Pernahkah anda rasa buntu dan bingung? Plot sudah ada, tapi babaknya terasa hambar. Salah satu teknik kegemaran saya untuk menghidupkan semula naskhah adalah dengan mencampakkan dua watak utama ke dalam keramaian, lalu biarkan mereka berperang tanpa senjata.
Tips utama : Jangan gunakan jeritan. Gunakan sarkasme.
Dalam babak di bawah, perhatikan bagaimana suasana riuh di sebuah majlis (pemberian hadiah buku dan pen) menjadi latar belakang kepada “perang dingin” yang sangat peribadi.
Babak Contoh: “Buku, Pen, dan Luka yang Biasa”
Di tengah dewan yang bingit dengan suara pelajar memilih antara ‘Perkhemahan’ atau ‘Lawatan’, melodi lagu itu berkumandang. Lagu kita. Tapi dia di sana, berdiri di podium kecil seolah-olah dia pemilik dunia, ketawa dengan sekumpulan pelajar lain. Ada sesuatu perasaan di hati, aku inginkan perhatian dia tapi jiwaku menolak untuk berinteraksi dengannya. Seperti lagu ini, antara kita sudah tinggal noktah..
Aku berdiri di sudut, memegang pen hadiah yang terasa berat. Pen ini sebagai hadiah penghargaan kepada sesiapa sahaja yang menghadiri pertemuan keramaian ini.

Dia menoleh, matanya menangkap mataku. “Oh, tengoklah siapa yang akhirnya keluar dari gua.” sindirnya cukup kuat untuk didengari meja hadapan. “Ingatkan dah sibuk sangat dengan hobi ‘mencuri masa’ sampai tak sudi terima hadiah murah begini.”
Dia sengaja menyebut perkataan ‘mencuri masa’ itu dengan nada sindiran. Satu ketika dahulu, ketika aku dan dia begitu rapat, aku selalui memberitahunya bahawa hobi yang aku buat ini adalah aktiviti yang mencuri masa. Dulu nadanya romantis, sekarang kedengaran agak sinis.
Aku tersenyum nipis, jenis senyuman yang tidak sampai ke mata, bentuknya hampir mendatar. “Masa aku tak pernah dicuri, cuma aku lebih selektif. Lagipun, pen ini bagus.. boleh lah aku tulis senarai perkara yang patut aku lupakan.”
Wajahnya berubah tegang, tapi tawanya masih dipaksa keluar. “Tulislah. Tapi pastikan dakwatnya cukup. Takut nanti memori kau terlalu pendek untuk ingat siapa yang selalu ada di belakang kau dulu.”
Aku menoleh ke belakang. Tidak ada apa-apa atau siapa-siapa yang menarik.
Seorang gadis di sebelahnya merangkul lengannya, seolah-olah mengisytiharkan hak milik. “Sayang, biarlah dia. Dia kan memang suka menyendiri.”
Aku hanya menjungkit kening. “Betul. Menyendiri itu tenang. Tak perlu bersesak dalam lakonan yang meletihkan, bukan?”
Dia terdiam. Sinisnya terkunci di kerongkong, seolah-olah merontah ingin keluar tapi mindanya terlalu tumpul untuk mengasah kata.
Kami berbalas pandang, aku tahu tiada pemenang, hanya dua jiwa yang sedang menguji sejauh mana luka masing-masing boleh bertahan sebelum berdarah semula.
Tips Penulis: Mengapa Teknik Ini Berkesan?
- Subtext (Maksud Tersirat): Apa yang diucapkan tidak sama dengan apa yang dirasai. Ini membuatkan pembaca terus menyelak helaian untuk mencari kebenaran.
- Ketidakpedulian sebagai Senjata: Apabila watak perempuan kekal “biasa sahaja” atau tenang, ia membina satu aura misteri. Watak lelaki akan rasa tercabar kerana umpannya tidak mengena.
- Gunakan Deria: Bunyi lagu yang nostalgik di tengah-tengah pergaduhan sarkastik mencipta suasana bittersweet yang kuat.
Latihan untuk anda: Cuba ambil satu memori yang paling menyakitkan, dan tuliskan ia semula dalam bentuk dialog di mana watak anda menolak untuk kalah dengan emosi.
haha.








Leave a Reply