BAB 10
Mia tersedar dari lenanya. Dia kini terbaring di atas katil di bilik rehat kolej kediaman. Bau bilik rehat itu sangat dikenalinya. Ia seperti bau ubat-ubatan di dalam hospital.
“Kau dah sedar Mia?” Soal Wati. Dia duduk di sebelah katil Mia. Mia mengangguk sekali. Kepalanya masih berdenyut-denyut. Tetapi tidak terlalu menyengat. Wati lega sedikit. Dari semalam dia menunggu Mia untuk membuka mata. Ini kali kedua Mia pengsan dan dia adalah orang yang sentiasa berada di sisi Mia di saat Mia sedar.
“Kau pengsan selama sehari. Cukup membuatkan aku ni risau. Tahu tak?”
Mia senyap. Sehari? Biar betul.
“Tu lah. Kan aku dah cakap dah, jangan tidur di meja belajar. Kau degil.” Wati meletakkan belakang tangannya ke dahi Mia. Tak panas langsung. Dia sangat pasti yang Mia tak sakit. Sakit otak yang dia maksudkan.
“Aku tak demam lah.” Mia ingin menepis tangan Wati, namun tangan kanannya itu terasa sakit untuk digerakkan.
Wati mencebik. Dia kan cuma bertindak sebagai kawan baik yang mengambil berat tentang Mia. Sepatutnya Mia bersyukur kerana memiliki kawan yang sebaik dia. “Kau hutang cerita dengan aku.” Kata Wati.
Mia tidak terus melayan Wati. Tangan kanannya itu direnung lama-lama. Dia cuba mengangkatnya, tetapi ia hanya bergerak sedikit sahaja.
“Kenapa?” Soal Wati apabila Mia tidak memberi respon kepadanya.
“Tak. Tak ada apa-apa.” Balas Mia cepat. Tangan kirinya menggenggam tangan kanannya itu. Kesakitan terasa. Tetapi riak wajahnya kepada Wati tidak ditunjukkan sangat.
“Aku nak minta kepastian dari kau.” Ujar Wati serius.
“Kepastian?” Soal Mia pula. Padahal dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Wati. Mia membetulkan kedudukannya. Dia duduk bersandar pada kepala katil. Lebih sesuai. Sesuai untuk mendengar bebelan dari Wati yang akan berlangsung sebentar sahaja lagi.
“Kenapa kau bertindak-tanduk pelik sejak kebelakangan ni? Kau sakit? Demam? Atau angau?” Soal Wati melepaskan peluru pertama. Ini baru membuka bicara.
Wati risau kalau-kalau kelakuan pelik Mia semalam ada kaitannya dengan Zack dan juga Adam. Kerana dalam ramai-ramai orang, dua orang itu sahajalah yang Mia pernah tercari-cari seperti orang gila. Kalau Zakuan pula? Jangan harap.
“Mia, jawab lah aku.” Rengek Wati apabila Mia tidak memjawab soalannya. Dia malah termenung jauh. Jauh dari realiti.
“Mia.” Panggil Wati.
“Apa kau cakap tadi? Aku dengar tanduk jer.” Ujar Mia sebaik sahaja tersedar. Wati mengerutkan keningnya. Bukankah tadi dia menyebut tindak-tanduk? Entahlah. Nampaknya Mia benar-benar berada jauh dari realiti tadi.
“Kenapa sejak kebelakangan ni, kau bertindak ganjil?” Soal Wati lagi. Kini dia tidak memasukkan lagi perkataan tanduk ke dalam soalannya. Jangan sampai dia mengulangi soalan yang sama lagi. Wati meniup rambut depannya ke belakang.
“Apa yang pelik?” Soal Mia pula meskipun dia tahu apa jawapannya.
“Hari tu, kau tercari-carikan orang yang bernama Zack. Selepas tu, pensyarah muda tu pula. Semalam, pandangan kau menakutkan aku. Kau sebut nama penuh kau sendiri. Aku macam tak percaya. Ya lah, kau mana pernah sebut nama penuh kau selama ni. Tapi cara kau sebut tu menakutkan, kau tahu? Lepas tu, kau lari keluar koridor seolah-olah kau kejar sesuatu. lepas tu, aku jumpa kau terbaring dekat bawah tangga. Ada hantu ke dalam bilik kita tu?”
Mia tersenyum. Mendengar sahaja cerita Wati yang bagai tiada noktah itu dia terhibur sendiri. “Ya. Salah satunya kau. Aku baru perasan kenapa Zakuan panggil kau mak lampir, sebab kalau kau bercakap macam baca jampi serapah.” Mia ketawa.
Wati tersenyum sumbang. Dalam ramai-ramai kawan, Mia lebih banyak berinteraksi dengannya. Kadang-kadang dia juga bingung dengan sikap Mia. Dengan orang lain Mia lebih selesa menunjukkan kedinginan dan lebih banyak berdiam diri. Tetapi jika bersamanya Mia adalah seorang yang ceria meskipun tidak selalu ditunjukkan.
Mia berhenti ketawa. Dia tunduk seketika sebelum merenung Wati lama. Wati cuak. Dah kenapa pula dengan Mia ni?
“Semalam tu.. bukan aku, Wati.” Suasana menjadi serius tiba-tiba.
“Maksud kau apa?” Wati berdebar.
“Yang kau tegur semalam tu bukan aku.” Mia memandang Wati. Mohon difahami. Biarlah Wati tahu apa yang terjadi semalam. Agar selepas ini dia lebih berhati-hati. Mia menarik nafas yang panjang sebelum menceritakan kisah semalam kepada Wati.
Sepanjang bercerita, Wati tidak menyampuk. Dia hanya mampu terlopong sepenuhnya. Walaupun susah untuk dia mempercayai kata-kata Mia itu, dia tidak dapat membantahnya kerana dia tahu Mia tidak hanya merekacipta cerita tersebut.
“Kenapa kau tak halang aku dari tegur benda yang masuk dalam badan kau tu?” Meremang bulu romanya apabila mengetahui yang dikejutkan semalam itu bukanlah Mia yang sebenar.
“Aku dah bagitahu. Tapi kau tak nak dengar.” Jelas Mia. Bukan sahaja Wati tidak mendengar malahan tidak dapat melihat langsung akan kewujudannya.
“Bukan aku tak nak dengar. Tapi kau yang tak menampakkan diri kau sendiri..” Wati membela dirinya. Masih enggan untuk mengalah.
“Lain kali jangan tegur aku bila kau nampak ada tahi lalat dekat dahi aku, faham?” Mia berharap agar Wati boleh menerima penjelasannya itu. Meskipun dia tahu, Wati agak kebingungan mendengarnya.
“Owhh..” Wati membulatkan mulutnya. Lain kali dia akan lebih berhati-hati untuk menegur Mia andai situasi seperti itu berlaku lagi.
Mia mengangguk perlahan. Segalanya sudah jelas kepada Wati. Nampaknya kawan baiknya itu percaya dengannya tanpa banyak soal. Mia bersyukur. Dia tidak menyalahkan Wati kerana tidak perasan akan kewujudannya itu semalam. Sememangnya Wati tidak bersalah.
Keluhan dilepaskan. Mia teringat akan Syawal. Syawal dapat melihat dia ketika dia berada dalam ketakutan menghadapi lelaki tua bertongkat semalam. Perlahan-lahan Mia akui apa yang dikatakan oleh Syawal itu. Syawal mempunyai kelebihan untuk melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh manusia biasa.
“Syawal tu kawan Zakuan kan?” Soal Mia kepada Wati. Kepala Wati mengangguk laju.
“Dia anak ketua polis. Kau tak tahu?” Ujar Wati. Mustahil Mia tidak kenal siapa Syawal. Walhal, satu kampus mengenali Syawal.
“Aku jarang nampak dia.” Kata Mia.
“Dia jarang berjalan dengan geng-geng Zakuan. Dia lebih suka sendirian. Kalau dalam kelas selalu, dia akan duduk paling tepi dekat zon budak-budak yang senyap.” Jelas Wati serba tahu.
“Kau tahu banyak tentang dia.” Ulas Mia.
Wati tersipu-sipu malu.
“Kalau kau nak tahu, aku dengan dia dah berkenal lama. Tapi, dah tak rapat lagi. Mama dia dengan mama aku berkawan. Ayah dia tu warak habis. Hah, ayah dia lah yang aku cadangkan dengan kau untuk pergi berubat hari tu. Kalau kau nak, aku boleh minta nombor telefon dari mama aku. Kau nak?” Wati menaik-naikkan keningnya.
Mia hanya terpinga-pinga mendengar tawaran Wati. Pantas dia menggeleng. “Tak payah. Aku tak nak berubat.” Tolaknya.
“Kau gila?” Soal Wati seakan tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh Mia. Mampukah Mia bertahan dengan gangguan-gangguan ngeri itu? Kalaulah dia, mungkin sudah lama dia bunuh diri atau paling tidak pun jadi gila.
Mia diam sejenak. “Nanti-nanti aku berubatlah..”
“Kau tak takutkah gangguan ni semakin menjadi-jadi?” Wati merenung Mia dalam-dalam. Mia mengeluh.
“Sejujurnya aku memang takut.. dan penat..”
“Jadi?”
“Aku perlukan masa.”
“Untuk apa?”
“Untuk tahu siapa diri aku yang sebenarnya.” Ucap Mia perlahan. Kata-kata terakhir jasad itu sebelum mereka jatuh tangga semalam tergial-gial di kepalanya. Mia perlu mengetahui siapa dirinya dan kenapa gangguan itu selalu menghantuinya. Persoalan-persoalan yang muncul di dalam benak Mia, membuatkan dia ingin tahu siapa dirinya sebenar dan siapa yang sedang bermain helah di sebalik semua gangguan yang dihadapinya selama ini. Semua itu pasti ada jawapannya.
Giliran Wati pula yang melepaskan keluhannya. Dia tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh Mia. Lantas, dia mengangguk sahaja. Walaupun dia tidak faham namun dia tidak mahu Mia kecewa andai dia membantahnya. Mia perlukan sekongan.
Mia juga turut berdiam apabila Wati sudah tidak berkata apa-apa lagi. Mia memandang sayu tangan kanannya. Dia cuba untuk mengangkatnya namun payah sekali. Tangannya terasa sangat sakit jika dipaksa sebegitu.
‘Teruk sangatkah aku jatuh tangga semalam?’ Soal Mia dalam hati. Dia risau. Sebelum dia jatuh di tangga, dia diserang dengan seekor kucing hitam. Kucing itulah yang telah mencakar tangannya. Tetapi, mustahillah ia menjadi sebab utama tangannya itu sakit dan payah untuk digerakkan.
“Kau dengan Syawal, kawan masa kecil kan?” Mia membawa topik tentang Syawal. Mia sedar dia telah merosakkan mood kawannya itu. Sudah tanggungjawabnya untuk menceriakan mood Wati kembali.
Sebut sahaja tentang Syawal, Wati tersenyum. “Ya lah. Aku dengan Syawal kawan masa kecil semejak aku berpindah ke bandar dengan mama aku. Tapi aku dah tak rapat dengan dia lagi. Sebab aku rasa, dia lebih suka sendirian. Dan kau tak akan percaya apa yang akan aku cakap ni..”
“Apa?” Tanya Mia.
“Masa aku kecil, aku takut dengan Syawal. Sebab dia boleh nampak benda yang orang lain tak boleh nampak. Dan sebab tu jugalah aku dah tak rapat dengan Syawal lagi. Dia pernah bagi aku satu benda ni. Dia cakap, benda ni akan buat aku berani dan tak takut apa-apa. Tapi, aku pulangkan balik benda tu. Aku tahu, dia lebih memerlukannya.” Cerita Wati mengenangkan kisah lamanya. Terasa segar lagi memori masa kecilnya bersama dengan Syawal. Entahlah jika Syawal masih mengingati akan peristiwa itu lagi atau pun dia sudah melupakannya. Kerana itulah Wati menjadi malu dan segan jika bertembung dengan Syawal.
“Apa benda tu?” Tanya Mia tertarik dengan cerita Wati.
“Uncang.”
“Isinya?”
“Batu kecil.”
“Batu?”
“Bukan sebarang batu. Batu tu berbentuk heksagon.”
Mia mengangguk tanda faham. Dia terbayang akan uncang yang berisi batu berbentuk heksagon yang dikatakan oleh Wati. Semestinya di dalam fikiran Wati ada Syawal pada ketika ini. Kerana Mia dapat melihat Wati tersenyum-senyum mengenangkan sesuatu. Mia juga tersenyum kerana berjaya menceriakan mood Wati kembali. Tugasnya sudah selesai.
Tugasannya selepas ini adalah, merawat tangannya yang sakit itu. Supaya dia senang untuk membuat kerja dan mudah untuk bersiap sedia jika ada apa-apa perkara yang menakutkan terjadi kepadanya lagi. Mia mahu menghadapi gangguan itu dengan keadaan yang sihat.
–
Safiya merenung Zack yang terbaring di katil. Zack masih belum membuka matanya. Safiya merasa kesian terhadap Zack. Entah apa lagi ujian yang akan menguji kehidupan mereka. Inilah salah satu sebab kenapa dia melarang Zack untuk kembali ke bandar. Dia tahu gangguan yang menghantui Zack masih belum selesai.
“Makcik, jangan risau. Keadaan Zack dah tak seteruk macam semalam.” Jelas Doktor Laila. Melihat wajah Safiya yang penuh dengan kerisauan itu membuatkan dia turut merasa kesian. Rasa sayang Safiya terhadap Zack sangat ketara di pada wajah tuanya. Doktor Laila tersentuh.
“Makcik, boleh saya tanya sedikit?” Soal Doktor Laila.
Safiya mengangguk. “Tanyalah.” Ujarnya.
“Macam mana Zack boleh cedera teruk macam ni?” Soal Doktor Laila. Kaki Zack cedera teruk. Ada beberapa serpihan kaca yang besar tertusuk masuk pada lukanya. Nasib baiklah Zack tidak kehilangan banyak darah.
“Dia jatuh dari jendela. Itu pun ayah dia yang nampak.”
“Jendela dapur?”
Safiya menggeleng. “Jendela tingkat atas.”
“Atas?” Doktor Laila seakan tidak percaya. Andai Zack jatuh dari tingkat atas, bukan setakat cedera kaki sahaja. Malah, dia mungkin akan patah tulang dan mengalami kecederaan yang lebih teruk. Kes jatuh dari tempat yang tinggi jarang sekali yang hanya mendapat cedera pada sebelah kaki sahaja. Tambahan pula, tingkat rumah Zack itu tinggi.
“Macam mana keadaan dia?” Azlan muncul di muka pintu.
“Keadaannya tak serius sangat. Cuma luka pada kakinya agak teruk sedikit. Tapi saya dah rawat dah. Beberapa hari lagi, dia akan sembuh sepenuhnya.” Jelas Doktor Laila.
Azlan mengangguk perlahan. Kemudian, dia beredar begitu sahaja.
“Terima kasih, Laila. Nasib baik kamu ada.” Ucap Safiya ikhlas.
“Saya ni kan jiran sekampung, kalau ada apa-apa bagitahu saja. Saya boleh tolong.” Doktor Laila mengemaskan barang-barang yang dibawa olehnya.
“Kamu tak pergi kerja hari ni? Kesian kamu. Dah lah bandar tu jauh.”
Doktor Laila tersenyum.
“Saya dah biasa, makcik. Memang nasib saya kena kerja di hospital bandar. Esok saya kerja. Petang nanti saya balik ke bandar. Mungkin saya tak ada dekat kampung untuk beberapa hari. Tapi kalau ada apa -apa yang berlaku bagitahu sahaja.”
Safiya mengangguk. Dalam kampung, Doktor Laila seorang sahaja yang berjaya menjadi seorang doktor. Yang lain kebanyakannya terjun ke dalam bidang perniagaan dan perguruan.
“Baiklah. Saya balik dulu lah makcik. Nak hantar Ana ke sekolah pula.” Doktor Laila memohon keizinan untuk mengundur diri.
Safiya mengangguk. “Terima kasih banyak-banyak. Kirim salam dengan mak kamu.” Pesan Safiya.
“Baik, makcik.” Doktor Laila menghulurkan tangannya. Dia bersalaman dengan Safiya sebelum pulang.
Tinggallah Safiya sendirian di dalam bilik itu. Dia merenung wajah Zack sayu. “Semua ni tak akan berlaku jika kisah lalu itu tidak terjadi.” Ujar Safiya perlahan. Air matanya mengalir. Kesilapan masa lalu menyebabkan kebinasaan masa hadapan.
“Fiya..” Azlan muncul semula. Dia menuju ke arah Safiya yang duduk di sebelah katil Zack. Safiya menghapuskan air matanya.
“Jangan risau. Benda ini tak akan lama.” Azlan menyentuh bahu Safiya perlahan. Dia mahu menenangkan Safiya. Dia tahu Safiya terluka. Semua yang berlaku telah tertulis di dalam takdir. Tiada yang perlu mereka kesali lagi.
“Saya takut kalau semua ni terjadi ada kena mengena dengan Natra.” Safiya menyebut nama Natra perlahan. Hati suaminya perlu dijaga.
Azlan menggeleng.
“Bukan Natra sahaja. Ini berkaitan dengan Mawar.”
“Mawar? Maksud abang, benda yang masuk dalam badan pesakit ayah abang dahulu tu?” Soal Safiya. Ketika kejadian tersebut dia juga ada di sana. Wajah pesakit yang dipanggil Nek Kia itu masih diingati olehnya. Safiya menelan liur. Dia menjadi takut tiba-tiba.
“Mawar dah kembali.” Kata Azlan membuat kesimpulan yakin.
“Macam mana abang tahu?” Tanya Safiya.
Azlan tunduk seketika sebelum memandang wajah Zack sekilas. “Abang nampak kelibat Mawar di belakang Zack. Sebelum Zack terjun dari jendela.”
Safiya merenung suaminya dengan riak wajah terkejut. “Terjun? Abang cakap semalam Zack terjatuh.”
Azlan bungkam. Dia memikirkan ayat yang terbaik untuk menceritakan kepada Safiya kejadian sebenar. “Apa-apa pun, sekarang ni kaki Zack dah dirawat.” Ucap Azlan. Dia tiak mahu Safiya semakin risau tentang keadaan Zack.
Safiya menarik tangan suaminya perlahan. “Apa yang terjadi sebenarnya, abang?” Tanya Safiya lembut.
Azlan melepaskan keluahannya. Dia tidak punya pilihan lain selain menceritakan apa yang terjadi. Tambahan pula, Safiya berhak untuk tahu.
“Abang nampak Zack terjun dari jendela.” Jelas Azlan. Semasa kejadian, dia terdengar ada bisikan-bisikan halus dari luar bilik utama. Apabila dia keluar, dia mendapati Zack sudah membuka jendela dan terjun ke bawah. Azlan tidak sempat menghalang, kerana dia ternampak satu kelibat hitam yang berdiri di tepi jendela. Azlan yakin itu adalah Mawar.
“Tapi kenapa Zack tak cedera banyak?” Soal Safiya. Tiada niat untuk dia mahu-mahu Zack cedera banyak. Dia cuma hairan. Zack jatuh dari tingkat atas, ia adalah sangat bahaya. Silap-silap boleh mati jika tidak bernasib baik.
Azlan menggeleng tidak tahu. Ketika dia berlari keluar rumah untuk mendapatkan Zack. Zack sudah berada di belakang halaman rumah, terbaring dan mengadu kesakitan.
“Abang yakinkah yang abang nampak itu adalah Mawar?” Soal Safiya tiba-tiba. Azlan diam. Dia memandang istrinya. Apa yang dimaksudkan dengan soalannya itu? Ada keraguan pada wajah Safiya.
“Mawar seorang penari istana. Dia berpakaian sama seperti Natra sebelum Natra hilang.” Beritahu Safiya berbisik. Seolah-olah di dalam ruangan itu ada yang mahu mencuri dengar akan bicaranya. Azlan terdiam lagi. Dia tidak pernah terfikir akan perkara itu.
Natra mengenakan baju kebaya merah sebelum dia hilang. Manakala Mawar juga mengenakan baju kebaya merah, baju yang dipakai untuk mempersembahkan tariannya. Bagaimana Azlan boleh melupakannya? Sedangkan Mawar pernah menjelma sebentar dengan berpakaian kebaya merah ke rumahnya dahulu sebelum peristiwa hitam itu berlaku.
Safiya memandang sekejap kepada Zack yang masih tidak sedarkan diri. “Abang kena rawat dia dengan rukyah abang.” Ujar Safiya. Dia risau. Entah-entah selepas ini akan terjadi lagi kejadian yang lebih bahaya dari semalam.
“Tak boleh.”
Safiya terkejut dengan jawapan Azlan. “Kenapa?” Soalnya.
“Zack bukan keturunan Mawar. Abang tidak boleh hentikan dendam Mawar. Dendam Mawar tidak ada pada tubuh Zack. Zack cuma menjadi sasaran untuk Mawar melepaskan dendamnya.”
Safiya terdiam resah. “Jadi siapa yang harus dirawat?” Soalnya.
Azlan tunduk sesaat. Dia berfikir. Kejadian dahulu terimbas kembali ke dalam ingatannya. Dia teringat akan pesakit arwah ayahnya yang bernama Nek Kia. Mawar merasuk ke dalam tubuh Nek Kia kerana darah yang ada pada Nek Kia merupakan darahnya yang mengalir melalui keturunan mereka. Azlan mengangguk perlahan. Dia tahu siapa orang seterusnya yang akan menjadi laluan Mawar untuk membalas dendam selepas tubuh Nek Kia.
“Orang yang perlu dirawat adalah keturunan terakhir Mawar. Seperti Nek Kia dahulu.” Kata Azlan perlahan. Dia memandang istrinya.
“Mawar akan mempergunakan tubuh keturunan terakhirnya. Tubuh seorang perempuan.” Sambung Azlan lagi.
Safiya diam tidak berkata. Dia memahami kata suaminya itu. Tetapi mereka tidak mengenali siapa keturunan terakhir Mawar yang dimaksudkan. Andai mereka mengenalinya sudah pasti semuanya akan menjadi lebih mudah.
“Terlalu banyak kejadian yang berlaku sebelum ini. Abang rasa telah banyak berbuat salah terhadap Fiya dan Zack.” Ujar Azlan tiba-tiba.
Safiya terdiam. Dia merenung wajah suaminya itu.
“Masih ada lagikah peluang untuk abang tebus balik semua kesalahan dahulu?” Soal Azlan kepada Safiya.
Pada ketika itu, dia cuma ada Safiya yang mengerti akan perasaannya kerana Safiya lah yang menjadi saksi di atas kekerasan hatinya dahulu. Safiya jugalah yang menjadi saksi di atas sejarah hitam yang menyebabkan dia berfikir dan bertindak dengan sendiri.
“Abang, ini baru permulaan. Peluang abang sentiasa ada.” Ujar Safiya lembut. Dalam hatinya dia bersyukur kerana suaminya itu sudah menjumpai dirinya yang dahulunya pernah hilang. Safiya pecaya akan hati manusia yang boleh berbolak-balik dengan sekelip mata. Setiap kali air bah pantai pasti berubah. Inikah pula hati manusia.
Azlan tersenyum. Lega hatinya mendengar ayat Safiya.







Leave a Reply