BAB 5

Adam melangkah memasuki dewan kuliah. Kehadirannya disambut dengan sorakan gemuruh dari para pelajar. Adam tersenyum sedikit. Tidak sangka dia disambut dengan begitu meriah sekali. Adam meletakkan begnya di atas meja.

“Hai. Budak-budak pra-matang sekalian. Dah siap kerja yang saya bagi semalam?” Soal Adam bersahaja. Padahal, hari ini adalah hari pertama dia memulakan sesi pembelajarannya. Satu dewan kuliah berbisik-bisik sesama mereka menanyakan andai ada kerja yang diarahkan. Tidak lupa juga yang tertanya-tanya siapakah gerangan pemuda tersebut. Sekali lagi Adam menayang senyumannya.

“By the way, my name is Adam. Pensyarah Kimia baru korang semua.” Katanya dengan penuh bergaya. Dia memasukkan kedua tangan ke dalam poket kiri dan kanan sambil melihat reaksi pelajarnya. Semakin riuh dewan kuliah itu seakan tidak percaya mereka dianugerahkan dengan pensyarah kacak seperti Adam.

Adam ketawa sedikit. Cukup menawan hati para pelajar. Terutamanya pelajar perempuan. Hari pertama dia memulakan khidmatnya sebagai pensyarah haruslah kelihatan bergaya. Banyak komen yang diterima dari orang sekitar institusi itu. Komen-komen yang hangat dan panas. Al-maklumlah dia sendiri sedar yang dia seorang yang kacak. Tetapi tidak usahlah beri komen yang lebih-lebih pula. Adakah patut dia dituduh membuat pembedahan plastik pada wajahnya? Ada juga yang cakap dia bertapa di dalam gua dan meminta jin untuk memberi aura pada wajahnya. Adam hanya mampu menggelengkan kepala. Pelajar dan pensyarah sama sahaja. Penuh dengan tipu muslihat. Adam tersenyum sendiri.

Dari tempat duduk bahagian belakang dewan kuliah. Wati mencebik melihat gelagat pensyarah baru itu. Dia memandang Mia yang tidak memberi banyak respon terhadap apa yang berlaku.

“Pensyarah baru kita ni gila lah. senyum sorang-sorang pula. Kan Mia?” Ujar Wati. Mia hanya berdiam diri. Malas memberi komen.

“Kau ni cakap pun tak bernas! Eh, dia tengok kau lah Mia..” Zakuan menyampuk. Ada sedikit cemburu di hatinya. Mia seperti biasa hanya membuat muka kosong. Dia malas mengambil pusing dengan gosip murahan mereka.

“Tak lah. Dia tengok kau lah Zakuan. Entah-entah dia ni gay tak?” Wati pula bersuara.

Zakuan mencebik.

“Maaf lah Wati. Aku tak minat lelaki. Aku cuma berminat dengan perempuan je. Macam Mia.” Zakuan menyebut nama Mia dengan suara yang perlahan. Takut didengari oleh tuan punya nama. Ternyata Mia benar-benar tidak mendengarnya kerana dia sedang sibuk melakar sesuatu di atas kertas. Wati pula tersengih-sengih mendengar jawapan Zakuan. Mia memang pandai melukis. Dia sangat berbakat. Setiap lukisannya kelihatan seakan hidup dan sempurna.

“Wow, handsome lah lelaki yang kau lukis ni.” Puji Wati kagum. Mendengar sahaja pujian itu Zakuan sudah tidak keruan. Zakuan berusaha memanjangkan lehernya untuk melihat lukisan yang dimaksudkan.

“Mesti lelaki yang Mia lukiskan tu aku. Sebab muka aku ni dah macam artis. Ramai peminat dan comel pula tu. Terima kasih Mia kerana menjadikan aku model lukisan kau. Aku sangat-sangat terharr..” Senyuman di bibir Zakuan runtuh serta merta. Dia juga hampir terjatuh. Sangkaannya terpesong jauh. Wajah yang dilukis oleh Mia itu bukannya dia.

Wati hanya ketawa melihat kekecewaan Zakuan. Senang hati bila sangkaan Zakuan itu musnah dihancurkan oleh harapannya yang tinggi menggunung terhadap Mia.

“Lain kali jangan terbang tinggi, kan dah jatuh. Sakit pula tu.” Sindir Wati.

“Diamlah kau Mak Lampir. Tak payah komen banyak.” Zakuan mendengus.

“Kau tak payahlah nak perasan. Kau tu pengembala kambing gurun. Tak layak nak bergandingan dengan Mia. Lain kali pergi beli cermin banyak-banyak.” Ejek Wati. Puas hati dia. Zakuan hanya tersenyum hambar menahan geramnya terhadap mak lampir itu.

Manakala Mia tidak menghiraukan Wati dan Zakuan. Dia sedang sibuk melukis wajah yang masih berlegar-legar di dalam ingatannya sedari semalam. Khusyuk benar Mia memainkan mata pensil di atas kertas. Tinggal sentuhan terakhir lagi. Mia menyempurnakan bayang-bayang pada lukisannya itu. Sekejap-kejap dia mengosok jarinya dengan halus pada bayang-bayang yang dilukis. Kemudian, dia memadamkan bahagian yang terlebih dan lukis lagi. Siap. Mia tersenyum puas sambil merenung wajah yang dilukis itu.

Zack. Ya. Itu wajah milik Zack. ‘Terima kasih kerana sebab kau tolong aku dalam mimpi tu..’ Mia tersenyum lagi.

Zap!

Lukisan di tangan Mia dirampas. Mia terkejut.

“Cantik lukisan ni, Dayana. Siapa ni? Boyfriend awak ke Dayana?” Adam meneliti lukisan tersebut. Sempurna! Setaraf kacak dengannya. Semua pelajar memerhati ke arah mereka dengan tekun.

Mia masih terkejut dengan kemunculan pensyarah itu. Macam angin. Dia langsung tidak sedar. Siapa pula Dayana? Itu bukan namanya. Agaknya Adam tersilap sebut nama. Mia menundukkan pandangannya. Dia membuat muka bersalah. Takut dimarah oleh Adam. Dalam hati dia berkata, ‘Sir, my name is Mia. Not Dayana.’

“Baiklah. Saya tak salahkan awak sebab melukis dalam kelas saya, Melati. Tapi ini tetap dianggap kesalahan.” Ujar Adam masih mengekalkan kekacakannya.

Mia terus mengangkat wajahnya. ‘What? Melati? Tadi Dayana sekarang Melati pula. Okey, ini dah lebih aku harus bersuara’ Mia geram.

“Err.. Sir..”

Belum sempat Mia berkata. Adam sudah memusingkan badannya. Dia berlalu ke depan sambil membawa lukisan yang dirampas dari Mia tadi. Mia ternganga tidak sempat membela diri. Zakuan dan Wati hanya mampu menahan gelak.

“Hari ini kita akan tamatkan kelas awal. Ada apa-apa soalan?” Soal Adam. Sorakan pelajar meriah sebaik sahaja mendengar ayat kegemaran mereka. Kelas ditamatkan awal dan mereka bolehlah merehatkan otak daripada kekusutan memikirkan tekanan belajar. Adam bersandar pada meja di hadapan sambil kakinya disilangkan dengan penuh bergaya. Dia juga pernah menjadi pelajar. Oleh itu, dia faham benar akan bebanan tersebut. Bukan mudah hendak berjaya. Mukan mudah juga hendak gagal.

“Sir!” Seorang pelajar perempuan berspek mata bulat mengangkat tangannya mahu mengutarakan sesuatu.

“Yes?” Adam mempersilakan pelajar perempuan itu bercakap.

“Sir akan ajar kami sampai hujung sem kan?”

Adam mengangguk. “Ya. Kelas ini adalah kelas yang paling sedikit bilangan pelajarnya berbanding kelas yang lain. Jadi, saya harap, kamu semua dapat beri kerjasama untuk hadir dalam setiap kuliah dan sesi makmal selepas ini. Kerana sesiapa yang berniat untuk ponteng, dia tidak akan selamat.” Pesan Adam selaku pensyarah yang berwawasan.

“Ada apa-apa soalan lagi?” Soal Adam.

Zakuan mengangkat tangannya. “Agak-agak bila hari yang selamat untuk saya tidak hadir ke kelas ni?” Soalnya dengan serius.

“Hari di mana tak ada kelas. Masa tu, selamat untuk kamu tidak hadir ke kelas.” Jawab Adam salamba. Satu dewan kuliah bergema dengan gelak ketawa.

Zakuan mengangguk tanda faham. Nampaknya tidak ada peluang untuk dia ponteng kelas lagi selepas ini. Tetapi tidak mengapa. Dia kini sekelas dengan Mia. Mia boleh menjadi sumber motivasinya. Andai ada Mia di hadapan mata sepanjang masa, dia rela dimakan oleh masa dan aura dalam kelas yang membosankan.

“Berhenti renung kawan aku lah, kambing. Aku patahkan leher kau baru tahu.” Wati perasan yang Zakuan sedang merenung Mia di sebelahnya. Pastinya Zakuan sedang berangan-angan untuk bersama sehidup semati dengan Mia. Wati mendengus. Jangan harap dia akan membiarkan angan-angan Zakuan itu kesampaian.

“Suka hati aku lah. Kau tak puas hati kenapa?” Zakuan tidak mengalah.

“Mia kawan aku. Jadi, kau tak boleh suka-suka hati saja.” Ujar Wati pula. Dia menjeling Zakuan. Zakuan mencebik.

“Okey students, our lecture can dismiss now. Korang semua pergilah tenangkan fikiran dulu sebab esok kita akan masuk bab yang paling susah. Semua boleh keluar kecuali Zulaikha.” Adam menundingkan jarinya ke arah Mia.

“Saya?” Mia menunjukkan jari telunjuknya kepada diri sendiri. Adam mengangguk. Pelajar lain sudah meninggalkan dewan kuliah dengan hati yang berbunga-bunga. Manakala Mia menelan liur menantikan apa yang akan berlaku terhadapnya.

“Mia, kami balik dulu lah. Goodbye Dayana, Melati, dan Zulaikha. Muah. Love you.” Wati memberikan flying kiss kepada Mia. Mia bungkam, mahu sahaja dia menahan Wati dari meninggalkan dia bersama dengan pensyarah asing itu.

“Kau ingat pesan aku. Jangan mudah tergoda dengan lelaki tu. Aku tak restu.” Pesan Zakuan pula. Mengugut Mia dengan gurauan. Tetapi bernada serius kerana dia sangat memaksudkannya.

“Guys, come on.” Zakuan mengajak konco-konconya yang lain sebelum melangkah keluar dari dewan kuliah.

Mia terlopong seorang diri. Kini tinggal dia dan Adam di dalam dewan kuliah yang besar dan sunyi. Dengan langkah yang lemah dan was-was dia menuju ke arah Adam. Adam memeluk tubuh sambil memerhatikan langkah Mia.

“Maafkan saya, sir. Saya tahu saya salah.” Mia tidak berani melawan tatapan mata Adam. Nanti lain pula jadinya.

“Baiklah, Suraya. Saya maafkan awak buat kali ni. Tapi siapa lelaki dalam lukisan ni?” Soal Adam ingin tahu.

Mia tunduk sambil mengetam bibir bawahnya geram. ‘Suraya pula dah. Lepas ni mesti dia panggil aku Farhana pula ni. Aish, lelaki ni. Harap muka saja boleh tahan tapi..’

“Lelaki ni siapa?” Adam mengulang kembali soalannya. Pekak ke apa budak ni..

Mia masih berdiam. Dalam hatinya, penuh dengan protes.

“Siapa?” Soal Adam dengan lebih keras sedikit.

“Zack!” Jerit Mia kecil. Tiada niat pun untuk dia menjawab soalan Adam. Disebabkan terkejut dia terjawab juga. Sebenarnya itu lebih kepada melatah.

“Zack? Si mata biru tu?” Adam menduga Mia. Sekali lagi Mia terkesima. Dia hairan bagaimana Adam boleh meneka siapa empunya wajah itu di dalam lukisan tersebut. Padahal, dia hanya menggunakan pensil sepenuhnya. Tidak ada warna lain pun yang digunakan. Siapa sebenarnya Adam?

“Dah. Tak payah nak kerutkan wajah begitu. Apa kaitan awak dengan Zack? Atau awak juga tahu tentang wanita berkebaya merah?”

Mia kaget. Jantungnya berdebar. Mia merenung Adam lama-lama. Sekali lagi dia menyoal kepada dirinya sendiri, siapa sebenarnya lelaki di hadapannya ini? Bagaimana dia boleh tahu tentang Zack dan wanita berkebaya merah?

“Jangan tenung wajah saya lama-lama. Nanti lain pula jadinya.”

Mia masih terdiam.

“Siapa.. sebenarnya..” Mia teragak-agak untuk menyoalkan identiti sebenar Adam. Takut kalau-kalau Adam bukanlah manusia biasa yang dia sangka. Entah-entah Adam mempunyai kelebihan untuk membaca minda seseorang. Bagaimana jika Adam juga mengetahui tentang mimpi-mimpi ngerinya? Bagaimana pula jika Adam adalah seorang yang berniat jahat?

“Jangan banyak prasangka. Saya bukannya orang jahat. Ada masa nanti kita bercerita. Apa yang awak tahu tentang benda tu setakat ni tak sebanyak yang saya tahu.” Adam meninggalkan Mia dengan banyak persoalan. Tidak sampai beberapa langkah, Adam berhenti dan menoleh ke arah Mia semula. Mia menjadi tidak keruan.

“Oh ya, Farhana, jangan lupa matikan suis-suis ni semua sebelum keluar ye. Bye..”

“Farhana?” Mia menyebut nama itu. Adam sudah jauh melangkah meninggalkannya. Mia masih terdiam di sana. Setelah kelibat Adam tidak lagi kelihatan lagi, dia mencebik.

“Dayana, Melati, Zulaikha, Suraya dan Farhana. Banyak gila nama aku dalam satu hari ni. Siapa sebenarnya kau Adam..” Mia bermain dengan teka-teki yang menganggu ketenangan jiwanya. Dia memandang sekeliling. Sunyi sahaja dewan kuliah itu. Dengan hati-hati dia memetik suis-suis lampu ke atas. Lampu terpadam. Gelap. Kadangkala dia sudah lali dengan kegelapan.

Mia mengeluh. Langkah kakinya diatur keluar dengan tenang. Cahaya di luar dewan kuliah memberikan dirinya ketenangan. Sinar matahari yang tidak terlalu panas itu menghangatkan jiwanya.

Dalam diam dia tertanya. Andai pada suatu hari, masih ada lagikah sinar seperti itu? Yang akan menyinari wajahnya ketika dia keluar dari kegelapan gangguannya. Atau ia terus malap dan mengurungnya di dalam ruangan kegelapan yang tidak bersempadan.

“Tiada sesiapa yang dapat merangka masa depan dengan andaian kosong sahaja..” Mia memeluk tubuhnya. Langkah kaki tidak berhenti dari melangkah. Saat itu, hatinya penuh dengan andaian-andaian tentang masa depannya

Leave a Reply

I’m Nem

Nemlogue.com is a small space where I keep fragments of the world – Writing, poems, paintings, art crafts, blogs and thoughts that didn’t have time to be said aloud.

Degree in Politics and a Master in Education (Economy). But i still love poems and creative writing.

Let’s connect

Discover more from Nemlogue.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading