BAB 17
Keesokan harinya, Adam duduk di sudut restoran jauh dari pelanggan-pelanggan yang datang. Dia melihat jam pada skrin telefonnya. Jam menunjukkan pukul 12:32 tengah hari. Ramai pelanggan yang masuk ke dalam restoran tersebut untuk makan tengah hari dan berehat sebentar dari tekanan berkerja.
“Dah lama tunggu, Adam?”
Encik Farid muncul dengan senyuman di wajahnya. Dia senang hati apabila Adam sanggup datang ke restoran yang bersebelahan sahaja dengan syarikatnya.
“Tak lama. Pakcik nak minum apa? Saya belanja.” Ujar Adam mesra.
“Tak apa. Hari ini biar pakcik yang belanja untuk berterima kasih sebab kamu hantar anak pakcik balik ke rumah hari tu.” Encik Farid sudah cukup terhutang budi kepada Adam kerana menghantar Mia balik ke rumah dan menceritakan apa yang terjadi kepada Mia.
Adam mengangguk. Encik Farid bersungguh-sungguh untuk membelanjanya hari ini. Encik Farid memanggil pelayan dan memesan air dan makanan untuk dia dan Adam. Selepas membuat pesanan, pelayan itu pun beredar.
“Sekali lagi pakcik ucapkan terima kasih sebab kamu dah tolong anak pakcik, dan minta maaf lah sebab menyusahkan.” Ucap Encik Farid ikhlas dari hati seorang ayah.
“Tak menyusahkan pun, pakcik. Kawan-kawan dia pun ada tolong juga.” Ujar Adam dengan sopan dan berbudi bahasa. Dia tidak mahu Encik Farid merasa terhutang budi kepadanya. Dia menolong dengan ikhlas.
Encik Farid tersenyum. “Muka kamu mengingatkan pakcik dengan seorang kawan baik pakcik dahulu. Rakan kongsi dalam perniagaan.” Encik Farid senyap sesaat sebelum menyambung kembali bicaranya.“Nama dia Daniel. Dia iras-iras kamu masa muda dahulu.”
Adam tersentak. “Daniel?” Soalnya.
Encik Farid mengangguk perlahan.
“Daniel nama ayah saya.”
Encik Farid merenung Adam lama-lama. Dia menganalisa ayat yang baru keluar dari mulut Adam. “Nama ibu kamu siapa?” Soal Encik Farid.
“Maria.”
Encik Farid tersenyum lagi. “Kecil sahaja dunia ini, bukan? Rupanya kamu anak kawan baik pakcik tu. Pakcik tak sangka dapat berjumpa dengan kamu. Wajah kamu sama sekali dengan wajah ayah kamu.” Encik Farid merasa gembira. Patutlah sebelum ini, ketika Adam muncul di muka pintu rumahnya untuk mengantar Mia, dia seakan melihat wajah kawan baiknya itu pada wajah Adam. Sebab itu juga, dia teringin mengetahui latar belakang Adam.
Adam juga turut merasa gembira bertemu dengan Encik Farid. Kawan baik arwah ayahnya itu seorang yang baik dan peramah. Mereka kemudian bercerita tentang ayahnya. Encik Farid membuka kisah silamnya dahulu. Adam berbesar hati mendengarnya kerana ia adalah tentang arwah ayahnya sendiri.
“Makanan, encik.” Seorang pelayan datang dan menghidang makanan dan air yang dipesan tadi. Encik Farid membayar pesanan mereka lalu pelayan itu beredar. Ketika mereka sedang menikmati makanan, Adam teringat tentang anak Encik Farid. Dia masih tidak mengetahui namanya.
“Err.. anak pakcik tu, siapa namanya?” Soal Adam ragu-ragu. Encik Farid ketawa kecil.
“Mia. Mia Safwanah. Pakcik ingat kamu dah kenal.”
“Saya memang kenal. Tapi nama dia, saya tak berapa ingat. Ramai sangat pelajar.” Ujar Adam membela dirinya. Padahal sebenarnya dia memang tidak pernah mengetahui nama Mia. Salahnya juga kerana tidak bertanya dari awal dahulu. Sebagai pensyarah sepatutnya dia mengenali nama pelajarnya itu. Apatah lagi di dalam kelas yang diajarnya itu hanya mempunyai bilangan pelajar yang sedikit sahaja berbanding dengan kelas-kelas yang lain. Tetapi, mungkin dia terlalu sibuk dan tidak kisah dengan apa yang terjadi. Maka, dia tidak sempat bertanya.
“Boleh saya tanya, pakcik?” ujar Adam meminta izin untuk bertanya sesuatu kepada Encik Farid.
“Tanya saja.”
Adam diam seketika. Dia mengambil masa yang sesuai untuk menanyakan soalan yang berada di mindanya. Adam menarik nafas panjang lalu menghembuskannya perlahan. “Err.. ada apa dengan Mia?” Soal Adam akhirnya.
Encik Farid tidak jadi hendak menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Dia meletakkan sudu dan garfu di tepi pinggannya. Wajah Adam dipandang. Kemudian, Encik Farid mengeluh. “Mia ada gangguan.” Ujar Encik Farid perlahan.
Adam diam. Dia sudah sedia maklum tentang perkara itu. Cuma dia perlukan penjelasan yang kukuh dari ayah Mia sendiri. “Gangguan Mawar?” Tanya Adam kepada Encik Farid.
“Macam mana kamu tahu?”
“Masa kejadian hari tu, saya ada cerita dengan pakcik yang kami hantar Mia berubat dengan Haji Maud, ayah salah seorang dari kawan Mia. Masa itu, Mia dirasuk oleh Mawar dan..” Adam menelan liurnya. Teragak-agak dia hendak menyambung katanya. “Dan dia ancam hendak bunuh saya. Haji Maud ada beritahu, mungkin wajah saya mirip dengan orang yang didendami oleh Mawar. Jadi, saya teringin untuk tahu sedikit tentang gangguan yang ada pada Mia.” Sambung Adam. Encik Farid terkejut.
“Jadi, benarlah. Dia dah datang. Dendamnya tak akan pernah mati.” Kata Encik Farid. Wajahnya kelihatan sangat resah. Risau akan dendam Mawar yang akan membinasakan kehidupan Mia. Dia teringat akan istrinya yang pernah memberitahu dia tentang kelibat perempuan berkebaya yang berdiri di balkoni Mia.
Adam diam. Menunggu kata susulan dari Encik Farid.
“Mawar pernah menganggu nenek pakcik dulu. Mawar adalah moyang yang terdahulu dalam keturunan kami. Dendamnya berserta dengan sihir yang kuat. Kamu harus hati-hati jika Mawar sudah mengancam untuk bunuh kamu. Sebenarnya dendam Mawar yang lebih besar adalah kepada keturunan yang telah membuat dia merana. Pakcik risau dengan Mia. Tentu jiwanya tidak tenteram dengan gangguan Mawar.” Encik Farid menggenggam-genggam jari-jarinya. Kerisauan jelas kelihatan pada riak wajahnya.
Adam faham perasaan risau seorang ayah terhadap anaknya. Mendengar penjelasan dari Encik Farid, tidak dinafikan Mawar adalah makluk yang hebat dalam berdendam. “Mia tidak pergi berubat?” Soal Adam. Bukan niat dia untuk menjaga tepi kain orang. Dia hanya mengambil berat. Tambahan pula, isu ini berkait sedikit dengannya.
“Pakcik dan istri pakcik memang hendak menghantar Mia ke suatu kampung untuk berubat. Masa cuti nanti kami akan hantar Mia. Sebelum itu, pakcik nak minta tolong kamu.” Kata Encik Farid memohon pertolongan dari Adam.
“Tolong apa?”
“Tolong jaga Mia di sana.”
Adam mengangguk. “Saya akan jaga dia, pakcik jangan risau. Nanti kalau ada apa-apa saya akan telefon pakcik.” Adam dapat merasa kerisauan Encik Farid terhadap Mia.
–
Suasana petang yang hening menjadikan kawasan rumah Zack malap dari keceriaan. Sunyi dan terasing. Hanya ada bunyi haiwan-haiwan peliharaan sahaja yang menceriakan keadaan luar rumah. Zack pula malas hendak meninjau keliling kampung melainkan Ana yang mengajaknya. Memang beginilah suasananya selalu. Ini menyebabkan semakin menebal keinginannya untuk pulang ke bandar.
Zack menuju ke bilik bacaan ayahnya. Dia ingin mencari bahan bacaan untuk mengisi masa lapang. Apabila kakinya memasuki bilik bacaan tersebut, dia terus menuju ke rak yang paling belakang sekali. Rak itu bersebelahan dengan jendela. Di sana jelas ternampak tajuk-tajuk buku kerana cahaya dari luar masuk menerangi sebahagian rak yang terdedah. Zack menyentuh buku-buku lama yang masih tersusun rapi.
“Berhabuk.” Komen Zack tanpa mengeluh sedikit pun. Buku-buku itu sudah lama tersusun di tempatnya. Ia tidak terusik oleh sesiapa. Memanglah berhabuk.
“Baiklah. Mana satu yang kau nak baca, Zack?” Soalnya kepada diri sendiri.
Zack mendongak ke atas, di ternampak sebuah buku yang diletakkan di atas rak seakan sengaja dibiarkan terampai di situ. Buku itu nipis sahaja namun ia menarik perhatian Zack. Zack mencapai buku tersebut. Apabila ditarik, hujung buku itu seperti tersekat di hujung rak. Ia tersepit di antara rak dan dinding. Zack cuba menariknya dengan kuat. Malangnya, dia sendiri yang terjatuh. Manakala, rak buku itu pula tumbang dan semua buku-buku yang tersusun pada rak tersebut jatuh bertaburan. Mujurlah, Zack sempat mengelak. Hampir sahaja rak itu tumbang tepat-tepat di atasnya tadi.
Zack hairan. Hujung buku yang ditarik tadi bukannya tersepit di antara rak buku dan dinding seperti yang disangka olehnya. Tetapi hujung buku tersebut malah melekat pada dinding di belakang rak yang tumbang tadi dan ia masih melekat dan terjuntai di atas. Zack curiga. Dia dapat merasakan ada sesuatu di sebalik dinding itu.
Zack mencapai buku tersebut. Ia tidaklah tinggi mana, kerana Zack hanya perlu mejengketkan kakinya sahaja. Zack menarik buku itu dengan sekuat tenaga. Ketika buku itu ditarik, dinding di hadapannya perlahan-lahan merekah. Zack terkejut. Sebuah potret besar seorang wanita berkebaya merah yang sedang tersenyum ayu terpapar pada dinding tersebut. Gerakan Zack mati di sana. Zack terpegun melihat mata wanita itu yang mempersonakan. Ia berwarna biru sama sepertinya. Wajah wanita itu tidak ada ciri-ciri melayu langsung. Tetapi sumpah, senyumannya itu sangat menenangkan jiwa.
Melihat setiap inci potret tersebut membuatkan debaran jantung Zack bergerak laju. Dia tidak tahu mengapa. Perasaannya bercampur aduk. Zack menyentuh potret itu lembut. Bergetar tangannya. Tidak pernah dia merasa seperti ini. Entah apa yang sedang difikirkan olehnya sekarang. Dia sendiri di dalam dilema.
“Zack..”
Zack tersentak. Safiya muncul dari belakang Zack. Dia mahu menarik Zack keluar dari bilik bacaan itu. Namun, Zack malah menepis tangan Safiya. Dia berdiri di hadapan potret itu dengan matanya yang enggan berganjak dari merenung potret tersebut.
“Siapa dalam potret ini?” Soal Zack. Safiya tidak keruan mendengar soalan Zack itu.
“Ayah kamu akan marah nanti. Keluarlah.. biar mama yang kemaskan bilik ni.” Ujar Safiya risau.
Zack merenung wajah mamanya. “Siapa dia?” Soal Zack lagi sambil menunjuk potret di hadapannya.
“Ibu kandung kamu..”
Mereka menoleh serentak. Azlan muncul di muka pintu dengan wajah yang tenang. Sudah tiba masanya Zack mengetahui segalanya. Kisah dahulu itu sudah tidak boleh dibiarkan menjadi sebuah rahsia lagi kerana selepas ini, Zack sendiri yang akan mengahadapinya.
Zack terdiam. Dia merenung kembali potret yang besar itu. Ya. Memang benar wanita dalam potret yang besar itu adalah ibu kandungnya, wajah mereka hampir serupa. Malahan, Zack memiliki mata yang sama dengan wanita itu. Tetapi, terlalu banyak persoalan yang bermain di dalam fikirannya.
Sehari selepas pertemuan Adam dengan Encik Farid, kuliah berlangsung seperti biasa. Pagi itu, Adam masuk ke dalam dewan kuliah dengan penuh berkarisma. Seperti biasa, dia disambut dengan tepukan yang gemuruh oleh pelajar-pelajarnya.
Adam tidak lupa mengucapkan terima kasih. Kertas senarai kehadiran pelajar dipasingkan kepada pelajar yang duduk paling depan sekali. “Jangan ada yang bantu kawan yang tak hadir untuk tandatangan pada kertas ni.” Pesan Adam kepada mereka sebelum dia bergerak ke meja khas untuk pensyarah dan meletakkan buku-bukunya di atas meja.
Kemudian, dia memerhati barisan-barisan pelajar di hadapannya. Wajah pertama yang ingin dicarinya adalah Mia namun matanya menangkap pula wajah Zakuan yang sedang memusingkan badannya ke belakang lalu bercerita dengan konco-konconya yang duduk di belakang tempat duduknya. Mereka duduk di bahagian paling belakang sekali dan membuat bising seakan tidak menghiraukan kehadiran Adam di hadapan. Adam menggelengkan kepalanya. Dia mengambil mikrofon dan menghidupkan suis pada batang mikrofon itu.
Adam berdehem “Testing mic. One two three.”
Semua pelajar terdiam dan menumpukan perhatian kepadanya. Kecuali Zakuan. Zakuan masih lagi seronok bercerita dengan konco-konconya. Sedangkan pada ketika itu, semua konco-konconya memberi isyarat mata kepada Zakuan supaya berhenti bercakap kerana Adam sedang memandang tajam ke arah mereka. Kelihatan hanya Zakuan seorang sahaja lagi yang masih berada di dalam dunianya sendiri.
“Zakuan.” Adam memanggil nama Zakuan dari depan.
Zakuan terkejut. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya menghadap ke hadapan semula. Matanya besar merenung Adam di hadapan seolah-olah baru menyedari kehadiran Adam di situ. Dia mengangkat sebelah tangannya perlahan sambil mengukirkan senyuman di bibir. “Hai, sir.” Ucapnya penuh kesopanan.
Tiba-tiba pintu dewan kuliah ditolak dari luar. “Let it go.. let it go..” Wati muncul duluan sambil menyanyi lagu tema animasi Frozen tanyangan Disney Channel sebelum Mia juga melangkah masuk ke dalam. Wati terdiam malu di saat semua mata di dalam dewan kuliah tersebut memandang ke arahnya. Zakuan yang duduk di belakang menahan gelak melihat reaksi wajah Wati. Manakala Mia pula seperti orang yang tidak bersalah memandang keadaan sekeliling dengan pandangan kosongnya.
Mia dan Wati berhenti di hadapan pintu apabila melihat Adam yang sedang merenung tajam ke arah mereka.
“Kenapa lambat?”
Soalan yang diajukan kepada mereka membuat mereka berdua berpandangan sesama sendiri. “Bangun lambat, sir.” Jawab Wati jujur mewakili dia dan Mia. Pelajar-pelajar yang lain ketawa mendengar alasan Wati. Tetapi Wati tidak kisah kerana dia telah memulakan harinya dengan kejujuran, yakni antara sifat yang terpuji.
“Baiklah. Pergi duduk.” Tanpa membuang masa, Adam melepaskan Wati dan Mia. Mereka mengucapkan terima kasih dan naik ke atas. Mereka mengambil tempat duduk yang selalu menjadi tempat pilihan mereka. Ia berdekatan dengan Zakuan di bahagian belakang. Meskipun banyak lagi tempat kosong di hadapan tetapi mereka lebih selesa duduk di sana. Adam membiarkan sahaja.
“Sebelum kita memulakan topik pembelajaran kita pada hari ini, saya nak beritahu kamu semua satu berita gembira.” Ucap Adam. Satu dewan kuliah bersorak kegembiraan menduga berita gembira yang akan disampaikan kepada mereka.
Belum sempat Adam mengumumkan berita gembira itu, pintu belakang dewan kuliah ditolak dari luar. Semua pelajar menoleh ke belakang melihat siapakah gerangan yang sangat berani masuk ke dalam melalui pintu belakang semasa kuliah sedang berlangsung.
Syawal muncul di muka pintu. Pelajar-pelajar perempuan bersorak seperti terkena histeria sebaik sahaja melihat wajah Syawal. Syawal perasan akan Adam yang sedang memerhatinya dari depan lalu dia menundukkan kepalanya sedikit sebagai tanda hormatnya kepada pensyarah itu. Tambahan pula, memang tidak wajar seorang pelajar masuk ke dalam dewan kuliah melalui pintu belakang. Tanpa menunggu lama, Syawal terus menerpa ke tempat duduknya. Jauh dari Zakuan dan konco-konco yang lain seperti ada jurang di antara mereka.
“Baiklah-baiklah. Dengar sini pelajar-pelajar sekalian.” Adam menarik kembali perhatian seluruh dewan kuliah tersebut kepadanya. “Memandangkan hari ini adalah hari terakhir korang sebelum balik ke kampung, saya akan umumkan berita gembira..”
“Kita akan buat perkhemahan ke, sir?” Soal seorang pelajar perempuan yang duduk paling depan. Kemudian, pelajar-pelajar yang lain mula menyokong idea spontan itu. Manakala, yang lain pula menolaknya.
Adam menggeleng. “Tak. Ini bukan mengenai perkhemahan. Ini mengenai markah ujian korang.” Ujar Adam. Sejerus selepas dia menyebut tentang markah ujian, semua pelajarnya kembali diam. Adam tahu di hati mereka ada debaran.
“Dalam kelas ni, semuanya lulus. Jangan risau.” Adam mendengar keluhan lega dari mereka. Dia tersenyum. “Dan berita gembiranya, kelas kamu adalah kelas yang paling ramai mendapat gred A dalam mata pelajaran ini. Hampir semua.” Umum Adam lagi.
Sorakan kegembiraan berserta tepuk tangan kedengaran meriah sekali. Ia adalah cara untuk mereka mengucapkan tahniah kepada diri sendiri atas usaha masing-masing. Adam tumpang merasa kegembiraan itu. Selaku pensyarah yang mengajar mereka, dia merasa bangga sekali setiap kali pelajar-pelajarnya berjaya dengan lulus pada mata pelajaran yang diajar.
Adam mengalihkan pandangannya kepada Mia. Adam hairan. Di saat semua pelajarnya sedang bergembira, Mia pula sedang termenung jauh mengenangkan sesuatu. Adam melihat wajah Mia penuh dengan keresahan. Mia meletakkan kepalanya di meja sambil kedua tangannya dijadikan bantal. Adam hanya membiarkan sahaja. Entah apa yang difikirkan oleh Mia agaknya..
–
Kini, Zack telah pun mengetahui semua sejarah yang terkubur sekian lama dari mamanya. Mamanya lah yang menjadi saksi atas segala yang terjadi terhadap Natra, ibu kandungnya. Zack seakan tidak percaya dengan apa yang didengari oleh telinganya sendiri. Patutlah ayahnya enggan memberitahu siapa wanita berkebaya merah selain daripada Mawar.
Zack merenung wajah Safiya yang berada di hadapannya sekarang. Segala yang berlaku hari ini, ia tidak akan mengubah apa-apa. Kerana dari dahulu lagi dia mengesyaki perkara itu ketika dia melihat tidak ada persamaan pada wajah dia dan Safiya. Tetapi pada ketika itu, dia membuang sahaja tangapannya setiap kali dia terfikir mengenai perkara tersebut. Tidak perlulah mencari persamaan atau perbezaan di antara mereka. Kasih sayang yang diberikan oleh mamanya itu sudah cukup bernilai baginya.
Safiya memandang Zack dengan lembut. Tenang sahaja wajahnya. “Selepas kematian Syima, Natra menghilangkan diri. Di saat semua orang tidak tahu yang dia sedang mengandungkan kamu dua bulan lebih. Tiada siapa yang tahu kecuali mama.”
“Macam mana mama boleh tahu?” Soal Zack.
Safiya hanya tersenyum memandang Zack. Kemudian dia meneruskan kata-katanya.
“Sebelum kejadian tu, Natra singgah ke rumah mama. Dia menanyakan herba-herba yang baik untuk ibu mengandung. Sebab dia mengalami alahan yang teruk. Dia ada cakap, dia tak boleh terhidu bau badan ayah kamu. Kami bercerita banyak masa tu.”
Zack mengangguk percaya. Safiya memang seorang yang pakar herba dan ubat-ubatan tradisional. Semasa kakinya tercedera dahulu, mamanya lah yang merawatnya menggunakan ubat-ubatan tradisional selepas ubat yang diberikan oleh Doktor Laila itu sudah tinggal sedikit.
“Masa tu, ayah tak tahu?”
“Dia tak sempat tahu. Semua orang kampung cakap Natra yang membunuh Syima dan membawa diri dengan lelaki lain sampaikan ayah kamu sendiri percaya bulat-bulat. Padahal itu semua karut. Natra seorang yang baik. Selepas beberapa bulan, mama dan ayah dijodohkan. Beberapa minggu kemudian, mama terserempak dengan Natra di dalam hutan ketika mencari herba. Dia bagi kamu kepada mama. Masa tu kamu masih bayi lagi..dan..” mata Safiya mula berkaca. Zack senyap.
“Mama..” Panggilnya sayu. Safiya tersenyum lagi. Tetapi kali ini senyumannya tidak seperti tadi.
“Natra hilang sebelum ayah kamu sampai ke tempat itu. Pada mulanya ayah kamu tidak percaya. Tetapi semakin kamu membesar, wajah kamu semakin mirip dengan Natra.” Sambung Safiya. Ya. Memang itulah kenyataannya.
Safiya menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata-katanya.
“Mama lega akhirnya sebab kamu dah tahu semua kisah yang sepatutnya kamu tahu dari awal lagi..” ucap Safiya perlahan. Dia membelai rambut Zack dengan lembut.
Zack diam.
“Terima kasih, ma.” Ucapnya.
“Zack ada nampak kunci-kunci bilik tetamu? Mama sangkut dekat dinding ruang tamu minggu lalu. Tapi sekarang dah tak ada.” Safiya mengubah topik perbualan. Sambil-sambil itu dia memandang ke arah lain. Mana mungkin dia mahu kelihatan sedih di hadapan Zack. Sejujurnya dia memang sedang mencari kunci-kunci bilik tetamu. Dia mahu membersihkan bilik yang tidak berpenghuni itu. Siapa lagi yang hendak diharapkan selain daripada dia sendiri.
Zack tersenyum. Dia mengeluarkan kunci-kunci yang disatukan dengan pemegang kunci yang bulat dari dalam poket seluarnya. Zack sudah agak yang mamanya akan mencari kunci-kunci tersebut. “Mulai hari ni Zack akan pegang semua kunci-kunci bilik dalam rumah. Sebab mama selalu tak ingat di mana mama letakkan kunci ni. Kunci ni semua pun Zack jumpa atas lantai tau.” Zack menayangkan senyuman bangganya.
“Yela-yela. Nanti lepas mama kemaskan bilik-bilik tetamu tu semua. Mama bagi Zack kunci-kunci ni ya.” Safiya memenangkan sahaja apa yang dibicarakan oleh Zack. Dia mengambil kunci-kunci tersebut dari tangan Zack.
“Sebelum mama mulakan tugasan hari ni, Mama nak bagi angsa-angsa tu makan. Nanti merajuk pula dorang..” di hujung ayatnya dia ketawa sedikit. Zack juga ketawa walaupun dia boleh nampak mamanya cuba berpaling agar air matanya tidak jatuh di hadapan dia. Air mata gembira atau pun sedih? Zack tak tahu untuk menilainya.
“Mama sayang angsa-angsa tu lebih dari Zack?” Soal Zack bergurau. Dia mahu mamanya tersenyum seperti selalu.
“Kalau Zack jadi angsa pun mama sayang juga..”
Zack tersengih. Safiya meninggalkannya terkebil-kebil sendirian.
Hinggalah bayang Safiya hilang, Zack melepaskan keluhannya. Rahsia kisah lalu yang dirahsiakan kepadanya selama ini telah diketahui olehnya. Cuma satu sahaja lagi Zack belum tahu. Apa kaitan Mia dengan Natra? Kerana Mia pernah menceritakan tentang wanita berkebaya merah dengannya dahulu semasa mereka di hadapan perigi. Dan Zack yakin yang Mia memaksudkan itu adalah Natra. Mungkinkah Natra masih hidup? Kalaulah begitu, di mana dia sekarang?
Zack bungkam sendiri. Terlalu banyak persoalan dalam kepalanya tika ini. Dia tidak tahu di mana hendak mencari jawapan-jawapan untuk persoalan itu.
“Mia..” Sebut Zack tanpa sedar. Nama Mia kini berlegar di ruang mindanya. Zack membiarkan sahaja.







Leave a Reply