BAB 6
Keesokan harinya, Wati dan Mia menuju ke makmal kimia bersama-sama. Mereka melalui laluan dari kafe. Kemudian, mereka perlu melalui beberapa lorong lagi sebelum sampai ke bangunan makmal. Di tangan mereka masing-masing membawa baju kot berwarna putih dan fail mata pelajaran kimia.
Dalam perjalanan, Mia lebih banyak berdiam diri. Memang begitulah gayanya selalu. Hanya Wati sahaja yang banyak bercakap berbanding dirinya.
“Mia, berhenti.” Wati menahan Mia dari terus melangkah. Mia tersentak.
“Kenapa?”
Wati resah. “Kita pusing balik. Aku rasa tempat ni tak betul.” Katanya. Mia terkebil-kebil melihat Wati yang tidak tentu arah.
“Betullah tempat ni.” Ujar Mia. Laluan yang mereka lalui itu adalah laluan yang biasa mereka lalui setiap kali hendak ke makmal. Itulah laluan yang paling dekat dan jimat masa perjalanan.
“Kau tak faham. Aku nampak pengembala dan kau tahu, aku tak mahu duduk semeja dengan dia di makmal nanti.” Bisik Wati. Dia menjeling sekilas kepada Zakuan yang kelihatan sedang menunggu mereka di hujung laluan tersebut. Itu sebenarnnya yang membuatkan Wati resah dan gusar hati.
Mia ketawa kecil. Dia faham maksud Wati itu. Wati dan Zakuan tidak boleh duduk berdekatan dalam sesi pembelajaran. Mereka pasti akan berperang dan menghuru-harakan kelas. Antara mereka itu tidak ada yang mahu menundukkan ego. Masing-masing hendak menang.
“Jom.” Wati menarik tangan Mia untuk berpatah balik dari laluan mereka. Tanpa diduga, Wati terlanggar tubuh seseorang. Dia hampir terjatuh. Namun, Mia pantas menariknya.
“Kalau kau nak jalan, buka mata besar-besar! Kau ingat aku ni..” Wati tidak jadi meneruskan ayatnya apabila matanya menangkap wajah orang yang dilanggarnya tadi. Cepat-cepat Wati tunduk dari terus menetap wajah itu.
“Sorry, Wati. Aku tak sengaja.” Ucap Syawal sopan.
“Oh, tak apa. Aku pergi dulu. Jom Mia.” Ujar Wati. Dia menarik tangan Mia. Mia perasan akan perubahan reaksi wajah Wati. Tidak sampai tiga langkah mereka berjalan, Zakuan muncul lalu menahan pergerakan mereka.
“Kau nak bawa Mia aku pergi mana, mak lampir?” Zakuan menaik-naikkan keningnya. Wati mencebik. Mia hanya memandang kosong, seperti biasa.
Zakuan menoleh ke arah Syawal. “Thanks, Syawal. Kau memang geng aku yang boleh diharap.” Kalau bukan kerana kehadiran Syawal, dia mungkin tidak akan perasan Mia dan Wati berada di sana. Oleh itu, dia berterima kasih.
Syawal tidak memberi respon. Dia memandang Wati sekilas, kemudian beredar meninggalkan mereka. Syawal seorang yang dingin. Tiada sesiapa yang berani menilai Syawal.
“Mia, apa khabar hari ini? Aku sihat. Kau sihat?” Tanpa segan Zakuan menyapa Mia. Mia diam sesaat sebelum dia mengangguk sekali. Cukuplah sekadar itu sahaja jawapannya kerana dia memang tidak berminat untuk membalas sapa atau melayan orang di pagi-pagi begini.
“Kau jangan nak ganggu kami lah, pengembala kambing. Jom Mia. Tinggalkan saja orang gila ni.” Wati menjeling Zakuan lalu menarik tangan Mia untuk beredar dari Zakuan.
Sekali lagi, Zakuan menghalang mereka. “Aku belum habis cakap lagi. Kau tak payah masuk campur. Ini hal aku dengan Mia.” Geram benar Zakuan kepada Wati. Dari awal-awal lagi dia tidak menyukai Wati. Tetapi takdir sudah menentukan Wati berkawan baik dengan Mia. Dengan terpaksa dan tanpa rela, dia juga tidak ada pilihan selain daripada menghadapi Wati sebelum bertemu dengan Mia.
“Kalau hal kau dengan Mia. Automatik aku pun termasuk sama. Sebab Mia ni kawan aku. Kau faham?” Wati menolak bahu Zakuan. Zakuan terlopong. Berani Wati bertindak kasar dengannya. Tidak tahukah Wati dia mempunyai pengaruh yang sangat kuat di kampus ini?
“Wah, kau dah berani tolak aku ya? Kau tunggulah balasan, Wati.” Wajah Zakuan ketat. Semakin lama dia berkomunikasi dengan Wati semakin hilang sabarnya.
“Kau ingat aku takut ker? Kau boleh simpan saja balasan kau tu. Aku tak pernah takut pun dengan pengembala kambing.” Balas Wati sengaja menaikkan marah Zakuan.
“Kau jangan cabar aku, mak lampir.” Zakuan menggenggam tangannya menahan marah.
“Kau nak buat apa?” Wati membesarkan matanya.
“Kau ni menyakitkan hatilah..” Zakuan mengigit kuat gigi gerhamnya. Geram. Kesebarannya teruji.
“Jadi?” Wati mengejek.
“What?” Zakuan mengangkat tangannya, menggenggam udara. Hampir wajah Wati ditampar tetapi nasib baiklah dia masih boleh kawal.
Mia yang selalu berada di antara mereka sudah lali dengan pergaduhan yang sering kali terjadi. Fikirannya kosong tika itu. Yang dia mampu hanya menggeleng dan buat-buat tidak peduli sahaja. Dia seperti berada di dalam ruangan yang tertutup. Suara Wati dan Zakuan tidak dapat masuk ke dalam telinganya.
“Korang sambunglah. Aku jalan dulu.” Kata Mia mendatar. Itu jugalah tindakan yang selalu dia pilih untuk menyelamatkan diri dalam situasi antara Wati dan Zakuan. Mia tidak suka terlibat di dalam pergaduhan mereka. Mia beredar.
Wati mendengus. “Kau punya pasal lah ni.” Dia menyalahkan Zakuan. Setiap kali Zakuan muncul pasti Mia dan dia akan terpisah. Perkara ini juga merupakan salah satu daripada kebencian dia terhadap Zakuan semakin bertambah-tambah. Kalau boleh dia tidak ingin terserempak dengan Zakuan. Tidak ada satu pun dari Zakuan yang boleh membuat Wati menyenanginya. Wati hanya mampu bertahan dan bersabar setiap hari.
“Kau jangan main tuduh-tuduh pula. Dia jalan dulu, sebab tak sanggup nak dengar suara kau. Aku ni bakal suami Mia. Aku tahu lah..” begitu yakin sungguh bicara Zakuan membalas salah yang dilemparkan oleh Wati kepadanya.
Wati mencebik. Bakal suami kunun..
“Jangan haraplah. Kau dengan Mia tak nampak jodoh pun. Lebih baik kau kawin saja dengan kambing.” Balas Wati. Jika Zakuan ada terlintas niat untuk berkawin dengan Mia, dia adalah orang pertama sekali yang akan memastikan semua itu hanya tinggal harapan palsu. Dia tidak sanggup melihat Mia terseksa. Minta maaflah, Zakuan.
“Aku bagi kau amaran, Wati. Kalau kau ganggu aku dengan Mia. Kau tahu sendirilah apa yang aku akan buat.” Bisik Zakuan mengugut Wati. Sebaliknya, ugutan itu membuatkan Wati ketawa terbahak-bahak. Dia merenung mata Zakuan lama-lama. Zakuan cuak namun dia berlagak biasa.
“Selagi aku masih ada, jangan harap kau boleh dekat dengan Mia. Kalau aku nampak kau dekat-dekat dengan Mia selepas ni. Kau tahu sendirilah apa yang aku akan buat.” Wati membalas Zakuan dengan ugutan yang hampir serupa. Untuk takut dengan ugutan Zakuan, amat jauh sekali dari kamus hidupnya. Jika hal itu berkaitan dengan Mia, dia yang akan berada di hadapan sekali menjadi benteng pertahanan untuk Mia. Mia adalah kawan baiknya. Jadi, tidak ada sesiapa pun yang akan melangkah setapak untuk mencuri Mia darinya.
Zakuan mendengus. “Aku akan kawin dengan Mia. Masa tu kau jangan harap boleh berjumpa dengan Mia lagi.” Dia ketawa dengan keyakinan tinggi yang impiannya itu akan tercapai.
“Kau boleh bermimpi sekarang, Zakuan.” Wati menghadiahkan senyuman manisnya. Lalu, dia berpaling dari Zakuan. “Sampai kau sedar yang kau hanya bermimpi.” Sambung Wati lagi sebelum dia beredar meninggalkan sisa ketawa Zakuan yang hampir mati selepas mendengar ayatnya itu.
Wati sudah jauh ke depan. Zakuan mendengus. “Mak lampir tak guna!” Marahnya. Zakuan menumbuk terajang udara yang masih ada campuran dengan aura Wati demi melepaskan geram dan bencinya.
“Kau tunggulah apa yang aku akan buat dengan kau.” Bisik Zakuan sendirian.
Zakuan menuju ke bangku panjang di tepi laluan itu. Dia duduk di sana berfikir sejenak. Otaknya mencari cara untuk menjatuhkan Wati agar Wati menyesal di atas kata-katanya itu tadi.
“Eh, Zakuan. Kau tak masuk makmal?” Rajit muncul entah dari mana menganggu konsentrasi Zakuan. Zakuan mencebik. Hampir dia menjerit terkejut tadi. Rajit yang berkulit gelap dan tinggi lampai itu tersenyum memandangnya.
“Kau berjalan memang tak ada bunyi ke, Rajit? Nasib baik kau geng aku. Kalau orang lain, sudah lama kena dengan kasut aku ni.” Zakuan menayangkan kasut di kakinya. Lawaknya, Rajit tidak memberi sebarang reaksi dan perasaan langsung terhadap kata-kata Zakuan. Malahan, senyuman yang diukir itu tidak pernah lekang dari bibirnya.
“Aku rasa sir Adam dah masuk makmal. Kau tak nak masuk?” Soal Rajit mengulang kembali soalannya itu.
“Aku ni kalau tak masuk kelas pun tak apa, sebab aku keturunan Albert Einstein.” Zakuan menepuk-nepuk dadanya.
Rajit mengangguk. Entah percaya entah tidak. “Ya lah. Kau ada nampak Syawal?” Tanya Rajit tiba-tiba menanyakan tentang Syawal.
“Anak ustaz tu?”
“Anak ketua polis.” Rajit membetulkan gelaran Zakuan terhadap Syawal. Zakuan mengangguk malas sambil jari telunjuknya menunjuk lorong yang kosong di hujung bangunan yang bertentangan dengan laluan ke kafe.
“Kalau kau jalan ikut lorong ni kau akan jumpa dia.” Beritahu Zakuan mendatar seperti tidak berminat bercakap tentang Syawal. Berani-beraninya Rajit membetulkan ayatnya tadi. Tidak perlulah membela Syawal di hadapannya. Syawal dan dia memang tidak pernah seiring. Baginya Syawal berada di sempadan yang lain. Mereka tidak rapat.
“Kau tak berjalan dengan dia? Aku tengok dia selalu sendirian dan tidak ada kawan.” Rajit mengulas apa yang dilihatnya sejak dari dahulu lagi.
Zakuan tersengih. “Apa kau ingat aku ni gay?” Rajit menggeleng. Mestilah tidak. Zakuan seorang lelaki yang sejati. Satu kampus tahu akan fakta itu.
“Jadi, aku tak ada masa nak jalan dengan Syawal. Dia punya pasal lah nak jalan dengan geng atau tak. Tak hilang pun kehebatan aku kalau dia tak jalan seiring dengan aku. Faham?” Zakuan membesarkan matanya. Dia berharap agar pernyataannya itu jelas dan difahami dengan mudah. Rajit bukan orang pertama yang menyoalnya perkara yang sama tentang dia dan Syawal. Meskipun Syawal merupakan salah satu dari gengnya, dia tidak berminat untuk mengganggu cara hidup Syawal. Asalkan Syawal tidak menjatuhkan maruahnya sebagai ketua kumpulan, maka dia tidak akan cari gaduh.
“Kau cari Syawal, kenapa?” Soal Zakuan.
Rajit menggaru kepalanya. Terkebil-kebil dia cuba mengingati tujuannya mencari Syawal tadi. Zakuan mencebik. Faham benar perangai Rajit itu. Rajit seorang yang mudah lupa akan tujuan asalnya.
Tiba-tiba Zakuan terfikir sesuatu. Dia tersenyum. “Rajit, aku nak minta tolong dengan kau. Boleh tak?” Pinta Zakuan.
“Tolong apa?”
Zakuan tersenyum lagi. “Kalau kau masuk makmal nanti, beritahu Wati yang Puan Aliah panggil dia ke stor lama.” Kata Zakuan.
“Betulkah?”
Zakuan menahan gelaknya melihat reaksi wajah Rajit yang seakan percaya dengan kata-katanya. Zakuan sudah agak Rajit akan termakan dengan helahnya itu. Lalu, Zakuan mengangguk laju.
“Kau lupa? Wati adalah ketua penganjur kempen benteras dadah dahulu. Jadi, Puan Aliah memanggil dia untuk uruskan err..” Zakuan berfikir sebentar. Serentak dia memetik jarinya. “Untuk uruskan kempen seterusnya. Kalau aku tak silap kempen budi bahasa, budaya kita.” Spontan lidahnya menuturkan idea yang terlintas tidak sampai beberapa saat pun dalam fikirannya tadi.
“Kempen? Kenapa Puan Aliah nak jumpa Wati di stor lama?” Soal Rajit lagi.
“Manalah aku tahu. Dah. Jangan banyak soal. Orang yang banyak soal selalunya mati awal.” Ujar Zakuan. Malas hendak menjawab soalan Rajit. Jika dilayan lagi, soalan Rajit akan menjadi seperti serangan anai-anai terhadap cahaya lampu. Rimas dan menyakitkan hati.
“Baiklah. Tapi kau tak masuk sekali? Boleh kau beritahu sendiri.”
Zakuan memegang perutnya. “Aduh, aku mungkin tak dapat masuk hari ini. Aku lupa yang aku ada temujanji dengan doktor. Perut aku sakit.” Zakuan mengurut-ngurut perutnya. Mungkin penipuan itu kelihatan agak ketara kerana Zakuan tidak mampu mencari idea lain untuk tidak memanjangkan bicaranya dengan Rajit.
“Okeylah. Kau jangan lupa jumpa doktor. Aku pergi makmal dulu. Jam berapa Puan Aliah nak jumpa Wati?”
“Jam sekarang. Dia dah tunggu dah.” Tertunduk-tunduk Zakuan kununnya menahan sakit. Padahal, semua itu hanyalah lakonan semata-mata.
“Baik, aku pergi dulu.” Kata Rajit. Dia berlari meninggalkan Zakuan. Sampailah bayangnya hilang, Zakuan membetulkan posisinya kembali. Dia tersenyum. Ketawa dalam hati.
Telefon di dalam poket seluarnya dikeluarkan. Dia mendail nombor sesorang.
“Hello, ini aku. Aku nak kau tolong aku..”
–
Rajit memasuki makmal dengan langkah kaki kanan. Semua pelajar sudah berada di sana. Mia dan Wati duduk di meja paling belakang, bersebelahan dengan tingkap. Senang untuk Rajit mencari Wati kerana Wati dan Mia tidak boleh dipisahkan. Tambahan pula, mereka berdua selalu duduk di tempat yang sama setiap kali berada di dalam makmal.
“Hei, you. Kenapa lewat?”
Langkah Rajit yang sudah di tengah kelas itu terhenti. Dia menoleh. Adam bersandar pada dinding hujung kelas, sambil memeluk tubuhnya memandang Rajit yang tidak ada muka bersalah.
“Err.. Saya suruh kawan saya pergi jumpa doktor, sir.” Jawab Rajit jujur. Memang benar pun alasannya itu. Dia ada menyuruh Zakuan untuk ke hospital jumpa doktor. Dia tidak berbohong. Namun, satu makmal penuh dengan ketawa yang bergema.
“Berapa lama masa yang awak perlu untuk menyuruh kawan awak tu pergi jumpa doktor?” Soal Adam menambah lagi sensasi di pagi hari.
“Saya juga ada mencari kawan saya masa tu. Sebab itu saya lambat masuk.” Formal sungguh ayat yang disusun oleh Rajit. Alasan itu juga tidak ada unsur pembohongan. Dia sangat jujur dan memang benar dia ada mencari Syawal. Namun, Zakuan pula yang dijumpanya. Rajit mencari-cari kelibat Syawal di dalam makmal. Syawal tidak ada.
“Baiklah, saya faham. Pergi duduk.” Arah Adam. Rajit dengan tergesa-geasa mengambil tempat sebelah Wati.
“Wati, Puan Aliah nak bincang sesuatu dengan kau di stor lama.” Beritahu Rajit kepada Wati. Wati terlopong.
“Stor lama? Dewan yang terbiar tu?” Soal Wati pula. Rajit mengangguk. Wati berfikir sejenak. Mungkin sedang mencari kebenaran pada pesanan yang dibawa oleh Rajit. Dewan yang terbiar itu merupakan stor lama yang dipenuhkan dengan perabot-perabot yang sudah tidak digunakan lagi. Perkara apa yang ingin dibincangkan oleh Puan Aliah agaknya?
“Bila Puan Aliah hendak jumpa dengan aku?”
“Sekarang.”
Wati mengangguk. Lantas dia berdiri. Serentak dengan itu, Adam menoleh ke arahnya.
“Yang berdiri tu, kenapa? Dah ada jawapan?” Soalnya ada dari depan. Wati ternganga. Tergamam dia seketika. Pada papan putih di hadapan, terdapat beberapa soalan yang sudah ditulis oleh Adam tadi. Bagaimana hendak dia jelaskan kepada Adam yang dia sebenarnya hendak keluar berjumpa dengan Puan Aliah sebentar.
“Err.. saya..”
“Berikan tepukan kepada pelajar yang proaktif seperti dia ni.” Adam memotong bicara Wati. Tepukan gemuruh memecah ruangan tersebut. Wati teragak-agak untuk memberitahu Adam yang dia sebenarnya tidak ada niat langsung untuk menjawab soalan di hadapan. Tetapi semua mata sudah tertumpu kepadanya, membuatkan dia teragak-agak.
“Sir, saya sebenarnya..”
“Nak markah tambahan untuk kuiz akan datang?” Potong Adam lagi. Bersinar mata Wati mendengar markah tambahan yang disebut itu. Pantas dia mengangguk. Tujuan sebenarnya tadi sudah tidak dihiraukan lagi. Kebetulan pula, dia dalam target untuk mendapat gred cemerlang bagi mata pelajaran kimia. Inilah yang dikatakan, orang mengantuk disorong bantal.
Wati menoleh ke arah Mia di sebelahnya. “Mia, kau tolong aku jumpa dengan Puan Aliah, boleh?” Bisiknya.
Tanpa banyak soal, Mia mengangguk bersetuju. Lantas dia berdiri.
“Hah, yang sebelah tu, nak markah tambahan juga?” Soal Adam. Dia merenung wajah Mia. Pelajar yang membuatkan dia tertanya-tanya pada hari pertama dia berkhidmat sebagai pensyarah di kampus itu. Tetapi, dibiarkan sahaja.
“Tandas.” Ujar Mia sepatah kepada Adam dan terus beredar keluar dari makmal. Adam membiarkan sahaja Mia pergi. Dia tersenyum sedikit. Pelajarnya itu benar-benar menguji dia.
Dari pintu makmal, mata Adam memandang Mia sehinggalah bayang Mia ditelan oleh simpang di hujung lorong. Kemudian barulah dia beralih semula kepada pelajarnya yang masih berdiri di belakang. Adam mengukirkan senyumannya.
“Apa tunggu lagi. Datang ke depan dan jawab soalan.” Katanya sambil pen marker dihulurkan kepada Wati.
Wati tersenyum. Ini adalah peluang keemasan.







Leave a Reply