BAB 4: Kelas 2M20 Gangguan hari Pertama
Pada keesokan hari, aku bangun dan mendapati terdapat sampul surat di hujung katil. London, Salsa dan Janna juga begitu. Di dalamnya, ada nama kelas dan jadual kuliah masing-masing. Pembelajaran kami diasingkan mengikut fakulti. Masing-masing mendapat fakulti yang berbeza. Uniform kuliah juga telah disediakan. Warna Uniform kami tidak sama, kerana perbezaan fakulti. Aku berfikir, mesti kerajaan ada agenda yang besar sehingga tidak ada langsung pelajar yang sama fakulti menetap satu bilik. Pengasingan pelajar yang penuh helah dan muslihat. Uniform institusi OWL dominasinya berwarna putih, hanya dihiasi oleh warna kolar, lengan baju dan beberapa hiasan lain mengikut warna fakulti yang didaftarkan.
Salsa mendapat fakulti sosial dan budaya, dengan uniform berwarna merah jambu. Janna mendapat fakulti perubatan dengan uniform berwarna biru muda, manakala London mendapat Fakulti pendidikan dengan uniform berwarna kuning matahari. Aku melihat mereka bertiga kelihatan gembira dengan takdir yang telah diaturkan oleh OWL. Mereka kelihatan tidak sabar untuk memasuki kelas pertama. Mungkinkah mereka sememangnya secara sukarela untuk mengikuti program kerajaan ini? Mereka tidak diculik.. Cuma aku seorang sahaja yang diculik.
“Ayah aku ada pesan.. Program ni sangat menarik dan selamat untuk kita. Jadi, aku tak sabar untuk masuk kelas. Macam universiti tapi lagi besar!” Kata London teruja, tanpa ditanya oleh sesiapa.
Aku dalam diam melepaskan keluhan. Benarlah tekaanku, hanya aku seorang sahaja yang ‘diculik’ oleh kerajaan. Yang lain malah sukarela dan teringin hendak ke sini. Kecuali aku..
“Theo, kau dapat fakulti apa?” Soal Salsa. Kini, semua mata memandang ke arahku.
Begitu juga dengan diriku. Aku juga memandang diriku sendiri. Aku terlalu leka dengan reaksi mereka, sehingga aku melupakan takdir diri sendiri. Ketika aku menarik uniform keluar dari plastik pembalut, dominasinya berwarna hitam malam. Design yang agak berbeza dari mereka. “Politik.” Jawabku pendek.
Yang mendengar, terkedu. Mungkin mereka berfikir, itu aliran dan fakulti yang berat dalam keadaan dunia sekarang. Senyap sesaat. Dari riak wajah mereka, mereka bersimpati terhadapku.
“Oh lihat, gue baru perasan akan kotak tu!” Janna memecah kesunyian. Dia bingkas dan mengambil kotak-kotak yang diletakkan di sebelah rak kasut. Ada empat kotak. Setiap kotak, tertulis nama masing-masing. Jadi, Janna mengagihkan kepada yang lain mengikut nama yang tertera. Kami membuka isinya..
Kain tebal dan panjang umpama jubah bersambung dengan hoodie, itulah isinya. Kain itu dipanggil burnous atau cloak. Kain yang labuhnya hingga ke paras lutut, seakan jubah tapi berhoodie. Terdapat butang-butang bulat yang perlu dikatupkan pada bahagian leher. Butang tersebut diperbuati daripada besi, terukir lambang institusi rahsia ini, burung hantu, OWL. Burnous tersebut digunakan sebagai lapisan luar untuk uniform masing-masing.
Apabila dipakai, uniform fakulti tertutup dan terlindung sepenuhnya di bawah lapisan burnous. Pada bahagian muka pula, terdapat kain yang boleh ditarik ke atas sebagai penutup hidung dan mulut seperti mask, separuh daripada wajah boleh dilindungi. Jika mengenakan hoodie, hanya mata sahaja kelihatan. Seakan fungsi burnous tersebut adalah untuk melindungi identiti daripada orang lain. Burnous yang diberi tidak ada perbezaan warna di antara kami. Semua burnous yang digunakan adalah berwarna hitam. Satu nota bertulis di atas kotak itu, ia wajib dipakai ketika berada di luar kawasan asrama dan dilarang berhoddie penuh di kawasan fakulti.
“Eh, ini kad apa?” Soal Salsa menayangkan kad keras berwarna biru tua. Cuma ada lambang OWL dan nama pelajar sahaja pada kad tersebut. Gambar lain tidak ada.
“Gue juga ada.” Janna memegang kad miliknya. Kad tersebut diletakkan di dalam poket bahagian dalam burnous.
“Korang tak nampak ada nama masing-masing pada kad ni? Kad ni.. macam kad matrik.” Terang London serba tahu. Aku mengeluh lagi.. Mestilah dia tahu, dia adalah anak orang-orang berpangkat besar yang mungkin menyumbang tangan atau kewangan dalam menjayakan institusi ini.
Aku membelek kad matrik milikku. Satu hembusan nafas dikeluarkan kerana aku tahu, identitiku sekarang berada di dalam kad ini. Kemudian, aku melihat kakiku sekilas, luka semalam sudah sembuh sedikit. Syukur!
–
Di luar asrama, ramai pelajar lain sudah mengenakan burnous pada badan mereka. Maka, sukar untuk menilik warna uniform yang dipakai oleh pelajar lain. Sukar untuk mencari teman sefakulti. Aku perasan hanya pelajar-pelajar perempuan sahaja yang ada di sekitarku. Mungkin asrama pelajar lelaki berada di tempat lain.
100 meter dari gerbang utama blok asrama, terdapat perhentian bas, aku meneruskan sahaja jalanku menuju ke sana, sama seperti pelajar-pelajar yang lain. Kawasan rahsia lindungan dua buah kerajaan besar ini terlalu luas. Sehingga aku tidak mampu menafsir berapa buah blok asrama yang terdapat di sekitar institusi ini, kerana di hujung pandangan mataku terdapat bukit-bukit tinggi, begitu juga hutan tebal yang menutupi pandangan di sebaliknya.
Dari jauh, lebih kurang empat buah bas militari berwarna hijau gelap dihiasi corak tidak sekata dengan hijau lumut bergerak dan berhenti di hadapan perhentian bas.
Berpusu-pusu pelajar ingin masuk ke dalam bas dengan cepat, tetapi askar-askar bermuka garang yang sedang bertugas menjerit dan mengarahkan kami untuk beratur. Askar tersebut bertugas dengan senjata di sisi, jadi arahan yang disuarakan sekejap sahaja terlaksana. Siapa agaknya atasan mereka? Dictator.
Semasa aku memasuki bas, seorang askar lelaki berbadan sasa menahanku. “Jangan lupa scan.” Ujarnya garang.
Scan? Oh! Aku mengeluarkan kad matrikku, lalu mengimbaskan pada sebuah mesin kecil di tepi laluan masuk bas. Sesaat sahaja, data pada kad matrikku terpapar pada peranti yang dipegang oleh askar tersebut.
“Fakulti Politik?” Soalnya agak curiga.
Aku mengangguk sahaja. “Duduk depan. Nombor satu.” Arahnya sambil menunjukkan tempat duduk barisan hadapan. Setiap tempat duduk mempunyai nombor di atas penyandaran. Aku hanya menurut. Aku duduk di tepi tingkap.
Setelah beberapa minit berlalu, askar yang bertugas untuk membahagikan tempat duduk di bas mengikut data pada imbasan kad matrik pelajar akhirnya duduk di sebelah pemandu bas yang juga seorang askar. Bas telah penuh dan bersedia untuk bergerak.
Bas bergerak memasuki beberapa selekoh, pemandangan kiri dan kanan hanya lah bukit dan hutan. Enam minit berlalu, barulah beransur-ansur kelihatan bangunan fakulti.
Terdapat enam fakulti dengan simpang yang berbeza, simpang pertama Fakulti Pertahanan dan Keselamatan Strategik (FPKS). Diikuti oleh Fakulti Sosial dan Budaya (FSB). Kemudian, Fakulti Teknologi dan Maklumat (FTM). Simpang ketiga pula, Fakulti Perubatan dan Bioteknologi (FPB) yang berjiran dengan Fakulti Pendidikan (F.edu), ya memang begitu singkatannya. Edu for education. Jadi mana Fakulti Politik dan Pemerintahan (FPP)?
Bas berhenti di hadapan perhentian bas di setiap fakulti, hanya nombor kerusi yang dipanggil akan turun ke fakulti mereka. Aku perasan, pada perhentian pertama, pelajar-pelajar yang duduk paling belakang dalam bas akan turun duluan. Kemudian, pelajar yang duduk di bahagian tengah bas, akan turun pada perhentian seterusnya. Bererti aku merupakan pelajar yang terakhir yang turun dari bas ini.
“Nombor satu, boleh turun!”
Bas berhenti di perhentian terakhir. Aku berdiri dan melihat seisi bas, hanya aku seorang sahaja pelajar yang berada di dalam. Jadi, aku pantas turun dan keluar dari bas. Laju bas itu bergerak meninggalkan kawasan fakulti FPP.
Hanya aku sahaja sendirian di perhentian bas ini, tapi di hadapan gerbang fakulti politik pula kelihatan ramai pelajar yang berjalan memasuki kawasan dalam fakulti. Aku ada sedikit lega. Semua pelajar mengenakan burnous yang sama seperti aku. Dari jauh hanya mata sahaja yang kelihatan, kerana semua menyarungkan hoodie di kepala.
Aku berjalan memasuki gerbang, aku tidak pedulikan pelajar-pelajar yang juga sibuk dengan diri masing-masing. Mereka mencari kelas yang telah ditetapkan dalam sampul surat pagi tadi.
Aku menghentikan langkah, lalu mengeluarkan sampul surat milikku, jadual kelas ku renung, Dasar Falsafah Politik, nama subjek pada pagi ini.
“2M20, Blok 2, Koridor M, kelas 20.” Aku membaca nama kelas yang tertulis. Senang sahaja untuk cari kelas ni. Tapi.. Perlukah aku masuk kelas?
Aku memandang koridor groundfloor fakulti yang sesak dengan pelajar lain. Persoalan tadi muncul kembali. Perlukah aku masuk kelas?
Tidak. Jawabku sendiri di dalam hati. Aku menyisip ke simpang menuju ke sebuah taman yang agak suram, ia terlindung oleh pokok-pokok bambu yang tumbuh menjadi pagar di antara ruang menuju ke blok akademik I dan sebuah bangunan besar tidak bertingkat, mungkin dewan. Aku duduk pada bangku yang tersedia di bawah pokok yang redup. Kemudian, satu keluhan ku lepaskan. Hatiku terasa berat untuk memasuki fakulti yang didaftarkan. Mungkin aku perlu duduk untuk refleksi sesaat akan episod kehidupanku yang tidak menentu. Aku seperti berada dalam perahu tanpa pendayung. Ombak di sekeliling terlalu kuat. Aku tidak tahu sama ada hendak bertahan dalam program institusi kerajaan ini atau pun hendak lari sahaja. Apa yang perlu diperjuangkan di sini? Keluargaku sudah tiada. Aku hanya sebatang kara.. Perasaanku kosong.
Angin pagi bertiup perlahan tetapi segar sehingga ke bulu roma, aku mengemaskan hoodie di kepala, lalu berpeluk tubuh. Mungkin, disebabkan institusi ini berada di kawasan perhutanan tebal, angin yang perlahan sahaja boleh terasa sehingga ke tulang.
“Hei.. politik?” Seorang pelajar lelaki tiba-tiba menegurku.. mungkin..
Jadi aku berpaling, dan terpaksa mendongak kepala kerana orang yang menegurku itu terlalu tinggi. Lelaki itu membuka hoodie dan penutup wajahnya. Rambut hitam berkilat, dan mempunyai sepasang mata yang hazel. “Aku Travis. Travis John. Blok Malaysia.” Ujarnya mesra. Aku perasan setiap kali orang-orang di dalam OWL ini memperkenalkan diri mereka akan bicara nama dan diikuti oleh blok kenegaraan. Skema sesi pengenalan.
Aku mengangguk sekali, kemudian kembali berpaling. Aku tidak ada mood untuk bergaul atau berkenalan dengan kawan baru. Lelaki bernama Travis ni sangat bergaya dan rapi, aku dapat rasakan yang dia selalu menjaga penampilannya. Dia juga terlalu wangi (bau mahal). Tapi sedikit lembut.. Aku tak bercakap tentang bau minyak wangi, aku bercakap tentang gaya Travis. Dia bukan lelaki sejati.
“Boleh aku duduk dengan kau?” Soal Travis meminta izin.
Aku hanya memutarkan mata, mahu tak mahu aku terpaksa mengensot ke tepi. Huh.. saat aku ingin sendiri, datang pula seekor nyamuk ni.
“Kau kelas 2M20 kan?” Soal Travis lagi sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di sebelahku.
Aku mengangkat kening sambil memandang Travis. Macam mana nyamuk ni boleh tahu…
“Ini.” Travis menyerahkan sehelai kertas milikku yang tercicir tadi. “Aku perasan kau tercicir sesuatu sebelum masuk ke.. err.. taman suram ni..” jelas Travis yang juga kali pertama menjejaki kaki ke taman itu.
Kertas jadual bertukar tangan. Patutlah.. ujarku dalam hati.
“Aku pun kelas 2M20 juga. Bolehlah kita ke kelas sama-sama.” Travis bersuara lagi. “Siapa nama kau?” Soalnya ingin berkenalan.
Dalam hati aku mengeluh berat. Aku menunggu beberapa saat kemudian, untuk memulakan bicara. Aku membuka hoodie yang ada di kepalaku. Lalu memandang Travis. “Aku Theo. Malaysia.” Ujarku pendek mengikut skema pengenalan diri.
Travis bingkas berdiri seakan terkejut. Besar mata Travis melihat wajahku. Aku hairan. Aku juga hampir hendak berdiri dan melihat sekeliling, tetapi tatkala sedar mata Travis hanya mengarah ke wajahku, aku jadi cuak. Kenapa Travis seperti ternampak hantu?
“Kau perempuan?!” Hampir Travis tidak percaya.
Aku bertambah hairan. “Kenapa?”
“Put your hoodie back on, Theo.”
“Huh?” Aku bingung.
Travis mendekatiku lalu menarik hoodie ku agar kepala dan rambutku segera tertutup semula. Aku terkejut dengan perbuatan Travis.
“Whats wrong with you?!” Aku terasa ingin meradang. Lelaki ini sungguh aneh dan menakutkan.
Travis duduk di sebelah Theo semula. “Maafkan aku.. maafkan aku.. tapi untuk pengetahuan kau. Ini fakulti Politik dan Pemerintahan. F.P.P.” Jelasnya dengan penjelasan yang kurang jelas. Betul-betul membuatkan aku semakin kebingungan.
“J..jadi?”
“Politik hanya untuk pelajar lelaki.”
Aku mengangkat kening. Apa? Kenapa?
“Ya. Tak kan kau tak tahu? Kau tak pernah dengar berita tentang program ni?” Soal Travis.
Aku menggeleng. Soalnya, aku tidak pernah mempunyai atau mendekati radio, televisyen atau mana-mana teknologi yang menyampaikan pesanan dari dunia luar. Sebelum ini, aku dipenjara jauh dari orang luar. Aku bagai katak di bawah tempurung. Semasa melarikan diri dari kurungan asrama komuniti sesat itu, barulah aku ada mendengar perihal tentang program kerajaan ini. Tapi tidak seperinci yang dibicarakan oleh Travis. Lagi pun.. Kenapa aku perlu kisah tentang semua itu, sedangkan sebelum di-blindfolded, mataku sempat menyaksikan mayat ayah dan ibuku sendiri. Seluruh penduduk kampung meninggal! Mana hal yang lebih besar dan perlu aku kisah? Berita lain tidak penting bagiku.. Sebab itu aku masih ragu-ragu untuk merelakan diriku mengikuti program OWL. Aku bahkan berniat hendak melarikan diri.. dan itu adalah azamku.. aku ada plan yang lebih berbaloi di luar sana.. aku ada dendam.. yang perlu dilunaskan.
“Kalau kau cuba cari maklumat ni di corong radio atau mana-mana media memang lah kau tak jumpa, darling. Benda ni sulit. Ada banyak hal yang berlaku sehingga FPP ni, hanya pelajar lelaki sahaja yang akan diterima masuk.” Kata Travis.
“Sebab.. Rasisme?” Soalku.
Muka Travis berubah.
“Atau berat sebelah?” Soalku lagi.
“Oh tidak.. Kau terlaluuu innocent. aku rasa.. orang atasan tersilap key-in data. Jadi kau terdaftar dalam fakulti ni. Tidak ada pelajar perempuan dalam fakulti ni.” Beritahu Travis. “Oh my God. I thought that you’re a guy.” Travis masih lagi terkejut akan fakta bahawa aku seorang perempuan.
“Ertinya.. aku tak perlu masuk kelas.” Balasku dengan tenang. Dalam kegelapan ada cahaya. Aku nampak ini salah satu peluang untuk lari dari sistem.
“Tak boleh. Tak boleh. Kita ambil kehadiran dengan kad matrik. Jadi kau tak boleh lari. Plus, kawasan ni dikawal ketat oleh sistem militari.. at least pada minggu-minggu pertama.. Tak boleh ponteng.” Bantah Travis. Dia melihatku. Dalam hatinya mungkin dia mengasihani nasibku. Padahal aku biasa-biasa sahaja.
“Tak pa. Aku akan temankan kau. Kebetulan kita satu kelas.” Ujar Travis. Dia berdiri. “Jom. Masuk kelas.” Ajaknya.
Aku diam sesaat. Lelaki ini terlahir untuk melakukan kerja amal tanpa dipinta. Aku hairan.. aku tak pernah menerima bantuan atau apa-apa jasa kebaikan dari orang lain sebelum ini. Semua orang mengasingkan diriku.. kecuali seorang.. Lily.. satu-satunya yang benar-benar tulus terhadapku.. sebelum dia menghilang.
“Tak pa. Aku nak rehat sahaja.” Aku melarikan memoriku tentang Lily kerana setiap kali aku terkenangkan dia, aku menjadi marah terhadap diriku sendiri.
“Kau akan kena demerit.”
Ya. Aku lupa akan hal ini. Program OWL menggunakan sistem merit. Ia adalah proses untuk promosikan tahap kebolehgunaan dan kesetiaan pelajar dalam mengikuti program kerajaan ini. Siapa-siapa pelajar yang tidak ikut peraturan akan demerit. Akhir semester, jika merit tidak melepasi tahap yang sepatutnya, mereka akan dikenakan tindakan. Notis dan amaran ini ada pada papan tanda di sepanjang jalan tadi.
Aku terdiam sendiri. Ketat sungguh rantai yang mengikat kaki setiap pelajar di dalam program ini. Kerajaan berkuku besi. Aku melepaskan keluhan lagi. Aku berdiri dan memandang Travis. “Baiklah. Mana kelas kita?” pasrah.
Travis tersenyum. Sesaat kemudian, aku ikut sahaja langkah Travis berjalan menuju kelas ke 2M20.
Sambil berjalan dia berpaling dan bertanya. “Aku 22 tahun, umur kau berapa?”
“18.”
Langkahnya terhenti. Dia memandang kasihan terhadapku “Oh Theo.. kau masih seorang bayi..” keluhnya.
–
Kelas 2M20 dipenuhi dengan 24 orang pelajar. Travis duduk di sebelahku, kami duduk di bahagian belakang kelas. Ya. Dengan siapa lagi aku hendak duduk. Aku tidak mengenali siapa-siapa di sini. Aku duduk di sebelah tingkap meski pemandangan di luar tidak menarik, iaitu hanya blok akademik 1 sahaja, bukannya taman bunga atau hutan menghijau..
Seisi kelas itu agak riuh, ramai yang sedang berkenal-kenalan. Termasuklah Travis. Dari sana aku sudah mula memahami perwatakan Travis. Travis seorang yang mudah mesra, mudah menarik minat orang lain dan ada karisma tersendiri ketika berkomunikasi. Lelaki itu lebih banyak memuji dan sangat licik mengorek latar belakang dan kisah peribadi pelajar baru yang lain.
Aku masih mengenakan hoodie penuh di kepala. Belum ada sesiapa yang mengetahui bahawa aku adalah seorang perempuan. Aku berselindung di sebalik burnous dan hanya memandang ke luar. Dari jauh aku melihat seorang pelajar lelaki yang berdiri di koridor bertentangan dengan tingkapku, lelaki itu seakan sedang memandang ke arahku. Lelaki itu memakai burnous dengan sempurna, yang kelihatan hanya wajahnya. Wajah lelaki itu pula tidak jelas kerana jarak yang jauh. Aku tidak mengendakan secara serius. Buat apa aku perasan. Mungkin lelaki itu hanya termenung jauh sahaja dan kebetulan aku berada di dalam bingkai pemandangannya.
Travis masih galak berbicara dan bersuai kenal dengan sekelilingnya. Tiap kali ada orang ingin berkenalan denganku, Travis pantas memotong bicara, sambil badannya menutupiku dari pandangan mereka. Travis ini gayanya seperti bodyguard tidak berbayar.
“Good Morning, class. Welcome to OWL.” Seorang pensyarah lelaki tua dengan tag nama Prof. Melvindo. Umurnya mungkin sudah masuk 50-an. Gaya jalannya persis seorang ilmuwan. Kerut di dahinya sudah jelas kelihatan. Dia berdiri di atas pentas di depan kelas. Di sana ada podium yang tersedia dengan microphone.
“Lantik ketua kelas.” Arahnya.
Semua pelajar berpandangan sesama sendiri. Mereka masih belum biasa dengan yang lain. Kekok untuk memilih kerana sesi perkenalan hanya berlaku dalam masa yang singkat. Aku seperti biasa tidak mengendahkan suasana.
Tiba-tiba Travis berdiri. “Nama saya Travis John. Saya melantik diri sendiri, Prof.” ujarnya dengan penuh keyakinan. Semua mata memandang Travis. Kecuali aku, aku hanya menundukkan pandangan sambil memicit dahi. Aku agak pening sedikit dengan sinaran matahari yang cerah.. dan sudah tentu aku juga pening dengan Travis yang attention seeker.
Prof. Melvindo mengangguk tersenyum. “Ada siapa-siapa lagi yang mahu calonkan diri?” Soalnya.
“Saya.” Kali ini semua mata berpaling melihat di pintu depan kelas. Seorang pelajar lelaki itu berdiri bersandar dengan penuh gaya di sana. Dia membawa personaliti yang bertentangan dengan Travis. “Nama saya Adiel. Adiel Syawal. 22 tahun. Selamat berkenalan.”
Adiel memasuki kelas dan duduk di bahagian belakang, kebetulan ada satu lagi kerusi yang tidak berpenghuni. Kehadiran Adiel menjadikan jumlah ahli kelas 2M20 ialah 25 pelajar. Sekali lagi aku memicit kepala..
Kelas semakin riuh. Aku memandang sekilas kepada Travis. Dia tersenyum sedikit. Nampaknya Travis sedikit terancam dengan kehadiran Adiel. Tapi, aku rasakan.. suasana itulah yang dia suka. Saingan!
“Baik. Kita akan buat undian demokrasi. Traditional style.” Cadang Prof. Melvindo, dia sangat tertarik dengan kelas ini. Pelajarnya terlalu unik dalam perwatakan. Terutama sekali pada situasi sekarang.
“Siapa yang undi Travis menjadi ketua kelas, boleh angkat tangan.” Prof. Melvindo mula mengira pelajar yang menaikkan tangan ke udara. Seperti biasa aku tidak memberi kolaborasi di dalam kelas. Aku tidak mengangkat tangan.
“Alright. Boleh turun tangan.” Prof. Melvindo melihat Travis yang terserlah senyumannya. Trofi kemenangan terimaginasi di atas kepala Travis, kerana undian majoriti mengundi Travis.
“Siapa yang sokong Mr. Adiel, boleh angkat tangan.” Arahnya secara adil. Empat orang pelajar sahaja yang mengangkat tangan. Ya. Aku bukan di antara empat orang itu. Aku hanya dengan kemalasanku. Tidak akan pernah mengangkat tangan bagi mana-mana pihak.. kerana mereka tidak penting. Aku hanya pentingkan diri sendiri.
Adiel mengangkuk tanda akur. Tiada sekumit pun rasa malu atau rasa terhina bertapak di dadanya. Malah dia duduk dengan tenang. Aku tahu agendanya. Sebenarnya tadi dia mencalonkan diri hanya kerana tidak mahu kelihatan kekok disebabkan lewat masuk kelas. Apa boleh buat. Pintu belakang terkunci. Dia terpaksa melalui pintu hadapan.
“Now.. Travis will be the leader of this class officially. Come here, Travis. Take this device. Imbas semua kad matrik bagi siapa yang hadir.” Peranti imbas kas yang hanya sebesar telefon bimbit ditayangkan oleh Prof. Melvindo.
“Yes, sir!” Travis bangkit dengan bangganya menjalankan tugasan pertama. Peranti impas kad bertukar tangan. Travis menuju dari ke meja ke meja untuk impas kad matrik pelajar. Katanya, sistem tandatangan buku kehadiran secara tradisional sudah tidak digunakan. Bahkan pelajar pula tidak mempunyai telefon untuk impas kod daripada skrin besar projektor. Sistem di dalam program OWL ini hanya menggunakan imbasan pada kad matrik, senang dan mudah. Dengan cara ini, segala data pelajar dipegang ketat oleh orang atasan.
Travis sudah selesai barisan meja pertama. Sedang aku perasan lelaki yang bernama Adiel sedari tadi memandang ke arahku.. Adakah dia perasan sesuatu yang mencurigakan pada pelajar yang masih memakai hoodie penuh di kepala? Tidak lain tidak bukan, aku. Akulah pelajar itu.. Aku rasa tidak tenang.
Lagi pula, aku perasan mata Adiel merenung jari-jemariku yang runcing, jadi cepat-cepat aku sorokkan tangan ke dalam laci. Kini, biar hanya mataku sahaja yang kelihatan. Aku tahu, Mata milikku seakan membias cahaya mentari dek anak mataku berwarna honey brown. Sepasang keningku yang naik terbentuk dan tirus di hujung sesuai dengan bentuk mata yang bundar, almond eyes. Pasti dia sudah meneka-neka jantinaku. Apatah lagi juntaian rambut panjang berwarna hitam yang terkeluar di sisi wajahku, tanpaku sedar. Aku seperti mengangkat bakul sendiri. Aku cuba untuk memusingkan kepala benar-benar ke luar kelas.
“Bagi semester pertama, if you all already noticed.. satu kelas ni adalah Malaysian. Blok akademik I di sebelah sana tu, semuanya adalah Indonesian.” Jelas Prof. Melvindo. Beliau menunjukkan blok akademik I yang bertentangan. Dari jauh kelihatan, semua kelas penuh dengan pelajar-pelajar ber-uniform sama seperti aku dan yang lain.
“Semester kedua nanti. Kita akan ada rombakan kelas. Kamu akan bercampur dengan warganegara yang lain.” Kelas semakin riuh. Aku memandang sekilas, Adiel masih merenungku dengan curiga.
“Dalam program ni, tidak ada istilah racism. Semua di bawah satu institusi yang sama, iaitu Organization of Witnesses and Leaders (OWL). Kamu akan bekerjasama dengan mereka pada semester kedua dan seterusnya. Sebab itu, di asrama, dalam satu bilik akan bergabung dengan warganegara yang lain. Hanya pada semester pertama ni, dari segi akademik, fokus kita adalah untuk belajar tentang negara masing-masing dulu.” Sambung Prof. Melvindo, di tangannya terdapat buku teks, Dasar Falsafah Politik.
Travis telah selesai mengimbas semua kad matrik empunya pelajar yang hadir. 25/25. Semuanya hadir pada hari pertama kelas. Dia menyerahkan peranti imbas kad kepada pensyarah tua itu. Aku ada sedikit lega apabila Travis kembali duduk di sebelahku. Travis menjadi langsir di antara aku dan pandangan tajam Adiel.
“Sebelum kita mulakan kelas. Please.. saya mohon agar take off your hoodie dan mask. Saya haramkan penggunaan burnous fully cover di dalam kelas ni. Lagi-lagi semasa saya mengajar. I’m too old, I can’t teach without seeing your faces.” Peraturan pertama yang wajib diikuti oleh semua orang. Aku tahu ayat pensyarah tua itu ditujukan kepadaku.
Ketika itu, semua pelajar memerhati sekeliling untuk melihat siapa-siapa yang masih ingkar. Sehingga mata mereka menangkap aku yang duduk di belakang. Travis sudah gusar hati agaknya, dia cuba melindungi aku. Manakala, aku menarik nafas dalam, masih tenang seperti tadi. Meski aku tahu, sekejap lagi identitiku akan menjadi buah mulut semua orang di dalam kelas ini. Mata Adiel pula semakin tajam memandang ke arahku, menunggu penilaian hipotesisnya. Lelaki itu sedari tadi, tidak berputus asa.
Aku tanpa rasa terancam, perlahan-lahan membuka hoodie dan mask-ku. Rambut panjang paras dada berwarna hitam berkilat dek matahari pagi terserlah sebaik sahaja burnous ku lepaskan. Kelas menjadi bising, semua dalam keadaan tidak percaya. Sesetengah daripada mereka berdiri untuk melihat wajahku. Perempuan? Ya. Satu-satunya pelajar perempuan di kelas ini adalah aku. Aku juga mungkin satu-satunya pelajar perempuan di fakulti ini. Dalam keadaan heboh itu, sedikit dari rasa hatiku, merasa terasing, tiba-tiba aku memandang semua orang dengan rasa diri tidak yakin. Keyakinanku hilang bersama hoodie yang ku turunkan.
Prof. Malvindo juga kaget ketika itu. Beliau terpaksa menjengket kaki untuk melihatku, disebabkan pelajar-pelajar yang hampir mengerumui aku dengan ketinggian dan suara-suara berisik mereka. “Whats your name? Can you please stand up.” Ujar Prof. Malvindo. Suaranya tenggelam timbul di antara riuh pelajar dalam kelas. Hampir tidak didengari. Aku semakin rasa terasing.
Travis pula cuba untuk melindungiku di saat dia perasan aku seakan ‘mengecil’ di mata ahli kelas yang lain. Manakala, Adiel tersenyum sinis di tempat duduknya. Ya. Dia bangga hipotesisnya benar dengan signifikan 100%, bahawa aku seorang perempuan. Suasana bising semakin menandingi suasana di pasar jualan ikan. Bah kan, di luar koridor kelas, telah dihadiri oleh pensyarah lain dan pelajar-pelajar dari kelas sebelah. Mereka menaruh syak. Apa yang berlaku di kelas 2M20? Kenapa mereka sangat bising?
Disebabkan ramai orang yang berkumpul di koridor kelas, aku sudah tidak perasan lagi akan pelajar-pelajar dari blok akademik I iaitu warganegara Indonesia pun menjadi ingin tahu apa yang berlaku. Sesetengah daripada mereka keluar ke koridor masing-masing, melihat dari jauh. Apa hal yang berlaku di blok akademik Malaysia? Pergaduhan ka? Tidak.. yang berlaku sebenarnya, aku.. sedang.. tenggelam.. dikerumuni.. Kaum lelaki..
Nah, di saat itu, Prof. Malvindo terasa terancam dengan keadaan riuh kelas. Sudah lah dia seorang yang tua. Mana mungkin dia dapat menormalkan kembali suasana ini.
“Aku akan lindungi kau. Don’t worry. I’m your friend.” Begitu bisik Travis yang sedang berdiri mendepakan tangannya untuk melindungi aku dari mata-mata yang panasaran. Perkataan kawan? Itu hanya layak untuk Lily..
Aku menggigit bibirku.. tidak pernah dalam fikiranku akan sambutan yang menyebabkan rasa sesak sebegini. Kalau sahaja aku tahu keadaan akan menjadi seperti ini, aku lebih rela dikenakan demerit daripada hadir ke kelas. Kelas semakin riuh. Aku semakin berdebar.
“Silent!!”
Semua terdiam. Seorang wanita berumuran dalam likungan 40-an muncul dengan alat pembesar suara di tangannya. Semua orang memberi laluan kepadanya. Wanita itu nampaknya seorang yang berpangkat. Lihat sahaja pemakaiannya. Dress uniform militari formal yang tebal berwarna hijau lumut tua. Di bahunya berkait 3 bintang kecil. Dia memakai kasut hitam bertumit rata dan bertutup. Gaya-gaya seorang officer atasan dan terhormat.
“Dekan dah datang.” Ujar seorang pelajar di sana.
“Prof. Dr. Yasmin. Dekan berjiwa diktator di fakulti politik ni.” Kata seorang lagi.
Aku menelan liur. Habislah..
“Apa yang kecoh sangat ni?!” Lantang suara Prof. Yasmin membelah riuh suasana. Kakinya berdiri di atas pentas bersebelahan dengan Prof. Malvindo yang memberi isyarat tangan dan reaksi muka iaitu arahan ‘duduk ke tempat masing-masing, sekarang!’
Ahli kelas 2M20 patuh. Mereka duduk di tempat masing-masing dan menutup mulut. Senyap! Aku menarik nafas lega tapi debaran di hatiku tidak berkurangan. Apatah lagi aku bakal berhadapan dengan ketua dekan fakulti ini.
“There’s a female student in this class, Ma’am.” Lapor Prof. Malvindo.
Semua mata memandang ke arahku. Di antara semua mata, pandangan mata Prof. Yasmin lah yang paling tajam dan halus. Travis tidak ada pilihan selain daripada duduk kembali ke tempat duduk. Jika tidak, pandangan mata itu boleh tembus di dadanya. Dia baru sahaja dilantik sebagai ketua kelas, dia belum cukup berjasa kepada masyarakat untuk terkorban awal. Aku pula, dengan rambutku yang ditiup angin luar.. aku cuba menegakkan tubuh dan memandang ke arah Prof Yasmin.
“You must be Theo Dora.” Prof. Yasmin tiba-tiba tersenyum. Aku kaget. Dia tahu aku siapa.. ertinya.. dia sudah sedia maklum akan kewujudanku di fakulti ini..
“Dia satu-satunya pelajar perempuan dalam fakulti ni. Mungkin perlu maklumkan Madam Hope untuk pemindaan ke fakulti lain.” Cadang Prof. Malvindo. Dalam diam, aku bersetuju. Mendengar pelajar lain berbisik-bisik, aku rasa mereka juga setuju.
Prof. Yasmin senyap sekejap. Kemudian dia menggeleng. “Senarai pelajar sudah dicetak dan diedarkan kepada Presiden kedua-dua negara. Cencelor OWL sendiri mengarahkan untuk kekalkan Theo Dora di dalam fakulti politik. Lagi pula, leftenan yang ‘mengutip’ Theo Dora juga ada mengatakan bahawa Theo Dora merupakan satu-satunya yang terselamat daripada holocaust di kampung anehnya.” Balas Prof. Yasmin seakan menyindir. Senang sahaja mulutnya menyebarkan latar belakangku di hadapan ahli kelas yang lain. Semakin riuh bisikan-bisikan di kelas. Aku terkaku di sana. Aku benar-benar tidak menyangka. Prof. Yasmin seorang yang.. licik. Apa agaknya permainan yang dia hendak mulakan..
Adakah mungkin aku akan digunakan sepenuhnya untuk fakulti ini mengorek informasi dan latar belakangku, supaya ia boleh diterbitkan dalam sejarah. Supaya fakulti ini mempunyai satu cerita yang kononnya.. ‘sudah menyelamatkan aku’ dari apa yang telah berlaku semasa keadaan dunia sudah tidak stabil.. Apa agenda Prof. Yasmin dan atasan fakulti ni.. sehingga mereka boleh anggap aku sebagai aset. Atau ada agenda lain?
“Welcome, Theo Dora. Kamu tak perlu rasa janggal walaupun semua pelajar dalam fakulti ni adalah lelaki. Ramai juga lecturer perempuan di sini.” Kata Prof. Yasmin lagi.. Ramai maksudnya 1:5 dari pensyarah lelaki.. aku tahu.. setiap komuniti akan ada korupsinya.. aku tahu kerana aku sudah melalui masa kegelapanku di bawah komuniti sesat Helang Putih dan jangan harap aku akan rela hati sahaja..
Aku membalas pandangan ketua dekan fakulti politik. Di hatiku berbisik. Ada agenda lain yang bermain di atas piramid fakulti politik ini.. Senyuman wanita tua itu ada maknanya.
“Selepas tamat kelas pada hari ini. Sila datang ke blok tengah, di sana ada pejabat. Sila bertemu dengan Madam Hope. Dia akan bantu kamu.” Beritahunya. Prof. Yasmin beralih memandang Adiel. “Adiel Syawal, please guide her later.”
Kini semua mata memandang Adiel. Kenapa Adiel sangat terkenal di hari pertama di fakulti ni? Apa kaitan Adiel dengan Dekan fakulti? Aku menjadi panasaran dalam semua hal di sini. Aku rasa.. hendak lari.. tapi aku juga hendak menyelidiki dan melawan balik semua agenda-agenda yang bakal mereka taru ke atas kepalaku.
Aku melihat Adiel hanya mengangguk. Dalam diam juga aku nampak dia melepaskan keluhan. Seolah-olah tidak suka namanya disebut di hadapan ramai.. dan tidak sudah diarahkan menjadi penunjuk arah kepadaku..
Itu sahaja. Prof. Yasmin melangkah keluar daripada kelas. Pelajar-pelajar kelas lain yang berada di koridor berbisik-bisik di antara mereka. Apa tah lagi pelajar yang berada di dalam kelasku. Sedar tak sedar kisah pagi yang riuh ini sudah sampai di telinga-telinga blok akademik warga Indonesia. Gempak satu fakulti. Hanya sebab aku seorang perempuan.. yang didaftarkan ke dalam fakulti politiknya kerana latar belakangku yang tragik semasa dikutip oleh leftenan pada hari blindfolded berlaku. Aku mendengus kasar.
Travis memandangku. “Kan aku dah cakap.. kau akan jadi sensasi..”
Sensasi kepala hotak kau.. bicaraku dalam hati.
–
Usai sahaja kelas bagi subjek Komunikasi dan Masyarakat, iaitu kelas yang kedua selepas kelas Prof. Malvindo, aku meletakkan kepalaku di atas meja. Kejadian tadi memenatkan mindaku. Tapi di sebalik apa yang terjadi, sekurang-kurangnya aku tidak perlu lagi melindungi identitiku di dalam full cover hoodie semasa berada di fakulti ini.
“Theo Dora, bila kau nak pergi jumpa Madam Hope. Aku tak ada masa yang lama hendak tunggu kau.” Adiel muncul di hadapan mejaku. Aku perlahan-lahan mengangkat wajahku. Ya. Hampir sahaja aku lupa akan pesanan dekan itu. Tapi melihat muka Adiel.. membuatkan aku malas hendak bergerak.
“Hei, Adiel.” Travis memandang muka Adiel. “Kenapa kau famous di kalangan orang atasan. Keluarga kau hulur duit bawah meja kah? Supaya kau dilayan oleh dekan.” Begitu celupar mulut Travis bertanyakan tentang Adiel. Tapi dalam diam aku juga curiga.. kenapa ya?
Adiel sakit hati tapi dia hanya tersenyum. “Aku bahkan tak dapat undian majoriti untuk jadi ketua kelas. Macam mana pula kau yakin yang aku terkenal di kalangan orang atasan?” Soal Adiel pula.
Travis menggaru kepalanya. Betul juga..
“Boleh tak aku jumpa Madam Hope esok sahaja.” Aku bersuara.
“Tak boleh. Ini arahan ketua dekan. Aku tak mahu kena demerit. Lagi pun, aku bukan anak bulan dalam fakulti ni yang boleh dikekalkan kedudukannya.” Adiel sempat menyindirku. Aku tahu istilah anak bulan itu adalah gelaran khas untukku.
Aku melepaskan keluhan. “Baiklah. Jom.” Aku berdiri.
“Kau nak aku ikut?” Soal Travis menawarkan kehadirannya. Charity. Basic Charity.
“Wah.. boyfriend?” Soal Adiel menanyakan hubungan di antara aku dan Travis. Aku malas melayan.
Ternganga Travis mendengarnya.
“Excuse me, dude. Im gay. I’m only interested in guy..” Travis memandang Adiel atas ke bawah. “Like you..” ujarnya berbisik. Aku tersengih.. tidak menyangka bahawa Travis menjelaskan sesuatu yang berada di luar topik.. Reaksi wajah Adiel sudah jatuh ke lantai. Mesti dia tidak menduga akan hal ini..
Adiel terkedu. What the..
“And Theo is my first best friend here. Aku seorang kawan yang baik, kan Theo?” Sambung Travis. Dia memandangku.
Pertama kali aku tersenyum sedikit. Dari saat ini, aku rasa aku boleh meletakkan nama Travis di dalam buku kenalanku yang berasingkan bab dari bab yang lain pada buku kehidupanku. Dari awal pagi tadi, aku dapat rasa yang Travis mahu melindungiku dari terancam oleh mata-mata pelajar lain.. aku juga dapat rasakan yang Travis berpotensi menjadi seorang kawan yang baik. Tapi tidak dapat sesekali mengganti tapak Lily.
“Cepatlah. Dora. Aku jalan duluan.” Adiel beranjak dari sana. Dia rasa tidak selesa di hadapan ketua kelas yang aneh itu.
“Dora? What a classic name.” Komen Travis.
“Aku pergi dulu.” Aku mengejar langkah Adiel.
🌝NOTA DARI PENULIS:
Setiap hari jam 8pm penulis akan update novel online ni. Jika korang mahu baca novel/chapter yg lainnya boleh check di RAK BUKU NOVEL ONLINE MALAY 📖. Selain novel online, saya juga menulis cerpen dan puisi. 📝
Like page Naiematus untuk dapat update terkini! Jangan lupa komen di bawah!😊








Leave a Reply