BAB 15

Keheningan petang yang kian bertukar menjadi malam itu membuatkan kawasan sekeliling juga kian sunyi dan gelap. Syima masih tidak berputus asa untuk mencari Natra. Dia melalui laluan yang biasa dilalui oleh Natra untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Dari kejauhan dia ternampak beg tangan berwarna hijau muda yang terampai di atas tanah.

‘Beg itu..’ Syima berlari mendapatkannya.

Ya! Tiada keraguan lagi. Itu beg kepunyaan Natra. Semua isi di dalam beg itu bertaburan di atas tanah. Gambar Azlan yang biasanya diletakkan di dalam dompet kepunyaan Natra telah dikoyakkan kepada cebisan-cebisan yang kecil. Keadaan beg itu seakan memberi bayangan yang pemiliknya berada dalam bahaya.

Natra dalam bahaya. Oh tidak!

“Pergi! Jangan ganggu aku lagi!” Teriak satu suara dari semak yang berdekatan dengan pondok buruk Pak Jail.

Syima terkejut. Itu suara Natra.

Syima perlahan-lahan menyeludup ke dalam semak di belakang pondok itu. Pokok besar di tepi semak itu menjadikan kedudukannya lebih tersorok. Dia mengintai di sebalik daun-daun di hadapannya.

“Kenapa kau tak suka aku? Apa kurangnya aku?” Tanya seorang lelaki dengan penuh emosi.

Syima mengecilkan matanya. Lelaki itu berpakaian kemeja. Kemas dan bergaya. Tetapi Syima tidak mengenali lelaki itu. Sememangnya bukan orang kampungnya, kerana tidak pernah Syima melihat orang kampungnya begitu.

“Aku ada rupa, aku ada harta. Kerja tinggi, gaji pun tinggi. Tapi kenapa kau pilih dia juga?!” Suara itu semakin meninggi. Marah bercampur tidak puas hati terhadap Natra.

“Aku tak akan suka kau, Kamal. Lepaskan aku!” Balas Natra kasar.

Syima yang berada di sebalik semak mengangguk perlahan.

“Rupanya nama kau Kamal.” Monolognya perlahan. Dari apa yang didengari, dia sudah boleh menyimpulkan jalan cerita situasi di hadapannya itu. Tetapi identiti Kamal masih lagi tidak diketahuinya.

“Sudah dua tahun aku cari kau, Natra. Aku nak kau kawin dengan aku!” Bertak Kamal.

Syima ternganga. Siapa sebenarnya Kamal itu? Tiba-tiba datang menagih cinta yang sudah pasti tak akan pernah ada. Cinta Natra hanya untuk abangnya sahaja.

“Kau buta, Natra. Kau tak nampak cinta aku. Tapi tak apa. Aku nak kau kawin dengan aku juga. Jadi, kau kena ikut aku balik ke tempat asal kita. Tempat di mana kau dikurung dahulu.” Sambung Kamal lagi.

Natra mendengus. “Sini adalah tempat aku. Sini adalah kehidupan aku.” Ucapnya dengan yakin. Kampung itu memberi Natra kehidupan baru. Sekali gus kehidupan gelap sebelumnya itu, Natra telah lupakan dan tidak mahu mengingatinya kembali.

“Apa yang kau merepek? Tempat asal kau bukan dekat kampung yang tidak bertamadun ni! Kau mesti ikut aku! Aku tak kira!” Marah Kamal.

Natra memandang Kamal dengan tajam. “Aku tak akan terpedaya dengan helah kau.” Katanya.

“Aku cuma nak kau jadi bini aku.”

“Berapa kali aku nak bagitahu kau. Aku dah kawin!”

Kamal menarik tangan Natra dengan kasar. Natra tersentak. Dia menarik tangannya dari genggaman Kamal. Kamal mendengus. “Kau tak nak kawin dengan aku?” Soal Kamal tidak peduli dengan apa yang dikatakan oleh Natra tadi. “Aku akan jaga kau..” sambung Kamal lagi.

 Syima semakin sakit hati melihat perbuatan kasar Kamal terhadap Natra. Syima nekad untuk menyerang Kamal dari belakang. Natra harus diselamatkan. Syima mencari-cari sesuatu yang boleh dibuatkan senjata di sekelilingnya. Dapat! Kayu sebesar dua kali ganda lengannya. Dia mencapai kayu itu. Kali ini Syima sudah tidak kisah dengan apa yang bakal terjadi. Jadi maka jadilah! Yang penting kakak iparnya itu selamat.

Baru sahaja dia ingin berdiri, tangannya disentap kuat dari belakang. Kayu yang dipegang terlepas.

“Bos! Ada orang mengintai lah!” Jerit lelaki yang menggenggam tangan Syima. Syima sedikit gentar, namun tidak terlalu takut. Dia hanya terkejut dengan kehadiran lelaki itu dari belakangnya. Niatnya untuk menyerang Kamal tercantas. Lelaki yang menahannya itu mempunyai tubuh yang besar dan sasa.

‘Tak guna! Aku tertangkap!’ Syima cuba manarik tangnnya. Malang sekali dia tak mampu. Lelaki itu menggenggam tangannya dengan kuat. Kamal menoleh ke arah mereka. Dia memandang Syima tajam bagai hendak membunuhnya.

“Bawa perempuan tu ke sini!” Arah Kamal. Syima ditarik keluar dari semak.

“Ima..” Natra terkejut. Bagaimana dia boleh ada bersamanya. Natra tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada adik iparnya. Biarlah dia seorang sahaja yang berhadapan dengan Kamal. Syima tidak ada kaitan dengan kisah hidupnya dahulu.

“Jangan risau kak. Abang akan datang selamatkan kita.” Syima cuba menenangkan kakak iparnya. Dalam masa yang sama dia yakin abangnya akan datang untuk selamatkan mereka berdua.

“Owh, inilah adik kepada lelaki yang engkau puja tu.” Sinis kedengaran. Kamal memeluk tubuhnya merenung Syima.

“Lepaskan dia. Dia tidak ada kaitan dengan semua ni.” Ujar Natra kepada Kamal.

Kamal ketawa.

“Dia tak ada kaitan dengan aku. tapi dia ada kaitan dengan kau. Jadi, dia pun ada kaitan dengan kita. Sebab kau tu bakal istri aku.” Kata Kamal dengan yakin. Wajah cantik Natra direnung seketika.

 “Aku tak tahulah kenapa kau pilih dia sangat. Orang kampung tak ada masa depan. Apa bezanya lelaki yang kau puja itu dengan seekor lembu?!” Sambung Kamal lagi.

“Azlan itu suami saya!” Bela Natra. Dia tidak akan membiarkan sesiapa pun yang menghina suaminya. Jangankan hina, umpat pun dia tidak akan benarkan. Azlan adalah lelaki yang disanjung tinggi olehnya. Dia sangat menyayangi Azlan.

“Rupanya nama kerbau tu Azlan!” Kamal menyentap kasar dahan-dahan pokok yang menghalang pandangannya.

“Bos cakap tadi lembu.” Sampuk lelaki yang dari tadi menggenggam kuat tangan Syima. Syima mencebik.

“Jangan menyampuklah Aji! “ jerkah Kamal pula.

“Tolong lepaskan dia, Kamal.” Ujar Natra seakan merayu.

Sekali lagi Kamal ketawa. Rayuan Natra itu kedengaran agak lucu di telinganya. Pandai pula Natra merayu kepadanya. Kamal hendak lihat sejauh mana rayuan Natra.

 Natra sakit hati mendengar ketawa Kamal. Natra mengambil batu sebesar genggamannya lalu dibalingkan ke arah Kamal. Kamal sempat mengelak. Ketat mukanya memandang Natra. Sampai hati Natra membalingnya batu. Kamal menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya. Dia berdehem. Emosinya harus dikawal.

“Kau tak cintakan aku? Sampai kau sanggup baling batu kat aku?” Kata Kamal sayu. Reaksi mukanya seperti meminta simpati.

Natra meluat.

“Aku tak cintakan kau sampai bila-bila! Sampai mati pun tak akan pernah, Kamal. Aku benci kau. Tak bolehkah kau jangan cari aku lagi?! Aku dah bahagia hidup di sini. Kau muncul dan buat aku jadi macam duduk dalam penjara!” Jerkah Natra.

Kamal mendengus kasar. “Kau jadi macam ni, sebab kau pilih dia!” Entah apa yang dimaksudkan dengan ‘macam ni’ oleh Kamal. ‘Aku sanggup tengok kau mati daripada nampak kau bahagia hidup dengan kerbau tu!’ cebik hatinya. Amarah sudah memakan diri.

“Aku akan bawa kau lari dari sini dan kau akan kawin dengan aku!” Kamal menggenggam tangan Natra. Natra menepis.

“Suami aku Azlan dan aku tak akan tinggalkan kampung ini.” Natra muktamad.

“Bodoh!” Kamal menolak tubuh Natra dengan kasar. Natra terjatuh ke tanah.

“Kak Natra!” Syima terkejut.

Kamal sudah tidak kisah dengan apa yang akan berlaku. Fikirannya sudah tidak waras. Ini bukan kali pertama cintanya ditolak mentah-mentah oleh Natra. Baginya, Natra dibutakan oleh Azlan sehingga cintanya yang suci itu tidak ternampak oleh Natra! Sepatutnya Natra sudah menjadi miliknya yang sah dari dua tahun yang lalu lagi! Tapi kehadiran Azlan telah mencuri hati Natra yang sepatutnya untuk dia. Mungkinkah mereka memang ditakdirkan untuk bersama? Agh! Siapa yang percaya akan jodoh yang tidak masuk akal ni?!

“Aji, kau bawa perempuan tu, kurung dia dalam kandang kuda yang terbiar sana! Ikat dia! Jangan biar terlepas!”

Sekali sahaja mendengar arahan dari Kamal, Syima diheret kasar oleh Aji ke kandang kuda yang terbiar. Agak jauh dari pondok buruk Pak Jail.

“Kau tolak cinta aku? Sampai hati kau Natra. Ambil ni!” Kamal memberi tendangan yang kuat di belakang Natra. Natra menjerit kesakitan.

“Kak Natra!” Syima sempat melihat agenda kasar itu sebelum pandangannya dilindungi dengan semak-samun yang tebal.

“Ima, tunggu akak..” Natra mencuba sedaya upaya untuk bangun. Dia ingin menyelamatkan Syima.

“Kau nak pergi mana?! Duduk diam dengan aku jer lah!” Kamal menyentap rambut Natra dengan kuat.

“Lepaskan!” Rayu Natra. Dia bukannya hendak meminta simpati. Dia hanya ingin dilepaskan.

“Kau ikut aku!” Kamal menarik Natra masuk ke dalam pondok buruk. Natra cemas. Dia takut jika Kamal mula bertindak di luar kawalan akal warasnya. Kamal memang sudah gila. Natra meronta ingin dilepaskan. Namun, Kamal malah menariknya dengan kuat.

“Jangan melawan!” Marah Kamal. Satu tamparan hinggap di pipi Natra. Sekali lagi, Natra ditolak jatuh ke tanah. Sebelum Kamal menariknya semula dan dibawa masuk ke pondok buruk.

Sekejap lagi kegelapan bakal menelan bumi sepenuhnya. Hujan lebat mula jatuh mencurah ke tanah. Awan menangis seakan tahu apa yang akan berlaku ketika itu. Dalam diam, ada sepasang mata yang sedang memerhati semua kejadian tersebut dari jauh! Safiya.

–

Cahaya bulan sedikit banyak membantu Syima pada malam itu. Syima diikat pada tiang betul-betul di tengah kandang usang. Angin bertiup dengan kuat membawa percikan hujan masuk ke dalam. Nasib baik kandang itu ada bumbung. Kalau tidak, mungkin Syima sudah basah kuyup dek hujan yang turun. Sejuk.

“Kau adik ipar Natra?” Aji memandang sinis ke arah Syima. Dia menyoal Syima soalan yang sudah diketahuinya. Syima diam. Malas hendak bersuara.

“Kau tahu, Kamal tu sebenarnya seorang doktor.” Sambung Aji.

Syima masih diam.

“Dia juga menjual organ-organ manusia. Samalah macam aku juga. Dia dah bunuh ramai orang. Terutama gadis-gadis cantik seperti kau.” Di hujung ayatnya, Aji ketawa. Mungkin merasa bangga dengan apa yang diperkatakan. Tetapi Syima pula meluat dengan Aji.

“Mungkin malam ni, malam terakhir kau. Sebab kau juga akan senasib dengan arwah-arwah yang dah mampus tu. Aku juga seorang pembunuh, kau tahu?” Sambungnya lagi. Kali ini Aji ketawa mengenangkan nasib Syima. Dia langsung tidak ada belas kasihan terhadap Syima.

“Cuma aku pun tak faham dengan Kamal tu. Masih banyak perempuan yang lagi cantik di luar sana. Tapi, dia tetap mahukan si Natra. Bodoh! Aku tak sangkah dia sebodoh tu!” Maki Aji.

Sesaat kemudian, Syima terdengar keluhan dari Aji. Mungkin seumur hidupnya, inilah benda yang paling karut pernah dia buat, masuk ke kampung yang terpencir hanya untuk menemani Kamal yang nekad mencari wanita yang sudah berkawin. Memang tidak masuk akal.

“Tapi selepas ni, kau akan menjadi korban untuk aku dan organ-organ kau semua akan didagangkan ke luar negara. Duit aku bertambah. Aku akan jadi jutawan!” Aji ketawa lagi. Kali ini lebih kuat dan bergema.

Syima mendengus.

“Aku tak kisah..” Syima mengangkat wajahnya. Aji yang kelihatan agak bengis itu terus terdiam.

“Aku tak kisah apa yang terjadi selepas ni..”

Mendengar kata-kata Syima, Aji tercengang. Nampaknya, Syima memang benar tak kisah kalau kematian adalah takdirnya malam ini. Aji diam seketika. Tidak pernah dia berhadapan dengan gadis seberani seperti Syima. Selalunya, mangsa-mangsa sebelum ini akan menangis dan merayu hendak dilepaskan. Tetapi, Syima lain. Wajahnya langsung tidak ada rasa takut. Dia biasa sahaja.

Aji mendekati Syima perlahan. Dia mencebik lalu menarik rambut Syima dengan kasar.

“Kau sangat berani, perempuan.” Bisiknya sinis.

Kebencian Syima membuak apabila Aji mendekatkan mukanya kepada Syima. Syima meludah muka Aji. Aji tersentak.

“Kurang ajar punya budak!” Aji menolak kepala Syima. Pantas dia berlari keluar mencuci mukanya dengan air hujan. Dalam masa yang sama dia memaki-maki perbuatan Syima.

Saat itu juga, Syima memusingkan tangannya lalu mencapai hujung tali yang terikat ketat. Mungkin lelaki itu fikir dia hampir menang untuk menjadikannya sebagai mangsa. Namun Syima lebih bijak bertindak awal darinya. Pisau lipat yang sedari tadi digenggam langsung Aji tidak perasan. Pisau lipat itu diambil dari poket seluar Aji selepas Aji memotong tali untuk mengikatinya. Dengan perlahan-lahan Syima mengerat tali itu. Berjaya. Dia melonggarkan sedikit ikatannya. Hanya tinggal seranggan terakhir sahaja lagi.

Aji mendengus kasar. Setelah yakin mukanya bersih dari ludahan itu, dia masuk kembali ke dalam. Nafasnya turun naik menahan marah. Baru sahaja dia ingin menarik rambut Syima, Syima bangkit dan menumbuk wajahnya. Sudah tiba masanya untuk Syima mempraktiskan silat yang pernah diajar oleh Tok Ahki dulu.

Aji bangun semula. Syima memasang kekuda. Bersedia untuk menerima sebarang serangan. Aji merlari ke arah Syima. Syima mengelak ke tepi dan menjurus belakang Aji mengunakan kedua-dua telapak tangannya. Jurusan silat itu mengena ke titik yang tepat. Aji terpelanting ke dinding.

“Aku sepatutnya guna silat aku dari awal lagi.” Ujar Syima sendirian. Pergelangan tangannya yang berbekas kerana ikatan tali yang kuat tadi diurut-urut.

Dari cahaya bulan yang tidak seberapa, samar-samar Syima melihat Aji sedang tercungap-cungap menahan sakit. Syima tersenyum puas. Cukup sekadar itu. Dia harus mendapatkan Natra secepat mungkin.

“Terima kasih sebab pisau kau ini berjasa dengan aku. Nasib baik aku tak guna pisau ni untuk bunuh kau. Aku pinjam dulu.” Ujar Syima kepada Aji.

Kemudian, Syima berlari meninggalkan kandang kuda tersebut. Tidak jauh dari tempatnya berdiri, pondok buruk yang berada di hadapannya kelihatan bercahaya sedikit. Mungkin cahaya dari api pelita yang dinyalakan. Mungkin di sana ada Natra.

Syima mempercepatkan langkahya. Pisau di tangannya digenggam kemas. Hujan yang turun itu diredah sahaja. Setelah sampai betul-betul di depan pondok itu, Syima menolak pintunya. Ia tidak berkunci.

“Kak Natra.”

Natra yang duduk memeluk lutut di hujung sudut pondok mengangkat wajahnya. Kamal tiada di sana. Syima sedikit lega. Syima berlari mendapatkan Natra lalu memeluknya. Natra menangis dan membalas pelukan Syima.

“Maafkan akak, Syima. Maafkan akak.” Ucap Natra sayu.

Syima mengangguk. Tetapi bukanlah bererti Natra yang bersalah di atas semua yang terjadi ini. Syima hanya berniat untuk melegakan hati Natra. Syima tahu Natra juga terseksa. Bahkan mungkin lebih terseksa darinya. Natra masih tersedu-sedu di bahu Syima.

“Kita lari, kak.. kita bagitahu abang Az..” Belum sempat Syima menghabiskan ayatnya. Syima terdengar tangisan seseorang, tetapi dari arah belakang. Syima menoleh, seorang perempuan yang sedang duduk memeluk lutut di sudut yang bertentangan dengan mereka. Perempuan itu seperti ketakutan. Perempuan itu seperti Natra. Tidak mungkin..

‘Kalau dia kak Natra, yang bersamaku ini pula siapa?’ Bisik Syima dalam hati. Bulu romanya menegak.

“Ima, itu bukan akak..” ujar suara Natra yang berada di sudut bertentangan dengannya. Suaranya bergegar hampir tidak kedengaran.

Syima menelan air liur. Benar. Perempuan yang berada di hujung ruangan itu adalah Natra yang sebenar manakala yang berada dengannya sekarang bukan Natra. Hanya Natra sahaja yang memanggil Syima dengan panggilan Ima.

Tiba-tiba tangan Syima digenggam erat. Syima berdebar. Dia enggan menoleh. Deruan nafas di telinganya menjadikan dia tidak sanggup untuk melihat siapa sebenarnya yang bersama dengannya sekarang.

“Ini Mawar, Syima..” bisik suara itu. Syima terkedu. Entah bagaimana pisau lipat di tangannya terlepas. Tangan buruk dan berkedut seperti mayat merampas pisau itu dengan cepat.

“Jangan takut. Ini cuma Mawar.” Jari jemari Mawar mengusap-usap rambut Syima.

Zap!

Nafas Syima tersekat. Dia dapat merasakan bagaimana pisau itu ditikam habis ke jantungnya. Sakit dan Perih. Syima jatuh ke lantai. Dia tercungap-cungap menahan sakit. Darah merah pekat mengalir keluar dari luka tusukan itu.

“Dendamku sudah terbalas sedikit, tapi aku masih belum puas. Aku akan bawa Natra ke dunia aku..” ujar Mawar berbisik.

Syima sudah tidak mampu memberi sebarang respon lagi. Ini mungkin nafasnya yang terakhir kerana dunianya kian kelam. Sebelum penglihatannya kian gelap, dia terlihat pula jasad Kamal yang terbaring kaku jauh darinya. Adakah Kamal juga dibunuh oleh Mawar? Entahlah. Persoalan itu tidak penting lagi di mindanya. Sesaat kemudian, dunianya menjadi gelap-gelita.

Leave a Reply

I’m Nem

Nemlogue.com is a small space where I keep fragments of the world – Writing, poems, paintings, art crafts, blogs and thoughts that didn’t have time to be said aloud.

Degree in Politics and a Master in Education (Economy). But i still love poems and creative writing.

Let’s connect

Discover more from Nemlogue.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading