BAB 18

Di ruang tamu, Syawal duduk sendirian sambil membaca surat khabar. Dia meneliti berita-berita yang dipaparkan di muka hadapan surat khabar itu. Sesekali dia menggeleng apabila membaca sesetengah tajuk besar berita yang dipaparkan bukanlah berita yang boleh dikira penting. Akhbar harian kini semakin lama semakin banyak pula menceritakan tentang gosip-gosip dan cerita-cerita artis yang sepatutnya tidak perlu dipaparkan. Ia membuatkan pembaca meluat untuk membaca. Entah kenapa lah produksi surat khabar sekarang tidak bijak dalam memilih mana satu berita yang penting dan perlu dipaparkan.

“Kenapa buat muka begitu?” Haji Maud muncul lalu duduk di sofa yang bertentangan dengan Syawal. Syawal membetulkan reaksi wajahnya.

“Berita-berita yang dipaparkan kebanyakannya tak penting langsung. Semuanya gosip artis.” Komen Syawal. Dia menayangkan surat khabar di tangannya.

Haji Maud ketawa kecil mendengar komen tidak puas hati dari anaknya itu. Setahu dia, Syawal jarang sekali mengambil kisah tentang isu semasa.

“Kenapa kamu kisah sangat dengan cerita-cerita dalam akhbar tu. Selama ni tak pernah pun.” Kata Haji Maud membuatkan Syawal terkebil-kebil sendiri.

“Tak ada lah ayah. Saja tengok akhbar hari ni. Sekali sekala.” Syawal meletakkan surat khabar itu di atas meja.

“Siapa nama kawan kamu yang datang hari tu? Maya?” Soal Haji Maud.

“Maya mana pula. Mia lah, ayah.” Syawal menyandarkan badannya di belakang sofa. Cuti satu minggu ini, dia hanya mahu berehat sepenuhnya tanpa ada gangguan.

Haji Maud berdehem.

“Bagitahu dengan dia, hati-hati.. mungkin Mawar akan kembali nanti. Mia kena cari orang yang ada kaitan dengan perjanjian itu secepat yang mungkin. Sebelum perkara yang lebih buruk akan berlaku.”

Syawal membetulkan duduknya. Dia menelan air liur. Mawar?

“Siapa tu, ayah?” Syawal menyoal.

“Kamu lupa? Benda yang selalu ganggu budak Mia tu.”

Syawal diam sebentar. Dia mula teringat akan kejadian ketika ayahnya merawat Mia di rumahnya hari itu. Gangguan yang manganggu Mia itu bernama Mawar. Syawal mengangguk perlahan. “Macam mana ayah tahu Mawar akan datang semula?”

 “Dia muncul dalam mimpi ayah semalam. Mia tu dalam bahaya. Kamu kena bantu dia jumpa dengan orang yang lebih berhak.”

Syawal senyap.

“Ayah harap kamu dapat bantu dia. Sebab kamu ada kelebihan.” Kata Haji Maud seakan memujuk anaknya.

“Baiklah. Lagi pun Mia tu kawan saya juga.” Syawal akur. Dia terbayang wajah Mia. Mia seorang yang tabah. Sangat tabah..

–

Zakuan duduk sendirian di ruang tamu sambil matanya merenung skrin televisyen yang gelap. Kemudian menjeling sekilas jam di dinding. Beberapa minit lagi jam sepuluh. Tetapi kakaknya masih belum balik-balik lagi. Banyak sangatkah kerja dalam pejabat tu? Entahlah.

“Wan, bila nak masuk tidur ni?” Puan Hanani hairan melihat anaknya yang masih duduk di ruang tamu. Padahal selalunya Zakuan lah yang awal sekali masuk ke bilik.

“Awal masih. Kak Yumie tu bila nak balik, ma?” Soal Zakuan. Dia mengeluh kebosanan menunggu kepulangan kakaknya.

“Banyak kerja lah tu. Dah lah. Mama naik atas dulu.” Puan Hanani menaiki tangga naik ke atas.

Kini tinggal Zakuan seorang diri di sana. Beberapa minit kemudian, bunyi enjin kereta yang masuk ke halaman rumah kedengaran. Syawal terus melangkah ke pintu utama untuk menyambut kedatangan kakaknya. Tombol pintu dipusing dari luar. Pintu ditolak ke dalam.

“Akak!”

Yumie yang baru sahaja hendak melangkah masuk ke dalam itu terkejut apabila melihat Zakuan di muka pintu. “Ish, apa lah kau ni Wan. Nasib baik akak tak lemah jantung. Tumbuk kang baru tahu..”

“Apa lah. Err.. Wan sebenarnya ada hajat.” Ujar Zakuan.

“Dah tahu dah. Mesti nak pinjam kereta akak esok kan? Tak bolehkah guna jer motor yang papa hadiahkan dulu?” Kata Yumie. Bukan dia tidak tahu perangai Zakuan. Zakuan itu kalau hendak meminjam keretanya sanggup ditunggu akan kedatangannya.

“Wan nak pergi perpustakaan. Nak pulangkan buku. Sekejap jer. Boleh lah.” Pujuk Zakuan. Yumie mencebik. Sejak bila adiknya itu ada kesedaran hendak ke perpustakaan. Setahunya Zakuan sangat fobia dengan udara perpustakaan. Katanya trauma kerana gempa bumi yang berlaku ketika dia berada di dalam perpustakaan dahulu.

“Akak, boleh lah..”

“Bagi lah akak duduk dulu. penatlah. Tolong tutupkan pintu sekali.” Yumie melangkah ke ruang tamu lalu melabuhkan punggungnya di sofa. Zakuan mencapai tombol pintu. Belum sempat dia menutup pintu itu sepenuhnya. Dia terpandang seorang perempuan di luar rumah sedang merenung ke arahnya dengan tajam. Siapa tu?

Zakuan mengecilkan matanya. Perempuan itu semakin lama semakin mendekat. Zakuan cepat-cepat menutup dan mengunci pintu. Meremang bulu romanya. Dia mempercepatkan langkahnya menuju ke arah Yumie. Yumie hairan dengan kelakuan Zakuan.

“Wan, kenapa pucat semacam?” Soal Yumie yang perasan akan wajah pucat Zakuan. Zakuan seperti ketakutan. Menggigil tubuhnya. Peluh sejuk mengalir membasahi dahi Zakuan. Yumie terkebil-kebil melihat adiknya.

“Kenapa? Lapar?” Soal Yumie.

Zakuan menggeleng laju. Sesekali matanya meliar di sekeliling ruang tamu. Dia ketakutan setelah melihat perempuan di luar rumahnya tadi. “Akak.. akak ada tak bawa kawan balik rumah? Atau siapa-siapa?” Soalnya gagap.

“Tak ada.” Jawab Yumie sambil menggelengkan kepalanya.

Zakuan senyap. Berdebar jantungnya.

–

Tok! Tok! Tok! Tok!

Pintu bilik Wati diketuk beberapa kali. Wati terkejut. “Wati, ada nampak phone mama tak?” Soal Puan Azmah dari luar bilik.

“Atas meja kat dapur.” balas Wati sekilas.

“Okey. Dah lewat ni. Jangan tak tidur pula..” pesan Puan Azmah sebelum berlalu.

“Baik, ma.” Wati sedang leka bermain dengan telefonnya dia atas katil. Pengikut-pengikut di Twitter itu kebanyakannya membuat tweet-tweet yang lawak dan bermakna. Dia ketawa sendirian ketika membacanya. Walaupun Twitter nampak seperti membosankan. Tetapi tetap menjadi bahan rujukan ketika bosan.

Beberapa minit kemudian, Wati sudah bosan melihat telefonnya. Namun, matanya pula masih tidak mahu tidur. Dia teringat akan Mia. Kemudian dia tersenyum. Mia adalah kawan untuk dia melepaskan kebosanannya. Wati mencapai telefon bimbitnya lalu menekan nombor telefon Mia. Panggilannya tidak disambut. Wati menelefon lagi buat kali kedua. Juga panggilannya tidak disambut. Agaknya Mia sudah tidur awal darinya.

“Siapa lagi yang boleh dibawa bercerita malam-malam ni?” Keluh Wati. Telefon bimbit diletakkan di sisinya. Kemudian, dia terpandang novel cinta di atas meja kecil di sebelah katilnya.

Wati mencapai novel itu. Tetapi entah bagaimana novel itu terjatuh pula ke lantai. Wati terdiam sesaat. Dia ragu-ragu untuk mengambil novel itu semula. Selalunya dalam filem seram, kalau mengutip sesuatu yang jatuh ke lantai, yakin dan pasti sekali akan ternampak benda-benda yang menakutkan. Contohnya benda yang selalu merayap di bawah katil atau benda yang merangkak atau benda yang mengesot.

“Stop, Wati. jangan fikir macam-macam.” Memikirkan situasi seperti itu, membuatkan bulu romanya meremang. Wati cepat-cepat menepis fikirannya jauh-jauh. Novel yang jatuh tadi dibiarkan sahaja.

Tiba-tiba, lampu biliknya terpadam. Hampir dia menjerit terkejut. Namun dia pantas mengambil lampu suluh dari dalam laci meja sebelah katilnya itu. Wati menyuluh setiap sudut biliknya. Tiada apa-apa yang menakutkan.

“Wati..” Sayup-sayup kedengaran suara yang memanggil namanya. Wati terdiam. Dia menelan liur. Siapa yang memanggil namanya itu? Atau dia silap dengar?

Beberapa saat kemudian. Pintu bilik Wati diketuk. Tetapi bunyi ketukan kedengaran agak perlahan. Seakan pengetuknya itu sudah tidak bermaya.

“Mama..” Panggil Wati perlahan.

Ketukan pada pintu itu berhenti. Wati memeluk bantal peluknya erat-erat. Belum sempat dia menenangkan dirinya, pintu balkoni pula yang diketuk. Lolongan anjing seperti perempuan yang menangis bersahut-sahutan di luar rumah. Apabila langsir balkoni tersingkap sedikit, Wati ternampak sepasang kaki pucat yang sedang berdiri di luar. Rambut mengerbang ditiup angin kelihatan di tepi langsir itu. Tetapi sekejap sahaja. Kemudian ia menghilang. Jantung Wati bagai hendak terhenti di saat itu. Dia ketakutan.

Deringan telefonnya memecah kesunyian malam. Wati terkejut. Nombor yang tidak ada nama pemanggilnya tertera pada skrin telefon. Siapa pula yang menelefon tengah-tengah malam begini. Wati teragak-agak hendak menyambutnya. Takut si pemanggil itu adalah makluk yang mengerikan. Entah-entah perempuan di luar balkoni itu tadi yang menelefonnya meminta untuk dibuka pintu. Oh tidak! Wati membiarkan sahaja telefon itu sehingga deringannya tamat. Beberapa saat kemudian, telefonnya berdering lagi. Ada panggilan yang masuk. Dia memandang skrin yang bercahaya itu.

“Syawal?” Cepat-cepat Wati menyambut panggilan tersebut.

“Syawal!” Teriaknya kegembiraan. Tapi dalam nada berbisik. Dia sedar sekarang bukan masa yang tepat untuk bergembira. Wati tidak menyangka Syawal akan menelefonnya. Tahu-tahu sahaja Syawal yang dia berada di dalam keadaan yang tidak tenang. Mungkin Syawal menelefonnya untuk menanyakan kabarnya.

“Kau okey tak ni?” Soal Syawal di hujung talian. Wati sempat ternganga. Nampaknya tekaannya itu tepat.Wati tersenyum bahagia. Syawal berjaya mengurangkan ketakutannya tadi. Mendengar suara Syawal sahaja dia seakan lupa apa yang dia berada di dalam kegelapan dan hanya bertemankan lampu suluh.

“Wati, bagitahu aku cepat. Kau okey tak ni?” Soal Syawal lagi. Wati tersentak.

“Okey. Maksud aku, tak. Err.. aku dalam gelap ni.”

“Tahu..”

“Kau tahu?” Wati menyuluh sekeliling biliknya. Mustahil Syawal berada bersama dengannya sekarang. Mungkin Syawal bergurau atau sengaja mahu menyedapkan hatinya.

“Aku dekat depan rumah kau ni. Kereta Proton Persona. Cepatlah turun.” Sekali lagi Wati terkejut. Syawal di depan rumahnya? Buat apa? Entah-entah yang menelefonnya itu bukanlah Syawal yang sebenar. Mungkin ada hantu yang menyamar sebagai Syawal. Mana mungkin Syawal muncul tiba-tiba, malam-malam pula tu.

“Kau ni siapa sebenarnya?” Soal Wati. Dia ragu-ragu akan Syawal.

“Apa yang kau merepek ni? Turun cepat. Kita tak ada masa untuk suai kenal sekarang. Ada jodoh nanti kita berceritalah.”

Wati terkesima. Jodoh? Unik sungguh perkataan itu.

“Macam mana aku nak percaya kau. Entah-entah kau ni menyamar saja.” Duga Wati. Takut kena culik.

“Cepatlah turun, mak lampir! Kau ni menyusahkan betul. Kami tak ada masa nak main teka-teki sekarang. cepat!” Wati menjauhkan telefon dari telinganya. Boleh pekak telinganya mendengar bebelan Zakuan.

“Zakuan?” Wati menyebut nama musuh ketatnya itu. Sesaat kemudian, dahinya berkerut memikirkan sesuatu. Syawal dan Zakuan berada di depan rumahnya? Wati menyubit lengannya. Dia kesakitan. “Ini bukan mimpi.” Bisik Wati perlahan.

“Wati?” Panggil Syawal melalui telefon yang masih dipegang oleh Wati.

“Okey. Bagi Aku signal.” Ujar Wati. Dia sudah yakin.

Pon! Pon! Pon!

Tiga kali bunyi hon kereta kedengaraan. “Kereta warna hitam ya.” Pesan Syawal.

“Okey. Arahan diterima.” Wati menamatkan panggilan telefon. Dia bingkas turun dari katilnya lalu menarik beg sandangnya yang berada di atas meja belajar.

Kemudian, Wati memasukkan dompet dan barang-barang yang penting di dalam begnya. Kunci rumah yang bersangkutan di belakang pintu bilik dicapai. Dengan bantuan cahaya dari lampu suluhnya, dia bergerak keluar dari bilik dengan penuh berhati-hati. Wati menuruni tangga dan menuju ke pintu utama. Dia keluar dengan selamat. Pintu rumah dan pagar depan dikunci sebelum meninggalkan rumahnya lalu dia berlari menuju ke kereta Proton Persona berwarna hitam yang berada tidak jauh dari rumahnya. Cepat-capat dia masuk ke dalam perut kereta itu.

Syawal dan Zakuan memandangnya dari atas ke bawah.

“Apa?” Soal Wati.

“Aku tak sangka mak lampir pakai baju pyjamas corak kanggaru. Kalau kau pegang penyapu sihir tu, Sesuai sangat.” Zakuan menayangkan ibu jarinya tanda bagus dengan muka mengejek. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak.

Wati mendengus. Dia lupa untuk menukar bajunya itu tadi kerana tergesa-gesa hendak keluar dari rumah. Memang wajarlah dia ditertawakan oleh Zakuan.

“Dah. Kita kena pergi ke rumah Mia.” Kata Syawal yang duduk di tempat duduk pemandu. Dia beralih memandang ke hadapan. Stering kereta digenggam perlahan.

“Nak buat apa?” Soal Wati. Dia tidak faham apa sebenarnya rancangan Syawal dan Zakuan mengambil dia dari rumah dan menuju pula ke rumah Mia. Apa motif mereka?

“Dia mungkin dalam bahaya.” Balas Syawal. Zakuan mengangguk.

“Lepas tu nak pergi mana pula?” Soal Wati lagi.

“Pergi rumah aku. Kita selamat di sana.” Jawab Syawal. Dia tahu apa yang perlu dia lakukan. Wati terdiam seketika. Mendengar sahaja jawapan Syawal dia teringat kejadian di biliknya tadi. Selamat dari diganggu oleh yang mengetuk pintu biliknya tadi kah maksud Syawal?

“Tapi mama aku macam mana? Ini kes lari rumah.” Wati teringatkan mamanya. Dia belum meminta izin untuk keluar.

“Jangan risau. Aku dah telefon mama kau awal-awal lagi. Dia cakap boleh sebab dia mungkin akan balik esok lusa. Outstation mungkin.” Jawab Syawal selamba.

Wati terkejut. “Tapi mama aku ada kat rumah. Dia tak pergi mana-mana pun hari ni.” Syawal dan Zakuan berpandangan serentak mereka menoleh ke arah Wati.

“Itu bukan dia. Aku dengar sendiri Syawal telefon mama kau tadi. Yang dalam rumah bersama kau itu bukan mama kau.” Ujar Zakuan menyokong Syawal. Dia menjadi saksi melihat Syawal menelefon Puan Azmah di hadapannya sendiri.

“Kita semua ni kena ganggu.” Kata Syawal perlahan.

Wati menelan liur. Bulu romanya meremang lagi. Dia menoleh ke rumahnya. Keadaan rumahnya gelap seperti tiada sesiapa yang berada di dalamnya. Wati berdebar ketakutan apabila menyedari dia hanya berseorangan sepanjang hari ditemani oleh hantu yang menyamar sebagai mamanya. Patutlah ketika dia turun untuk makan malam, makanan tidak disediakan dan meja makan kosong sahaja. Sangkanya mamanya sedang sibuk membuat kerja pejabat yang dibawa balik ke rumah.

“Aduhai, mak lampir. Buat apa kau nak takut. Semua hantu dalam dunia ni kan suku-sakat kau. Aku tadi pun kena kacau juga. Tapi aku tak lah jadi gila terus macam kau. Kau tengok aku ni, masih kacak. Kan Syawal?”

Syawal mencebik. Padahal Zakuanlah yang bersungguh-sungguh memintanya untuk datang rumah kerana Zakuan sudah separuh mati ketakutan. “Rasanya aku masih ingat lagi macam mana kau merayu dengan aku suruh datang rumah sebab kau terserempak pontianak dekat tangga.” Syawal ketawa kecil. Wati juga ikut ketawa.

“Berlagak betul lah kau ni.” Ujar Wati kepada Zakuan. Zakuan mendengus. Rahsianya dibongkar oleh Syawal.

“Eleh, kau lagi berlagak. Bila aku telefon. kau tak sambut. Tapi bila anak ustaz yang telefon, bukan main cepat lagi kau angkat ya.” Sindir Zakuan kepada Wati. Wati tersengih, Rupanya pemanggil nombor tanpa nama itu adalah Zakuan. Wati baru teringat yang dia tidak pernah menyimpan nombor telefon Zakuan dalam telefonnya.

“Nasib baik aku tak jawab.” Monolog Wati sendiri.

“Baiklah. Kita jalan.” Syawal tidak menunggu lama. Dia memandu keretanya menuju ke rumah Mia. Rumah Mia berada jauh dari rumah mereka bertiga. Maka, ia mengambil masa yang lama untuk sampai di rumah Mia.

Dalam perjalanan, Zakuan dan Wati sahaja yang rancak bercakap. Seperti biasa setiap topik yang mereka bincangkan itu cenderung ke arah pertelingkaan di antara mereka. Kemudian, mereka mula berbahas dan masing-masing enggan mengaku kalah. Syawal yang berada di dalam kereta itu sesekali menyampuk berusaha menyuruh mereka untuk senyap kerana dia perlu fokus dalam pemanduannya.

Leave a Reply

I’m Nem

Nemlogue.com is a small space where I keep fragments of the world – Writing, poems, paintings, art crafts, blogs and thoughts that didn’t have time to be said aloud.

Degree in Politics and a Master in Education (Economy). But i still love poems and creative writing.

Let’s connect

Discover more from Nemlogue.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading