tidak ada maklumat terpapar tentang orang atasan di atas jawatan dekan fakulti, Prof. Yasmin. Mungkin mereka merahsiakannya. Di bawah Dekan fakulti, jawatan seterusnya adalah timbalan dekan, dua orang iaitu Madam Hope dari blok Malaysia dan Sir Peter dari blok Indonesia.
“Adiel, right? Aren’t you going to the meeting?”
Adiel menoleh. Aku juga begitu. Sir Peter, timbalan dekan fakulti politik dari blok Indonesia berdiri tepat di hadapan kami. Adiel kelihatan hairan. Mungkin dia tidak dimaklumkan Meeting apa?
“Tidak ada meeting- meeting. The only meeting is between me and Theo Dora.” Madam Hope muncul di sana dengan senyumannya yang menyejukkan hati.
Penampilan Madam Hope sangat kontra dengan Prof. Yasmin. Jika Prof. Yasmin berpakaian gelap, tajam dan menakutkan, Madam Hope pula lebih cenderung memilih pakaian warna pastel, putih atau krim. Dia nampak bersih , suci dan lembut.
“Adiel, can you please bring these files to my office.” Madam Hope menayangkan fail-fail di tangannya. Adiel menurut. Dia memandang ke arahku lalu berkata. “Ini Madam Hope. Tugas aku selesai di sini.” Ujarnya lalu mengambil fail-fail tersebut dan berlalu meninggalkan aku bersama dua orang timbalan dekan dari dua blok yang berbeza.
Jadi tinggal Sir Peter, Madam Hope dan aku di ruang legar tersebut.
“Peter, I warned you, didn’t I?” Kata Madam Hope lembut dengan gayanya yang menarik. Setiap ayat yang dibicarakan seakan menarik pendengarnya untuk mendengar sehingga habis. Aku perasan senyuman Madam Hope sangat lembut bak sutera, nada suara rendah dan memujuk. Aku merasa selamat berada dekat dengannya.
Sir Peter tersenyum. “Yes, yes, you did.”
“Well well.. Theo Dora. No wonder ada drama pagi tadi.” Sir Peter memandangku, satu-satunya pelajar perempuan di fakulti ini. Sir Peter masih merenung ke wajahku yang tidak punya reaksi. Dari matanya aku seakan merasa Sir Peter sudah dapat membaca trauma dan aura gelap yang aku sembunyikan di sudut hatiku. Aku melarikan pandangan.
“Dia pakar dalam bidang psikologi. Dia boleh membaca aura.” Bisik Madam Hope memahami tingkahku.
Sir Peter ketawa lagi. “Biasa aja kok.. Don’t worry Theo.. you safe here.”
‘I don’t think so..’ balasku dalam hati. Tidak ada tempat yang selamat untukku.
Tiba-tiba seorang pelajar lelaki muncul di sana. Dia berpakaian sedikit berbeza dari pelajar politik. Di tangannya terdapat sehelai kertas yang dilipat dua. “Sir Peter, Ini adalah nama-nama yang dipertanyakan oleh..” bicaranya terhenti tatkala matanya bertembung dengan mataku.
Aku juga memandangnya. Siapa lelaki ini? Berbadan tinggi, tidak terlalu kurus. Wajahnya kacak seakan kacukan orang belanda. Matanya redup berwarna amber, iaitu jingga kekuningan. Hidungnya mancung sesuai dengan bentuk muka yang bujur bersegi menampakkan garisan rahang yang sempurna.
“Masih terlalu dini untuk jatuh cinta, Kayden.” Komen Sir Peter. Dini maksudnya awal dalam bahasa Indonesia.
Pantas Kayden melarikan pandangannya. Kertas di tangan diberikan kepada Sir Peter.
Sir Peter memperkenalkan Kayden Hendry kepadaku. “Theo Dora, perkenalkan ini Kayden Hendry. Half blood. Malaysia and/or Indonesia. Tapi dia lebih memilih..”
“Indonesia.” Potong Kayden.
“Kenapa?” Tanyaku terus. Pasti ada alasannya.
Berkerut sejuta muka Kayden melihatku bertanyakan tentang alasan itu.
“Err.. Baik. Jom Dora. Follow me.” Madam Hope membatalkan penantianku terhadap jawapan yang berputar-putar di kepala Kayden. Madam Hope berjalan masuk ke dalam pintu di hujung bangunan tengah. Di sana ada pejabatnya. Aku hanya menurut tanpa banyak tanya, meninggalkan Kayden dan Sir Peter berpandangan sesaat.
Dalam perjalanan, aku sempat berselisih dengan Adiel. Manakala Adiel tidak mengendahkan Kayden di sana. Dari sebuah cermin yang bertentangan dengan tempat tadi, aku masih melihat mata Kayden yang masih memandangku.
–
Perhimpunan pertama diadakan pada esokan harinya. Pelajar-pelajar Fakulti Politik dan Pemerintahan berdiri dalam barisan. Kami semua diawasi oleh askar-askar agar majlis perhimpunan ini berjalan dengan lancar. Disebabkan askar-askar yang bertugas kelihatan bengis dan tidak mesra, pelajar-pelajar yang berada di sana mengambil keputusan untuk taat dan tidak membuat banyak songeh. Setiap arahan dituruti sahaja. Berbaris dan berdiri tegak. Aku juga begitu. Lagi-lagi pula, aku seorang sahaja pelajar perempuan di fakulti ini.
Semua pelajar berbaris mengikut kelas dan negara. Sebelah kanan, pelajar Malaysia dan sebelah kiri, pelajar Indonesia.
Aku melihat, Travis berlainan, dia berani dan bersikap licik sedikit. Dia menyelinap masuk ke barisanku dan mengambil posisi tepat di belakangku. Aku melepaskan keluhan. Bau minyak wangi yang mahal itu mengganti udara yang aku hidup beberapa saat yang lalu. Wangi apa kali ni ya.. Lavender campur tembakau? Entah.
Semasa Dekan fakulti, Prof. Yasmin sedang berucap di podium besar atas pentas. Travis membisik sesuatu kepadaku. “Jangan pusing. Askar sektor 7 tu tengah perhatikan kau. Dia tengah cari alasan untuk tembak kau.”
“Apa kau nak.”
“Cuma nak bagitahu fakta sejarah. Kau nampak semua lelaki dalam barisan ni? Kami semua di sini sebab satu sebab.. Kami dilahirkan dengan ‘kecacatan’ biologi.”
“Kecacatan?”
“Empati. Atau lebih tepat lagi, ketiadaan empati.”
Travis bergerak sedikit ke hadapan, seolah-olah membetulkan kolar bajunya, tapi sebenarnya untuk mendekatkan mulutnya ke telingaku.
“Akta Pemisahan 2035. Pihak atasan percaya wanita adlah ‘penyimpan nyawa’. Rahim kamu direka untuk mencipta kehidupan, jadi secara biologi, otak wanita akan teragak-agak untuk memusnahkannya.” Travis ketawa kecil. Sinis.
“Aku tak faham.” Balasku.
“Politik bukan tentang pentadbiran, darling. Politik adalah tentang keputusan untuk membunuh 10000 orang demi menyelamatkan sejuta. Lelaki dipilih masuk fakulti ni sebab kami dianggap ‘boleh dibuang’ dan cukup kejam untuk tekan butang nuklear tanpa gila. Kau? Mereka takut kau ada ‘hati’. Dan.. hati tak laku dalam bilik perang.”
Seorang askar yang berkawal di tiang berdekatan memusingkan kepalanya ke arah kami. Travis serta merta diam, wajahnya bertukar menjadi serius seolah-olah sedang khusyuk mendengar ucapan dekan.
Bila askar itu berpaling, Travis sambung berbisik. Kali ini lebih gelap.
“Jadi.. kalau kau nak survive kat sini. Theo, jangan tunjuk kau ada belas kasihan.. Supaya kau tak dimakan hidup-hidup.”
Aku merenung tajam ke depan, teringat akan kampungku yang mati. “Aku tak ada hati, John Javer dah lama ambil.”
“Bagus.” Balas Travis. Kemudian dia berdehem perlahan.
–
Kedua-dua tanganku digenggam kasar. “Apa yang kau cakap dengan mereka?!” Aku bergetar melihat wajah bengis ketua warden lelaki yang menjadi pembantu kepada ajaran komuniti yang sesat itu. “Kau cakap, aku adalah kiriman dari neraka?!”
‘ya!!’ Teriakku dalam hati.. Meski aku sudah kesakitan.. Aku mahu lari dari ruangan kecil itu. Sir Kell Haiman nama yang disaluti dengan dusta dan bermuka-muka iblis. Aku lebih gemar memanggilnya sebagai Pendeta Neraka.
“Kau baru 16 tahun! Kau tidak boleh guna ayat yang memesongkan orang lain sesuka hati!!” Pendeta Neraka yang sudah berumur 40-an itu berang dengan perangaiku.. yang jujur.. dia terancam.
“Kenapa kau tidak taat seperti yang lain?! Padahal kau sudah tujuh tahun tinggal di sini! Kau masih sama, tidak pernah dengar cakap!” marahnya. Lalu menolak tubuhku dengan kasar. Aku terdorong ke dinding. Aduh.. tangan dan bahuku terasa sangat pedih. Perlahan-lahan aku bangkit semula.. berbantukan dinding di tepi..
“Kembalikan buku aku.” Pintaku perlahan. Aku tidak mahu mengalah. Satu-satunya buku kegemaranku telah dirampas olehnya. The power of now oleh Eckhart Tolle. Buku-bukuku yang lain telah dibakar semalam oleh dua orang ahli bilikku, Elly dan Zaina. Hanya itu sahaja yang sempat aku selamatkan. Aku benci hidup di dalam asrama ini. Aku diseksa secara mental dan fizikal sedari dulu lagi. Aku perlu keluar melarikan diri. Semua itu buku pemberian Elly.
“Mungkin sebab buku-buku ini lah, kau sudah berani lukakan orang!” Tengking Pendeta Neraka. “Kau lukakan Elly. Elly tu anak kepada bangsawan yang beri dana untuk komuniti di sini supaya dapat makan. Kau dengki dengan dia?!”
Aku panas hati. Aku tidak pernah lukakan siapa-siapa. Mesti Elly dan Zaina merekacipta cerita lagi! Tak guna!
“Aku tak lukakan siapa-siapa! Aku cakap benar!” Aku cuba untuk membela diri. Ya. Ibubapaku miskin dan tidak pernah jadi pemberi dana.. Dari dulu hanya menjadi penurut dan ikut sahaja semua arahan dengan hati yang buta. Tapi aku tidak begitu! Aku jauh sekali hendak taat kepada komuniti Helang Putih ini!
Pendeta Neraka mendengus. Sejak umur 10 tahun, aku dihantar ke asrama kerana rebel dengan ajaran komuniti mereka. Aku bah kan dianggap ingkar dan derhaka dengan komuniti yang lain di kampung, termasuklah ayah dan ibu. Jadi, tanggungjawab untuk meluruskan kembali ‘besi yang bengkok’ sedari dahulu itu akhirnya jatuh ke atas bahu Sir Kell Haiman, memandangkan dia ketua warden asrama. Itu lah kemungkinan sebab dia mendengus setiap kali terpaksa berhadap dengan wajahku..
“Tangan Elly berdarah disebabkan kau. Betulkan?!” Tuduhan melulu itu dipanahkan terus kepadaku.
Aku menggeleng. “Aku tak pernah lukakan siapa-siapa!”
“Kau sudah lukakan seseorang, kau perlu dihukum setimpal dengan perbuatan kau!” Pendeta Neraka menyentap tanganku. Sebelah tangannya mencapai gunting di atas meja. Dia sudah bersedia untuk memberi hukuman kepadaku. Ini tanggungjawab dia sebagai seorang ketua warden. Aku berdebar. Pendeta Neraka asrama Dahlia merupakan orang yang kejam. Semua orang tahu itu. Tapi hanya aku seorang sahaja yang tahu nama samarannya Pendeta Neraka. Aku yang cipta sendiri. Aku enggan menyebut nama penuhnya.
“Lepaskan! Lepaskan!” Jeritku sekuat hati. Namun, tenaga dan kudrat Pendeta Neraka lebih kuat.
“Bilik ni kedap bunyi, Theo. Kau jangan nak melawan! Ini hukuman sebab kau lukakan orang lain!” Makin maradang Pendeta Neraka apabila aku meronta-ronta ingin dilepaskan. Sedangkan aku tahu aturan di sini bagaimana.. Tidak ada sesiapa yang boleh lari dari hukuman. Darah perlu dibayar dengan darah! Meski kesalahan itu bukan salah aku..
Bilah gunting didekatkan dengan tanganku. Bahagian tajam gunting itu hendak dikelarkan ke lenganku. Semakin aku merontah tidak mahu.
“Aku tak bersalah!” berkaca mataku melihat gunting tajam yang sudah hampir dengan tangannya.
Tok-tok-tok
Bunyi ketukan di pintu kedengaran. Pendeta Neraka terganggu seketika. Ketika itu, aku menarik kuat tanganku. Tetapi malang sekali, bilah gunting yang tajam itu tetap juga terhiris pada lenganku. Darah menitik ke lantai, mencemari warna karpet yang putih kelabu. Aku mengerang kesakitan. Luka yang terhiris itu sangat pedih dan lumayan dalam.
Aku menahan kesakitan. Aku mengundurkan diri jauh daripada ketua warden yang sudah gila itu. Air mataku jatuh.
Pendeta Neraka tidak menghiraukan luka itu. Dia menuju ke pintu, dibukanya sedikit. “Sir, chairman datang, Chairman hendak jumpa semua kakitangan di cafeteria.” Bisik pembantunya.
Cepat-cepat Pendeta Neraka bertukar emosi. Dia tiba-tiba merasa teruja. “Baiklah.. kalau macam tu.. sekejap lagi saya datang” balasnya. Pintu ditutup semua. Matanya merenung tajam kepadaku seperti ingin melukakanku buat kali kedua.
“Kau naik masuk bilik. Jangan buat hal lagi. Kalau aku tahu kau ganggu Elly, siap kau!” Ujarnya.
Aku mengelap air mata di pipi. Darah yang mengalir dari lenganku ditekup dengan baju sendiri. Aku mencapai buku milikku yang berada di atas meja. Kemudian, berlari keluar dari pejabat tersebut, lalu menaiki tangga. Aku melalui lorong yang sunyi pada tingkat satu, bilik ke-tiga itu bilikku.
Di dalam bilik, Elly sedang berdiri di tengah ruangan sambil tersenyum puas. Sebaik sahaja aku melangkah masuk, Elly membuka balutan di tangannya dan menayangkan tidak ada sehiris luka pun di tangan itu. “Sakit tahu tak.. sakit balut tangan yang tak ada luka ni.” Keluhnya.
Aku mengetam gigi geraham. Hatiku benar-benar sakit dan berdendam dengan Elly. Elly sungguh mahir berlakon dan mengadu tangannya dilukakan. Bukannya aku tak tahu.. Elly membalut sendiri tangannya sebagai bukti, sedikit pewarna makanan dicalitkan di atas balutan itu. Hanya untuk menambah perisa dramanya. Ketua warden itu pula percaya membabi buta. Padahal itu semua cumalah trik manipulasi busuk seorang perempuan yang bernama Elly.
“Aku nak kau tahu, Theo. Aku yang berkuasa di sini. Jadi, kau jangan sesekali lawan cakap aku. Jangan sesekali membantah bila aku bagi arahan.” Elly mengugutku dengan ayat yang selalu dia ungkapkan.
Darah masih menitik ke lantai dari luka di lenganku. Turun naik nafasku menahan marah. Aku merenung tajam memandang Elly. Sebanyak mana pun hatiku sakit dan dendamku membakar, aku tidak mampu berteriak. Sebab itu, tanpa ku sedar, air mataku jatuh. Air mata yang terakhir pada hari itu.
Ting-tong-ting-tong
Lonceng besar berbunyi kuat.
Aku membuka mata.
Salsa yang sedang duduk di katil bersebelahan denganku, merenung dengan hairan. “Kau okey, Theo?”
Mimpi?! Aku menarik nafas dalam-dalam, rupanya aku hanya bermimpi. Entah kenapalah dalam banyak-banyak mimpi, mindaku mengambil keputusan untuk memutar kembali memori gelap.. Aku menyentuh pipiku, ada sisa air mata. Meskipun hanya mimpi, hatiku masih berdendam dengan orang-orang yang menyeksaku dulu.
“Sekarang jam berapa?” Soalku. Dua orang lagi ahli bilikku masih terlena.
“Lima pagi. Masih sangat awal” Jawab Salsa. “Errr.. kau mimpi buruk?” soalnya.
Aku menaikkan kening. Apa? Macam mana kau tahu?
“Kau meracau dalam tidur. Tiap kali kau meracau, aku tak dapat tidur. Ini yang dah kali kedua.” Salsa serba salah hendak memberitahuku.
Aku terdiam. Kali kedua? Aku sendiri tidak tahu jika aku meracau atau tidak. Tapi sejak kebelakangan ini, aku selalu sahaja termimpi kembali memori yang telah ku kuburkan dahulu. “Maafkan aku. Aku.. tak sengaja.”
Perlukah aku minta maaf?
“Tak pa. Mungkin kau perlu kosongkan fikiran sebelum tidur. Maksud aku, meditasi kah.. ritual sebelum tidur kah.” Cadang Salsa.
Sebut sahaja pasal ritual, mukaku berubah. Perkataan itu terlalu ekstrem dan mengganggu fikiranku. Aku lantas berdiri dari katil dan meninggalkan Salsa terpinga-pinga. Tapi Salsa sudah biasa dengan perwatakanku yang selalu suram. Di antara semua ahli bilik 107, aku lah yang susah sekali hendak ditebak personalitinya, sebab aku tutup semua jendela di hatiku. Bah kan, tidak ada di antara mereka yang mengetahui apa-apa tentang latar belakangku. Aku sangat misteri. Sekurang-kurangnya itu yang mereka katakan selalu.
🌝NOTA DARI PENULIS:
Setiap hari jam 8pm penulis akan update novel online ni. Jika korang mahu baca novel/chapter yg lainnya boleh check di RAK BUKU NOVEL ONLINE MALAY 📖.
Like page Naiematus untuk dapat update terkini! Jangan lupa komen di bawah!😊








Leave a Reply