BAB 11

Wati menyanyi-nyanyi kecil sambil melipat pakaiannya yang berlonggokan di atas tilam. Sesekali dia merenung ke arah Mia yang berada di katil sebelah. Mia sedang termenung jauh sambil tangan kirinya mengurut-ngurut tangan kanannya perlahan. Wati hairan. Selepas insiden hari itu, Mia kerap sekali mengurut tangan kanannya. Mia juga selalu termenung dan jarang bercakap. Wati menghentikan aktiviti melipat kainnya. Dia berdiri lalu menuju ke depan Mia.

“Mia, kau ada masalah?” Soal Wati. Dia duduk di tepi katil Mia. Mia masih lagi termenung jauh. Wati mengeluh. Dia menarik tangan kanan Mia. Mia tersentak dari lamuannya.

“Sakitlah.” Mia mengadu kesakitan lalu menarik tangannya kembali.

“Kau sembunyikan sesuatu dari aku kan?” Duga Wati. Dia mula menduga Mia dengan soalannya.

Mia cuak. Dia hanya berdiam enggan menjawab.

Dari reaksi wajah Mia, Wati sudah dapat menduga bahawa tekaannya itu betul. Wajah Mia sukar menyembunyikan apa yang disoal olehnya. Dia sudah hafal bahasa reaksi wajah Mia itu.

“Baik kau bagitahu aku apa yang kau sembunyikan dari pengetahuan aku.” Wati merenung tajam mata Mia.

“Mana ada aku sembunyikan apa-apa.” Mia melarikan pandangannya daripada bertembung dengan pandangan mata Wati.

Tanpa kebenaran, Wati menarik tangan kanan Mia sekali lagi. Dia menyelak lengan baju Mia. Apa yang didapati sangat memeranjatkannya. Tangan Mia penuh dengan lebam-lebam biru di pergelangan tangan. Ia seperti bekas genggaman yang kuat. Pada tengah-tengah lengannya pula ada bekas gigitan manusia yang masih berbekas. Wati hilang kata-kata apabila melihat tangan Mia.

Mia menarik tangannya perlahan. Dia menurunkan semula lengan bajunya.

“Siapa yang buat kau macam ni? Kenapa ada bekas gigitan manusia?” Soal Wati risau.

“Aku kan dah cerita dengan kau.”

Wati berfikir sejenak. “Jadi benarlah? Jasad kau yang kejar kau dulu tu?” Mia mengangguk perlahan.

“Tak Sakitkah?” Soal Wati. Dia merasa simpati terhadap Mia. Mungkin ia adalah soalan yang dia sudah tahu apa jawapannya. Tetapi tiada salah jika dia menyoalnya. Dia benar-benar masih terkejut.

“Jangan risau. Aku masih boleh angkat tangan aku.” Mia mengangkat tangan kanannya. Ditayangkan kepada Wati. Keadaan tangannya itu sudah tidak seteruk seperti sebelumnya. Dia sudah boleh mengangkatnya sedikit.

“Tapi jari-jari kau?” Soal Wati lagi.

Mia diam. Dia cuba untuk menggerakkan jari jemarinya. Namun payah sekali. Hanya sedikit sahaja gerakan yang berhasil.

“Esok-esok sembuhlah ni.” Ujar Mia. Dia hanya berfikiran positif sahaja. Memang itulah yang selalu dia lakukan. Dia hanya berharap tangannya itu akan sembuh sendiri. Wati bingkas berdiri lalu menuju ke katilnya. Dia mencari sesuatu di dalam longgokan kainnya yang masih bertimbun di atas tilam.

“Kau cari apa?” Tanya Mia.

Wati menayang telefon bimbit di tangannya.

“Untuk?” Mia masih tidak faham.

“Untuk apa lagi? Aku nak telefon mak kau lah.” Ujar Wati. Dia mula mencari nombor telefon Puan Imah di dalam telefonnya. Mia berlari ke arah Wati lalu merampas telefon dari tangan Wati. Wati tercengang.

“Kau gila?” Mia mematikan telefon bimbit Wati.

“Aku gila? Kau yang gila, Mia.” Wati menundingkan jarinya tepat di wajah Mia. Seperti orang yang tidak puas hati dia memandang Mia tajam. Mia mengeluh.

“Baiklah. Aku minta maaf. Boleh tak jangan kecohkan perkara ni.” Pinta Mia. Dia memejam matanya sesaat. Hampir sahaja Wati membuat panggilan kepada mamanya tadi.

“Mia, aku tak fahamlah dengan kau. Benda tu dah mengganas. Dia lukakan kau sampai macam tu sekali. Kau pula masih mahu berahsia.” Wati memeluk tubuhnya. Dia benar-benar tidak faham dengan cara Mia berfikir apabila berhadapan dengan gangguan mistik tersebut. Tidak sedarkah Mia bahawa gangguan itu sudah semakin menjadi-jadi. Ia sudah berani melukakan Mia secara fizikal.

“Fahami aku, Wati. Aku nak cari siapa diri aku.” Ujar Mia perlahan. Mengulang kembali alasannya yang membuatkan dia masih bertahan untuk menghadapi gangguan itu. Andai Wati tidak menyokongnya, sekurang-kurangnya berikanlah dia sedikit kefahaman. Ia sudah memadai dan lebih dari cukup.

“Kau hanya berhalusinasi, Mia. Aku rasa halusinasi kau tu yang bawa kau jauh dari dunia realiti. Kau bermain dengan benda-benda mistik yang buat kau jadi begini. Benda-benda yang ganggu kau tu dah berani lukakan kau. Aku tak tahu lah macam mana cara kau berfikir yang membuatkan kau masih bertahan dengan semua ni. Kau nak semua orang cakap kau orang gila baru kau nak sedar? Cukuplah berhalusinasi. Berhenti daripada semua ni. Ia bahaya.” Cadang Wati. Dia menjadi tidak tenteram dengan keadaan seperti ini. Bahkan ketika ini, dia merasakan tidak selamat.

Mia duduk di tepi katilnya. Fikirannya buntu.

“Aku tak berhalusinasi. Bukan aku yang pinta semua ni. Ia datang sendiri.” Ujarnya perlahan. Dalam nada suaranya, dia membantah apa yang dikatakan oleh Wati tadi. Dia bukannya berhalusinasi. Ia benar dan dia sendiri tidak ada penjelasan yang jelas untuk menceritakan kepada Wati agar Wati faham akan jalan hidupnya sekarang.

Wati melepaskan keluhan berat. Dia sedar kata-katanya tadi kedengaran seolah-olah dia tidak mempercayai Mia. Wati dapat merasakan beban yang berat di atas bahunya memandangkan dia merupakan kawan baik kepada Mia. Dia adalah orang yang bertanggungjawab untuk menjaga Mia di sini. Wati berdiri tepat di hadapan Mia.

“Aku minta maaf. Okey. Cakap dengan aku, kau nak akau buat apa?” Ucap Wati. Kata-katanya tadi mungkin agak melampau untuk kawan sebaik Mia. Dia tidak sepatutnya menguris hati Mia.

Mia memandang wajah Wati perlahan. “Aku nak kau percaya.”

Wati terlopong. Percaya?

“Percaya?”

Mia mengangguk perlahan. Sekali lagi Wati melepaskan keluhan beratnya. Dia duduk di sebelah Mia. “Mama kau ada telefon aku minggu lalu. Dia tanya keadaan kau macam mana. Dia ada cakap, kalau ada apa-apa berlaku dengan kau, aku kena bagitahu dia secepatnya.” Ujar Wati.

“Jadi kau dah bagitahu yang aku jatuh tangga?” Mia merenung Wati, menanti jawapan.

Wati menggeleng perlahan. “Aku baru nak bagitahu tadi.” Katanya.

Mia tersenyum lega.

“Kau kena janji dengan aku yang kau akan jadikan ini sebagai rahsia.”

Wati bungkam. Hatinya berat untuk membalas perkataan janji itu. Dia memeluk Mia. Tiada kata yang mampu diutarakan lagi. Dia sangat menyayangi Mia. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada Mia dia tidak akan membiarkan Mia menghadapinya seorang diri.

–

Mia berlari menuju ke blok akademik. Dia sudah terlewat. Ini semua gara-gara pisang goreng makcik kafe. Eh, bukan. Ini semua disebabkan oleh pelajar-pelajar yang tidak bertamadun itu. Masakan dia yang tidak bersalah dirempuh begitu sahaja ketika hendak membeli pisang goreng tadi. Mujurlah dia tidak beraksi ganas.

Sebenarnya tadi dia hanya berdiri di penjuru kafe sahaja. Jauh dari kesesakan pelajar-pelajar yang berduyun-duyun bertempuran demi membeli pisang goreng. Tiba-tiba, datang beberapa konco-konco bawahan Zakuan yang menolongnya untuk membeli. Kedatangan mereka menyebabkan pelajar-pelajar yang lain memberikan laluan khas untuk dia membeli pisang goreng. Al-maklumlah, konco-konco Zakuan kebanyakannya berada pada golongan teratas di antara semua pelajar. Mereka dihormati dan disanjung tinggi. Ramai juga yang membuat muka meluat apabila melihat Mia diberi layanan istimewa daripada mereka. Tidak kurang juga yang cemburu terhadap Mia.

Tetapi bagi Mia, dia tidak merasa bangga sama sekali. Konco-konco itu mengenali dia sebagai kawan kepada Zakuan. Maka dia dilayan dengan baik juga lah. Meskipun begitu, dia tidak perlukan layanan baik dari mereka sebenarnya. Bukan tidak perlu tetapi tidak mahu. Layanan itu menyebabkan ramai gadis-gadis di luar sana yang membencinya.

Walau bagaimanapun, dia sangat bersyukur kerana dengan bantuan konco-konco Zakuan, kelaparannya tidak berpanjangan. Lain kali dia tidak mahu lagi terlibat dengan mereka. Cukuplah hari ini sahaja.

“Mia, kau okey?”

Mia menoleh. “Syawal?”

Syawal mengangguk. ‘Ya. Akulah ni.’ Katanya dalam hati. “Kau pergi mana?” Soal Syawal.

“Kelas. Kau dengan aku kan sama kelas. Kau tak pergi kelas?” Soal Mia pula menyoal Syawal. Pertama kali dia bertegur sapa dengan Syawal seperti seorang kawan. Padahal sebelum ini Mia tidak pernah berminat untuk menanyakan perihal orang lain. Dia bertanya secara spontan sahaja tadi.

“Err.. Aku pergi tapi aku ada hal sekejap. Kau cakap nak pergi kelas kan?”

Mia mengangguk.

“Kau yakin kau tak sesat?”

Mia terdiam seketika. Apa maksud Syawal?

“Maksud kau?” Soalnya.

“Ini jalan balik ke kolej kediaman. Kelas kan berada dekat sana.” Syawal menunjukkan arah yang bertentangan dengan jalan Mia. Mia bungkam. Dia memandang sekeliling. Seingatnya tadi, dia sedang berjalan menuju ke blok akademik dan dia berhenti apabila mendengar namanya dipanggil oleh Syawal.

“Tapi aku memang berjalan ke sana tadi.” Ujar Mia kebingungan.

“Kau berdiri dekat sini dari tadi lagi. Sebab tu lah aku tegur kau.” Kata Syawal pula. Mia menganalisa ayat Syawal. Apa maksud Syawal? Padahal dia dari kafe hendak ke blok akademik tadi. Dia menggunakan jalan belakang yang bertentangan dari jalan hendak ke kolej kediaman. Lagi pun, jalan belakang kafe merupakan jalan pintas untuk menuju ke blok akademik. Tetapi, kenapa dia berada di sini pula?

Mia memandang sekelilingnya lagi. Dia memicit-micit kepalanya.

“Mungkin aku dimainkan oleh gangguan tu lagi.” Ujar Mia perlahan seperti bercakap kepada dirinya sendiri. Kemudian dia mengeluh.

“Gangguan?” Soal Syawal. Dia tidak faham apa yang dikatakan oleh Mia.

“Tak. Tak ada apa-apa. Aku kena pergi kelas.” Kata Mia. Dia berpaling dan beredar dari tempat itu dengan cepat. Syawal terkebil-kebil melihatnya.

Mia berjalan laju menuju ke lorong sebelah kanan. Lalu, dia terus berlari ke dewan kuliah dengan sekuat tenaga. Mungkin dia sudah terlewat untuk beberapa minit, tetapi apa yang penting adalah dia selamat masuk ke dalam dewan kuliah secepat mungkin. Setelah melalui beberapa lorong, Mia kini berdiri di hadapan pintu dewan kuliah. Dia tercungap-cungap menelan oksigen. Nafas ditarik panjang-panjang. Inilah padahnya jika dia berlarian tadi. Tombol pintu dewan kuliah dipegang.

“Mia?” Belum sempat Mia menolak pintu ke dalam, dia terdengar namanya dipanggil dari belakang. Mia menoleh.

“Syawal? Kau ikut aku?” Mia hairan apabila melihat kemunculan Syawal di belakangnya. Lantas, dia teringat yang Syawal juga sekelas dengannya. Mungkin Syawal juga hendak masuk ke dalam dewan kuliah bersamanya.

“Kau cakap kau ada hal lain?” Soal Mia lagi.

Syawal terdiam. Dia merenung Mia lama-lama. “Kenapa?” Mia tidak selesa dengan renungan Syawal.

“Kau sakit ke, Mia?” Soal Syawal.

Mia mengerutkan keningnya. Dia tidak faham kenapa soalan itu pula yang disoal oleh Syawal.

“Apa yang kau merepek ni? Dah lah. Aku nak masuk..” Belum sempat Mia berpusing, Syawal menarik tangannya dengan kuat. Mia tersentak. Dia hampir terjatuh. Tangannya sakit ditarik kasar oleh Syawal. Lebih-lebih lagi, tangan yang ditarik itu adalah tangan kanannya yang masih belum sembuh sepenuhnya dari kejadian hari itu. Mia menarik tangannya perlahan. Hampir sahaja dia menangis kesakitan. Namun, dia menahan sahaja tangisannya. Mia mendengus kasar. Dia sakit hati. Syawal tiba-tiba sahaja menghalang dia untuk masuk ke dalam dewan kuliah tanpa sebab. Marahnya kepada Syawal membuak-buak.

“Syawal, kau ni kenapa? Aku baru nak..” Mia terdiam. Dia tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila keadaan sekeliling sudah berubah. Mia sudah tidak berada di depan pintu dewan kuliah lagi. Dia kini berada di jalan yang sama di mana Syawal menegurnya tadi. Mia memandang sekeliling. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang terjadi. Bagaimana keadaan boleh berubah dengan begitu pantas sekali tanpa dia sedari?

“Kau berada di mana tadi?” Soal Syawal.

Mia tunduk seketika. Tangannya yang sakit itu direnung lama.

“Di depan dewan kuliah.” Jawab Mia perlahan. Fikirannya buntu. Tangan kanannya itu berdenyut-denyut, kesakitan yang dirasai menyengat terus ke dalam tulang. Ditambah pula fikirannya yang bercelaru memikirkan situasi yang dihadapinya sekarang.

“Tak. Aku nampak kau masuk ke dalam simpang tu. Kemudian kau patah balik ke sini. Sebab tu lah aku tegur kau.” Kata Syawal membetulkan tanggapan Mia. Mia terkejut. Dia memandang Syawal. Benarkah begitu?

“Kau sakit Mia.” Ucap Syawal. Sakit yang dimaksudkan olehnya adalah sakit yang berkaitan dengan halusinasi atau benda-benda mistik yang berada di luar pemikiran logik manusia.

Mia terdiam. Perlahan-lahan dia berpaling.

“Kau nak pergi mana?” Soal Syawal.

“Kelas.” Jawab Mia sepatah. Dia memulakan langkahnya.

“Kau nak aku temankan?” Soal Syawal lagi. Dia risau melihat Mia seperti orang yang sudah hilang arah tujuan. Mia seperti kebingungan sendiri.

Mia menggeleng. Dia tidak memerlukan Syawal untuk menemaninya. Dia hanya perlu berhati-hati dan menyedari setiap langkah yang diambil itu adalah dirinya yang sebenarnya. Dia tidak mahu di saat dia berjalan, tubuhnya itu berpaling menuju ke belakang, manakala rohnya pula menuju ke hadapan tanpa dia sedari.

Syawal hanya memerhati Mia dari jauh. Ketika Mia membelok masuk ke simpang, Syawal perasan yang wajah Mia seperti menahan kesakitan. Jari jemari pada tangan kanannya bergerak-gerak menandakan tangan kanannya itu sakit. Ada sesuatu yang tidak kena pada tangan kanan Mia.

Mia melalui lorong yang sama seperti tadi. Setiap gerak kakinya direnung tajam. Sambil berjalan dia memeluk tubuhnya seolah-olah tidak membenarkan roh dan jasadnya itu terpisah di tengah jalan. Berulang kali dia menoleh ke belakang andai jasadnya itu tertinggal atau berhenti di saat dia sedang bergerak maju ke hadapan. Seperti orang yang ketakutan, Mia melalui beberapa lorong lagi. Pelajar-pelajar yang melalui lorong yang sama memandangnya dengan penuh hairan. Mungkin hairan dengan gayanya yang seakan tidak betul. Mia tidak kisah. mereka bukannya faham apa yang dia rasakan sekarang.

Sesampai sahaja di hadapan pintu dewan kuliah. Dia boleh mendengar suara Adam yang sedang memberi keterangan tentang salah satu topik subjek kimia yang mereka sedang bincangkan. Mia menarik nafas panjang sebelum memulaskan tombol pintu dan perlahan-lahan masuk ke dalam. Pintu itu ditutup semula. Ketika dia ingin berpaling, tiba-tiba pandangannya menjadi gelap. Tak! Dia tidak pengsan. Tetapi dewan kuliah itu yang gelap.

Mia berdiri di tepi pintu menunggu apa yang terjadi. Suara Adam tidak lagi kedengaran. Suasana dewan kuliah yang selalunya sejuk dengan penghawa dingin tiba-tiba sahaja menjadi kering dan panas seperti tiada ruangan untuk angin bertiup masuk. Apa semua ni?

Tap-Tap-Tap

Kedengaran bunyi tapak kaki menuju ke arahnya. Jantungnya berdegup laju. Siapa pula ni? Mustahillah Adam. Kerana cara bejalannya menakutkan. Semakin dekat semakin laju ia berbunyi seperti sedang berlari untuk menyerangnya.

Mia nekad. Dia hendak keluar dari dewan kuliah. Dia berpusing sambil meraba-raba pada dinding mencari tombol pintu. Namun dinding di belakangnya itu rata sahaja seakan tiada pintu di sana. Mia panik. Dia berusaha lagi.

Pang!

Mia terlanggar sesuatu lalu ia jatuh terkena kakinya.

“Aduh!” Jerit Mia automatik. Mia yakin apa yang dilanggarnya itu adalah paip besi yang bersandar pada dinding tadi. Kenapa pula ada paip besi di dalam dewan kuliah?

“Mia?”

Mia tercenggang. Dia kenal suara itu. Itu suara Zack. Buat apa Zack berada dalam dewan kuliah ini? Mia terdiam sesaat. Rasanya tempat di mana dia berada sekarang bukanlah dewan kuliah. Dia telah termasuk ke dalam mimpinya sendiri. Gangguan itu sedang bermain dengannya ketika ini.

“Mia?” Suara Zack kedengaran memanggil nama Mia. Seolah-olah memastikan itu betul-betul adalah Mia.

“Zack? Ya. Ini aku.” Respon Mia perlahan. Keadaan yang gelap menyukarkan Mia mencari di mana keberadaan Zack. Zack juga begitu.. mungkin..

Dalam pencarian, Mia merasakan ada sesuatu yang memegang tangannya. Mia berdebar. Dia mengharapkan itu adalah Zack. Betulkah? Kalau bukan? Macam mana pula?

“Mia?”

Mia menarik nafas lega. Sangkaannya tepat! Itu benar-benar adalah Zack.

“Zack, macam mana kau..”

“Mia.. Kau tahu tentang sejarah moyang kau? Aku dihantar melaluinya..” Mia tidak sempat menanyakan sesuatu, kata-katanya dipotong. Mia diam. Dia tidak faham apa yang sedang diperkatakan oleh Zack. “Sebab tu aku berada dengan kau sekarang.” Sambung Zack. Suaranya lancar tapi berbisik.

Mia senyap lagi.

“Kau kepunyaanku..” bisik Zack. Mia bingung. Dia mula meragui sesuatu.

“Aku tak akan lepaskan kau..” bisik Zack lagi.

“Zack, kau cakap apa ni? Aku tak faham..” Mia semakin tidak senang dengan cara Zack berbicara. Zack menakutkannya.

“Aku cuma risaukan kau. Tak sangka kita boleh berada di sini.” Di hujung ayatnya, Mia mendengar ada ketawa kecil seakan memberitahu bahawa kerisauan itu hanyalah pura-pura. Mia berdebar. Dia ada firasat mengatakan orang yang berhadapan dengannya sekarang bukanlah Zack, tetapi makluk lain yang sengaja menakut-nakutkan dia.

Tiba-tiba tangan Mia digenggam dengan kuat di pergelangan tangan yang sama ketika kejadian malam itu. Mia tersentak. Genggaman itu semakin kuat. Mia menahan kesakitan. Cukup-cukuplah Syawal menarik tangannya tadi, dia sudah tidak dapat menahan sakit itu. Mia mengadu kesakitan sambil meronta-ronta ingin dilepaskan. Malangnya, dia malah diheret ke suatu arah.

“Mia Safwanah.. Mia Safwanah..”

Mia mula ketakutan. Dia semakin yakin yang memimpinnya sekarang bukanlah Zack. Zack tidak pernah menyebut nama penuhnya. Bahkan mengetahuinya pun tidak pernah. Mia meronta ingin dilepaskan. Dia menarik tangannya dengan kuat. Genggaman itu terlepas. Disebabkan inersia, Mia jatuh terduduk ke belakang.

“Mia Safwanah?” Panggil suara itu. Suara yang tadi kedengaran seperti Zack kini berubah pula dengan suara perempuan yang menakutkan.

“Kau takut ya, Mia Safwanah?”

Mia diam. Tubuhnya menggigil ketakutan.

“Siapa kau? Apa yang kau mahu?” Soal Mia memberanikan diri.

Perempuan itu ketawa. Dalam kegelapan ini, Mia tidak dapat melihat apa-apa selain mendengarnya sahaja.

“Aku Mawar. Aku nak kau, Mia Safwanah..” bisik suara itu.

Mia menutup kedua-dua telinganya dengan tangan. Mia semakin trauma mendengar nama penuhnya itu disebut-sebut. Mia benar-benar menggigil ketakutan. Dia takut untuk mendengar setiap sebutan yang mengerikan. Nama yang disebut itu seakan bukan dirinya.

‘Jangan lagi sebut! Aku tak mau dengar!’ Jerit Mia dalam hati. Mahu sahaja dilontarkan apa yang dirasakannya sekarang. Tetapi suaranya itu bagai tersekat di korongkong. Dia tidak mampu berkata meskipun hanya sepatah perkataan. Dia sangat-sangat ketakutan. Dia benci nama penuhnya disebut sedemikian rupa. Dia benci mendengarnya sendiri. Mia menahan sakit di hati.

Situasi tersebut membuatkan Mia teringat kembali bagaimana namanya disebut-sebut di sepanjang koridor ketika dia dikejar. Sebutan itu disertai dengan senyuman yang mengerikan. Mia masih ingat lagi jasad yang mengejarnya itu berlari sambil mengoyang-goyangkan kepala. Seperti gembira untuk membunuhnya.

Mia menangis. Dia benar-benar benci dengan sebutan itu. Namanya menyeksa diri sendiri. Andai nama itu dipanggil lagi, mungkin dia bakal menjadi gila!

Sunyi.

Mia membuka tangan yang menutup telinganya perlahan-lahan. Memang sunyi. Tiada lagi yang menyamar sebagai Zack. Tiada sesiapa di sana. Hanya dia dan kegelapan. Mia memandang sekeliling, seperti tadi tiada apa yang dapat dilihatnya kecuali gelap. Mia menghapuskan air matanya. Dia yakin dia hanya berkeseorangan. Oleh itu, dia harus mencari jalan keluar dari ruangan yang mengurungnya.

Mia baru hendak berdiri. Deruan nafas di telinganya menyebabkan segala pergerakannya terkunci. Ada suara membisik.

“Mia safwa..” belum sempat sebutan itu lengkap. Mia sudah teriak!

“Aghh!” Suaranya bergema.

Trauma!

Leave a Reply

I’m Nem

Nemlogue.com is a small space where I keep fragments of the world – Writing, poems, paintings, art crafts, blogs and thoughts that didn’t have time to be said aloud.

Degree in Politics and a Master in Education (Economy). But i still love poems and creative writing.

Let’s connect

Discover more from Nemlogue.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading