BAB 8

Mata Mia meliar memerhati kawasan lorong yang mejadi laluan utama pelajar hendak ke lobi utama. Dia meneliti pada setiap sudut dengan mata yang besar.

“Kau ni kenapa?” Soal Wati kehairanan. Sejak tadi Mia berjalan seperti penyiasat persendirian. Setiap ruang dan sudut disinggahnya. Matanya asyik meliar ke segenap demensi. Pelajar lain yang perasan akan kelakuan Mia tentu menyangka Mia tengah mempraktiskan lakonan drama. Wati hanya mampu menggelengkan kepalanya.

“Aku tengah cari si Adam tu. Dah seminggu dia hilangkan diri. Ke mana agaknya lelaki tu.” Ujar Mia. Dia masih dengan aksi seperti tadi. Dia tidak kisah dengan mata-mata yang memandang serong kepadanya. Selagi perlakuannya tidak menganggu kehidupan orang lain, selagi itu dia tidak kisah.

“Dulu yang kau cari sampai bawa katil tu nama dia Zack, sekarang yang kau cari sampai dapur kafe ni, si pensyarah muda tu pula. Aduh, pening kepala aku nak layan perangai kau ni.” Sekali lagi Wati menggeleng. Dia hampir menghantukkan kepalanya di dinding. Kalau Mia boleh jadi gila macam itu sekali, biarlah dia juga turut serta. Biar mereka bersama-sama menjadi gila agar dia tidak keseorangan.

Belum sempat kaki mereka membelok masuk ke simpang sebelah, kedengaran seorang lelaki yang berdehem, memohon perhatian.

“Sayang cari abang ker tu?” Soal suara garau yang menakjubkan.

Mia dan Wati terkejut.

Zakuan bersandar pada dinding sambil menaik-naikkan sebelah keningnya. Alangkah machonya dia pada ketika itu. Pelajar-pelajar perempuan yang melalui laluan yang sama, terpegun melihat kekacakan Zakuan. Tapi malangnya Wati dan Mia langsung tidak terpikat. Kemunculan Zakuan dianggap ibarat debu yang ditiup angin. Dibiarkan dan tidak dilayan.

Zakuan mencebik apabila Mia dan Wati hanya meneruskan langkah mereka tanpa menunjukkan sebarang minat terhadap dirinya. Terlopong Zakuan bagaikan tidak percaya. Tidak cukup menarikkah gaya yang dipersembahkan tadi? Ini tidak boleh dibiarkan.

“Hei, korang nak pergi mana tu, tunggulah aku.” Zakuan mengejar langkah dua orang perempuan yang sudah menjatuhkan maruahnya tadi. Zakuan menghalang mereka dari meneruskan langkah.

 “Apa yang kau mahu?” Soal Wati. Melihat sahaja muka Zakuan membuatkan dia meluat dan tidak sanggup untuk berhadapan dengan Zakuan lagi. Setiap kali dia terjumpa dengan Zakuan, dia merasa menyesal kerana telah membiarkan dirinya melalui jalan yang terdapat Zakuan di sana.

“Eh. Aku tak nak jumpa kau lah. Aku cuma nak jumpa Mia.” Ujar Zakuan. Dia sempat menghadiahkan Wati jelingan maut sebelum pandangannya beralih kepada Mia. Senyuman menawan diukir untuk Mia. Senang hatinya apabila melihat wajah Mia. Tadi dia tidak sempat berjumpa dengan Mia di dalam dewan kuliah kerana Mia dan Wati keluar awal darinya. Ini semua salah Puan Adibah yang telah menahannya untuk bertanya tentang perkembangan kerja khurus individu yang diberikan dua bulan yang lalu. Hanya dia seorang lagi yang belum menghantarnya. Ya. Mungkin itu memang salah dia.

“Sudahlah, pergi main jauh-jauh.” Halau Wati.

“Apa kau ni? Aku bukannya nak jumpa kau. Jangan nak perasan ya. Kau tu dah lah tua kerepot jangan harap lelaki kacak seperti aku ni nak berjumpa dengan kau. Terserempak pun aku tak sanggup.” Zakuan melontarkan kata-kata beracun kepada Wati. Baginya Wati memang layak merasa racun itu. Supaya Wati sedar diri dan tidak menjadi penyebab cinta agungnya terhadap Mia tidak kesampaian. Selepas dari kejadian di dewan terbiar minggu lalu, dia semakin berhati-hati untuk merancang segala agendanya untuk menjatuhkan Wati. Kerana dia tidak mahu Mia yang menjadi mangsa keadaan lagi.

“Seumur hidup aku, aku tak pernah lagi jumpa pengembala kambing yang perasan macam kau. Lagi satu, kau ingat aku teringin nak jumpa kau? Aku sanggup duduk hutan tak makan satu bulan daripada keluar dan terserempak dengan kau. Hah, mana konco-konco kau?” Ujar Wati tidak mahu mengalah. Wati melihat sekeliling, tiada seorang pun kawan yang dibawa oleh Zakuan.

Selalunya Zakuan datang dengan rombongannya menyebabkan semua orang terpegun dan tertarik dengan mereka. Al-maklumlah konco-konconya semua pun kacak-kacak belaka. Hampir semua pelajar dan pensyarah mengenali mereka. Zakuan dan kumpulannya itu kebanyaknya orang yang elit-elit. Kaya dan bergaya. Ramai pelajar perempuan yang tergoda dengan kumpulan Zakuan. Tapi malang sekali, Wati dan Mia hanya memandang mereka tidak ubah seperti sekumpulan biri-biri dan pengembalanya si Zakuan ini lah.

“Eh, Salahkah aku jalan sorang-sorang? Kenapa kau nak sebarkan sihir kau? Kau kan mak lampir.” Zakuan mencebik. Sempat mengejek Wati.

“Apa kau panggil aku? mak lampir? Aku siku kau kang. Baru kau tahu langit tu tinggi mana.” Wati sudah bersedia mengangkat sikunya. Dia rasa Zakuan buta kerana tidak nampak kecantikan yang dia miliki. Padahal, dia tidak kurang hebatnya jika dibanding oleh Zakuan dalam carta pelajar paling popular.

“Tak payah nak pakai langit-langit lah. Kau nak bawa aku terbang ker? Eh, Tak ingin aku. Kan aku dah cakap kau ni mak lampir. Pandai terbang-terbang.” Balas Zakuan pula panas dan menguji kesabaran Wati. Wati menggenggam penumbuknya. Matanya merenung tajam mata Zakuan. Zakuan juga begitu. Mereka masing-masing tidak mahu mengalah.

“Dah lah. Aku lapar.” Celah Mia di saat perlawan di antara Wati dan Zakuan baru sahaja hendak bermula. Mia meninggalkan mereka laju-laju. Takut tempias dari perang lidah mereka itu menular pula kepadanya.

“Ish! Budak ni. Malas aku nak layan!” Wati meninggalkan Zakuan sedirian. Dia mengekori langkah Mia. Zakuan terkebil-kebil sendirian.

“Eh, nak pergi mana tu. Aku pun lapar juga lah.” Mana mungkin dia membiarkan Mia meninggalkannya dan pergi bersama Wati. Nanti aura mak lampir itu merebak kepada Mia pula.

Zakuan mengejar langkah mereka dan berjalan ke arah yang sama. Dalam perjalanan, Wati dan Zakuan sempat bertikam lidah. Mia yang berada di antara mereka hanya mampu menggelengkan kepalanya.

Dari kejauhan Adam memandang ke arah mereka. Dia tersenyum sinis.

“Pandai pula kau tercari-carikan aku ya, Dayang.” Kata Adam bermonolog sendirian. Dayang? Dia sendiri tidak tahu siapa Dayang itu. Dia hanya menyebutnya tetapi yang dimaksudkan adalah Mia.

“Macam mana kau boleh kenal dengan Zack? Siapa sebenarnya kau, Syahirah.” Ucap Adam lagi. Syahirah? Nama yang lain lagi disebutnya tetapi dia masih maksudkan Mia. Inilah akibat jika dia tidak mengenali nama seseorang. Dia cenderung untuk menyembut dan memanggil nama sesorang itu sembarangan sahaja. Baginya, Ada apa pada nama.

Adam memandang sekilas pada jam di tangannya. Dia mengeluh apabila teringat akan mesyuarat yang akan berlangsung beberpa minit lagi dari sekarang. Awal-awal kemasukannya di kolej itu, banyak pula mesyuarat yang diadakan oleh pihak fakulti.

Ketika dia hendak berpusing dan beredar, bahunya terlanggar dengan seorang pelajar lelaki yang jalan bertentangan dengannya.

“Sorry.” Ucap Syawal kepada Adam.

Adam mengangguk. Lalu beredar tanpa berkata sepatah ayat. Dia perlu mengejar masa. Manakala, Syawal hanya memerhati langkah pensyarah muda itu hingga bayangnya hilang dari lorong tersebut. Syawal tersenyum.

–

Adam memerhati sekeliling biliknya. Di dinding, di bawah katil, di dalam almari, di belakang pintu, di tandas, dan akhir sekali di lantai. Tiada? Dia tersenyum lalu menarik nafas lega.

‘Binatang durjana tu tak ada.’ bisik hatinya senang.

Adam menjatuhkan tubuhnya ke atas katil. Tilam yang empuknya bagai berbaring di atas batal-batal kapas yang banyak membuatkan dia lupa akan dunianya seketika. Adam merenggangkan badannya. Dia dapat merasakan bagaimana urat sarafnya kembali bernafas setelah sesak dengan pelbagai karenah manusia. Bebas.. bebas… masa untuk berehat.

Adam mula mengosongkan fikirannya lalu mengira biri-biri yang berlari melompat pagar di dalam ruang bayangan mindanya.

Satu biri-biri..

Dua biri-biri..

Tiga biri-biri..

Dan.. wuaahh.. Adam menguap tanda mengantuk. Di saat matanya sudah hendak terlelap, telinganya menangkap satu bunyi yang menarik dirinya dari memasuki ke alam mimpi.

Cak-cak-cak.

 Bunyi itu bunyi haiwan durjana!

Adam membuka matanya luas-luas. Kelihatan bapa cicak melekat tenang pada siling bilik tepat-tepat di atas kepalanya. Adam terkaku seketika. Nafasnya tersekat.

Cak-cak-cak.

Ia berbunyi lagi. Adam bingkas bangun dan berlari keluar dari bilik selaju yang boleh. Dia menutup pintu bilik itu rapat-rapat sebelum terduduk bersandar padanya. Adam tercungap-cungap menarik oksigen masuk ke dalam peparunya.

“Somebody! Anybody! Help me! Toloong!” Jerit Adam meminta bantuan.

Seisi rumah terbangun. Semua bergegas mendapatkan Adam. Dua orang pembantu rumah wanita dan adik perempuannya, Eka muncul dengan muka baru bangun dari tidur. Lengkap kesemuanya. Memang itu sahajalah bilangan penghuni yang tinggal di dalam rumah tersebut. Ibubapa mereka sudah lama meninggal dunia. Mereka hanya hidup berdua dengan adiknya ditemani oleh dua pembantu rumah yang setia sedari mereka kecil lagi.

“Sekarang ni apa pula, bang?” Soal Eka bengang. Gara-gara Adam tidurnya terganggu.

“I saw a dragon.” Jawab Adam. Hampir hilang nafasnya.

Eka mencebik.

“Eh, betul laa..” Adam beralih pula kepada pembantu-pembantu rumah itu. “Bibik, bilik saya tu dah dibersihkan ke belum? Apasal pula ada binatang yang melekat-lekat tu?” Bebel Adam. Bukan dia takut cuma dia merasa geli. Ya! Geli. Sebenarnya haiwan yang melekat itu lebih menakutkan dari hantu. Percayalah..

“Kami sudah membersihkannya kok. Tapi yah, kali aja cicak itu masuk kembali.” Kata bibik Nona dengan logat Indonesianya.

“Apa Adam mau kami bersihin kamarnya lagi?” Soal bibik Nona pula.

Eka memandang tajam ke arah Adam. Adam menelan liur. Dia tahu adiknya itu tidak mahu dia menyusahkan pembantu-pembantu rumah mereka pada malam-malam begini. Mereka perlu bertindak profesional. Kalau hendak hidup, jangan hanya tahu menyusahkan orang. Pembantu rumah pun manusia juga. Mereka perlu berehat.

“Ooo.. enggak usah sekarang deh. Esok aja ya. Saya bisa kok tidur di ruang tamu.” Balas Adam. Sejujurnya, dia memang pandai bercakap dalam logat Indonesia kerana dia merupakan raja sinetron pada dahulu kala. Tiada niat untuk mengolok langsung. Dalam masa yang sama dia akur dengan jelingan tajam Eka.

“Habis? Yang abang terpekik-pekik tu pasal apa? Ishh.. menyusahkan orang betul lah. Maaf ye bibik-bibik sekalian. Dah. Bersurai sekarang.” Eka sempat membebel sebelum mengeluarkan arahan seperti ketua majikan dan berlalu begitu sahaja. Mereka semua beredar meninggalkan Adam.

Adam terkulat-kulat sendirian. Dia menuju ke ruang tamu dan berbaring di sofa. Matanya masih lagi segar-bugar. Ini semua gara-gara haiwan itu. Adam mengeluh. Dia melihat pada skrin telefon. Kemudian melihat pada baki kreditnya. Hanya RM 1.75 lagi yang tinggal. Sekali lagi Adam mengeluh.

“Aduh, aku ni nama sahaja pensyarah. Baki kredit pula tidak setaraf dengan pangkat. Nevermind. Let me call someone that can sing me a lullaby song. Alang-alang biar sampai habis kredit ni.” Dia bermonolog. Pantas jarinya mendail nombor telefon Zack.

“Hello?” Suara di hujung talian. Itu Zack si mata biru.

“Hello. Sahabatku, apa kabar? Okey tak udara kampung?” Soal Adam menanyakan kabar Zack.

Ya benar. Zack adalah kawan kepada Adam dan mereka sangat akrab semenjak dari kecil lagi. Mereka boleh diibaratkan seperti adik beradik dek keakraban tersebut. Apatah lagi mereka adalah seumur. Cuma pada ketika ini mereka terpisah oleh jarak antara bandar dan kampung, namun tetap berhubung.

“Aku okey. Ayah aku dah mula bercakap dengan aku dan itu dah cukup buat aku bahagia. Aku rindulah nak balik bandar. Kampung ni bosan sebab hari-hari aku dengar ayam berkokok.” Ujar Zack mengadu kebosanannya kepada Adam.

Adam mengangguk perlahan. Kemudian dahinya berkerut seribu persoalan. Sejak bila hubungan Zack dan ayahnya menjadi baik? Bukankah itu mustahil?

“Ayah kau dah okey? Wah, menakjubkan. Tapi kenapa? Eh, Syukurlah dapat dengar ayam berkokok. Dekat sini semua benda berkokok. Lori, kereta dan macam-macam lagi. Jadi, kau buat apa setiap hari?” Kalau benarlah kehidupan kampung membosankan Adam sendiri pun tak tahulah hendak bilang apa. Padahal suasana kampung yang nyaman begitulah dia idamkan sekarang ini.

“Kau soal satu-satulah. Mana satu aku nak jawab dulu.” Ujar Zack.

“Aku nak tahu pasal ayah kau.”

Talian menjadi sunyi seketika. Mungkin Zack sedang mencari perkataan untuk memulakan ayatnya.

“Ya. Hubungan aku dengan ayah aku dah baik. Kau jangan tanya aku kenapa. Sebab aku tak ada ayat yang sesuai untuk itu. Tapi aku yakin yang ayah aku ada kaitan dengan semua gangguan yang aku alami. Maksud aku, perempuan berkebaya merah tu.” Jawab Zack jujur.

Menyentuh sahaja perihal gangguan yang membelenggu hidup Zack, Adam membetulkan kedudukannya di sofa. Matanya perlahan-lahan memerhati sekeliling ruang tamu. Takut-takut ada yang sedang memerhatinya tanpa dia sedari. Lagi pula, sebaik sahaja Zack menyebut tentang wanita berkebaya merah, bulu tengkuknya terus menegak.

“Aku kira nak balik bandar lah nanti. Kesian rumah aku kat sana tak ada penghuni.” Luah Zack.

“Balik jer lah. Siapa larang kau? Nanti bagitahu aku. Tapi kau dah sihat sepenuhnya? Kau dah tak mimpi yang aneh-aneh lagi?” Soal Adam. Kadang-kadang dia risau juga dengan kawannya itu. Zack selalu menceritakan apa yang dialami dalam mimpinya. Cerita itu pula bukan alang-alang. Ngeri dan menakutkan.

“Sejak kebelakangan ni. Aku dah tak diganggu lagi. Tapi tak tahu lah akan datang nanti macam mana..” Zack menduga-duga masa depannya.

“Owhh..”

Kemudian mereka bercerita lagi. Sedang bercerita, Adam tiba-tiba teringat tentang pelajar perempuan yang melukis wajah Zack itu tempoh hari.

“Hey, Zack. Aku ada benda nak cerita ni.”

“Apa dia?”

“Kau tahu. Masa hari pertama aku melaporkan diri sebagai pensyarah, ada seorang pelajar perempuan ni tengah khusyuk melukis sesuatu. Masa dalam lecture aku pula tu. Sekali aku rampas lukisan dia, aku terkejut. Lukisan yang dia lukiskan tu adalah kau.” Adam bercerita dengan riak wajahnya sekali. Serius.

“Kau ni. Mungkin dia nak lukis muka artis. Tapi tersalah lukis, jadi pula macam muka aku. Kan?” Ujar Zack. Dia masih menganggap kajadian itu adalah perkara biasa.

“Apa pula tersalah lukis. Aku dah tanya siapa yang dia lukis tu. Dia sebut nama kau. girlfriend kau mungkin?” Duga Adam.

“Aku mana ada girlfriend. Tunggu kejap. Siapa nama budak tu?” Soal Zack pula. Dia seakan teringat akan sesuatu.

“Owh, nama dia.. err..” giliran Adam yang cuba mengingati sesuatu. Siapa nama pelajar perempuan itu? Soalnya kepada diri sendiri. Dia cuba mengingati lagi. Namun hampa. Dia langsung tidak mempunyai memori tentang nama pelajarnya itu.

“Nama dia siapa?” soal Zack lagi.

“Nama dia.. Dayana, Melati, Zulaikha, Suraya, Farhana, Dayang dan akhir sekali Syahirah..” jawab Adam dengan jelas. Dia menyebutnya sempurna dengan satu nafas sahaja.

“Huh? Berapa orang sebenarnya yang melukis?” Zack sudah kebingungan.

“Seorang lah.”

“Habis yang kau sebut nama-nama tadi tu satu kali gabung ker? Panjang gila nama budak tu. Aku tak dengar pun kau sebut binti.” Kedengaran Zack semakin kebingungan di hujung talian.

Adam mengaru kepalanya yang tidak gatal. Zack juga begitu. Sama-sama dalam kebingungan.

“Tak lah. Aku tak pernah tanya siapa nama dia. Sebab aku tak ada masa. Aku main sebut jer lah nama-nama tu.” Adam tersengih sendiri. Salah dia juga kerana tidak pernah menanya siapa nama pelajar perempuan itu.

“Erm.. kau ni pun satu. Bingung aku jadinya.”

“Okey lah. Kredit aku dah nak habis. Selamat malam. Bye.” Adam terus menamatkan panggilan telefon tanpa menunggu ucapan terakhir dari Zack. Dia tahu Zack sedang terkulat-kulat di hujung talian. Adam tersenyum lucu membayangkan reaksi muka Zack. Adam menoleh jam di dinding. Jam sudah menunjukkan jam dua pagi. Nampaknya dia perlu melelapkan mata sebelum bersiap siaga untuk menghadapi pancaran matahari yang akan muncul beberapa jam lagi.

–

Pagi-pagi lagi, Zakuan sudah melepaskan keluhan beratnya. Dia memandang sekeliling. Kemudian beralih pula kepada jam di tangannya. Dia mengeluh lagi. Sesaat kemudian dia diam sebentar dengan muka monyoknya. Tatkala matanya meliar lagi ke sekeliling ruangan itu, dia merasa seperti seorang yang tidak berdaya. Akhirnya, dia mengeluh dengan penuh emosi.

“Woi, bisinglah kau ni. Tak payahlah nak tunjuk perasaan pula.” Tegur Wati. Dia sangat terganggu dengan keluhan Zakuan.

“Lama lagi kah korang?” Tanya Zakuan hampir hilang kesabarannya.

“Lama apa pula? Baru berapa minit kita kat sini.” Ujar Wati bosan melayan keluhan budak yang tidak matang seperti Zakuan. Wati sambung meneliti isi kandungan buku yang berada di tangannya.

Zakuan mencebik. Mereka sekarang berada di perpustakaan.

Zakuan mengeluh lagi.

Pada pendapatnya, perpustakaan merupakan tempat yang sangat membosankan. Setiap kali dia melangkah ke sana, jiwa dan raganya meronta hendak pulang. Udara dalam perpustakaan itu boleh menyebabkan dia sesak nafas. Budak-budak skema sahaja yang serasi dengan tempat seperti itu. Dia pula? Jangan harap! Dia sudah tidak keruan.

‘Hai lah hati, kalau bukan kerana Mia, tidaklah aku sanggup untuk meredah udara gudang ilmu ini.’ bisik Zakuan dalam hatinya.

“Mana Mia? Aku tak nampak pun.” Soal Zakuan.

“Tengah cari buku dekat belakang sana.” Wati menunjukkan rak-rak buku yang bersusunan di sudut ruangan belakang nun jauh di sana sambil matanya masih fokus dengan apa yang dibaca.

Zakuan memuncungkan mulutnya. Kenapa jauh sangat si Mia tu merantau?

Wati mengundurkan kerusinya dan berdiri.

“Nak pergi mana pula ni?” Tanya Zakuan. ‘Janganlah tinggalkan aku kat sini. Please.. sini banyak nyamuk..’ Zakuan tersenyum kecil. Terasa geli hati apabila Wati diibaratkan seperti serai. Tukang halau nyamuk pun boleh.

Tiba-tiba, tepat pada pukul 9:34 pagi. Satu gegaran berlaku pada 6.0 skala richter. Gempa bumi! Satu bangunan bergegar. Semua orang berteriakan. Panik andai akan berlaku sesuatu yang tidak diingini di saat itu. Tiada apa-apa lagi yang sempat mereka fikirkan. Semua yang berada di dalam bangunan itu bagai sudah hilang arah tujuan. Ada yang berlari bersembunyi di bawah meja, ada pula yang berpaut pada dinding. Tetapi kebanyakan dari mereka juga berlari keluar dari bangunan. Masing-masing mencari tempat perlindungan yang selamat.

Wati sempat berpaut pada hujung meja dengan satu tangan sahaja. Sebelah tangannya lagi memegang buku dengan erat. Namun, ketika gegaran tu memuncak, pautannya terlepas lalu dia jatuh tergolek ke lantai, buku yang dipegang sudah terbang entah ke mana. Manakala Zakuan masih berpaut sepenuhnya pada meja. Suasana menjadi kacau bilau. Selepas beberapa saat, gegaran itu beransur-ansur hilang. Sekejap sahaja tetapi cukup meninggalkan kesan. Dinding bangunan ada yang telah retak. Sebahagian rak-rak buku ada yang sudah tumbang. Buku-buku berselerak di atas lantai.

Melihat keadaan itu. Zakuan bertambah risau. Oh tidak! Mia dalam bahaya!

“Mia!!”

Zakuan terus berlari menuju ke arah runtuhan buku-buku yang bertaburan di ruangan belakang. Dia tidak mengiraukan lagi Wati yang berada di lantai berdekatan dengannya. Apa yang penting adalah Mia! Biarlah mak lampir itu terjatuh, bukankah mak lampir itu pandai main sihir. Dia bukannya rasa sakit pun.

‘Dasar pengembala kambing!’ Wati geram. Bukan apa, dia geram kerana Zakuan sempat memijak rambutnya ketika dia masih tergolek-golek di atas lantai. Itulah. Lari tak tengok bumi.

“Siap kau, Zakuan.” Wati berdiri dan menstabilkan imbangan badannya semula sambil bajunya dibersihkan dari kotoran-kotoran yang melekat di saat dia terjatuh tadi.

Sesampai sahaja Zakuan di sudut di mana buku-buku berselerakan. Dia mencari-cari kelibat Mia.

“Mia!! Kau di mana? Jawab aku..” Zakuan berpusing-pusing mencari Mia. Buku-buku yang bertaburan di lantai itu digeladah habis. Kerisauannya terhadap Mia melebihi kerisauannya terhadap gempa yang berlaku tadi.

Setelah yakin tiada tubuh Mia di sebalik timbunan buku-buku itu. Zakuan sudah mengandaikan perkara-perkara yang buruk menimpa ke atas Mia. Mungkinkah Mia sudah dihimpit dengan rak-rak buku yang telah tumbang. Lalu, Mia tidak dapat menyelamatkan diri dan dia terluka.

Lutut Zakuan jatuh ke lantai. Dia menjadi lemah apabila memikirkan kalau benarlah itu yang terjadi pada Mia. Zakuan menggelengkan kepalanya. Enggan untuk mempercayainya. Tidak mungkin! Mia dah tiada..

“Tidaaak!!” Jerit Zakuan sambil mendongak ke atas dan menggenggam kedua tangannya ibarat pelakon utama yang kematian istri.

“Mia! Kenapa mesti kau yang pergi dulu!” Jerit Zakuan lagi. Dia tidak peduli jika suaranya itu didengar oleh satu bangunan. Dia hanya mahu melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Dia mahu melepaskan emosinya.

“Kau okey tak ni, Zakuan?”

Zakuan menoleh lalu terkesima.

“Kau masih hidup Mia?” Soal Zakuan seolah-olah kurang percaya akan kemunculan Mia. Zakuan tersenyum bahagia. Dia bersyukur kerana cinta hatinya masih lagi bernyawa. Maka, dia cepat-cepat menghapuskan sisa air matanya. Entah tulus atau tidak.

Tanpa merasa menyesal akan perbuatan yang memalukannya itu, dia berdiri dan mendekati Mia.

“Kau tak kena timpa dengan rak buku? Tadi aku cari kau. Tapi kau tak ada. Aku ingat kau dekat sana.” Zakuan menunjukkan kawasan buku-buku yang bertaburan dan rak-rak yang tumbang tidak jauh di hadapan mereka. Kerisauan pada wajahnya jelas kelihatan.

Mia tidak memberi respon. Dia malah memandang Zakuan dengan pandangan yang kosong.

“Aku dah agak dah. Tempat-tempat gudang ilmu seperti ini mesti ada perkara yang tak dijangka-jangka akan berlaku. Sebab itu aku risaukan kau.” Kata Zakuan. Dia menggenggam tangannya untuk meyakinkan Mia bahawa dia seorang yang boleh diharap. Walaupun di dalam keadaan yang panik seperti tadi. Buktinya dia risau akan keadaan Mia.

Mia diam sebentar. Dia melepaskan keluahannya. Hadiah yang terbaik untuk Zakuan.

“Lain kali jangan teriak. Ini perpustakaan.” Pesan Mia. Suara Zakuan menjerit namanya tadi memenuhi ruangan tersebut. Nasib baiklah hanya sedikit sahaja orang yang masih berada di sana. Yang lain telah pun bergegas mengosongkan perpustakaan.

“Aku ingat kau ada dekat sini tadi.” Ujar Zakuan perlahan.

“Tak. Aku ada dekat sudut yang lain.” Sebaik sahaja Mia mendengar jeritan Zakuan tadi. Dia bergegas ke tempat Zakuan berada.

“Tapi Wati cakap tadi kau ada dekat..”

Sebut sahaja nama Wati, tiba-tiba sahaja Wati muncul sambil ketawa terbahak-bahak. Dia puas melihat drama Zakuan tadi. Zakuan memang lelaki yang tidak pandai berinteraksi dengan keadaan.

“Kau tipu aku, Wati.” Zakuan merenung Wati dengan tajam. Wati tersenyum.

“Aku tipu apa?” Soalnya. Pura-pura tidak tahu.

“Kau cakap tadi, Mia ada dekat kawasan ni.”

Wati mencebik.

“Yang kau bodoh sangat nak percaya kenapa?” Ujarnya tidak bersalah. Malahan semakin kuat dia ketawa.

Zakuan mengetam bibirnya. Terasa panas dengan ayat itu. Namun, apabila menyedari akan sifat Wati yang sememangnya seperti ahli sihir baginya. Dia akur. Wati dilahirkan untuk menjadi ahli sihir. Sakit hati Zakuan disihir olehnya.

Mia mengeluh sekali lagi. Dia meninggalkan Zakuan dan Wati di sana. Seperti biasa, mereka akan memulakan perang lidah di antara mereka. Lebih baik Mia beredar awal. Dia tidak mahu terbabit sama.

Selepas dari kejadian gempa tadi, semua pelajar diminta untuk mengosongkan perpustakaan dengan segera. Orang ramai masih dalam keadaan terkejut. Untungnya mereka semua berada dalam keadaan selamat.

Leave a Reply

I’m Nem

Nemlogue.com is a small space where I keep fragments of the world – Writing, poems, paintings, art crafts, blogs and thoughts that didn’t have time to be said aloud.

Degree in Politics and a Master in Education (Economy). But i still love poems and creative writing.

Let’s connect

Discover more from Nemlogue.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading