BAB 3 : Bilik 107
Sesampai sahaja di kawasan institusi OWL yang terasing dari dunia luar itu, setiap orang di dalam trakyang aku naiki dipimpin kasar oleh askar yang bertugas dan dibawa masuk ke asrama serta ke bilik masing-masing. Itu yang mereka katakan.
Aku kini sudah berada di dalam bilik, dibiarkan berdiri di sana dalam keadaan mata yang masih tertutup dengan ikatan kain merah. Aku merasakan ikatan pada tanganku sudah dibuka. Aku sedikit lega. Askar yang bertugas mengarahkan untuk menunggu arahan membuka penutup mata yang akan diumumkan dari pembesar suara yang ada pada bilik tersebut. Satu jam berdiri di tengah bilik dengan mata yang masih tertutup, aku dapat merasakan kakiku sudah kebas.
Tiba-tiba, pembesar suara mula mengeluarkan bunyi nyiaring sekejap sebagai tanda mikrofon telah dipasangkan. Satu suara muncul. Arahan untuk membuka penutup mata diumumkan.
Aku pantas membuka penutup mata, tidak mahu menunggu sesaat berlalu. Di dalam bilik itu, terdapat tiga orang perempuan seakan seumuran denganku tetapi kami tidak mengenali sesama kami. Aku juga begitu. Masing-masing dengan wajah bingung dan agak resah. Jika mata baru dibuka setelah lama ‘dibutakan’, baru aku tahu nikmatnya melihat dunia. Kini, aku menyedari akan sesuatu, cahaya ada dua jenis. Satu, cuma cahaya biasa. Dua, cahaya yang berwarna dan berstruktur. Biasan cahaya dari jendela besar bilik ini yang memaparkan pemandangan hutan belukar masuk menjama mataku. Aku terpana seketika.
Pembesar suara berbunyi lagi. Kali ini, kami diarahkan untuk tidak keluar daripada ruangan bilik selama dua jam. Siren akan dibunyikan nanti barulah dibenarkan untuk berlegar dan mengenal pasti struktur kawasan asrama dan institusi.
Aku melepaskan keluhan saat ketiga-tiga orang di hadapan ku sudah ada aura hendak bertukar cerita. Entah mengapa aku jadi benci hendak bergaul. Lagi pula, selama ini kehidupanku memang hanya terkurung di dalam asrama. Aku jadi bosan hendak mengenal orang-orang yang tidak penting. Jadi, aku beredar dari bulatan tersebut, aku terus memilih katil berdekatan dengan tingkap. Aku duduk di atas katil dan mula merawat luka yang dibalut pada kakiku. Di trak askar pertama yang ku naiki, seorang askar berniat baik untuk merawat lukaku. Mungkin keadaan aku pada ketika itu sungguh memilukan, sehingga mereka simpati.
Aku hendak fokus dengan diriku saja, tapi telingaku memilih untuk mendengar pembicaraan tiga orang perempuan tadi.
“Aku Salsa. 18 tahun. Kau pula?” Salsa mempunyai bentuk badan berisi dan berkulit gelap.
“Err.. nama gue Janna. 17 tahun.” Mendengar dari bicara Janna aku sudah tahu dia berasal dari blok Indonesia. Rambut Janna ikal mayang dan pakaiannya sederhana. Cuma, mengapa dia memakai baju kebaya tetapi berseluar tracksuit.
Orang yang ketiga yang tadinya sudah memilih katil berdekatan dengan kamar mandi, bergerak balik ke antara mereka dan tanpa ditanya, dia membentang sendiri slot pengenalan diri dengan yakin. “Panggil aku, London. 18 tahun.” Ujarnya dengan nada yang kedengaran seperti berasal dari golongan bangsawan. Memang pun. Lihat saja jenis pakaian yang disarungkan pada badannya. Material kain jenis Jacquard standard bangsawan. Rambut London kelihatan masih rapi meskipun telah melalui perjalanan yang sesak dengan manusia. Mungkin dia menggunakan spray rambut, sangkaku.
Mereka semua sudah memperkenalkan diri kecuali aku, aku hanya jadi pendengar dan mengimbas identiti mereka dari katilku. Sekarang, aku merasakan semua mata memandang ke arahku. Tapi pandangan mata dan perbuatanku yang sedang mengemas balutan luka di kakiku tidak terganggu dengan renungan mereka. Mungkin mereka hairan melihat penampilan aku yang dua kali ganda teruk berbanding mereka. Dengan luka pada kaki, kotoran dan kesan darah pada pakaianku, manusia mana yang tidak tertanya-tanya.. Jika aku adalah mereka, aku akan sangkakan diriku ini adalah pembunuh bersiri atau mangsa kepada pembunuh bersiri. Kedua-duanya tragis, sesuai dengan cerita hidupku. Aku pembunuh kepada keluargaku, kerana aku tak sempat hendak selamatkan mereka, dan aku juga terbunuh sepanjang jalan hidupku. Sekian. Terima kasih.
Aku melepaskan keluhan. Pandangan mata mereka terasa panas selagi aku tidak memberitahu akan namaku yang malang ini.
“Theo.” Sebutku sambil membalas pandangan mereka setelah beberapa saat. “Panggil aku Theo.” sambungku lagi. Lalu tanpa menghiraukan balasan atau pertanyaan mereka, aku terus merebahkan badan, dan mengiring menghadap jendela di dinding. Meninggalkan suasana janggal itu tanpa belas kasihan.
Aku sebenarnya sangat penat.. dan aku perlu masa untuk menyimpan semua memori yang berlaku terhadapku agar aku tidak lupa diri.. agar aku tidak lupa akan dendamku. Aku juga tidak lupa akan kakiku yang lenguh tahap langit ke-6,½ tika ini. Sengaja aku tak cakap langit ke-7, kerana aku tak layak lagi untuk menuju ke kesucian abadi itu, sebab aku akan mencari John Javer dan akan hapuskan riwayatnya.. Dan aku sedar, syurga bukan milikku.
Gayaku yang suram ini, sudah tentu mereka tidak lagi bertanya-tanya.. kerana sesungguhnya aku tidak ada daya hendak mencari kawan.
Aku pernah mendengar, impresi pertama adalah sangat penting dalam struktur bersosial. Tapi, ini bukan kali pertama aku dimasukkan ke dalam asrama! Ini kali yang kedua! Hanya berbeza tempat! Aku tetap terkurung.. Jadi, anggap sajalah ini adalah impresi pertamaku terhadap keadaan sekarang.. di mana aku tidak kisah dan tak ada nafsu hendak tahu sekelilingku..
Mana mungkin aku dapat memberi impresi yang menakjubkan seperti London atau Salsa atau Janna.. sedangkan impresi aku terhadap kematian tragis ibu dan ayahku masih menghantuiku. Dalam diam, aku melanjutkan raungan dan tangisanku yang tergendala, di dalam hati..
Senyap.. dan terkubur..
Esok? Macam mana?
🌝NOTA DARI PENULIS:
Setiap hari jam 8pm penulis akan update novel online ni. Jika korang mahu baca novel/chapter yg lainnya boleh check di RAK BUKU NOVEL ONLINE MALAY 📖. Selain novel online, saya juga menulis cerpen dan puisi. 📝
Like page Naiematus untuk dapat update terkini! Jangan lupa komen di bawah!😊








Leave a Reply