Bab 2 : Blindfolded
30 minit yang lalu, aku sudah tiba ke destinasiku. Kampung halaman yang sudah lapan tahun aku tinggalkan.. secara tak rela, kerana aku telah dibuang keluarga dari dulu lagi. Tapi aku tak pernah membuang mereka dari memoriku.. Kerana aku tahu aku akan kembali ke sini, TAPI BUKAN SEPERTI INI!
Pada saat ini aku berselindung di sebalik semak samun berdekatan dengan rumah keluargaku, dengan nafas yang turun naik bagai puting beliung meranap apa saja yang ada di langit dan di bumi, masih kurang percaya! Aku menangisi dan meraung sepenuh hati akan keadaan tragis yang aku saksikan di dalam rumahku baru saja tadi. Aku tak sempat… untuk selamatkan ibu dan ayahku.. semua yang terjadi ini adalah salahku!
Ibu dan ayah.. telah meninggal dalam keadaan tragis dan memilukan! Dan ini adalah salahku, kerana aku terlambat! Aku tak sempat menghalang mereka!
Bunyi siren yang nyaring dari jauh lagi tertangkap di telingaku, sehingga aku belum sempat menerangkan apa yang berlaku ketika ini. Aku malah semakin berdebar. ‘BELUM SEMPAT’ adalah perkataan yang menggari kewarasanku tika ini.
Dari jauh, aku melihat ada beberapa trak besar askar yang menuju ke kampung halamanku. Ada bendera Institusi OWL yang berkibar di sisi trak itu. Mereka semakin dekat, aku menekup mulut sendiri agar aku senyap dan tidak berbunyi meski air mata masih mengalir meski hatiku masih hendak meraung hibah.
Aku hanya tahu sedikit tentang program OWL yang sedang dilancarkan oleh kerajaan. Askar-askar tersebut mencari golongan remaja.. seperti aku untuk dijadikan pelajar dalam program itu. Aku tak mahu tertangkap! Cukuplah sepanjang hidupku, aku terkurung di asrama Dahlia!
Disebabkan terlalu risau jika tertangkap, sehingga aku sudah terlupa akan luka-luka di kakiku yang dalam, begitu juga air mata yang masih segar mengalir di pipi ini. Aku BELUM SEMPAT bertenang, atau bahkan meredahkan seduan tangisanku. Satu per satu masalah datang tak henti-henti yang aku perlu hadapi pada hari yang sama. Celaka! Nasib yang celaka!
Aku semakin berdebar tatkala tayar besar pada trak-trak hijau berbalut debu medan militari itu sudah berhenti dekat dengan rumahku. Satu-satunya rumah yang berasap. Askar-askar turun dari lori dan terus menyelenggara rumah-rumah yang berdekatan. Tidak lama kemudian, mereka segera berkumpul di tengah laman dengan reaksi wajah yang sangat terkejut setelah melihat isi di setiap rumah. Ada yang menggelengkan kepala tanda tidak percaya akan apa yang dilihat. Ada yang menutup hidung dan mulut, kerana bau bangkai manusia terlalu menyeksa deria mereka. Semua reaksi mereka aku sudah agak, kerana aku juga baru melihatnya. Keadaan di dalam rumahku. Ayah dan ibu sudah tidak ada! Mereka mati dalam keadaan tragis dan aku tahu semua ini ada kaitan dengan ajaran sesat yang mereka amalkan. Mengikut arahan dengan taksub dari pemimpin komuniti Helang Putih.
“Kampung ni lah yang mereka cakap hari tu, tuan.” Salah seorang daripada mereka membuka bicara tentang kabar angin yang didengarnya tempoh hari. Aku masih senyap di dalam semak, menahan tangisanku sesekali menyeimbangkan kedudukan kerana terinjak duri-duri.
“Kebanyakan penduduk sudah mati dan membangkai di rumah masing-masing. Mereka minum racun beramai-ramai.. macam..” Balas yang satu, mencari ayat yang sempurna untuk meramal apa yang telah berlaku di kampung itu.
‘macam ritual..’ bisik ku dalam hati. Aku menggenggam tangan, menahan gelora. Marah dan ingin meraung!
“Macam ritual.. Setiap penghuni dalam isi rumah duduk dalam bulatan.” sampuk seorang di sebelahnya, seolah mengetahui bicara hatiku.
Leftenan mereka mengangguk perlahan. “Kampung ni menjalankan ritual.. Ketua mereka sudah pun ditangkap, mereka terlalu taksub dengan ketua mereka.. Perusahan syarikat ubatan yang besar, John Javer. Komuniti Helang Putih..”
Ya. Itulah nama ketua yang mereka sanjungi. Bagaimana mungkin aku melupakan nama itu. Dendam ini masih segar. Setiap wajah-wajah yang menyeksaku akan ku paku kuat-kuat di dalam kotak dendam!
Seorang lagi askar berlari mendapatkan mereka yang berkumpul. “Tidak ada seorang pun yang hidup, tuan!” ujarnya memberi laporan.
“Ada seorang di sini!”
Suara itu datang tepat dari belakangku. Aku berpaling. Belum sempat bangun dan melarikan diri, tanganku ditarik kasar oleh askar yang menemuiku tadi. Aku ditarik keluar dari semak tersebut dan dibawa ke hadapan mereka, tempat di mana semua askar-askar berkumpul. Aku tidak ada pilihan lain selain mengikut sahaja dalam keadaan terhenjut-henjut dek kakiku yang luka dan berdarah.Tambahan pula, aku tidak mungkin dapat melarikan diri dari anggota askar yang bersenjata. Aku boleh mati di tembakan mereka.. sedangkan dendamku belum terbalas.
“Kamu berasal dari kampung ni?” Soal ketua mereka, iaitu leftenan pangkat entah sudah ke berapa paku dengan suara yang garau dan garang.. atau mungkin Jeneral.. aku tak kisah.
Aku mengangguk perlahan. Ketika itu, tidak ada lagi tangisan yang hendak keluar dari mulutku, melainkan suara-suara cemas dan kerisauan. Aku tertangkap!
Mereka memandangku.. Mungkin mereka hairan dengan pakaianku yang serba putih dan berkolar seperti uniform asrama, dicemari dengan kotoran tanah dan percikan darah. Mereka seperti mengesyaki yang aku seorang pelarian. Ya. Sangat tepat. Aku seorang pelarian. Aku baru sahaja melarikan diri dari asrama perempuan Dahlia yang dikhaskan oleh John Javeh dan orang-orang suruhannya untuk ‘mengajar’ kami tentang ‘erti kehidupan’ secara paksa.. atau lebih tepat lagi.. brainwash.. ‘kami dengar dengan hati, tutup mulut, kayuhkan langkah ke arah kesucian abadi..’ Tapi tidak untuk aku!
“Kamu seorang sahaja yang masih hidup?” Soal ketua itu lagi. Entah Leftenan entah Jeneral. Aku tak kenal.. aku baru dua hari melihat dunia luar.
Kali ini aku senyap. Aku tidak tahu hendak menjawab apa. Aku juga masih dalam keadaan yang terkedu. Beberapa minit yang lalu, aku baru sampai ke kampung halamanku. Melarikan diri dari asrama Dahlia itu bukannya mudah, apatah lagi jaraknya perlu menyeberangi dua buah kampung. Aku ingat dengan jelas, saat membuka pintu rumah dan terkejut melihat keadaan ayah dan ibuku yang sudah meninggal disebabkan ritual itu. Disebabkan ketua komuniti Helang Putih yang mereka sangjungi. Dari dulu lagi aku ada firasat buruk sebegini. Aku sepatutnya melarikan diri dari asrama itu lebih awal..
Kerana aku memang sudah sedia maklum akan ketaksuban semua orang kampung terhadap ajaran sesat yang diamalkan. cuma, aku tidak sangka sampai begini sekali. Mereka terlalu takut dengan keadaan dunia sekarang, peperangan dan kecelaruan di mana-mana sahaja. Jadi, mereka memilih untuk mengakhirkan kehidupan, disebabkan propaganda ketua komuniti yang sesat! Keluarga aku menjadi mangsa! Keluarga aku rela menjadi mangsa!
Andai sahaja aku tidak dihantar dan dikurung di asrama laknat milik komuniti Helang Putih itu, perkara ini tidak akan terjadi. Tetapi, disebabkan mereka tahu yang aku seorang pemberontak terang-terangan akan ajaran sesat tersebut, aku malah dipisahkan selama lapan tahun di asrama yang berada empat jam perjalanan kaki dari kampungku. Padahal waktu itu aku baru sepuluh tahun!
“Umur kamu?” Satu soalan lagi yang membangunkan aku dari fikiranku. Aku memandang tepat di wajah entah leftenan entah Jeneral tersebut. Saat itu, air mata di pipiku tadi sudah lama mengering. Sudah bertubi-tubi ujian dan persoalan yang aku hadapi di dalam fikiranku pada hari ini. Kini, berakhir pada soalan yang paling senang sekali. Lalu, aku pun menjawab. “Lapan belas.” Suaraku sedikit serak, kerana aku habiskan semasa meraung-raung dalam tangisan tiga puluh minit yang lalu.
Entah Leftenan entah Jeneral itu memandang askar bawahannya, dengan sekali anggukan sahaja, mereka sudah faham. Salah seorang daripada mereka mengambil kain tebal berwarna merah lalu segera mengikat mataku. blindfolded!
Aku berdebar laju kerana pada detik itulah, aku telah menjadi salah satu remaja yang ditarik masuk ke dalam program institusi OWL, satu-satunya wakil dari kampung yang malang. Dari saat itu juga, aku sudah mengira langkah yang diperlukan untuk sampai ke kawasan ‘persekolahan’ tersebut. Tetapi kiraanku meleset kerana aku dinaikkan di belakang trukbesar beratap corak yang hampir sama dengan baju-baju milik askar yang berada di sekelilingku. Mana mungkin aku dapat mengira berapa putaran tayar lori yang besar ini untuk sampai ke destinasi yang tak kutahui di mana.
Beberapa minit di dalam lori itu, aku merasakan luka pada kakiku dirawat dan dibalut dengan kain kasa. Mungkin salah satu dari askar itu yang merasa simpati dengan keadaanku.
“Nama kau siapa?” Aku ditanya. Suara lelaki. Askar yang merawat luka di kakiku.
Aku senyap sesaat sebelum akur memberi jawapan. “Theo.. Theo Dora.” Balasku. Aku bayangkan askar itu mengangguk atau menulis namaku di dalam buku laporannya. Aku juga bayangkan situasi di mana, aku merampas lalu membakar buku tersebut.. jika aku mampu.. kerana namaku ini penuh malang, pembawa malang.. sekurang-kurangnya itulah yang ketua warden, di asrama Dahlia semaikan di dalam fikiranku sepanjang lapan tahun aku di sana.
Setelah beberapa jam perjalanan, aku dipaksa turun dari kenderaan tersebut dan masuk kembali ke kenderaan lori yang lain. Aku dapat merasakan ramai remaja sepertiku yang berasal dari tempat yang berbeza, juga telah ‘diculik’ dan duduk bersamaku. Kerana kini ruangan yang aku duduki itu terasa semakin sempit. Suasana dalam lori menjadi sesak. Kenderaan bertukar ganti selama 4 kali. Jadi perjalanan ke sana mengambil masa 24 jam lebih. Tangan aku pula sudah diikat dengan tali semasa menaiki kenderaan kedua. Mereka takut jika aku membuka blindfolded ini.
Sepanjang perjalanan, terlalu banyak drama dan ujian yang dilalui. Masa makan tidak menentu. Makanan yang diedarkan cumalah bun roti kosong tanpa inti. Seorang satu dibekalkan sebotol air mineral sahaja. Jika ada pelajar yang mabuk perjalanan dan termuntah, aku terpaksa bertahan dan meredah sahaja muntah tersebut kerana mataku masih tertutup. Tanganku masih terikat. Firasatku mengatakan semua orang yang ‘diculik’ itu juga sama sepertiku. Permainan ‘sayang si buta’ dimainkan dengan tragik.
Meski mataku ditutup gelap. Di bawah kulit mata ini, bayangan mayat kedua ibu dan ayahku tertayang kembali.. aku melihat botol-botol kaca yang berisi racun di antara mereka. Mereka pergi selamanya tanpa meninggalkan pesan kepadaku.. Anak yang dilupakan.. aku telah jadi sebatang kara. Tidak punya siapa-siapa..
🌝NOTA DARI PENULIS:
Setiap hari jam 8pm penulis akan update novel online ni. Jika korang mahu baca novel/chapter yg lainnya boleh check di RAK BUKU NOVEL ONLINE MALAY 📖. Selain novel online, saya juga menulis cerpen dan puisi. 📝
Like page Naiematus untuk dapat update terkini! Jangan lupa komen di bawah!😊








Leave a Reply