BAB 14
Selepas seminggu Nek Kia dirawat. Tiada lagi gangguan Mawar yang datang menganggu Nek Kia ataupun sesiapa sahaja. Pak Kassim dimaklumkan bahawa Nek Kia sudah kembali normal. Pak Kassim bersyukur. Setiap kali pesakitnya sembuh dari gangguan ataupun sakit yang melibatkan perkara-perkara mistik, dia tumpang rasa gembira.
Di ruang tamu, Azlan termenung jauh ke luar jendela.
“Kenapa termenung memanjang dekat sini pula, mana istri kamu?” Pak Kassim melabuhkan punggungnya di sofa. Azlan tersedar dari lamunannya. Dia berpaling. Wajah ayahnya itu direnung seketika.
“Natra pergi tolong memasak dekat rumah Safiya. Ada kenduri kesyukuran.” Jawab Azlan.
Pak Kassim mengangguk. Wajah Safiya terbayang di fikirannya. Safiya sudah dianggap seperti anak sendiri. Safiya dan Azlan merupakan kawan sejak dari kecil lagi. Mereka membesar bersama. Azlan tua setahun daripada Safiya. Dahulunya, mereka selalu digosipkan oleh orang-orang kampung sebagai pasangan merpati dua sejoli. Namun, Tuhan telah mentakdirkan jodoh Azlan dengan seorang wanita asing yang datang ke kampung tersebut, iaitu Natra. Tiada konflik yang berlaku di antara mereka. Natra kini menjadi istri kepada Azlan dan juga kawan baik kepada Safiya.
“Adik kamu mana pula?” Tanya Pak Kassim. Dia tidak mahu membuka cerita lama anaknya.
“Syima pergi ke rumah kawannya. Ada kerja katanya.”
Pak Kassim mengangguk sekali. Dia berdehem.
“Azlan, ayah ada benda nak cakap dekat kamu ni.” Ujarnya. Azlan mengangkat kening cuba menduga apa yang ingin dibicarakan oleh ayahnya. Tanda disuruh, dia menuju ke arah ayahnya dan duduk di sofa yang berdekatan. Mereka berhadapan.
“Ayah nak cakap apa?” Soal Azlan. Jarang-jarang ayahnya sebegini serius. Mungkin perkara yang hendak diberitahu adalah perkara yang sangat penting kepadanya.
“Segala ilmu rukyah yang ayah dah ajar kamu selama ni, kamu dah mengerti semuanya?”
Azlan mengangguk.
“Dah, ayah.” Katanya. Dia sangat bersyukur mempunyai ayah yang tidak tamak ilmu. Ilmu rukyah yang diajarkan oleh ayahnya itu melekat dengan baik di kepalanya.
“Kalau macam tu baguslah. Jadi, ayah dah boleh duduk tenang nanti.”
“Ayah nak suruh saya ganti ayah merawat?”
“Mungkin bukan masa ni. Ayah nak kamu janji dengan ayah, tak akan pernah putuskan ikatan silaturahim antara kamu dengan..”
“Kenapa ayah cakap macam tu pula? Selama ni saya ada putuskan hubungan di antara kita?” Azlan meragui kata-kata ayahnya. Apa yang dia lakukan sehingga ayahnya berkata sedemikian.
“Tak. Ayah cuma nasihat. Sebab takut pula firasat ayah ni jadi betul. Kalau ayah tak nasihat, nanti susah pula.” Pak Kassim tersenyum.
Azlan bungkam. Firasat?
“Ayah dapat firasat apa?”
“Ayah bukannya nabi atau rasul yang ada mukzizat untuk tahu masa depan. Ayah juga bukan bomoh yang boleh tilik masa depan. Ayah cuma berfirasat. Firasat tu masih samar-samar lagi..” jelas Pak Kassim.
Azlan membetulkan duduknya.
“Ayah nak kamu jaga adik kamu Syima dengan baik. Begitu juga dengan istri kamu, Safiya..”
“Istri saya Natra, ayah.” Azlan membetulkan nama yang disebut oleh ayahnya. Natra adalah istrinya. Safiya hanya kawan sahaja. Tidak lebih dari itu.
“Ya. Maksud ayah adalah Natra.” Pak Kassim ketawa kecil. Dalam ketawanya itu ada terselit sedikit keraguan. Pak Kassim tahu istri Azlan adalah Natra. Bahkan dia merestuinya. Cuma hatinya bercampur-aduk dengan firasat yang terlintas di fikirannya tempoh hari. Pak Kassim mengeluh. Dia sepatutnya tidak bermain dengan firasat di alam realiti tika ini. Pak Kassim membuang pandangannya jauh keluar tingkap.
“Ayah dapat firasat tentang saya?” Soal Azlan perlahan.
“Ayah nak kamu jaga keluarga kita bila ayah dah..”
“Jangan cakap macam tu. Saya sudah tentu akan jaga keluarga ni, ayah.” Azlan merenung wajah ayahnya. Pada riak wajah itu terpancar kesayuan yang selama ini dipendam. Namun disembunyikan dengan senyuman tuanya. Mungkin ayahnya masih sedih ditinggalkan oleh ibunya setahun yang lalu. Ibunya meninggal kerana pendarahan yang teruk di kepala akibat terjatuh di tangga rumah. Meskipun begitu, Azlan tahu ayahnya itu tetap tabah dan rela dengan pemergian ibunya.
Pak Kassim mengeluarkan seulas rantai emas dari poket baju melayunya. “Nah, ambil ni.” Rantai itu dihulurkan kepada Azlan. Azlan menyambutnya.
“Nak buat apa ni, ayah?”
“Simpan. Jangan bagi dekat siapa-siapa.”
Azlan mengerutkan dahinya. Dia tidak faham. “Kenapa pula saya yang kena simpan, saya ni bukan perempuan, ayah. Saya tak pakai rantai. Syima kan ada.”
Pak Kassim ketawa sedikit. Ketawa orang tua. “Sebab kamu bukan perempuan lah ayah bagi kamu. Untuk simpan. Bukan untuk pakai. Rantai tu bahaya.”
“Bahaya?” Azlan menganalisa ayat yang baru didengarnya itu. Bahaya?
Pak Kassim mengangguk perlahan.
“Rantai kepunyaan Mawar. Suatu hari nanti, kalau dia datang dengan dendam kepada keturunan kita. Kamu serahkan rantai itu kepadanya.”
Meremang bulu roma Azlan mendengar nama Mawar disebut. Dia teringat kejadian minggu lalu. Wajah Nek Kia yang dirasuk oleh Mawar terlintas di ingatannya. Dia teringat juga tarian yang ditarikan oleh Nek Kia. Nyanyian halus itu tergial-gial di kepalanya.
“Ayah kan dah buang benda tu ke dalam perigi?”
“Ya. Tapi ayah tak jamin dia kekal terperangkap di dalam tu. Rantai itu kamu simpan. Jangan bagi siapa-siapa pakai.”
Azlan mengangguk. Dia faham dengan pesanan ayahnya. Cuma pelbagai soalan mula menyerangnya. Apa kaitan Mawar dengan keluarga mereka? Kenapa ayahnya sangat mengambil kisah?
“Kenapa keturunan kita pula? Mawar tu kan, hanya gangguan yang menganggu pesakit ayah?” Soal Azlan tidak puas hati. Sekali lagi dia teringat muka Nek Kia. Dia risau akan keluarganya yang bila-bila masa sahaja diancam oleh Mawar.
“Tak, Mawar datang melalui keturunannya iaitu Nek Kia. Dia datang untuk membalas dendam sebab kitalah keturunan sultan yang dia maksudkan tu. Mak kamu mewarisi barang-barang kemas kepunyaan penari istana dahulu dari moyangnya. Tetapi yang lain dah dikembalikan dan yang tinggal hanya rantai ini. Rantai milik Mawar. Kebetulan pula, wajah Natra serupa dengan istri sultan yang menyeksa Mawar dahulu. Sebab itu, dendamnya menyalak.” Jelas Pak Kassim membuka sejarah silam keturunan sultan yang diwarisi oleh istrinya dahulu. Pak Kassim melihat Azlan. Azlan masih dalam kebingungan. Mungkin percaya, mungkin tidak.
“Maafkan ayah sebab tak bagitahu kamu tentang sejarah darah yang diwarisi oleh keturunan ini.” Sambung Pak Kassim lagi.
“Tak apa ayah. Saya faham.” Ucap Azlan. Kemudian, dia senyap. Ingatannya mula terbayang bagaimana Nek Kia menyerang Natra hari tu. Risau!
Suasana di luar rumah yang hening dan sunyi mewakili hatinya tika ini. Ujian yang bakal terjadi nanti mungkin akan menyebabkan dia hilang keseimbangan untuk berfikir dengan lebih waras. Masa hadapan berada di luar jangkaan manusia. Apa-apa pun boleh terjadi, sama ada rela atau terpaksa..
–
Pada tahun 1987, selepas setahun peristiwa gangguan Mawar telah berlalu, Pak Kassim pula telah meninggal dunia. Ajal yang ditaktirkan itu meninggalkan Azlan sebagai ketua keluarga kepada Syima dan Natra. Tiada apa yang perlu ditangisi kerana ajal dan maut akan mendatang juga kepada setiap manusia yang masih hidup. Yang masih hidup pula, tidak ada pilihan lain selain daripada meneruskan kehidupan dan beramal untuk menambah kebaikan.
Jam sudah menunjukkan pukul 5:37 petang. Senja menjadikan langit berwarna jingga. Hujung sebelah bukit di belakang rumah Azlan sudah pun ditelan oleh kegelapan. Hanya menunggu beberapa minit lagi supaya kegelapan itu menelan kawasan mereka.
Azlan mundar-mandir di kaki lima rumahnya. Sudah setengah jam dia menunggu kepulangan Natra. Namun, bayang Natra tidak langsung kelihatan. Sejak kebelakangan ini, Natra selalu sahaja balik lewat dari kerjanya. Manakala, Azlan pula tidak membuka mulut menanyakan sebabnya. Mungkin Natra sibuk melayan budak-budak tadika, memandangkan dia murupakan guru tadika di kampung itu. Pada ketika itu, kesedaran masyarakat terhadap pendidikan awal kanak-kanak baru mula hendak berkembang. Oleh itu, Natra berkhidmat sementara untuk mendidik kanak-kanak di kampung tersebut.
Azlan mengeluh. Dia risau.
“Abang, kak Natra mana? Dah nak gelap ni..” Syima menjenguk-jengukkan kepalanya keluar jendela mencari kalau-kalau ada kelibat kakak iparnya. Hampa. Langsung tiada.
“Tak tahulah, dik. Dah lah. Abang nak masukkan semua ternakan ke dalam kandang. Lagi pun dah nak malam dah ni. “ Balas Azlan. Dia sangat risau dengan istrinya, tapi dia tidak juga boleh membiarkan haiwan-haiwan ternakannya mati dibaham rimau di hutan disebabkan risaunya terhadap Natra. Azlan menuruni tangga rumah.
“Abang, biar Syima sahajalah yang cari kak Natra.” Syima menawarkan dirinya untuk mencari Natra. Syima turut turun ke tanah. Dia menyarungkan selipar jepun berwarna biru ke kakinya.
Azlan mengangguk membenarkan Syima untuk mencari Natra.
“Hati-hati. Kalau tak dapat jumpa, balik sahaja terus. Nanti pandai-pandailah abang cari Kak Natra kamu tu.” Kata Azlan. Kampung mereka bukannya besar sangat, kalau mahu mencari orang sekejap sahaja boleh dijumpai. Tambahan pula, kebanyakan orang kampung sudah mengenali Natra. Maka, lagi senanglah untuk mencari Natra andai ada apa-apa yang terjadi.
“Baiklah, abang. Syima tahulah jaga diri sendiri.”
Syima melangkah meninggalkan halaman rumah. Seminit kemudian, bayangnya sudah tidak kelihatan lagi. Tubuh Syima telah dilindungi oleh dahan- dahan pokok yang tumbuh di tepi-tepi laluan.
Azlan tidak membuang masa, dia memasukkan semua haiwan-haiwan ternakannya ke dalam kandang. Setelah semuanya selesai, dia duduk di tangga rumah. Menunggu orang yang masih belum muncul-muncul lagi. Langit sudah gelap. Azan maghrib berkumandang sayup-sayup kedengaran dibawa dek angin yang bertiup sayu. Azlan naik ke dalam rumah dan menutup semua tingkap yang terbuka.
Azlan menunaikan fardu Maghrib dengan khusyuk sekali. Dia mengambil masa yang lama pada sujud terakhirnya. Di mana hatinya diserahkan kepada Tuhan sepenuhnya. Tuhan tahu gelora di dalam hatinya. Setelah itu, dia melipat sejadah lalu menuju ke ruang tamu. Dia menjenguk sekejap ke luar. Syima masih belum muncul-muncul. Apatah lagi istrinya, Natra.
Azlan menjeling sekilas jam di dinding.
Dia sudah tidak sedap hati. Dia teringat konflik yang melanda di antara dia dan Natra. Azlan sendiri tidak pasti apa yang berlaku di antara mereka sejak akhir-akhir ini. Yang pastinya, Natra sekarang bukanlah Natra yang dulu dia kenal. Istrinya itu selalu sahaja mengelak daripadanya jika di rumah. Dia juga selalu balik lewat dari kerja dan sering kali termenung seorang diri.
Sejujurnya, Azlan merindui Natra yang selalu ceria dan gembira seperti dahulu. Senyuman indah Natra selalu terukir di bibirnya meskipun terdapat pelbagai macam ujian yang menimpa ke atas mereka. Kini, senyuman itu sudah jarang diukirkan. Setiap kali Azlan cuba menanyakan masalah Natra. Natra hanya menggeleng dan mengatakan dia baik-baik sahaja.
Tetapi, kali ini Azlan nekad untuk mencari sendiri apa yang menganggu emosi istrinya itu sejak kebelakangan ini. Selaku suami dia harus mengetahui semuanya. Dia harus tahu apa yang terjadi kepada istrinya.
Azlan menunggu lagi. Namun tiada petanda Syima dan Natra hendak pulang. Hujan lebat mula turun membasahi bumi. Hati Azlan semakin tidak tenang. Sekejap-kejap dia duduk, sekejap-kejap dia berdiri. Dalam hatinya, kalau mereka masih belum juga muncul selepas solat isyak, dia nekad untuk mencarinya sendiri.
Beberapa minit kemudian, suara azan berkumandang menandakan waktu isyak telah pun masuk. Azlan bingkas menuju ke bilik air untuk menbarui wudhunya kembali. Kemudian, dia mendirikan solat isyak. Selepas sahaja memberi salam ke kanan dan kirinya. Dia bersujud lagi. Dia meletakkan dahinya ke atas sejadah. Memohon ampun kepada yang Maha Pengampun dosa. Dia bangun dan menadah tangannya. Dia memohon lagi supaya Allah mempermudahkan segala urusan dan ujian yang ditempuh olehnya. Dia juga memohon agar segala ujian yang diterima itu dapat ditempuhi dengan redha dan sabar. Kali ini, dia berdoa dengan sangat khusyuk sekali. Habis sahaja berdoa, dia menyapukan kedua-dua telapak tangannya ke wajah.
Dia bertafakur di atas sejadah seketika. Hujan sudah tidak turun dengan lebat lagi, yang berjatuhan dari langit sekarang cumalah hujan renyai-renyai sahaja.
Tok-tok-tok
Pintu rumah diketuk dengan kuat.
Tok-tok-tok
Pintu diketuk lagi.
Azlan cepat-cepat melipat sejadah dan meletakkannya di atas para. Kemudian dia menukar kain pelikat yang dipakai khas untuk solat dengan seluar panjangnya. Lalu, dia bergegas ke ruang utama untuk membuka pintu. Mungkin itu Syima dan Natra. Azlan mencapai tombol pintu, lalu dipulas. Apabila pintu dibuka, tiada sesiapa di kaki lima.
Azlan menjenguk ke tanah. Sunyi. Langsung tidak ada sesiapa pun di luar. Dia hairan. Rasanya pintu depan ini yang diketuk tadi. Azlan terpandang sesuatu yang mencurigakan di lantai kaki lima. Ada bekas tapak kaki yang membawa lumpur di atas lantai. Habis kotor lantai kaki lima rumahnya itu.
Azlan mengintai ke bawah kulung rumah. Mungkin orang yang mengetuk pintu tadi sudah turun ke tanah dan berteduh di sana. Setelah puas ditinjau, tiada! Tiada sesiapa pun di sana. Hatinya mula tidak keruan. Dia tidak tenang. Tapak kaki yang membawa lumpur itu jelas pada lantai kaki limanya. Ia masih basah lagi. Siapa yang mengetuk pintu rumah tadi? Azlan meneliti kembali tapak kaki itu.
‘Kalau benar tak ada orang yang datang. Jadi, tapak kaki siapa pula yang bawa lumpur naik atas ni?’ soalnya dalam hati.
Krekkk.
Azlan mengangkat wajahnya. Dia melihat pintu rumah di hadapannya tertutup dengan sendiri. Azlan sedikit terkejut. Seingatnya tadi tiada langsung angin yang bertiup masuk, melainkan ada orang yang masuk lalu menutupnya.
Krekkk.
Pintu itu terkuak ke dalam. Perlahan-lahan ia terbuka menampakkan bahagian dalam rumah yang sepi. Sekejap sahaja, kemudian ia tertutup semula seperti ada yang menolaknya dari dalam.
“Siapa di sana?” Azlan memberanikan diri untuk bersuara.
Tiba-tiba, pintu terhempas ke dalam dan terbuka luas. Azlan terkejut. Kelihatan ada kelibat yang sedang berdiri menghadapnya di dalam. Kelibat itu semakin lama semakin dekat. Ia tidak berjalan, namun terapung seinci dari lantai.
Azlan masih kaku tidak terkata. Dia berdebar apabila menyedari kelibat itu adalah seorang wanita lengkap berpakaian seperti penari istana dengan baju kebaya tenunan sutera dan perhiasan emas pada rambut dan sanggulnya.
Azlan tahu siapa wanita itu. Dia adalah Mawar.
“Maafkan patik, patik menyinggah sebentar, kerana hujan turun dengan lebat tadi.” Kata Mawar lembut. Bibir yang bersalut dengan gincu merah itu mengukirkan senyuman.
Azlan tidak berkata. Wajah Mawar direnung tajam. Kehadiran Mawar bererti akan ada malapetaka yang akan terjadi terhadap dia atau pun keluarganya.
“Dah begitu lama kita tidak berjumpa. Mungkin sudah beratus purnama lamanya.” Mawar ketawa kecil.
“Macam mana kau boleh terlepas dari perigi tu?” Soal Azlan tegas.
Mawar ketawa lagi. “Kau ingat aku tak ada kuasa?” Soalnya pula.
“Persinggahan kau ke sini tidak diundang. Pergi!” Halau Azlan. Meskipun ada secubit ketakutan di dadanya, dia harus berani berhadapan dengan Mawar. Ketakutan itu dibuang jauh-jauh. Untuk menghadapi Mawar, dia perlukan kekuatan untuk berlawan dengan kelicikan Mawar.
“Usah menghalauku untuk kemari. Yang sepatutnya kau lakukan itu kepada istrimu.” Mawar masih tersenyum.
“Natra..” Azlan menyebut nama istrinya. Dia senyap seketika.
“Apa maksud dari bicara kau tadi?” Kata-kata Mawar itu membuatkan dia tidak sedap hati. Kenapa dengan Natra?
“Perempuan itu layak mendapat tulah dan laknat!” Balas Mawar sebelum kelibatnya menghilang dari penglihatan.
“Mawar! Apa maksud kau?!” Teriak Azlan. Dia memerhati sekelilingnya kalau-kalau Mawar masih di sana. Tetapi tiada. Mawar sudah hilang. Azlan mendengus. Dia tidak puas hati dengan Mawar. Mawar bercakap separuh jalan tentang Natra. Apa yang Natra buat sampai Mawar berkata begitu? Atau Mawar yang sengaja menaikkan marahnya. Tapi, bagaimana kalau Mawar melukakan Natra.
Azlan menggenggam kedua tangannya. Kejadian dulu terimbas semula. Dendam Mawar menyusahkan dia.
“Mawar! Aku tak akan biarkan kau apa-apakan Natra!” Teriak Azlan lagi. Hatinya tidak keruan. Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Mawar?
‘Aku harus mencari Natra.. juga Syima!’ Detik hatinya.
Azlan berlari masuk ke rumah lalu mencapai lampu suluh yang berada di atas rak. Kemudian dia berlari ke dapur mengambil parang yang tersisip di dinding kayu. Berjalan malam-malam begini, macam-macam kemungkinan buruk boleh berlaku. Kerana malang selalunya tidak berbau.
Azlan melangkah keluar rumah. Dia mengunci pintu utama dan mula meninggalkan halaman rumah. Di hadapan sana bakal ada situasi yang akan meragut kehidupan mereka. Maka, siapalah yang mampu menduga masa depan! Melainkan firasat yang belum tentu ada benarnya.
Perlahan-lahan bayangan Azlan ditelan oleh kegelapan malam, hanya cahaya dari lampu suluhnya sahaja yang kelihatan.
Dari bawa kulung rumahnya, Mawar tersenyum sinis.







Leave a Reply