Keesokan harinya, Sofia dan Daim masuk ke dewan kuliah seperti biasa. Mereka duduk di tempat yang sama, juga seperti biasa. Puan Suhada belum muncul lagi. Jadi, pelajar-pelajar lain sibuk dengan kegiatan sendiri.
Sofia menyandarkan belakangnya pada kerusi. Dia merenung ke atas siling dewan kuliah yang tinggi. Tapak tangan kanannya masih berbalut dengan kain kasa. Dia berharap agar lukanya itu cepat sembuh agar dia senang menjalankan kehidupan harian.
Daim memandang ke arah Sofia.
“Aku ada soalan.” kata Daim memulakan bicara.
“Ya?” Balas Sofia. Matanya masih memandang siling.
“Sejak bila kau kidal?” Soal Daim. Kejadian semalam berputar semula di ruang mindanya. Dia teringat wajah serius Sofia ketika sedang menyalin semula tugasannya itu. Terlalu fokus seperti bukan Sofia.
“Sejak bila pula aku kidal?” Sofia memulangkan soalan itu kepada Daim. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Daim.
“Aku tak buta lah. Semalam kau menulis dengan tangan kiri. Sejak bila kau ada kelebihan tu?” Daim pula yang menyakinkan Sofia tentang apa yang berlaku semalam. Dari kecil lagi mereka berkenalan, tapi kenapa Sofia seakan ada menyembunyikan sesuatu darinya? Daim curiga. Apa lagi agaknya yang disembunyikan oleh Sofia selain daripada kelebihan kidal.
Sofia diam. Dia memandang Daim yang kelihatan terlalu yakin dengan apa yang dilihatnya semalam. “Sejak bila aku menulis? kan aku tidur sepanjang kuliah?”
“Kau ada penyakit orang tua kah, Fia? Kau dah semakin pelupa.” Daim menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia berdoa kepada Tuhan agar sahabatnya itu tidak menjadi nyanyuk awal di usia muda.
“Apa kau merepek ni? Kau kan tahu tangan aku sakit. macam mana aku nak menulis.” Sofia menayangkan tangan kanannya. Balutan kain kasa itu sebagai bukti yang tangannya ada luka. Bukankah Daim sudah tahu dari kelmarin lagi.
“Ya. Aku tahu. Tapi masa kau menulis, kau guna tangan kiri.”
“Yakin?”
Daim menaikkan sebelah keningnya. Hairan dia melihat reaksi wajah Sofia yang ragu-ragu dengan apa yang dikatakannya, Alzheimer jenis apa ni? “Aku yakin, Fia.” Sambil mengangguk kepalanya dengan wajah yang serius.
Sofia diam. Dia memandang Daim sambil ingatannya mencari-cari memori semalam. Malangnya, tidak ada langsung memori yang sama seperti apa yang disebut oleh Daim. Mungkinkah Daim bermain helah dengannya? Tapi itu mustahil. Wajah serius Daim itu menunjukkan yang Daim tidak main-main dengannya.
“Kau serius?” Soal Sofia. Dia berada di antara percaya, bingung dan ragu.
“Kau sakit kah, Fia?” Soal Daim. “Kau ada Alzheimer?” soalnya lagi.
Berkerut wajah Sofia mendengar tekaan Daim yang sudah jauh melencong. Apa Daim ingat dia sudah tua dan nyanyuk? Tidak nampak kah Daim yang dia masih muda dan tidak beruban lagi. Neurotransmitters -nya masih berfungi. Jadi jangan sesuka hati melabel dia sebagai nyanyuk. Tapi benarkah dia berkemahiran untuk menulis dengan tangan kiri? Dia sendiri tidak tahu.
“Kau nak aku temankan kau pergi jumpa doktor?” Soal Daim. Apabila Sofia hanya berdiam dan berfikir.
“Aku sihat lah.” Balas Sofia. Yakin tak yakin sahaja jawapannya.
Tiba-tiba seorang pelajar lelaki berlari masuk ke dalam dewan kuliah. “Kelas Puan Suhada cancel!” teriaknya membuat pengumuman. Seisi dewan kuliah terus riuh dengan suara-suara pelajar yang bersorak gembira.
“Sofia! Puan Salma nak jumpa kau dekat office dia!” Jerit pelajar lelaki itu lagi. Sebelum dia juga turut beredar dari dewan kuliah mengikut pelajar-pelajar lain.
Sofia diam sesaat. Dia memandang Daim dengan penuh tanda soal. “Kenapa mak kau nak jumpa aku?” Soalnya.
“Issh.. janganlah cakap kuat-kuat. Nanti orang tahu Puan Salma tu mak aku. Dan aku tak tahu kenapa dia panggil kau. ” Daim berbisik menjawab soalan Sofia. Di dalam universiti ini, hanya Sofia sahaja yang tahu akan kebenaran itu. Mana mungkin dia mahu memberitahu pelajar lain bahawa Puan Salma yang garang itu adalah maknya. Bukan dia malu, tapi lebih baik hal ini dirahsiakan sahaja.
Sofia melepaskan keluhan. Sungguh dia tidak ada daya untuk bertemu dengan Puan Salma. Tapi apa sahajalah yang dia boleh buat. Sofia mengambil begnya lalu disangkutkan pada bahu. “Aku pergi jumpa Puan Salma dulu..” katanya.
“Kalau begitu aku tunggu dekat kafe.” Balas Daim. Dia juga bangun dan mencapai beg.
Mereka bersama-sama menuruni pentas yang bertangga di dewan kuliah itu dan terus keluar. Dari sana, masing-masing mengambil laluan mereka sendiri. Daim menuju ke kafe, manakala Sofea naik ke tingkat atas untuk ke pejabat puan Salma.
Dalam perjalanan Sofia hendak ke sana, fikirannya balik-balik bertanya kenapa puan Salma mahu bertemu dengannya secara personal. Dia tahu puan Salma tidak pernah menyenangi kewujudannya. Tetapi dia tidak tahu mengapa dan apa alasan puan Salma. Puan Salma tidak pernah memanggil dia naik ke pejabat. Tiba-tiba hari ni, lain pula kejadiannya. Mungkinkah dia ada berbuat salah?
Sedar tidak sedar, Sofia sudah pun sampai di hadapan pintu pejabat puan Salma. Dia mengetuk pintu dan menunggu respon dari dalam.
“Masuk.” Kata suara puan Salma di sebalik pintu.
Sofia menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya kemudian dia memusingkan tombol pintu dan terus masuk ke dalam.
“Duduk.” Arah puan Salma kepada Sofia sambil tangannya diarahkan kepada kerusi yang berada tepat di hadapan mejanya.
Sofia tidak berlengah. Dia terus menuruti arahan puan Salma. Sebaik saja punggungnya berlabuh di atas kerusi, mata tajam puan Salma memandangnya dengan penuh rasa tidak puas hati. Seolah-olah Sofia ada membuat sesuatu yang tidak baik. Sofia hanya menunggu ayat seterusnya dari puan Salma. Lagipun siapalah dia di mata puan Salma.
“Kamu tahu kan markah tugasan tu adalah 10 persen daripada keputusan akhir semester?” Soal puan Salma memulakan bicara mengenai markah tugasan yang diberi.
Sofia tidak tahu hendak menjawab apa. Jadi dia hanya mengangguk. Dalam fikirannya, dia masih bingung kenapa puan Salma menyoalnya dengan soalan berbentuk logik dan akademik. Dia sangka puan Salma hendak memarahinya disebabkan oleh perangai atau sikapnya. Ya lah. Sudah lama Puan Salma menunjukkan layanan yang dingin terhadapnya.
Puan Salma mengeluarkan kertas dan meletakkannya di atas meja. “Then explain dengan saya, siapa yang siapkan tugasan kamu ni?”
Sofia melihat kertas itu, dia terkejut apabila mendapati kertas itu bertulis dengan namanya tapi seluruh jawapan pada tugasan itu bukanlah tulisan dia. Nama dan nombor matrik yang ditulis adalah tulisan Daim. Selebihnya pula, adalah tulisan yang asing. Semua tulisan yang terpapar sebagai jawapan menunjukkan bukan dia ataupun Daim yang empunya tulisan. Siapa yang menulis tugasan ini untuknya? Tulisan yang digunakan sangat jarang. Ia terlalu kemas dan tersusun.
“Kamu tahu kan akibat tidak berlaku jujur dalam menyiapkan kerja tugasan ni?” Soal puan Salma dengan nada intonasinya yang garang.
Sofea diam. Sungguh dia masih bingung. Dia teringat tentang apa yang diungkit oleh Daim di kelas tadi. Mungkin benarlah tangan kirinya yang menulis dan dia tidak mengingati langsung akan kejadian itu kerana dia sangkakan dia hanya tertidur sepanjang kuliah berlangsung.
” Saya sangat kenal tulisan kamu, Sofea. Dan apa yang saya lihat dalam kertas ni, ini bukan tulisan kamu.” Kata puan Salma membuat konklusi.
Sofia merenung tulisan pada kertas itu. Sungguh dia hairan sendiri. Dia juga sedikit takut andai benarlah apa yang dikatakan oleh Daim. Mungkinkah dia dirasuk? Tidak semena-mena, ingatan Sofia menayangkan kembali memori yang berlaku ketika malam dia terbangun dan mendapati dirinya berada di dapur, sedang makan. ‘mungkin aku mengigau? Sleep walking.. tapi tak kan lah, dalam kelas pun aku boleh mengigau.. pagi-pagi pula tu..’ bicara hati Sofia.
“Jawapan kamu dalam tugasan ni memang terbaik dan betul semuanya. Tapi kerja kamu kotor, Sofia. Kamu tak boleh upah orang lain untuk siapkan tugasan ni..”
“Tapi.. saya tak upah orang lain..”
“Kamu jangan nak tipu saya. Tulisan dalam kertas ni buktinya.”
“Tapi..”
“Saya tolak markah kamu. Daripada sepuluh markah, mungkin kamu hanya boleh dapat tidak sampai separuh.” Kata Puan Salma dengan wajah yang langsung tidak ada simpati.
Sofia melepaskan keluhannya.. Dia sudah sedia maklum jika Puan Salma sudah memutuskan keputusan, tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya. Tidak ada gunanya hendak membela diri. Puan Salma bukannya jenis orang yang boleh bawa berbincang.
–
Di hujung kafe, kelihatan Daim sedang duduk menunggu kedatangan sahabatnya, Sofia. Sambil-sambil itu, dia menghirup sirap bandung yang dibeli tadi.
Dari jauh kelihatan Janet dengan lenggang kangkungnya menuju ke arah Daim. Daim melepaskan keluhan berat. Matanya mencari mana-mana sudut yang tersorok seandainya dia sempat untuk melarikan diri. Namun, rancangan itu hanya tinggal sebagai rancangan sahaja, kerana Janet sudah pun berdiri tepat di hadapannya. Cepat sungguh Janet bergerak, Daim bah kan tidak sempat menenangkan diri dan mempraktis nafasnya agar tidak lari dari mengikut rentak yang normal. Hampir sahaja dia terkena serangan jantung tadi.
“Kenapa you seorang-seorang hari ni? Nak I temankan?” Soal Janet dengan nadanya yang mahu menggoda.
Pantas Daim menggeleng. “Aku tak perlu teman.. Aku nak sendiri-sendiri sahaja hari ni.” Kata Daim. Dia berdoa agar Sofia segera muncul meskipun dia tahu Sofia sendiri pun tidak dapat berbuat apa-apa dengan kemunculan Janet. Tapi sekurang-kurangnya dia tidak menghadap Janet sendirian, dan dia mempunyai alasan untuk tidak bercakap dengan Janet. Dia boleh menggunakan nama Sofia sebagai perisai.
“Tapi I nampak you macam tercari-carikan seseorang. You cari I kan.” Janet ketawa manja sambil jari-jemarinya diletakkan seinci dari bibirnya. Dia tidak mahu gincu merahnya itu rosak di hadapan jejaka idaman atau perlu dia labelkan sebagai bakal suami. hik-hik-hik
Janet melabuhkan punggungnya di kerusi. Daim pula semakin tidak senang duduk apabila, Janet berani-beraninya duduk di sebelah dia. Padahal, ada banyak lagi kerusi yang kosong di kafe itu. Duduklah tempat lain..
“Bila I boleh dapat jawapan?” Soal Janet tiba-tiba. Minyak wangi yang menyengat dari tubuh Janet itu membuatkan Daim berusaha menjauhkan hidungnya.
“Jawapan apa?” Soal Daim. Dia tidak faham.
“Alaa.. kan hari tu I ada mesej you.. yang I tanya you, nak jadi boyfriend I ke tak?”
Daim senyap kebingungan. Bila? Pernah kah? Kemudian perlahan-lahan dia mengangguk tatkala teringat akan satu mesej yang datang dari nombor yang tidak bernama. Tapi, disebabkan malas hendak melayan, Daim tidak membaca dan membalas langsung mesej itu. Malahan, dia juga sudah hampir terlupa.
“You nak jadi boyfriend I?” Bercahaya mata Janet melihat Daim mengangguk. Tanpa dia sedar yang anggukan itu tidak merujuk kepada soalannya. Apa dia kisah, dia hanya mahu Daim menjadi miliknya.
“Ehh.. mana ada aku nak jadi boyfriend kau.” Daim bersuara membela nasib dirinya. Mati hidup semula pun dia tidak ingin berpasangan dengan Janet.
Janet memuncungkan mulutnya. “Habis yang you mengangguk tu kenapa?”
“Aku sedang berfikir benda lain. Aku lapar. Aku fikir sama ada nak makan nasi atau nasi goreng.” balas Daim. Sejujurnya dia tidak ada perasaan untuk melayan Janet. Tapi disebabkan menunggu kehadiran Sofia di kafe itu. Dia akur dan bertahan sahaja di sana.
“You tahu kan ramai lelaki yang mahukan I. Tapi I pilih You..” ujar Janet. Dia mahu membuka mata Daim yang Daim sebenarnya adalah lelaki yang sangat bertuah di fakulti mereka. Dia juga mahu Daim tahu, yang dia tidak memandang lelaki lain selain daripada Daim. “I sayang you, Daim. I nak you.”
Bersungguh-sungguh Janet meluahkan perasaannya kepada Daim. Daim malah tidak mendengar dan tidak fokus. Mata Daim sibuk meliar ke tempat lain. Perasaan tulus yang diluahkan oleh Janet tidak dihiraukan langsung kerana dalam kepala Daim, hanya ada satu nama sahaja yang dia cari. Sofia.
Kebetulan, Sofia muncul di hujung kafe. Dia baru sahaja dari menuruni tangga dan matanya juga sedang mencari seseorang. Daim tersenyum. Nasib baik, Sofia datang dengan cepat, dia tidak sanggup untuk berhadapan dengan Janet lagi.
Daim berdiri, lalu menyangkutkan beg pada bahunya. air sirap bandung dalam plastik itu dibawa bersama.
“Eh.. you nak pergi mana? I belum habis cakap lagi.” Janet menarik tangan Daim membuatkan niat Daim untuk menuju ke arah Sofia tergendala.
Daim menarik tangannya. “Apa lagi yang kau nak?” Soal Daim. Hairan dia melihat gelagat Janet yang terlalu obses dengan dirinya. Dia rimas.
“Lusa kan birthday you.. izinkan I datang ke rumah you..” Janet menunjukkan muka meminta kasihan.
Berkerut wajah Daim. Ya. Memanglah lusa adalah hari jadinya, tapi dia tidak pernah berniat untuk membuat pesta atau parti. Paling-paling pun dia menyambut hari jadinya itu bersama Sofia sahaja. Untuk menjemput Janet, memang tidak ada dalam kamus hidupnya. Tradisi tetap tradisi. Dia tidak mahu merosakkan tradisinya itu dengan menjemput orang yang tidak layak. “Aku tak buat parti, Janet. Aku tak jemput orang.” balas Daim.
“Tak apa. I tak buat kecoh. I just nak sambut birthday bakal suami I sahaja.” Janet berusaha memujuk Daim. Dia tahu sekeras macam mana sekali pun hati Daim, dia mampu mencairkannya. Kalau perihal ego lelaki, memang dia sudah tahu jalannya. Sekali petik jari sahaja, masalah selesai.. tapi untuk lelaki seperti Daim, dia terpaksa berkerja keras.
Janet memberi senyuman yang menggoda saat Daim memandangnya. Pasti Daim akan membenarkan dia untuk ke rumahnya lusa..
Daim melepaskan keluhan. “Jangan datang rumah aku.” ujarnya menjawab persoalan di minda Janet. Senyuman Janet mati. Tanpa bicara, Daim terus meninggalkan Janet.
Janet merenung tajam setiap langkah yang diambil oleh Daim. Dia mendengus kasar saat langkah itu mengarah kepada musuh ketatnya di hujung kafe, Sofia. Bertambah sakit hatinya tatkala dia melihat senyuman bahagia Daim bersama Sofia. Janet mengetam gigi. geram..
–
Sofia dan Daim memasuki Le Cafe, sebuah kedai makan di pekan yang berdekatan dengan rumah mereka. Awalnya Sofia sangka Daim mahu makan di kafe fakulti sahaja, tapi Daim malah mengubah rancangan dan memilih untuk makan di restauran biasa tempat mereka lepak selalu.
Mereka mengambil tempat duduk di meja bernombor 07. Itu adalah meja kegemaran mereka berdua. Meja itu bersebelahan dengan tingkap yang mensajikan mereka pemandangan yang cantik. Meja itu juga jauh dari tempat yang terbuka dan jauh dari orang ramai.
“Dah lama kita tak lepak sini.” Sofia terkenang akan kenangan ketika mereka bersekolah menengah. Setiap kali tamat waktu persekolahan, di Le Cafe itulah tempat mereka menghabiskan masa bercerita dan belajar bersama. kerana di rumah Sofia pada ketika itu ada makciknya yang tidak suka jika Sofia membawa Daim meskipun untuk menyiapkan kerja sekolah bersama.
“Ya. Masa tu, makcik kau ada dekat rumah. Dia tak suka aku.” Kata Daim tersenyum mengenang kisah lama. Dia teringat wajah makcik Lina yang menjaga Sofia dari selepas ibubapa Sofia meninggal sehinggalah Sofia habis tingkatan lima. Kemudian, dia tidak melihat makcik Lina tinggal di rumah Sofia lagi.
“Ya. Makcik aku balik kampung katanya. Tapi sampai sekarang aku tak tahu khabar dia. Dan aku tak tahu di mana kampung makcik Lina.” Sofia mengungkit kejadian yang berlaku sebelum makcik Lina menghilang dan tidak kembali.
Daim memandang wajah sahabatnya itu. Dia perasaan akan sedikit kesedihan yang terpapar di wajah Sofia. Mungkin Sofia teringat akan makcik Lina. Daim berdehem. “Anyway.. Kau dah jumpa mak aku? Apa yang berlaku?” Soal Daim mengubah topik perbicaraan.
Sofia melepaskan keluhannya. Dia bersandar pada belakang kerusi. “Kau tanya lah mak kau nanti.” jawab Sofia seakan malas hendak membuka cerita tentang apa yang sedang bermain di fikirannya. Jika dia meluahkan kepada Daim tentang semua itu, silap-silap Daim akan menggelarkannya sebagai orang gila.
“Kau tahu kan aku dan mak aku tak rapat. Tak kan lah tiba-tiba aku nak bergosip dengan mak aku pasal kau. Bagitahu lah aku.” Daim meletakkan tangannya di atas meja. Dia menunggu kata-kata dari Sofia.
Sofia memandang wajah Daim. “Benar kau mahu tahu?” Soalnya.
“Benarlah.. aku seorang jak kawan kau kan. Kau nak bagitahu siapa lagi, kalau bukan aku.” Kata Daim.
Sofia menayangkan senyuman tidak ikhlasnya. Ada betulnya juga kata-kata Daim itu. “Puan Salma panggil aku tadi, dia cakap tugasan aku itu, aku upah orang lain untuk siapkan, jadi dia potong markah.”
“What??” Daim terkejut. “Tapi aku nampak sendiri kau yang tulis.” Daim hampir tidak percaya.
“Tak apa. Lagi pun markah tugasan tu 10 peratus jak. Aku masih boleh cari 90 peratus lagi dari tugasan lain dan peperiksaan akhir sem.” Sofia masih mampu berfikiran rasional. Dia sebenarnya tidak kisah jika Puan Salma memotong markah dari tugasan yang diberi. Apa yang paling dia kisah adalah, bila dia dituduh mengupah orang lain untuk menyiapkan tugasan itu. Dalam masa yang sama, dia masih tertanya-tanya tentang tulisan asing kununnya hasil dari tulisan tangan kirinya.
“Ini mesti mak aku tak percaya yang kau ada kebolehan menulis dengan tangan kiri. Jujur aku cakap, tulisan tangan kiri kau lebih cantik dari tulisan asal kau.” Kata Daim. Sambil dia memanggil pelayan restauran untuk membuat pesanan makanan.
“Yer.. nak order apa?” Soal pelayan itu sebaik sahaja dia sampai di meja 07.
“Emm…” Daim sedang berfikir.
“Betulkah kau nampak aku menulis dengan tangan kiri?” Soal Sofia tanpa menghiraukan pelayan yang memandangnya dengan penuh kehairanan. Topik apa yang sedang dibincangkan oleh dua pelanggan ini.
“Ya. Aku tak ragu. Sumpah atas nama mak aku.” Daim mengangkat tangannya sekali gus menjawab soalan Sofia. Kemudian dia menoleh ke arah pelayan itu. “Saya nak nasi goreng pataya satu. Bagi kawan saya ni nasi bubur ayam satu.”
“Kenapa pula bubur ayam. Aku nak tomyam.” Sofia menukar pesanan yang dipesan oleh Daim untuknya. Ingat dia orang tua yang tak mampu mengunyah?
“Kau kan sakit.”
“Yang sakit tangan aku. Bukan perut aku.” Balas Sofia.
Daim mencebik. “Ya lah. Bagi kawan saya ni tomyam. Bubur ayam kasi cancel.” Pesan Daim kepada pelayan itu.
“Minum?” Soal Pelayan itu pula.
“Teh tarik panas.” Serentak Daim dan Sofia membuat pesanan yang sama. Pelayan itu tersenyum. Selesai mengambil pesanan dia meninggalkan merpati dua sejoli itu.
“Macam mana kalau aku cakap dekat kau, yang aku tak ingat bila masa aku menulis dengan tangan kiri. Yang aku ingat cuma aku terlelap sepanjang kuliah.” Sofia mengeluarkan teori yang pelik kedengaran oleh telinga Daim.
Daim menggaru kepalanya. Bingung. “Well.. mungkin kau ada amnesia?”
Sofia diam sesaat. Bukan itu jawapan yang dia pinta. Dia perlukan kepastian. Sofia mengeluh. Dia sedar ada benarnya juga kata Daim. Mungkin dia ada penyakit amnesia sehingga dia lupa apa yang berlaku pada sesuatu waktu. Sofia melepaskan keluhannya lagi. Mungkin itulah agaknya yang berlaku kepada dia di malam kejadian ketika mendapati dirinya tiba-tiba berada di dapur.
“Tak payah lah buat muka sedih. Aku akan tetap kawan kau walaupun kau jenis yang pelupa dan nyanyuk” Daim cuba menghiburkan Sofia saat perasan akan wajah Sofia yang bungkam, bingung dan sedih.
Sofia mencebik. “Aku tak nyanyuk lah.”
Daim menayangkan senyumannya. Sambil dia mengetuk-ngetuk meja dengan jari-jemari, dia menyoal Sofia. “Lusa kau buat apa?”
“Lusa kan hari jadi kau. Aku tak buat apa-apa. Kalau kau nak sambut di rumah aku pun boleh. Tapi kau kena kemas balik.” Sofia tahu Daim ingin membuka topik tentang hari jadinya pada lusa yang kebetulan jatuh pada hari sabtu. Selalunya mereka akan meraikan sambutan hari jadi berdua sahaja. Kadang-kadang bertempat di rumah dia ataupun rumah Daim, kadang-kadang di Le Cafe sahaja. Itu sudah menjadi tradisi mereka berdua.
“Baik. Kita sambut dekat Le Cafe ni. Jam lapan malam.” Daim membuat keputusan.
“Deal.” Sofia bersetuju.
“Kau nak makan kek apa tahun ni?”
“Apa-apa sahaja. Asal jangan perisa coklat.”
“Aku dah agak dah.” Daim sudah hafal benar makanan yang tidak digemari oleh Sofia.
–

Di dalam rumah Thomas, pada tingkat tiga dalam ruangan lantai yang seperti catur itu, Ellyza dan Kesha berada di dalam dapur.
“Pui! Pahit! Kau campur apa ni?” Kesha seakan mahu termuntah sahaja makanan yang baru dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Err.. Coklat?” Balas Ellyza perlahan.
Mendengar jawapan Ellyza. Kesha berlari ke singki. Dia berkumur-kumur dan membasuh lidahnya dengan air paip. “Aku tak makan coklat. Kenapa kau bagi aku kek tu..”
“Tidak ada sesiapa dalam rumah ni yang kisah kau alergik dengan coklat.” Zyden muncul di pintu dapur. Dia sebenarnya hendak bertemu dengan Thomas. Tapi disebabkan hidungnya menangkap bau yang sedap dari arah dapur. Dia terus datang menerpa. Dia tahu Ellyza mencuba resepi yang baru.
Kesha menutup paip di singki lalu berpaling memandang Zyden. “Aku bukan alergik. Tapi aku tak makan coklat.” Kesha mengelap bibirnya dengan ibu jari. Rambut hitam yang basah terkena air tadi melekat di pipinya. Oleh itu, balik-balik dia menyapu dan menyangkutkannya di belakang telinga.
Melihat gaya selekeh Kesha membuatkan Zyden mencebik. Dia menuju ke arah Ellyza yang sedang memotong kek coklat yang dibakar tadi. Selesai memotongnya, Ellyza meletakkan beberapa potong kek ke dalam pinggan. “Ini untuk Prof.” ujarnya kepada Zyden.
Zyden mengangguk. Tangannya mengambil sepotong kek yang dipotong tadi, lalu dimasukkan ke dalam mulut. “Sedap.. Pandai kau bakar.” puji Zyden kepada Ellyza. Ellyza tersenyum bangga. Akhir-akhir ini, Zyden selalu sahaja menunjukkan kelakuan baik dengannya. Mungkin Zyden risau, jika dia sakit lagi. Ellyza terharu.
“Aku pun reti bakar kek lah.” Kesha tidak mahu kalah.
Serentak Ellyza dan Zyden menoleh ke arahnya. Kedua-dua orang itu mempunyai reaksi wajah yang berbeza. Ellyza memandang Kesha dengan wajah yang teruja. Manakala Zyden memandangnya dengan pandangan sinis dan menyakitkan hati.
“Kau ingat kami ni sedang diperbodohan oleh kau? Aku tengok muka kau sekali sahaja, aku dah tahu yang kau tak ada kelebihan dalam dapur. Yang kau tahu, hanya makan saja.” Komen Zyden mengejek Kesha.
Berbeza dengan Zyden. Ellyza mudah percaya dengan penipuan Kesha. “Wahh.. lain kali bolehlah aku rasa resepi kek yang sedap-sedap.” Ellyza dengan perasaan terujanya masih mengagumi Kesha.
Kesha mengangkat dagu. Dia tidak mahu maruahnya jatuh di hadapan dua orang itu. Meskipun dia tahu Ellyza sudah termakan dengan helahnya. Dia enggan dipandang rendah oleh Zyden. “Baiklah. Aku nak tidur. Aku mengantuk.” Kesha pura-pura menguap. Tanpa menunggu lama dia beredar meninggalkan Zyden dan Ellyza di dapur.
Zyden mencebik. “Pathetic“







Leave a Reply