melalui lorong yang sunyi. Lorong itu memang sudah tidak menjadi tempat untuk orang lalu-lalang lagi disebabkan dewan baru telah dibina bertentangan dengan dewan yang lama. Jalan untuk menuju ke stor lama yang berada di dalam bangunan dewan yang sudah tidak digunakan lagi menjadikan sekitar kawasan itu senyap sekali.

Mia berjalan tanpa memikirkan kemungkinan yang akan berlaku dengannya. Setelah berada di depan pintu dewan. Mia mengintai ke dalam. Tiada sesiapa di sana kecuali perabot-perabot yang sudah rosak dikumpulkan ke dalamnya.

“Hello?”

Kaki Mia melangkah setapak ke dalam. Dia mula tidak sedap hati. Tanpa disedari, seorang lelaki muncul di belakang Mia dan menolak Mia jatuh ke dalam. Mia ingin bangun dan melihat siapa yang menolaknya. Namun, dia terlambat. Pintu dewan telah ditutup dan dikunci dari luar.

Mia bingkas dan menolak-nolak pintu tersebut. “Siapa di luar?!” Jerit Mia. Tiada sesiapa yang membalas.

“Tolong!!” Jerit Mia lagi. Malangnya, jeritannya itu hanya bergema di dalam dewan yang dipenuhi perabot-perabot rosak. Mia mengeluh. Tidak pernah dia terfikir akan menghadapi keadaan begini.

Pintu yang tertutup rapat itu disandarnya. Dia duduk sambil pandangannya melihat ke dalam perabot-perabot yang bertimbunan di hadapannya. Ada satu kelibat hitam yang sedang duduk memeluk lutut menghadapnya. Mia mengecilkan matanya agar pandangannya itu terfokus ke arah kelibat tersebut.

Pang!

Mia tersentak. Meja yang disusun di atas susunan meja-meja yang lain terjatuh ke lantai. Dalam fikiran Mia, mungkin ada tikus yang menolak meja itu jatuh. Ketika tanggapan buruk menerpa ke mindanya. Cepat-cepat Mia membuangnya jauh-jauh. Dia tidak mahu bersangka-sangka. Mia memandang kembali ke tempat di mana kelihatan kelibat hitam itu tadi. Kelibat itu sudah hilang. Mia hairan. Di mana kelibat itu menghilang?

Hati Mia merasa tidak tenang. Saat fikirannya mula memikirkan sesuatu yang menakutkan, dia memeluk lututnya dan melekatkan dahinya pada lutut sambil kedua matanya dipejam rapat. Sesaat kemudian, Mia merasa ada tubuh panas yang bersandar di sebelahnya. Mia menggigil ketakutan. Semakin bertambah ketakutannya apabila ada tangan sejuk memeluk tubuhnya. Meremang bulu roma Mia.

Di hujung ekor matanya, dia melihat kelibat itu yang sedang memeluknya. Ingin sekali Mia menepis pelukan itu. Tetapi entah mengapa hatinya berat untuk menggerakkan tubuhnya. Tubuhnya malah membiarkan sahaja pelukan itu memanaskan tubuhnya.

“Maafkan aku. Aku tak dapat selamatkan kita..” bisik suara itu kepada Mia. Mia terkedu. Dia terkaku sambil otaknya berfikir apa yang dimaksudkan dengan kelibat tersebut. Siapa sebenarnya kelibat itu?

Pang!

Mia tersentak. Satu lagi meja jatuh dari susunan meja-meja yang lain. Mia menoleh ke tepinya. Tiada lagi kelibat itu di sana. Dia memandang sekeliling. Langsung tiada. Yang ada cuma dia seorang bersama timbunan-timbunan perabot rosak di dalam ruangan tersebut. Mia terduduk di sana sendirian. Hatinya terasa sayu tiba-tiba.

“Kenapa dengan aku ni..” ujar Mia sendirian. Dia menyentuh dadanya. Degupan pada jantung dirasa semakin melemah seakan tidak mampu menerima udara yang berada di sekelilingnya. Mia memandang siling di atasnya. Dia mula sesak nafas dan pandangannya hampir mahu tertutup.

Mia memaksa juga dirinya untuk berdiri, dia mahu mencari ruang yang baik untuk dia bernafas. Namun, dirinya terasa berat sekali. Sehingga, akhirnya dia jatuh ke lantai dan pengsan tidak sedarkan diri.

Zakuan senang hati. Baru tadi dia menerima panggilan telefon daripada orang bawahannya bahawa arahan yang diberikan olehnya itu sudah dilaksanakan dengan baik. Zakuan tersenyum sampai ke telinga membayangkan Wati yang sedang ketakutan sendirian di dalam dewan yang terbiar itu. Dia bercadang selepas sehari barulah dia akan lepaskan Wati.

“Baru kau tahu siapa aku.” Monolog Zakuan.

Zakuan melangkah masuk ke dalam makmal kimia dengan lagak seorang seorang samseng. Semua pelajar melihat ke arahnya. Adam pula menepuk tangannya seiring dengan langkah Zakuan. Zakuan terhenti. Dia menoleh ke arah Adam lalu mengangkat sebelah tangannya.

“Hai, sir. Maaf saya lambat.” Kata Zakuan selamba.

“Berapa minit lagi masa kelas akan tamat dan kamu baru datang?” Soal Adam.

“Rajit tak beritahu sir? Saya pergi hospital jumpa doktor tadi.” Zakuan menayangkan senyuman ikhlasnya kepada Adam berharap agar Adam mengira alasannya itu sebagai alasan yang releven. Adam mengangguk perlahan.

Zakuan menganggap anggukan tersebut sebagai tanda alasannya diterima. Lalu, Zakuan menerpa ke meja yang berada di hujung makmal. Di situlah selalunya menjadi tempat pilihan Wati dan Mia. Tetapi dia tidak melihat mereka berada di sana kecuali Rajit.

Beberapa saat kemudian, Wati yang baru dari tandas masuk melalui pintu belakang makmal dan duduk di tempat duduknya di sebelah Zakuan. Melihat kemunculan Wati, Zakuan terkejut. Wati juga terkejut Zakuan berada di sebelahnya.

“Kenapa kau di sini?” Soal Zakuan. Setahunya dia telah mengarahkan orang bawahannya dari kelas lain untuk mengurung Wati di dalam dewan yang terbiar itu. Bagaimana Wati boleh terlepas?

“Tanya aku pula, yang kau ambil tempat duduk Mia kenapa?” Soal Wati kepada Zakuan.

Zakuan terdiam. Dia berfikir sebentar. “Mia di mana?” Soalnya.

“Jumpa Puan Aliah lah.” Jawab Wati malas hendak bersuara.

Zakuan menelan liurnya. “Kenapa kau benarkan dia pergi? Sepatutnya kau yang pergi.” Ujar Zakuan cemas. Dia terus berdiri dan berlari keluar dari makmal. Wati terkebil-kebil ditinggalkan oleh Zakuan. Semua mata menoleh ke arahnya.

“Kenapa dengan dia tu?” Soal Adam hairan. Baru tadi Zakuan masuk dan sekarang sudah berlari keluar entah ke mana. Adam hanya mampu menggeleng. Pelajar zaman sekarang sangat bijak membuat peraturan sendiri.

Wati diam. Wajah cemas Zakuan tadi membuatkan dia tidak keruan. Mungkinkah ada apa-apa perkara buruk yang berlaku terhadap Mia? Memikirkan hal demikian. Wati terus berdiri. “Sir, tandas!” Jeritnya.

Belum sempat Adam bersuara, Wati sudah berlari keluar dari makmal dan mengejar langkah Zakuan. Adam terdiam. Dia mula curiga sesuatu. Adam menoleh ke arah jam yang melekat di dinding. Kemudian, dia mengintai keluar makmal. Sementara pelajar-pelajarnya pula rancak bercakap-cakap sesama mereka.

“Class dismiss.” Adam mengakhirkan sesi makmal itu. Serentak bunyi sorakan dan kerusi yang ditolak oleh pelajar-pelajarnya kedengaran. Masing-masing bergerak keluar dari makmal melalui pintu utama dan pintu belakang.

“Mia!!” Zakuan memanggil nama Mia sebaik sahaja dia tiba di depan pintu dewan yang terbiar. Tiada sahutan yang diterima dari Mia. Zakuan mengetuk-ngetuk pintu tersebut.

“Mia kau ada di dalam?!” Jerit Zakuan lagi. Tetap tiada balasan dari Mia. Zakuan berlari menuju ke tingkap di tepi dewan itu. Dia memanjatnya dan mengintai ke dalam. Dari celah jendela, dia melihat tubuh Mia terbaring tidak sedarkan diri di lantai. Zakuan terkejut.

“Tunggu aku, Mia!” Zakuan melompat turun dari jendela dan kembali ke pintu yang bertutup itu. Dia menghentak pintu tersebut dengan bahunya. Sakit bahunya itu dibiarkan sahaja kerana dalam fikirannya hanya merisaukan tentang Mia. Kali yang ketiga dia menghentak pintu itu, akhirnya pintu itu terbuka juga.

Cepat-cepat dia mendapatkan Mia. “Mia..” Zakuan mengoncangkan tubuh Mia berharap agar Mia sedar, namun ia adalah usaha yang sia-sia. Mia masih lagi tidak sedarkan diri.

“Zakuan! kenapa dengan Mia?” Wati muncul di muka pintu tergamam melihat Mia yang terbaring di lantai.

“Kau soal aku lagi, mana aku tahu.” Cemas suara Zakuan menjawab soalan Wati. Sejujurnya dia tahu kenapa Mia berada di dalam dewan itu tetapi dia tidak tahu kenapa Mia terbaring tidak sedarkan diri.

“Kau angkat Mia. Aku akan parking kereta aku dekat belakang bangunan ni. Kita kena hantar dia pergi hospital.” Arah Wati. Zakuan mengangguk. Tiada masa lagi untuk mereka berdebat dan bertengkar. Keadaan Mia diutamakan pada saat itu.

Dari jauh, Adam bersembunyi di sebalik pokok besar, dia melihat apa yang terjadi. Mahu sahaja Adam menolong mereka, namun hatinya berat untuk bertindak. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk melihat dari jauh sahaja. Dia melihat, Mia diangkat oleh Zakuan masuk ke dalam kereta Wati. Kereta dipandu laju meninggalkan kawasan tersebut.

Tanpa disedari, Syawal yang berada di koridor bangunan bertentangan dengan bangunan dewan lama itu memerhati semua kejadian yang berlaku dari jauh. Dia tersenyum kecil apabila melihat Adam yang juga menjadi pemerhati sama seperti dirinya.

“Siapa sebenarnya kau, Adam?” Syawal dihimpit persoalan. Tetapi ia tidak menjadi bebanan olehnya. Cuma dia hairan. Tindakan pensyarah muda itu mencurigakan.

–

Sesekali mata Wati memandang ke arah jam dinding di biliknya. Kemudian, beralih pula kepada Mia yang masih terbaring tidak sedarkan diri. Sedari tadi dia duduk di sebelah katil. Menunggu Mia membuka mata. Dalam hatinya dia risau dengan keadaan Mia.

“Mia, kau dah sedar.” Wati tersenyum gembira sebaik sahaja melihat Mia membuka kelopak matanya. Mia merenung Wati lama sambil cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku.

“Kau tak perlu fikir banyak. Kau kena berehat.” Pesan Wati lembut. Dia duduk di tepi katil. Mia mengalihkan pandangannya menangkap keadaan sekeliling.

“Aku di mana?” Soal Mia apabila dia perasan yang sekeliling ruangan itu asing baginya.

“Bilik akulah.” Jawab Wati. Mia mengerutkan dahinya.

“Rumah kau?” Soal Mia lagi. Wati mengangguk. Kemarin, selepas sahaja dari hospital, doktor mengatakan Mia cuma kelelahan dan perlukan masa rehat yang cukup. Tidak ada apa-apa yang serius seperti dia dan Zakuan risaukan.

“Kau pengsan dalam bangunan dewan lama tu. Nasib baik si Zakuan jumpa kau.” Kata Wati. Mia diam. Ingatannya kembali menerjah apa yang berlaku. Dia teringat ada seorang lelaki yang menolaknya ke dalam dewan itu sebelum dia dikurung. Kemudian, dia teringat akan kelibat itu juga. Meremang bulu romanya apabila terimbas kembali saat kelibat itu memeluk dirinya.

“Kenapa kau ni? Kau jumpa hantu?” Soal Wati apabila melihat reaksi wajah Mia berubah. Pantas Mia menggeleng. Sekali gus membuang ingatan tersebut jauh dari fikirannya.

“Kau ada beritahu parents aku pasal ni?” Soal Mia mengubah topik perbualan.

“Tak. Kau kan ada pesan dengan aku yang kau tak nak parents kau tahu kalau ada apa-apa yang berlaku dengan kau.” Suara Wati mendatar. Terbit rasa bersalah di hatinya. Sepatutnya dia harus memberitahu kepada ibubapa Mia tentang keadaan Mia. Tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu Mia memarahinya kerana mungkir janji.

Wati menedengar Mia menghembus nafas lega. “Kau memang faham aku.” ujar Mia. Wati mengeluh.

–

Suasana petang yang nyaman mendamaikan lagi halaman rumah Puan Imah. Sejak akhir-akhir ini, bunga yang ditanam semuanya tumbuh dengan subur kembali. Setiap sudut pagar dipenuhi dengan bunga yang tumbuh dengan teratur dan menarik. Di suatu sudut itu, Puan Imah leka dengan kerjanya. Dia terbongkok-bongkok mencabut rumput-rumput kecil di celah-celah pokok bunganya yang tumbuh mekar.

Puan Imah memang sukakan tanaman bunga yang pelbagai. Baginya rumah besar dan cantik macam mana pun kalau halamannya suram, secara tidak langsung semuanya menjadi suram juga. Apatah lagi yang sudah sedia buruk, lagi lah menyeramkan.

“Amboi, senyum seorang nampak.. teringatkan dekat siapa pula tu. Jangan ingatkan lelaki lain. I jealous, you know.” Tegur Encik Farid. Dia yang baru sahaja muncul terus melabuhkan punggungnya di atas bangku panjang yang berada betul-betul menghadap tanaman bunga-bunga yang mekar.

“Ish, abang ni. Manalah Imah teringatkan siapa-siapa. Only you in my heart tau..” Jawab Puan Imah pula. Gurauan suaminya di balas dengan gurauan juga. Itulah salah satu rahsia kebahagian rumah tangga mereka. Ada masa mereka bergurau pada waktu yang sesuai. Masing-masing menghargai sesama mereka. Untuk berlaku curang jauh sekali. Antara dia dan suaminya, belum ada lagi ujian yang seteruk itu. Dia menggeleng memohon agar dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menjejas kebahagian mereka.

“Hai Imah, dah kenapa pula menggeleng-geleng tu?”

Puan Imah mencebik apabila ditegur oleh suaminya.

“Senyum tak boleh, menggeleng pun tak boleh.” Dia memanjangkan muncungnya tanda protes. Pura-pura merajuk.

“Jangan berlagak muda. Kita ni dah tua. Tak payah muncungkan mulut tu.” Usik Encik Farid. Sengaja tidak menghiraukan kelakuan istrinya.

“Apa-apa jer la..” Puan Imah menyambung semula kerjanya yang tergendala. Kalau dilayan suaminya itu makin tak waraslah jadinya. Paling-paling pun dia dibiarkan merajuk seorang diri. Meskipun dia hanya bergurau tadi. Dia tahu perangai suaminya itu bagaimana.

Kali ini Puan Imah menggunting daun-daun dan ranting-ranting yang tumbuh berselerak. Encik Farid tersenyum melihat kelagat istrinya. Merajuk lah tu. Tetapi dia tidak kisah. Yang penting bahagia. Encik Farid melihat kepada skrin telefonnya. Dibiarkan sahaja istrinya yang sibuk dengan kerjanya.

Dalam kesibukan, Puan Imah terkenang akan Mia yang kini berada di kolejnya. Dia teringat kejadian-kejadian aneh yang berlaku apabila Mia berada di rumah hari itu. Puan Imah mengeluh. Kesian Mia terpaksa menanggung semua sisa kisah silam dari keluarga sebelah suaminya. Tetapi dia tidak pernah menyalahkan. Puan Imah memandang sekilas kepada suaminya. Dia tertanya sendiri andai suaminya itu sudah memikirkan jalan yang terbaik untuk merawat gangguan Mia.

Puan Imah teringat pula cerita mentuanya mengenai nenek suaminya yang lebih senang dipanggil Nek Kia. Disebabkan oleh kisah silam tragis yang berlaku terhadap keturunannya dahulu, hidup Nek Kia musnah! Nasib baiklah dia dihantar ke sebuah kampung yang terpencir. Di sana Nek Kia dirawat oleh seorang yang pakar tentang rawatan rukyah. Kata mereka benda yang menganggu Nek Kia itu merupakan dendam moyang dari keturunan Nek Kia yang dihantar melalui perjanjian yang dibuat atas dasar kesyirikan besar. Ada juga yang kata benda itu muncul kerana ada orang yang membuat pemujaan roh untuk kepentingan diri sendiri.

Sejauh mana kebenaran cerita tersebut, Puan Imah sendiri tidak dapat menjaminnya. Yang dia tahu, Nek Kia berjaya disembuhkan cuma tidak pasti andai gangguan itu muncul semula atau sudah hilang. Menurut cerita yang didengari, Nek Kia hilang pada suatu petang dan dijumpai telah meninggal dunia di dalam hutan belakang rumah. Mungkinkah benda itu akan datang menganggu keturunan Nek Kia lagi? Dalam erti kata yang lain menganggu kehidupan Mia?

Meremang bulu roma Puan Imah memikirkan andaian-andaian ngeri itu. Dia sama sekali tidak rela membiarkan hidup Mia diselubungi dengan gangguan seperti Nek Kia. Mia masih muda untuk gejala-gejala mistik itu. Puan Imah risau jika keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

“Tidak! Jangan!” Teriak Encik Farid tiba-tiba. Puan Imah terkejut. Dia berpusing ingin melihat apa yang terjadi.

“Abang okey tak ni?” Soalnya cemas. Encik Farid hanya menundukkan kepalanya. Sunyi. Hanya tiupan angin petang sahaja yang kedengaran. Sepi.

“Abang?” Panggil Puan Imah risau.

“Tadi.. tadi..” ujar suaminya tersekat-sekat. Manakala jantung Puan Imah berdebar-debar menanti kata yang bakal diucapkan. Kenapa pula ni? kena rasuk kah apa? Jangan-jangan orang tua ni ternampak makluk lain di sekitar sini. Puan Imah memerhati sekililing kalau benarlah andaiannya itu. Senja-senja begini memang banyak yang berkeliaran.

“Kenapa ni bang?” Soalnya.

Encik Farid mengangkat wajahnya kemudian merenung istrinya lama-lama. Puan Imah cuak.

“Abang cuba main permainan dalam telefon ni tadi. Tapi tak sangka pula boleh kalah teruk. Mungkin abang tak layak main game orang muda ni.” Keluhnya. Permainan remaja sekarang memang banyak tipu muslihat.

Puan Imah mengurut dadanya. Dia ingatkan ada sesuatu buruk yang berlaku tadi. Suaminya itu berjaya membuat dia risau. Puan Imah mencebik. “Mengada. Jangan perasaan muda lah bang. Kita ni dah tua.” Giliran dia pula yang memberi gurauan pedas.

Encik Farid mendengus manja. Senang hati dapat mengusik istrinya. Dia sengaja berbuat demikian kerana perasan yang istrinya itu sudah jauh termenung ketika sedang memotong ranting-ranting kecil yang tumbuh berselerak. Entah apa yang difikirkan oleh istrinya.

“Abang?” Panggil istrinya.

“Ni kenapa pula ni. Nak manja-manja lah tu..”

Puan Imah mencengkak pinggang. Dia menayangkan gunting di tangannya. Encik Farid menelan liur. Main bunuh-bunuh pula..

“Okey. Baiklah. Apa dia?” Ujar Encik Farid. Matanya masih melihat pada skrin telefon sambil ibu jarinya bermain-main pada skrin tersebut.

“Benda yang kacau Nek Kia dulu tu dibuang di mana?” Soal Puan Imah.

“Perigi.”

“Perigi mana?” Puan Imah sudah risau.

Semasa Mia berumur lima tahun, Mia selalu mahu mengajaknya ke perigi. Perigi di mana, dia sendiri tidak tahu. Mereka menguruskan pemindahan rumah secepatnya kerana kelakuan Mia semakin lama semakin mencemaskan. Adakalanya Mia bercakap dan ketawa sendirian seperti sedang berbual mesra dengan seseorang.

Puan Imah teringatkan semua kisah lama itu. Dia memohon agar dijauhkan malapetaka seperti itu lagi. Cukuplah pisang berbuah sekali.

“Dah lah, jangan fikirkan perkara yang dah lepas. Ia tak akan berlaku lagi.” Encik Farid perasan akan kegusaran hati istrinya.

“Tak berlaku abang kata? Imah rasa gangguan tu dah datang balik. Imah risau. Mia tu masih muda.” Ujar Puan Imah. Ibu mana yang tidak risau akan anaknya. Mia satu-satunya anak yang dia ada.

“Abang dah fikirkan caranya. Abang dah pun buat keputusan yang terbaik untuk Mia.” Encik Farid cuba menenangkan Puan Imah.

“Maksud abang apa?”

“Abang akan bawa Mia pergi berubat dekat kampung yang sama dengan Nek Kia dirawat dahulu.” Encik Farid sedar bahawa gangguan pada Mia akan menyebabkan keluarga mereka turut musnah. Dia tidak mahu perkara yang dahulu itu berulang kembali. Andai istrinya juga sudah kerisauan, apatah lagi dia yang merupakan ketua keluarga.

“Betul ni?” Soal Puan Imah meminta kepastian. Encik Farid mengangguk. Puan Imah tersenyum lega.

“Imah jangan risau. Abang akan cuba apa sahaja cara untuk menyelamatkan Mia dan keluarga kita.” Ucap Encik Farid ikhlas. Dia merenung wajah istrinya, seakan mahu istrinya itu mempercayai apa yang diperkatakan olehnya. Mana mungkin dia membiarkan istrinya itu berada di dalam kerisauan.

“Dah. Jom masuk. Dah nak maghrib ni.” Kata Encik Farid. Dia bingkas berdiri dari tempat duduknya. Kemudian mengajak istrinya masuk ke rumah.

Puan Imah hanya menurut. Mereka masuk ke dalam rumah. Pintu dan jendela ditutup kerana syaitan suka berkeliaran senja-senja begini. Lebih afdal untuk mereka menutup semuanya.

Tinggallah halaman rumah yang sunyi itu. Angin bertiup nyaring. Di balkoni bilik Mia, kelibat wanita berkebaya merah itu berdiri tegak dan berkeras seperti patung batu. Sesaat selepas itu, ada senyuman lebar yang terbit di bibir merahnya. Dia berada di sana sedari tadi tanpa ada sesiapa pun yang menyedari kehadirannya.

Leave a Reply

I’m Nem

Nemlogue.com is a small space where I keep fragments of the world – Writing, poems, paintings, art crafts, blogs and thoughts that didn’t have time to be said aloud.

Degree in Politics and a Master in Education (Economy). But i still love poems and creative writing.

Let’s connect

Discover more from Nemlogue.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading