BAB 9
Malam mula menyebarkan kesejukan dan kedinginannya. Awan gelap di atas menutupi sebahagian bulan yang cuba menyinari cahayanya. Kawasan pejalan kaki lengang dan sepi.
Mia meneruskan langkahnya menuju ke lorong di sebelah kiri. Sesampai sahaja di suatu simpang, cahaya bulan sudah tidak seterang tadi. Awan gelap telah pun menelan bulan itu sepenuhnya. Nasib baik ada lampu neon di sepanjang jalan.
Mia terhenti. Dia tidak jadi meneruskan perjalanannya apabila terhidu suatu wangian yang tajam. Wangian itu menusuk terus ke hidung. Dia memandang sekeliling, sunyi sahaja. Tiada manusia yang berada di sana kecuali dia seorang. Mia memandang di atas pokok yang berada tidak jauh darinya. Seekor gagak hitam bertenggek di dahan pokok itu sambil merenung tajam ke arahnya. Mia tidak menghiraukan gagak tersebut walaupun perasaannya sudah tidak menentu. Dia terasa seperti ada yang sesuatu mengikuti dia dari belakang. Tanpa menoleh ke belakang, Mia meneruskan perjalanan.
Namun beberapa saat sahaja kakinya melangkah, dia terdengar seakan namanya dipanggil-panggil.
“Nak, tunggu pakcik nak..”
Mia terkaku lalu menoleh ke belakang perlahan. Dia terkejut apabila melihat seorang lelaki tua bertongkat berada tidak jauh darinya. Lelaki tua itu sedang memandang Mia dengan penuh harapan seolah-olah mahu Mia berjalan bersamanya. Dari mana orang tua itu muncul? Padahal tempat itu tadi tiada orang langsung. Wajah kesian lelaki tua itu menjadikan Mia serba salah hendak menolong atau tidak. Mia memandang sekelilingnya sebelum beralih kepada lelaki tua itu semula. Sesaat sahaja, lelaki tua itu tersenyum sinis. Wajahnya bertukar menjadi hodoh. Daging mukanya berjatuhan.
Mia berdebar. Nampaknya dia berhadapan dengan makluk yang bukan manusia. Mia baru sahaja berniat untuk melarikan diri namun kakinya berkeras dan tidak dapat digerakkan. Kaki Mia seperti terkunci. Lelaki tua itu semakin lama semakin mendekati dia. Beberapa langkah lagi dia mungkin bakal dibunuh.
Dalam kepayahan, Mia berusaha lagi mengangkat kakinya. Malangnya dia masih terkaku di sana. Kakinya langsung tidak mahu bergerak.
Wajah lelaki tua itu jelas kelihatan. Ia melecur. Daging-daging yang merah dan berdarah menjadikan Mia tidak sanggup untuk melihatnya. Lelaki tua itu masih dengan senyuman sinis tadi. Kali ini lebih mengerikan.
Mia panik. Dia menutup matanya dengan kedua-dua tangan. Takut untuk melihat wajah lelaki itu dengan jarak yang hanya beberapa depa. Jantung Mia berdegup semakin laju. Setiap denyutan jantungnya kedengaran oleh telinganya sendiri.
Mia menggigil ketakutan. Lelaki tua itu terus melangkah walaupun dengan perlahan tapi cukup menakutkan. Deruan nafasnya semakin kedengaran. Mungkin dia sudah berada di hadapan Mia sekarang.
Bahu Mia disentuh. Mia hampir menjerit.
“Saudari?” Suara seorang pemuda kedengaran.
Namun Mia masih macam tadi. Kaku sambil tangannya menutup mata.
“Jangan risau. awak dah selamat.” Ujar pemuda itu dengan lembut seakan memujuk. Mia perlahan-lahan membuka matanya. Lelaki tua yang menakutkan tadi sudah tiada.
“Eh, ini Mia kan?”
Mia mengecilkan matanya. Meneka siapa agaknya pemuda di hadapannya itu.
“Syawal?” Duganya. Syawal mengangguk. Syawal merupakan salah satu konco-konco Zakuan.
“Kau seorang jer?” Soal Syawal. Mia merenung Syawal. Tidak perlulah dia menjawab soalan itu. Dia memang sendirian sahaja dari tadi, melainkan Syawal ada ternampak dia ditemani oleh mana-mana makluk yang lain.
“Kau buat apa dekat sini malam-malam?” Soal syawal. Dia memandang sekilas pada jam di tangannya. Masa sudah agak lewat untuk perempuan berjalan sendirian di tengah malam begini. Lagi pula, tiada siapa yang berani bersiar tengah malam di kawasan ni. Ini kan kawasan keras. Dia tidak sangka Mia berada di sini.
Mia diam. Apa yang dia buat berada di sini, dia sendiri tidak tahu. Yang dia ingat, dia tertidur sekejap di meja belajar dan apabila dia sedar, dia sudah berada di taman biologi bersebelahan dengan makmal kimia.
“Apasal muka kau ni pucat semacam, terkejut tengok lelaki bertongkat tu?” Soal Syawal. Wajah Mia pucat tidak seperti yang dia nampak selalu ketika hari-hari biasa.
“Kau nampak?”
Syawal menaikkan keningnya. Dia membisikkan sesuatu kepada Mia. “Aku ada kelebihan..”
Mia diam.
“Dah lah. Kau tak payah nak takut sangat. Okey?” Kata Syawal tenang.
Mia mengangguk perlahan. “Aku nak balik.” Mia mula melangkah meninggalkan Syawal.
“Kau okey tak ni jalan sorang?” Soal Syawal. Mia hanya mengangguk. Kolej kediaman perempuan tidaklah jauh sangat. Hanya perlu melalui dua selekoh lagi dan bangunan kafe sahaja. Syawal akui Mia memang seorang yang berani.
Mia semakin jauh meninggalkan Syawal. Syawal cuma mampu memerhatikan dia dari jauh sahaja. Tiba-tiba, hidungnya menangkap satu wangian yang tajam. Sangat wangi. Syawal memandang sekeliling. Tiada orang. Kawasan sekelilingnya sunyi sepi sahaja.
Syawal berpaling pula kepada Mia nun jauh di sana. Ada sesuatu yang mengekori Mia dari arah belakang. Lembaga berwana hitam. Oh tidak! Mia dalam bahaya!
–
Mia melalui beberapa buah bilik sebelum biliknya. Sepanjang koridor dia hanya memikirkan kejadian tadi. Sesampai sahaja di muka pintu, dia memberi salam. Namun, tiada jawapan yang diterima.
‘Agaknya si Wati ni tidur mati kot.’ monolog Mia dalam hati.
Mia memulaskan tombol pintu. Ia tidak berkunci. Pintu ditolak ke dalam.
Sebaik sahaja pintu dibuka luas, Mia ternganga melihat ada seorang yang sedang duduk tertidur di meja belajarnya. Yang mengejutkan lagi, orang itu adalah dia sendiri. Mungkin kejadian ini berulang lagi.
‘Apa pula kali ni?’ keluh Mia dalam hati! Dia berdebar. Mia cuba mendekati tubuh itu perlahan. Memang betul-betul serupa dengan dia. Mia memeneliti wajah yang sedang tidur itu. Dia hairan apabila mendapati ada tahi lalat di sebelah kanan dahi. Seingatnya, dia tidak mempunyai mana-mana tahi lalat di dahi. Siapa sebenarnya orang ini? Mia memerhati lagi dengan penuh was-was. Kali ini dengan lebih dekat lagi.
Pang!!
Mia terkejut lalu terlompat ke belakang. Dia terus menoleh.
“Aduh, jatuh pula gayung ni.”
Wati?
Kelihatan seperti Wati baru sahaja balik dari tandas. Wati mengutip gayung yang jatuh di lantai tadi lalu meletakkannya ke dalam baldi. Dia memandang sekilas kepada Mia yang sedang tertidur di meja belajar.
“Mia bangunlah, kalau nak tidur pergi tidur atas katil. Nanti kalau sakit badan, aku juga yang kau cari minta urut.” Wati membebel.
“Wati jangan dekat itu bukan aku.” Halang Mia yang masih berdiri di tengah-tengah antara Wati dan juga jasad yang terlena itu. Malangnya, Wati tidak menhiraukannya kerana dia tidak melihat Mia yang sebenar. Mungkin sebab Mia yang sebenar hanyalah menjelma sebagai roh tanpa jasadnya sahaja. Sebab itulah Wati tidak dapat melihatnya.
Wati mengoncangkan jasad itu perlahan.
“Hah, bangun pun budak ni. Pergi tidur atas katil.”
Jasad itu memandang tajam ke arah Mia. Lalu tersenyum sinis. Mia menelan air liur.
“Kau tengok apa tu? Asal pula kau senyum macam tu?” Wati menoleh ke belakang. Tiada sesiapa di belakangnya.
Jasad itu bangun dari kerusi. Matanya tidak putus-putus dari memandang tajam ke arah Mia. Mia tidak tahu hendak berbuat apa. Sekali lagi jasad itu tersenyum sinis. Dia ketawa halus.
“Mia Safwanah.” Nama penuh Mia disebut perlahan. Di hujung sebutan itu ditambah pula dengan hilaian ketawa. Gema ketawanya mengisi setiap ruang bilik. Wati menjauhi jasad itu dengan ketakutan. Dalam hatinya dia memikirkan apa yang berlaku dengan Mia?
Mia yang hanya sebagai roh itu berundur selangkah ke belakang. Dia juga takut untuk berhadapan dengan jasad tersebut.
Tiba-tiba, jasad itu menerpah laju ke arahnya. Mia pun memecut keluar dari bilik. Dia berlari sepanjang koridor. Manakala jasad itu mengejarnya. Wati yang tertinggal di bilik, membisu seribu bahasa. Kenapa dengan Mia?
“Mia Safwanah. Mia Safwanah.” Nama penuh Mia disebut sepanjang koridor.
Mia sempat menoleh ke belakang. Jasad itu mengejarnya dengan senyuman yang sama seperti tadi.
“Mia Safwanah. Mia Safwanah..” Sekejap-kejap dia mengilai.
Mia merasakan dia tidak ada bezanya dengan haiwan buruan yang melarikan diri dari pemangsa! ‘Janganlah kejar aku lagi!’ rayu Mia dalam hati. Dia ketakutan.
Sesampai sahaja di tangga hujung paras, seekor kucing hitam melompat dan menyerangnya dengan tiba-tiba. Kukunya yang tajam mencakar-cakar tangan Mia. Mia mencampak kucing itu ke tepi.
Belum sempat dia menuruni tangga. Tangannya dicengkam kuat oleh jasad itu. Jasad yang serupa dengannya. Sekali lagi Mia menelan air liur. Dia takut bercampur cemas. Mia meronta-ronta ingin dilepaskan. Tetapi genggaman itu malah semakin kuat.
“Mia Safwanah.” Senyuman sinis lagi.
Mia panik apabila nama penuhnya disebut sedemikian rupa.
“Kau nak apa dari aku?” Jerkah Mia. Dia menarik tangannya dengan sekuat hati. Apabila sebelah kakinya tidak memijak pada tangga di bawahnya, dia hilang titik keseimbangan. Sebelum terjatuh, Mia menarik jasad itu bersama. Jasad itu turut menggenggam tangannya.
“Kau perlu tahu siapa kau sebenarnya..” ucap jasad itu berbisik sebelum mereka jatuh tergolek ke bawah. Penglihatan Mia kian gelap. Namun, genggaman pada tangannya itu terasa semakin kuat. Deruan nafas kedengaran sangat dekat dengannya.
“Ikut aku. Mati bersama..” bisik suara yang mengejarnya tadi.
–
Sementara Zack yang berada di kampung sedang duduk termenung di meja belajarnya. Dia memikirkan tentang Mia. Sudah beberapa minggu dia tidak diganggu oleh gangguan itu. Namun ingatannya terhadap Mia masih segar bagaikan baru semalam mereka bertemu dan bercakap di hadapan perigi. Setiap hari hanya wajah Mia sahaja yang berlegar di fikirannya. Dia mahu bertemu dengan Mia lagi. Tidak kiralah di alam mimpi atau pun realiti. Tetapi, mustahil sekali dia akan bertemu Mia di alam realiti. Dia bahkan tidak mengetahui kewujudan Mia. Mungkinkah Mia hanya wujud menjadi watak dalam gangguannya itu? Atau dia yang berhalusinasi sendirian? Entahlah dia sendiri tidak pasti.
Zack merenung jam di dinding. Jam menunjukkan pukul 2:07 pagi. Namun, matanya enggan terlelap.
Pintu biliknya diketuk perlahan dari luar. Mungkin itu mamanya.
“Masuklah.” Kata Zack. Dia mula mengemas mejanya yang berselerak disebabkan gegaran pagi tadi. Gegaran tersebut berlaku di pusat bandar. Mereka yang tinggal jauh dari bandar hanya terkena sedikit sahaja. namun, masih terasa akan gegarannya.
Beberapa saat kemudian, ketukan pada pintu biliknya kedengaran sekali lagi.
“Masuklah. Zack tak tidur lagi.” Ujar Zack.
Tombol pintu dipulas. Pintu ditolak perlahan dari luar. Ia terkuak sedikit sahaja. Zack merenung pintu tersebut. Menanti andai ada yang melangkah masuk. Namun, hampa. Ia sunyi sahaja. Zack hairan. Dia bangun dan menuju ke pintu itu perlahan. Kemudian, Zack mengintai ke luar. Kosong. Tiada sesiapa di sana. Mungkin dia tersilap dengar.
Zack menutup kembali pintu biliknya. Dia menguncinya. Langkah kaki diaturkan ke katil. Belum sempat sampai ke hujung katil. Ketukan pada pintu biliknya itu kedengaran lagi. Zack menoleh. Dia merenung pintu biliknya itu lama-lama sebelum mendekatinya perlahan. Zack merasa ada sesuatu yang tidak kena. Hatinya kuat mengatakan bahawa gangguan tersebut datang semula melalui pintu biliknya.
“Zack, ini mama.” Suara Safiya kedengaran dari luar. Zack mengurut dadanya. Lega mendengar suara itu. Tanpa berfikir panjang dia membuka pintu biliknya. Sangkaan Zack meleset apabila melihat tiada sesiapa di luar. Ia sunyi sama seperti tadi. Zack hairan.
“Mama?” Panggil Zack mencari keberadaan mamanya.
Zack melangkah keluar dari biliknya. Dia memandang sekeliling. Gelap dan menyeramkan.
“Rantai..” bisik satu suara dari belakang. Zack berpaling. Seorang wanita berkebaya merah berdiri kaku jauh di hujung lorong. Setengah badan dan wajahnya tidak kelihatan. Dia berdiri hampir ditelan dengan kegelapan sambil memandang tajam ke arah Zack. Zack terkaku melihat wanita itu. Ingatannya serta merta memutar kembali kepada wanita misteri yang berlari turun ke arahnya dari koridor bangunan di dalam mimpinya yang lalu. Adakah wanita misteri itu adalah wanita yang sama berdiri di hadapannya sekarang?
“Rantai..” bisik wanita itu lagi. Bisikannya kedengaran jelas sekali. Meskipun ia seperti bunyi nyaring yang dibawa oleh angin.
“Siapa kau?” Soal Zack memberanikan diri. Wanita berkebaya merah itu kerap hadir di dalam gangguan yang dihadapi. Masalahnya, Zack sendiri tidak tahu siapa wanita itu dan kenapa dia selalu mengganggunya.
Wanita itu diam. Dia tersenyum. Enggan menjawab soalan Zack.
“Jangan ganggu aku lagi. Kau nak apa sebenarnya?” Soal Zack lagi. Sejujurnya dia merasa ragu-garu untuk bersuara. Tetapi dia sedar untuk menghadapi gangguan tersebut, tiada siapa yang boleh menolongnya selain dia seorang. Dia harus mencari jawapan tersebut sendiri.
Soalan Zack mematikan senyuman wanita itu.
“Mia..”
Zack terkesima. Nama yang disebut itu mengingatkan dia terus kepada Mia. Dia terbayang akan wajah gadis itu.
Pang!
Zack menoleh ke belakangnya apabila dia mendengar seperti ada benda berat yang tumbang. Sesaat dia menoleh, dia sudah tidak berada di dalam rumahnya lagi. Dia kini berada di dalam hutan yang gelap. Kakinya pula sedang berpijak pada tanah yang basah. Bukan lagi lantai rata seperti tadi. Zack mendongak ke atas. Cahaya bulan kelihatan. Zack memandang sekeliling. Dirinya benar-benar berada di dalam hutan.
Zack mengatur langkahnya. Dia mahu mencari jalan keluar dari hutan tersebut. Cahaya bulan itu seakan bergerak di saat dia melangkah. Zack mendongak lagi ke atas. Dia memandang bulan tersebut. Mungkin cahaya bulan itu akan membantunya untuk keluar dari sana. Zack melangkah lagi. Setiap langkah kakinya diatur dengan berhati-hati. Takut terpijak pada benda tajam.
Jalan keluar dari hutan itu mungkin jauh lagi, kerana dia tidak melihat apa-apa di hadapannya kecuali pokok-pokok yang besar. Beberapa minit kemudian dia masih berjalan namun, dia merasakan seperti masih berada di tempat yang sama. Mungkin hutan itu sangat tebal dan dia berada betul-betul di tengahnya. Zack tidak berputus asa. Kali ini dia cuba berjalan dengan lebih laju lagi.
Pokok-pokok besar di hadapannya itu dilalui tanpa menoleh ke belakang. Ketika kaki kanannya hendak melangkah, dia terpijak pada akar pokok yang berlumut dan licin. Zack tidak sempat berpaut. Dia terjatuh ke tanah. Kayu yang terpacak tajam ke atas hampir menyucuk tubuhnya. Nasib baik hanya terkena pada baju. Zack berusaha untuk bangun, dia menarik bajunya dari kayu tajam itu hingga terkoyak. Kaki kanannya terseliuh sedikit. Dia berpaut pada batang pokok. Dia harus meneruskan perjalanan. Mana mungkin dia hanya berdiam di sana.
Zack mengoyakkan bahagian bawah bajunya. Kemudian dia mengikat pada akar pokok yang timbul keluar. Biar ia menjadi petanda agar dia tidak sesat dan kembali ke tempat itu tanpa dia sedari. Dengan kaki yang terseliuh, Zack meneruskan perjalanannya. Kali ini dia berjalan dengan perlahan. Pokok-pokok yang tumbuh berdekat-dekatan memudahkan dia untuk berpaut padanya. Cahaya bulan masih lagi memancar jalan yang dilalui. Walaupun hanya samar-samar sahaja, Zack bersyukur kerana masih boleh melihat apa yang berada di hadapannya.
Sudah jauh Zack berjalan, dia duduk bersandar pada batang pokok di belakangnya sebentar sebelum dia meneruskan perjalanannya semula. Zack terkejut apabila mendapati kain yang diikat pada akar tadi kelihatan hanya beberapa meter sahaja darinya. Zack mengalihkan pandangannya di tepi akar pokok itu, kayu tajam yang terpacak keluar itu tadi juga ada di sana. Zack memandang sekeliling. Dia mengeluh. Sangkanya dia sudah jauh meninggalkan tempat itu tadi.
“Tapi.. kenapa?” Soal Zack sendirian. Dia sudah keletihan. Perlahan-lahan dia menutupkan matanya. Dia sudah berputus asa untuk mencari jalan keluar. Peluh kelelahan jatuh membasahi wajah dan belakangnya.
“Jangan risau, hutan ni tak tebal..” kata satu suara perempuan berbisik jauh. Zack membuka matanya. Tiba-tiba sahaja sebuah bangunan lama kelihatan berada tidak jauh dari tempat dia bersandar. Dia kini berada di pingir hutan. Zack mencari-cari empunya suara tadi. Satu kelibat manusia bersembunyi di sebalik pokok besar di hadapannya.
“Siapa kau?” Zack memberanikan dirinya.
“Maya.” Maya masih bersembunyi di sebalik pokok. Enggan memperlihatkan wajahnya. “Hutan ni tak tebal, kurangkan gelisah di hati, jalan keluar akan muncul sendiri.” Beritahu Maya. Dia mendongak ke langit gelap. Cahaya bulan menjadi malap tiba-tiba. Awan hitam bergerak pantas menyelubungi bulan itu. Zack terkejut. Adakah Maya yang mengawal pergerakan awan tersebut. Fenomena apakah ini? Siapa sebenarnya Maya.
“Cahaya bulan dah malap, hujan akan turun sebentar sahaja lagi.” Kata Maya perlahan.
Zack diam sejenak. “Apa maksud kau?” Soalnya.
“Aku dah tinggal lama di sini. Di bangunan tu.” Maya menunjukkan bangunan lama yang tidak jauh di hadapan mereka.
Zack mengerutkan keningnya. Bangunan itu seperti bangunan yang sudah lama terbiar. Dia yakin bahawa bangunan itu adalah bangunan yang sama di mana dia dan Mia terperangkap di dalamnya dahulu. Mungkinkah Mia juga masih berada di sana? Tetapi itu mustahil. Tidak mungkinlah Mia berada di sana kerana hatinya mengatakan bahawa Mia berada jauh darinya. Dia hanya mengagak sahaja dan mempercayai kata hati. Tetapi entah kenapa dia berharap Mia juga ada bersamanya.
Hujan rintik-rintik mula membasahi bumi.
“Kau beruntung kerana masih merasa dunia yang kau ada sekarang.” Ucap Maya perlahan kedengaran sangat sayu.
“Aku tak faham.” Perlahan-lahan titisan hujan jatuh ke wajah Zack.
“Kau perlu pastikan supaya dia tidak bangkit dengan dendamnya lagi.” Maya mengukirkan senyuman. Namun, pada senyuman itu ada mengambarkan betapa dia terseksa menanggung bebanan yang menimpa terhadapnya.
“Siapa dia?” Soal Zack ingin tahu. Dendam siapa yang dimaksudkan oleh Maya.
Maya membuka mulutnya, tetapi tiada suara yang keluar. Tubuhnya kian hilang di saat hujan yang turun semakin lebat ke bumi. Seperti habuk, Maya hilang begitu sahaja. Zack menolak pokok yang disandar di belakangnya untuk membantu dia berdiri. Zack mencari-cari Maya di sekelilingnya. Dia perlukan jawapan. Maya meninggalkan dia tanpa dia mengetahui apa sebenarnya yang terjadi dan siapa yang bermain di sebalik gangguan yang dia hadapi sekarang. Hujan yang turun membasahi seluruh tubuhnya. Zack kesejukan.
Dia merenung bangunan lama di hadapannya. Kemunculan bangunan itu berlaku di saat dia sudah berputus asa untuk mencari jalan keluar. Dan sekarang dia berada di pinggir hutan. Zack melepaskan keluhannya. Dia tidak dapat menduga apa lagi perkara yang tidak masuk akal akan berlaku terhadapnya nanti.
Ketika kaki hendak melangkah, angin bertiup kuat dari arah belakangnya. Ia seperti tangan yang menolak dia jatuh ke tanah, sama seperti angin yang tiba-tiba sahaja muncul menolak dia jatuh di dalam biliknya selepas kejadian perigi tempoh hari. Saat Zack hendak berdiri, kilat memancar memanah dahan pokok di belakangnya. Cahaya kilat yang memancar itu membuatkan pandangannya kesilauan seperti buta seketika. Zack terkaku tidak sempat menyelamatkan diri apabila dahan besar itu jatuh menghempap kakinya yang terseliuh tadi. Zack menjerit kesakitan. Nyilu dan pedih terasa mencucuk-cucuk hingga ke dalam tulang. Zack cuba mengalihkan dahan itu namun dia tidak berjaya. Dahan itu terasa sangat berat seperti ada beban lain yang memberatkannya.
Zack tidak mempunyai pilihan lain. Dia menarik kakinya. Menggigil tubuhnya menahan kesakitan dan perih pada kakinya itu. Zack mencuba lagi apabila dia tidak dapat membebaskan kakinya. Batu yang berada di bawah kakinya terasa sudah menusuk ke dalam daging. Zack merasakan ada darah yang mengalir keluar dari luka pada kakinya.
“Aghhh!!” Jerit Zack sekuat hati. Hujan yang turun semakin lebat. Angin bertiup kencang dan pokok-pokok di sekelilingnya bergoyang ke kiri dan ke kanan. Guruh berbunyi dengan kuat seperti turut menjerit bersama jeritan Zack. Kilat yang memancar memaksa dia untuk menutup matanya. Kesakitan yang dirasa sudah tidak tertanggung lagi.
Pandangannya pula sudah kian malap. Dia terasa hendak pitam. Sesaat sahaja dia memejamkan matanya, keadaan sekeliling sudah berubah. Hujan masih turun membasahi bumi. Namun, tiada lagi hutan dan pokok-pokok di sekelilingnya. Dia kini berada di halaman belakang rumah.
“Bertahan, Zack.” Bisik satu suara. Itu suara ayahnya. Azlan sedang mengikat kain pada atas betis Zack dengan ketat untuk mencegah kehilangan darah yang banyak.
“Macam mana Zack boleh jatuh dari jendela, abang?!” Suara risau Safiya pula kedengaran. Dalam kehujanan, Safiya lah yang paling panik sekali melihat keadaan Zack.
“Telefon Laila segera.” Tanpa menjawab soalan Safiya, Azlan mengarahkannya untuk menelefon Doktor Laila. Satu-satunya doktor yang ada di kampung mereka. Rumah Doktor Laila berada tidak jauh dari rumah mereka.
Safiya mengangguk lalu bingkas berlari ke dalam rumah untuk mencari telefon.
Pada saat itu, Zack sudah tidak mampu lagi hendak membuka matanya. Dunianya menjadi kelam. Dia berada di dalam kegelapan sedang tubuhnya masih diserang hujan lebat.
Dia kesejukan.
Ketika berada di dalam sedar dan jaga, Zack mendengar bisikan-bisikan halus yang membisik ke telinganya.
“Lawan dia..” bisik suara itu. Lalu, ia hilang begitu sahaja.







Leave a Reply