Apakah tanggapan pertama yang ingin anda berikan kepada orang lain?

🍃 Renungan Kewujudan: Meniup Debu Identiti dan Ego

Pertanyaan tentang “kesan pertama” atau pun first impression seringkali menjadi cerminan keinginan untuk diiktiraf. Namun, jiwa yang mendamba kebebasan sejati tidak mencari pengakuan, melainkan pelepasan. Kesan pertama yang ingin saya ukir bukanlah gambaran yang terhias indah, tetapi adalah gambaran ketiadaan gambaran. Seperti melihat cermin, cermin hanya jernih dan kosong, hanya merefleksikan dua pasang mata yang juga melalui kehidupan ini. Sama-sama lelah, sama-sama faham.

Wujud tanpa nama: suatu renungan tentang kehadiran

Kita sering belajar menamakan diri — menampal gelaran, menuntut pengiktirafan, dan memeluk identiti yang tumbuh bersama perjalanan. Namun jauh di suatu ruang hati, aku merindukan bentuk kewujudan yang tidak meminta untuk dikenal. Sebuah kehadiran yang tidak mengajak tafsiran, tidak menagih perhatian; sekadar hadir seperti alam yang tidak pernah mempersoal dirinya sendiri.

Aku ingin dilihat sebagaimana seseorang melihat sebuah pokok. Bukan sebagai simbol, bukan sebagai pernyataan, tetapi sebagai makhluk yang hanya berhasrat untuk tumbuh. Pokok tidak memikirkan tentang gambarnya pada mata yang memandang; ia tidak menimbang setiap dahan sebagai trofi, tidak mengangkat setiap helaian daun sebagai tanda kejayaan. Ia sekadar menjalani kehiudpannya sendiri (mengikut hukum alam) yakni menyerap cahaya, menahan angin, dan hidup dalam tenang yang tidak memerlukan saksi.

Begitu juga aku. Tidak kuingini pencapaian hidup menjulang diri seperti mahkota yang harus dipertontonkan. Setiap detik yang berhasil tidak lebih daripada jejak musim iaitu hadir, berlalu, dan kembali menjadi tanah tempat langkah seterusnya bertunas. Aku tidak mahu menyarung identiti yang melekat terlalu erat hingga menjadi jerat kepada diri sendiri. Kerana identiti yang dipahat dari pandangan orang sering menuntut kita untuk kekal, sedang hidup ini sendiri sentiasa berubah. Bukankah begitu? *mengeluh*

Dalam renungan ini, aku belajar bahawa kebebasan paling halus terletak pada kemampuan untuk tidak menggenggam apa-apa tentang diri. Beberapa tahun yang lalu, aku berulang kali membaca buku yang bertajuk: The Power of Now. Ia sumpah mengajarkanku bahawa kehadiran bukan dibina melalui apa yang kita dakwa, tetapi melalui apa yang kita lepaskan. Dalam diam masa kini, segala nama dan bentuk yang pernah kita pegang kehilangan suara. Yang tinggal hanyalah kesedaran yang jernih, yang tidak mengikat, dan tidak terikat.

Maka aku memilih untuk hidup sebagai rongga yang bernafas, bukan sebagai batu yang dinisbahkan bentuk. Aku memilih untuk menjadi wujud yang tidak mendesak dunia untuk faham, tetapi sekadar bersama dunia dalam alunan yang sama. Jika orang mahu melihat, biarlah mereka melihat tanpa prasangka; jika mereka mahu menilai, biarlah ia datang dari ruang yang bebas daripada cerita lama tentang siapa seharusnya aku ini.

Kerana dalam hidup yang tidak dibebani identiti, seseorang dapat bergerak seperti cahaya yang tidak dimiliki sesiapa, dan tumbuh seperti pokok yang tidak memerlukan nama untuk disedari keindahannya.

Inspirasi yang didapati dari The Power of Now mengajak saya untuk memahami bahawa “diri” yang kita kenali adalah himpunan ingatan dan peranan. Aku adalah seorang pelakon di atas pentas kehidupan, tetapi hakikat aku berada di belakang layar, sebagai penonton senyap.

Aku berhasrat untuk hidup tanpa mengikat diri kepada mana-mana identiti yang terbina sepanjang perjalanan ini, baik sebagai profesional, pasangan, mahupun pejuang. Identiti-identiti ini adalah jubah, dan jubah mesti ditanggalkan apabila hari telah berakhir.

Kesan yang paling bermakna yang boleh aku berikan adalah membiarkan orang lain merasai kewujudan yang lapang, bebas dari tuntutan ego. Ia adalah harapan agar orang yang berinteraksi dengan aku dapat terinspirasi untuk meletakkan topeng mereka dan merasai keindahan dan kedamaian yang wujud di luar batas identiti peribadi.

Jadi, what about you? apa first impression yang ingin kau berikan kepada orang lain?

One response to “Apakah tanggapan pertama yang ingin anda berikan kepada orang lain?”

  1. Din Shahrul Gervatius avatar
    Din Shahrul Gervatius

    👍🏻👍🏻

Leave a Reply

I’m Nem

Nemlogue.com is a small space where I keep fragments of the world – Writing, poems, paintings, art crafts, blogs and thoughts that didn’t have time to be said aloud.

Degree in Politics and a Master in Education (Economy). But i still love poems and creative writing.

Let’s connect

Discover more from Nemlogue.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading