Mia terkaku. Dia kini telah kembali ke tempat asalnya setelah bertemu dengan Zack tadi. Mia seperti roh yang sudah kembali ke dalam jasadnya. Di depan Mia, ada dua sosok tubuh yang sudah tidak bernyawa lagi. Darah berlumuran merata tempat. Kaca yang tajam dalam genggamannya terlepas jatuh ke lantai. Nafas Mia turun naik seiring dengan tangisan. Air mata yang jatuh terasa panas mengalir ke pipinya.

‘Bukan aku yang bunuh!’ jerit hatinya.

“Mama.. bangun ma. Jangan tinggalkan Mia!” Mia memeluk tubuh Puan Imah. Berharap agar pelukan itu dibalas. Malangnya tiada.. Mamanya sudah tiada.

“Mama? Jangan buat Mia begini. Bangun ma..” rayu Mia lagi. Mia menyentuh tangan Puan Imah. Luka-luka yang ada di tangannya sudah tidak dihiraukan lagi. Mungkin ada serpihan-serpihan kaca kecil yang bergeser dengan daging dalam luka itu menyebabkan Mia tergetar-getar menggerakkan tangannya. Biarlah dia yang kesakitan. Dia sudah tidak kisah..

Mia menggenggam tangan Puan Imah lalu dibawakannya ke pipi. Air mata yang jatuh dibiarkan sahaja menitis pada tangan yang sejuk itu.

“Mama..” Panggil Mia lagi. Tiada jawapan. Puan Imah masih seperti tadi juga, kaku dan tidak bernyawa.

“Mama dah tak sayangkan Mia? Please ma. Bangunlah.. untuk Mia..” ujar Mia sayu. Dia menangis sepenuh hati. Merintih enggan menerima takdir yang menyakitkan itu. Mia menangis tersedu-sedu. Ketika air matanya dikesat, darah pada tangannya itu tercalit pada wajahnya. Mia membiarkan saja. Dia menangis lagi.

“Apa yang kau dah buat, Mia?” Soalnya kepada diri sendiri. “Kau bodoh, Mia. Kau bodoh!” Marahnya pula. Mia memukul dadanya sendiri. Sebak dan kesal dengan apa yang terjadi. Dia merasa bersalah. Dia juga merasa tidak berguna dan hilang harapan. Mia menangis semahunya.

Mia beralih pula kepada tubuh ayahnya yang juga tidak bernyawa lagi. Darah mengalir keluar dari perut ayahnya dengan banyak. Leher ayahnya dikerat-kerat sehingga menampakkan daging di dalamnya. Mia mendekati tubuh itu perlahan lalu memeluknya.

“Maafkan Mia.. maafkan Mia..” Mia menangis sambil berulang kali memohon maaf. Adakah ini salahnya? Dia sendiri tidak tahu.

“Jangan menangis lagi.. Mia Safwanah.” Kata satu suara kedengaran.

Mia terkejut.

Seorang wanita berpakaian lengkap seperti penari istana berdiri di sudut ruangan bilik. Mawar? Mia yakin wanita itu adalah Mawar. Sekali lagi Mia terkejut apabila mendapati wajah Mawar serupa dengan wajahnya. Selama ini Mawar selalu sahaja muncul di dalam gelap dan menganggunya. Mia tidak pernah melihat wajah sebenar Mawar. Patutlah ayah Zack menyangka dia adalah Mawar.

“Benar. Kita memang seiras Mia. Kau mewarisi segala kecantikan dariku. Kau patut berterima kasih.” Ujar Mawar dengan bangga.

“Apa yang kau nak dari aku?” Apalah ertinya kecantikan jika diselaputi dengan sifat yang hitam. Segala apa yang telah berlaku pada malam ini menyebabkan Mia merasa benci untuk berhadapan dengan orang yang bernama Mawar. Tapi orangkah dia?

Mia mengesat air mata yang tersisa di pipinya. Dia bangun dan menghadap ke arah Mawar. Mia memaksa dirinya agar tidak takut untuk berdepan dengan Mawar, musuhnya itu. Mia tidak mahu dia kelihatan lemah di hadapan Mawar. Mawar yang telah membunuh kedua orang tuanya. Mana mungkin dia lupa akan perbuatan keji Mawar terhadap keluarganya.

“Aku nak kau lunaskan dendam aku, Mia Safwanah.. sebab kau pewaris terakhir..” Mawar mengukirkan senyuman sinis.

Mia sakit hati melihat senyuman Mawar. Senang sahaja Mawar boleh tersenyum setelah membunuh mereka yang tak bersalah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu sakit hati yang Mia rasa. Lantas, Mia berpaling dari Mawar. Semakin lama, semakin tidak sanggup untuk menatap wajah seorang perbunuh itu.

“Mia Safwanah, Kau pewarisku.. kita akan sama-sama membalas dendam.. kita akan sama-sama menjadi kuat. Kau akan capai kebahagiaan hidup.. kita..”

“Jangan harap.” Belum sempat Mawar menghabiskan ayatnya, Mia sudah pun memotong. Mia benci mendengar setiap perkataan ‘kita’ dalam percakapan Mawar. Seolah-olah dia dan Mawar adalah sepakat. Sepakat untuk membunuh ayah dan mamanya demi membalas dendam Mawar? Jangan harap Mawar!

Mawar terkesima. Senyuman megahnya mati serta merta. Dia memandang Mia dengan tajam. Dengusan nafasnya kedengaran menandakan dia marah dengan respon yang diterima dari Mia.

“Kau adalah warisku! Kau adalah keturunan Mawar!” Ujar Mawar berang. Mungkin dia hendak menyedarkan Mia tentang darah yang mengalir melalui keturunan terdahulu hingga ke tubuh Mia. Ia adalah waris dari Mawar. Tetapi Mia langsung tidak mengendahkannya.

“Mia Safwanah..” Panggil Mawar. Mia diam. Malas untuk menyahut.

“Mia Safwanah!” Teriak Mawar pula. Mia masih berdiam diri. Fikirannya benar-benar bercelaru tika itu.

“Aku dah bagi kau kebebasan. Aku dah bunuh ibubapa kau. Kau nak apa lagi?!” Mawar mula meninggikan suaranya. Adakah kebebasan yang dimaksudkan adalah membunuh ibubapanya hanya untuk kesenangan Mawar membalas dendam?

Mia mendengus.

“Aku tak pernah minta kau bunuh mereka.” Nafas Mia turun naik menahan marah.

Mawar berjalan mendekati Mia perlahan. “Bukan aku yang bunuh. Kau yang bunuh sendiri.” Kata Mawar sambil mengukirkan senyuman sinisnya seperti tadi.

Mia terdiam. Apa lagi helah yang ingin dimainkan oleh Mawar? Mia tahu Mawar yang membunuh ibubapanya. Mia nampak semuanya. Mawar lah yang mengunakan tubuhnya untuk membunuh mereka. Ya. Mia nampak. Cuma dia tak dapat menghalang. Dia cuma mampu berdiri kaku melihat semuanya berlaku di hadapan matanya. Dia hanya wujud sebagai penonton sahaja. Lemahnya dia untuk menghalang..

“Kau ni memang bodoh. Sudah terang-terang kau yang bunuh. Kau tuduh aku pula.” Sinis sahaja kedengaran. Mawar sengaja menaikkan perasaan marah Mia.

“Kau pembunuh Mia Safwanah. Kau sama sepertiku..” sambungnya lagi. Mawar berjalan semakin mendekati Mia. Setiap langkahnya membuatkan Mia berdebar. Mawar membawa aura hitam bersamanya.

“Jangan dekat dengan aku..” ujar Mia. Mia masih tidak mahu melihat wajah Mawar.

“Kalau tidak?” Tanya Mawar menguji Mia.

Mia terdiam. Dia ternampak sebilah pisau yang berada di bawah meja. Pisau yang digunakan oleh mamanya ketika Mawar yang menggunakan tubuhnya itu menyerang mamanya di tangga. Mia menyentuh bahu kirinya. Sakit dan nyilu apabila terkena tiupan angin. Luka itu masih berdarah.

‘Kenapa mama tidak membunuhku sahaja waktu itu..’ bisik Mia dalam hati.

Mia mengambil pisau itu cepat-cepat. Tergetar-getar tangan kanannya menggenggam pisau tersebut. Tapak tangannya yang luka tidak dapat menggenggam pisau itu dengan erat. Mia menghadap Mawar. Mawar mentertawakannya.

“Kau nak bunuh aku, Mia Safwanah?” Soal Mawar. Hilaian ketawanya bergema.

“Tak.”

Mia memegang pisau itu dengan anak matanya menghala ke perutnya sendiri. Terbeliak mata Mawar terkejut melihat Mia. Ketawanya terhenti. Mungkin dia tidak pernah menyangka Mia akan bertindak sedemikian rupa.

“Bodoh! Kau jangan bertindak melulu.. Mia Safwanah!” Jerkahnya.

Dalam fikiran Mia yang bercelaru itu, berlapis-lapis andaian yang difikirkan jika dia menekan pisau itu ke perutnya. Dia akan mati. Kalau dia mati, dendam Mawar juga akan mati. Mawar tidak boleh sesuka hati menggunakan tubuhnya lagi. Kerana darah keturunan Mawar yang mengalir dalam tubuhnya itu sudah terhenti.

“Buat apa aku teruskan hidup lagi, orang-orang yang aku sayang telah kau bunuh?!” Teriak Mia kepada Mawar.

Andai anak mata pisau itu tertusuk masuk ke dalam perutnya. Mungkin dia juga akan menyusuli mereka. Mungkin ini juga boleh dijadikan sebagai bukti yang dia bukanlah pembunuh. Dia cuma mangsa keadaan. Tetapi siapalah yang akan mempercayainya. Mereka hanya dapat melihatnya. Tetapi mereka tidak dapat melihat Mawar yang berada di sebalik  dirinya.

“Aku masih ada dendam yang perlu dilangsaikan, Mia Safwanah!” Balas Mawar. Matanya merah merenung Mia.

Mia menoleh sekilas kepada tubuh kaku ibubapanya. Sakit hati apabila Mawar masih mahu menangkan dendamnya. Apakah Mawar ingat dia hanya hidup untuk menjadi alat pembalasan dendam? Ini sudah melampau!

“Aku dah tak tahan lagi. Aku nak mati!!” Jerit Mia sayu. Tekaknya sakit menahan tangisan. Air mata yang ditahan, mengalir juga. Air mata terakhir. Biar Mawar tahu yang dia tak akan pernah rela diperalatkan untuk membalas dendamnya. ‘Kau tengok Mawar.. aku akan mati di depan kau!’

“Mia!! Jangan!” Itu suara Wati. Mia melihat Wati muncul di pintu bilik. Begitu juga dengan Zakuan, Syawal dan Adam. Malangnya sudah terlambat, darah mengalir keluar dari luka akibat tusukan pisau itu. Pisau yang digenggam oleh Mia terlepas. Mawar sudah menghilangkan diri. Entah ke mana. Dia hilang bagaikan bayang-bayang.

Keempat-empat orang yang baru muncul tadi terkejut. Dalam kesamaran, Mia terpandang seseorang yang sedang berdiri kaku di belakang mereka. Dari riak wajahnya, dia seperti kecewa. Adakah kecewa disebabkan oleh perbuatannya itu? Orang itu mengalihkan pandangannya kemudian berlalu meninggalkan Mia tanpa menoleh lagi..

“Zack..” Panggil Mia. Dengan langkah yang terhuyung hayang Mia mengagahkan juga kakinya untuk mengejar Zack daripada pergi menjauh darinya.

Baru dua langkah, Mia dapat mendengar suara-suara kecemasan mereka sebelum dia jatuh ke lantai. Kemudian, perlahan-lahan pandangannya kelam dan akhirnya gelap.

‘Maafkan aku buat kau kecewa. Zack.. Aku buntu..’

–

Zack telah pun menceritakan semuanya tentang Mia kepada ayahnya. Dari peristiwa perigi sehinggalah yang baru terjadi tadi. Ayahnya pula masih terkejut apabila melihat wajah Mia yang serupa dengan Mawar. Mereka kembarkah? Bukankah Mawar adalah moyang kepada Mia?

Kini, Zack berbaring sendirian di bilik memikirkan kejadian tadi. Apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa Mia muncul dengan penuh luka-luka pada tangannya? Kenapa dia menangis? Begitu banyak persoalan yang terkumpul semenjak dia bertemu dengan Mia tadi. Malam semakin larut, matanya masih tidak mahu terlelap. Wajah Mia yang sedang menangis masih terbayang di fikirannya. Semua kata-kata Mia juga terngial-ngial di kotak fikirannya. Kenapa dengan kau, Mia?

Zack mengeluh apabila mengingat kembali reaksi Mia yang bungkam membisu saat dia menanyakan apa yang terjadi.

Ketika fikirannya jauh memikirkan Mia, tekaknya pula terasa haus. Zack baru teringat yang dia tidak meneguk secawan air pun sepanjang hari itu. Zack bangun dari tempat pembaringannya lalu turun menuju ke dapur.

Di dapur, dia meneguk segelas air. kemudian, meletakkan gelas yang sudah kosong itu kembali di atas meja.

“Mia..” Tanpa dia sedari dia menyebut nama itu perlahan.

“Zack..”

Zack berpaling. Wanita berkebaya merah yang dilihat pada potret di dalam bilik bacaan ayahnya itu berdiri di hadapannya. Natra senyum kepada Zack. Zack pula terkaku melihatnya.

“Kamu dah tahu siapa saya, bukan?” Tanya Natra lembut. Zack mengangguk perlahan. Natra adalah ibu kandungnya.

“Naik ke atas sekarang, Zack..” arah Natra. Zack masih lagi terkaku kebingungan. Wajah Natra direnung lama. Benarlah, wajah mereka memang ada irasnya.

“Naik ke bilik sekarang. Mia ada di sana..” jelas Natra lagi. Seakan tahu yang Zack masih bingung dengan arahan pertamanya.

“Mia?” Sebut sahaja nama Mia, Zack terus tersedar dari lamunannya. Natra mengangguk perlahan.

Tanpa berfikir panjang Zack berlari keluar dari dapur dan memanjat tangga untuk ke atas. Namun, langkahnya terhenti apabila kakinya terpijak cecair likat yang sejuk. Darah? Zack menaiki tangga yang terakhir. Keadaan lorong itu suram sahaja. Corak dindingnya juga sudah berubah. Ia bukan corak yang sama pada dinding rumahnya.

‘Aku di mana?’ Soalnya dalam hati.

Zack berjalan perlahan. Ada dua bilik di depannya kini. Kedua-dua pintu bilik itu terbuka luas. Bilik yang pertama, kelihatan sangat mengharukan. Semua barang-barang bertamuran di atas lantai. Almarinya sudah tumbang menyembah katil. Serpihan-serpihan cermin yang pecah memantulkan sedikit cahaya dari pancaran cahaya bulan yang masuk melalui jendela. Ia tidak berapa terang. Samar-samar sahaja.

Zack melangkah lagi ke depan. Bilik kedua di hujung lorong itu seakan memanggil-manggil dia untuk melihat apa yang ada di dalamnya.

Sesampai sahaja di muka pintu bilik itu, Zack terkejut melihat dua sosok tubuh yang sudah tidak bernyawa lagi. Tubuh mereka seperti dikerat-kerat. Siapa yang membunuh mereka?

Zack melangkah lagi agar dia dapat melihat keseluruhan keadaan bilik itu. Kemudian dia terlihat Mia. Mia sedang memegang pisau dengan anak mata pisau yang tajam itu menghala ke arahnya. Dekat dengan Mia pula adalah seorang wanita berpakaian lengkap seperti penari istana. Wajahnya serupa dengan Mia.

Mawar?

Tidak mungkin. Keadaan ini sama seperti mimpinya dahulu. Tetapi bukankah Natra yang sepatutnya berada di sana? Natra adalah wanita berkebaya merah. Zack memerhati dengan teliti pakaian Mawar. Barulah dia perasan, Mawar juga mengenakan baju kebaya berwarna merah. Hampir dia lupa yang ayahnya pernah memberitahu kepadanya bahawa ada dua orang wanita yang berkebaya merah. Ternyata mimpi Zack itu dulu bukan cuma mainan tidur. Tetapi sebuah kenyataan yang berlaku pada malam ini. Dan perempuan yang menikam dirinya sendiri itu adalah Mia.

Firasat ini benar. Oh tidak!

“Aku dah tak tahan lagi! Aku nak mati!” Belum sempat Zack menghalang, Mia telah pun menghunuskan pisau itu ke dalam perutnya. Zack terkedu melihat darah yang keluar dengan banyak dari luka tusukan itu.

Mia..

“Mia! Jangan!!” Tiba-tiba seorang perempuan muncul di sebelah Zack. Kemudian, tiga orang lelaki juga berlari ke arah perempuan itu. Mereka tidak mengendahkan kewujudan Zack kecuali seorang lelaki. Dia hairan melihat Zack tetapi sekejap sahaja, kemudian dia mengalihkan pandangannya. Kerana keadaan sudah semakin cemas.

Di antara lelaki itu ada seorang yang Zack kenali. Adam? Adam juga ada? Mereka semua berlari masuk mendapatkan Mia. Zack juga ingin masuk, tetapi kakinya seperti terkaku dan tidak mahu melangkah. Siapa dia di sini? Dia mungkin cuma sebagai penonton sahaja. Zack tak dapat berbuat apa-apa melebihi dari itu. Ini bukan tempatnya. Biarlah mereka yang mendapatkan Mia. Perlahan-lahan Zack meninggalkan tempat itu walaupun dia tahu Mia sedang memandang ke arahnya.

“Zack..” Panggil Mia sayu.

Zack enggan berpaling. Dia tidak sanggup melihat Mia terseksa begitu. Zack tahu Mia berusaha untuk mengejar langkahnya. Perasaan Zack menjadi sebak tiba-tiba. Dia sendiri tidak sanggup meninggalkan Mia dalam keadaan yang begitu. Tetapi dia tidak mahu Mia melihatnya hanya terdiam di sana dan tidak berbuat apa-apa.

‘Maafkan aku, Mia..’

–

“Zack, kenapa tidur dekat dapur ni?”

Zack tersedar. Dia sedang berbaring di lantai dapur. Wajah Safiya direnungnya lama. “Mia di mana?” Soalnya kepada Safiya. Berkerut dahi Safiya mencuba untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Zack.

“Mia apa?” Soal safiya pula.

Zack bangun dan terus berlari naik ke atas meninggalkan Safiya terkebil-kebil sendirian. Tetapi keadaan sudah tidak sama seperti tadi. Mia tidak ada di sana.

“Adam?” Zack tiba-tiba teringat akan Adam. Zack berlari masuk ke biliknya lalu mencapai telefon yang terampai di atas meja. Dia mendail nombor telefon Adam.

“Hello.. abang Zack?” Sambut suara di hujung talian itu.

“Eka.. Adam ada tak?”

“Dia keluar. Setengah jam yang lalu. Dia tinggalkan phone.” Jawab Eka.

Zack diam sebentar. Dia menganalisa ayat yang didengarinya tadi. Adam keluar? Ke rumah Mia? Ada logiknya juga kerana dia ternampak Adam di rumah Mia.

“Ada dia bagitahu dia pergi mana?” Tanya Zack hanya ingin memastikan jika apa yang diandai olehnya itu adalah tepat. Kerana hatinya yakin yang Adam ke rumah Mia.

“Tak ada. Lepas dia dapat call. Dia terus jalan. Abang nak Eka pesankan apa-apa untuk dia?” 

Zack diam lagi. Kemudian dia mengeluh. “Nanti suruh dia call balik. Urgent.” Pesan Zack.

 Selepas talian ditamatkan. Zack duduk diam memikirkan kejadian tadi. Dia benar-benar ingin mengetahui keadaan Mia sekarang.

“Kau bukan pembunuh, Mia. Bertahanlah. Kau seorang yang tabah.” Ucap Zack kepada angin yang berlalu. Ayat yang keluar dari bibirnya, lahir tulus dari hatinya. Zack tahu Mia sebenarnya sudah tidak dapat berfikir dengan normal lagi ketika itu kerana masalah yang dilakukan oleh Mawar telah menghempas dirinya hingga dia tidak mampu lagi bertahan. Mawar sudah melampau.

Zack menggenggam tangannya. “Kau sangat kejam, Mawar!”

Leave a Reply

I’m Nem

Nemlogue.com is a small space where I keep fragments of the world – Writing, poems, paintings, art crafts, blogs and thoughts that didn’t have time to be said aloud.

Degree in Politics and a Master in Education (Economy). But i still love poems and creative writing.

Let’s connect

Discover more from Nemlogue.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading