BAB 4
Wati semakin risau. Dia mengoncangkan tubuh Mia. Mia menjerit-jerit dengan mata yang masih tertutup. Meracau dalam tidur.
“Aduh, bangunlah Mia. Tak tenang aku tengok kau begini. Please Mia. Kau menakutkan aku.” Monolog Wati sendirian. Dia menggoncangkan lagi tubuh Mia.
“Mia! Bangun!” Jerit Wati.
Mia tersentak sambil matanya terbuka luas memandang ke siling serentak menarik nafas yang panjang seperti orang kelemasan. Wati terkejut sehingga terlompat satu langkah ke belakang melihat kawannya itu. Mia tercungap-cungap menelan oksigen. Ibarat roh yang baru kembali ke dalam jasad.
“Air.. air.” Pinta Mia kelelahan.
Wati cepat-cepat menyerahkan botol air yang berada di atas meja tepi katil. Mia terus meminum air tersebut. Habis sebotol. Selepas itu, dia terus bangun dari katil. Mia tercari-cari akan sesuatu. Pintu almari dibuka, pintu bilik juga dibuka. Di bawah meja juga ditinjaunya. Akhir sekali di bawah katil. Manakala Wati kebingungan memerhati kelakuan pelik Mia.
‘Dia cari apa ni? Tak kan lah cari penyapu. Al-maklumlah dia yang bertugas menyapu bilik hari ni. Tapi tak kan nak menyapu pagi-pagi buta begini kot. Baru jam 4:05 minit pagi. Biar betul kawan aku ni ?’ bisik hati Wati.
Wati semakin risau melihat kekalutan Mia. Dia tidak sampai hati membiarkan Mia tercari-cari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa yang dicari.
“Kau cari penyapu kah? Tuu.” Wati menunjuk penyapu yang statik bersandar di sudut hujung bilik. Siap dengan pencedok lagi.
Mia menggeleng laju.
“Kau nampak tak seorang lelaki, tinggi-tinggi orangnya. Then mata dia warna biru?” Orang yang dimaksudkan oleh Mia adalah Zack.
Zack mempunyai sepasang mata biru yang mempersonakan. Itu pun dia perasan ketika cahaya bulan menyinari mereka di saat Zack merenungnya di hadapan perigi. Perigi? Mia menoleh ke arah Wati.
“Ada tak perigi dekat sini?” Soal Mia.
Makin berkerut wajah Wati mendengar setiap soalan yang dilontarkan oleh Mia. Sejak bila ada lelaki masuk ke dalam kolej kediaman perempuan? Bermata biru pula tu. Yang paling menghairankan, sejak bila pula ada perigi di sini? Zaman sudah lama menuju ke arah wawasan demi mencapai negara yang maju. Mustahil masih ada kewujudan perigi di sini. Kalau ada pun, siapalah yang hendak mengunakannya. Geli hati dia memikirkannya.
“Kau mengidam nak mandi perigi ke makcik oii?” Berderai ketawa Wati. Kelakuan Mia berjaya menghiburkan hatinya. Mia tahu sahaja membuat lawak pagi-pagi buta begini.
“Apa yang kau mengigau ni? Kau ingat ini zaman Hang Tuah? Sini tak ada perigi lah, sayangku Mia. Kamar mandi ada lah. Kau nak aku temankan?” Kata Wati lagi disertakan dengan sindiran lembut setelah puas menertawakan Mia.
Mia memandang kosong dengan gurauan Wati.
“Aku tak main-main lah.” Ujarnya mendatar.
Mia melabuhkan punggungnya kembali di atas katil. Fikirannya ligat memikirkan kejadian yang baru berlaku. Wati mengambil posisi di sebelah Mia. Masa untuk mencungkil cerita.
“Mia, aku nak soal kau ni.” Wati merenung mata Mia dalam-dalam. Mia cuak.
“Apa?”
Wati mengukirkan senyuman bermakna sebelum dia berdehem untuk mengutarakan soalan.
“Sebelum ni aku tidur dengan nyenyak. Tapi aku terbangun dengan tragis sekali bila aku terdengar kau tiba-tiba saja meracau. Siap panggil nama Zack dan Zack, lagi dan lagi. Itu yang buat aku risau bebs. Zack mana satu yang kau maksudkan? Sampai meracau tak tentu arah. Kau putus cinta ker?” Gurau Wati tapi dalam nada yang serius. Kalau mahu membongkar sesuatu dari mulut Mia, sebaiknya dimulakan dengan mukadimah yang berpuitis agar hati Mia terbuka luas untuk menceritakan apa yang terjadi.
“Sejak bila aku bercinta ni?” Soal Mia pula. Dia bercinta? Mustahil. Jauh lagi perjalanan yang perlu dia tempuhi sebelum berjumpa dengan cinta. Wati sendiri tahu yang dia tidak akan bermain dengan cinta kerana dia masih tidak berminat untuk menyusahkan diri sendiri.
“Who know..” kata Wati sambil menaikkan kedua bahunya.
“Aku mimpi tadi..”
“Mimpi apa?”
“Aku mimpi, aku terperangkap dalam bilik yang gelap. Lepas tu, Zack datang dengan lampu suluh dia. Aku pun tak tahu dari mana dia datang. Yang aku tahu masa tu aku sangat takut. Dia bawa aku keluar dari bilik usang tu. Rupanya bilik tu luas.. sangat luas. Macam dua kali ganda dewan besar kolej ni. Dalam perjalanan, tiba-tiba kaki aku kena tarik dengan mengejut dari belakang. Nasib baik ada Zack. Kami selamat juga itu pun kena lari seratus meter. Tapi kan.. bila dah sampai dekat koridor, cahaya bulan yang terang tu membuatkan aku sedar bahawa tempat tu sebenarnya tempat aku bermain masa kecil dulu. Sebab perigi tu masih ada dekat situ..” Mia menceritakan mimpinya kepada Wati dengan penuh keyakinan.
Wati tersengih seakan kurang percaya tapi disebabkan wajah Mia yang bersungguh-sungguh menceritakan mimpi itu dia memaksa juga dirinya untuk percaya. Tambahan pula, cara Mia bercerita seakan dia mengalaminya sendiri.
“Apa tempat tu?” Soal Wati.
“Bangunan lama yang ditinggalkan. Tapi masa aku kecil dulu bangunan tu cantik lagi.” Jelas Mia.
“Kemudian, macam mana kau dengan Zack? Zack tu siapa?”
“Zack lelaki kacukan. Matanya biru. Aku dapat rasakan yang dia juga sama seperti aku. Dipermainkan oleh mimpi. Tapi masa dekat depan perigi tu dia tiba-tiba dia diserang sesuatu. Aku cemas. Masa tu juga lah, aku terbangun. Dan aku nampak ada seorang nenek yang tercenggang melihat aku, iaitu kau.” Di hujung cerita Mia ketawa. Dia ingat lagi reaksi wajah Wati yang turut cemas tadi.
“Apa lah kau ni. Aku risau tahap dewa masa tu. Tahu tak?” Wati membuat-buat muka kesian. Merajuk dipanggil nenek. ‘Aku, dia panggil nenek? Walhal aku ni tak kurang cantiknya. Banyak peminat lagi tu.’ puji Wati sendiri dalam hati. Mia ketawa kecil.
“Gurau..”
Wati tersenyum kembali. Dia tahu Mia hanya bergurau. Sebab dia tahu Mia juga sedar akan kecantikannya.
“Lain kali, kalau nak tidur tu cuci kaki dulu. Kata nenek aku, kalau tak cuci kaki nanti banyaklah hantu yang jatuh cinta dekat kau. Masa tu kau kena solat istikharah nak pilih yang mana satu kau berkenan. Tapi aku jamin kau pilih Zack juga. Sebab dia dulu yang jumpa kau dalam mimpi.” Ceramah Wati diakhiri dengan ketawanya sendiri.
“Banyaklah kau punya nenek punya teori.” Kata Mia pula. Dia juga turut ketawa. Namun dalam ketawanya, dia masih merisaukan sesuatu. Zack. Bagaimana keadaan dia di sana? Adakah dia pun baru sahaja tersedar dari mimpi ngeri ini sepertinya.
‘Aku harap kau baik-baik saja Zack.’ doa Mia dalam hati. Mia berdiri menuju ke almari.
“Kau nak ke mana pula ni? Perigi?” Wati masih ketawa.
“Tak la. Aku nak mandi awal. Then study. Tak kan kau nak suruh aku sambung tidur pula.” Mia mencapai tuala birunya yang bersangkutan di tepi almari.
“Eya lah. Mandi perigi pun best juga. Kolot lah kau ni Mia. Aku pun teringin nak..” Wati terdiam apabila ternampak lantai bekas dipijak oleh Mia berpasir dan meninggalkan kotoran tanah dan debu hitam. Dia meneliti kaki Mia, ada bekas merah di pergelangan kaki Mia. Wati teringat kembali cerita Mia tadi. Bekas genggaman yang kuat itu meninggalkan luka. Kaki Mia berdarah! Mungkin si penggenggam itu berkuku tajam.Wati menelan liur. Dia ketakutan tiba-tiba. Kini dia percaya apa yang telah diceritakan oleh Mia sebentar tadi.
Mia yang tertunduk-tunduk mencari baldinya hairan apabila Wati tidak terus menghabiskan ayatnya. Mia berpusing. Dia melihat Wati yang terkaku di atas katil sambil memeluk lututnya.
“Asal? Kau okey tak ni?” Soal Mia risau.
“Kaki.. kaki kau ber..berdarah, Mia!” Jerit Wati tergagap-gagap.
Mia meneliti kakinya. Bekas genggaman itu ada di sana. Darah pula mengalir ke lantai yang sudah kotor dek pasir bawaannya. Mia lantas teringatkan Zack yang tiba-tiba menahan sakit di depan perigi dalam mimpinya tadi. Adakah Zack masih dalam kesakitan? Apa yang terjadi sebenarnya?
Mia bingung bercampur risau. Manakala Wati ketakutan di atas katil.
–
Zack jatuh terduduk di dalam kegelapan sambil dirinya bersandar pada perigi usang di belakangnya. Dia menahan kesakitan yang kian mencengkam dada. Wajah risau Mia semakin lama semakin hilang dari pandangannya. Kemudian, gelap beberapa saat. Zack tersedar dari mimpi itu apabila menyedari tiada lagi perigi usang yang menjadi tempat sandarannya. Dia kini hanya bersandar pada dinding bilik dan bukannya perigi. Akan tetapi kesakitan yang dia alami tidak hilang-hilang. Rohnya kini sudah kembali berada di dalam biliknya sendiri. Perigi itu sudah hilang.
“Mia..” sebut Zack perlahan. Zack mencari-cari kelibat Mia dalam ruangan itu. Malangnya, cuma dia seorang sahaja yang ada sendirian. Sebelum dia kembali di alam realiti kini, dia dan Mia berada di dalam bangunan lama. Adakah Mia masih di depan perigi tu? Gadis itu tak boleh bersendirian. Dia juga mungkin dalam bahaya sekarang..
‘Mungkin Mia sudah kembali ke dunia realitinya.’ bisik hati Zack.
Zack cuba untuk menenangkan dirinya. Namun semakin dia cuba semakin kuat pula ingatannya terhadap Mia. Zack risau. Dalam kesakitan, dia menggagahkan juga dirinya untuk bangun. Zack ingin keluar dari bilik itu. Mungkin di luar, udaranya lebih baik atau mungkin di sana ada Mia..
Tertunduk-tunduk Zack berjalan ingin menuju ke pintu kerana perih menahan sakit di dada. Tangannya masih menggenggam dada. Dia berjalan perlahan selangkah demi selangkah. Disebabkan biliknya agak luas dia terpaksa mengatur langkah dengan lebih cermat.
‘Sikit lagi ni.’ bisik hati Zack.
Dalam lima langkah lagi Zack akan sampai ke pintu.
Tiba-tiba angin kuat bertiup masuk melalui jendela yang terbuka luas. Anehnya angin itu seperti tangan kasar yang menolak tubuh Zack jatuh terhempas ke lantai. Dadanya seperti dibakar-bakar. Seluruh badan Zack kebas. Hanya Tuhan sahaja yang tahu kesakitan itu. Mahu sahaja dia menjerit keperitan.
“Aaghh!!”
Zack terkejut! Itu suaranya. Tetapi bukan dia yang menjerit tadi. Bahkan dia tidak sempat pun untuk membuka mulut. Suara itu kedengaran sangat kuat dari arah belakang. Zack berdebar. Bulu romanya menegak. Siapa lagi yang berada di dalam bilik luas ini selain dia seorang?
Zack menelan liur. Dengan teragak-agak dia memusingkan kepalanya ke belakang. Ada sekujur tubuh terbaring kesakitan di tempat yang telah dia tinggalkan beberapa langkah tadi. Bajunya mirip dengan baju yang dia pakai. Zack terkejut. Memang jelas tubuh yang terbaring kesakitan itu adalah tubuhnya sendiri. Jantung Zack berdegup laju. Dia kaku.
‘Adakah aku ini cuma roh sahaja? Roh yang berjalan sementara jasadnya tertinggal di belakang. Tidak mungkin!’ jerit dalam hati Zack. Situasi itu membingungkan dirinya. Tiba-tiba pintu bilik diketuk bertalu-talu. Zack panik. Apa lagi yang akan berlaku?
“Zack, buka pintu ni, nak!” Jerit suara dari luar.
Di luar, Safiya tidak berhenti mengetuk-ngetuk pintu bilik Zack selepas mendengar Zack menjerit kesakitan. Apa yang berlaku di dalam dia sendiri tidak tahu. Tetapi, nalurinya yakin mengatakan Zack berada dalam bahaya!
Safiya sedaya upaya membuka pintu itu namun ternyata ia payah sekali kerana pintu itu terkunci dari dalam. Nama Zack dipanggil-panggil, tetapi tiada sahutan diterima.
‘Zack!’ Hatinya merayu. Dia risau.
Safiya memanggil lagi nama Zack. Namun, masih juga tiada sahutan. Air matanya jatuh ke pipi.
Sementara di dalam bilik pula, Zack berusaha menuju ke arah pintu biliknya. Mengesot di lantai pun jadilah. Yang penting pada waktu itu, dia hanya mahu mamanya nampak keadaan menakutkan ini supaya faham bagaimana dia terseksa menanggungnya.
Zack takut untuk menoleh ke belakang lagi. Dia takut untuk melihat jasadnya sendiri. Di hadapan pintu itu, tangannya tergetar-getar menggapai tombol pintu lalu memulaskannya.
Pintu terbuka.
Zack nampak muka Safiya tercenggang. Mungkin Safiya terkejut melihat keadaan Zack di depannya dan terkejut melihat ada dua Zack. Sangkaan Zack meleset apabila Safiya bergegas mendapatkan jasad itu. Zack yang berada di depannya tidak dihiraukan. Maka, memang benarlah tiada siapa yang perasan akan kewujudan dia yang sebenar.
‘Aku cuma roh!’ bisik Zack.
Zack terduduk bersadar pada dinding di tepi pintunya dengan perasaan yang bercampur baur. Melihat mamanya yang hanya kisah dengan jasad yang terbaring di tengah bilik itu membuatkan Zack rasa kecewa dan sedih.
Keadaan Zack semakin lemah. Mungkin lebih lemah dari apa yang jasad itu tanggung.
“Apa dah jadi ni?”
Zack memandang Azlan yang baru muncul di pintu. Memohon simpati kepada ayahnya. Kalaulah ayahnya boleh nampak keadaan dia sekarang ini. Itu sudah cukup memadai baginya.
Tanpa diduga, Azlan membalas pandangan Zack. Azlan terkedu. Dia terkejut melihat Zack yang terduduk lemah tidak bermaya. Dia juga terkejut melihat jasad yang satu lagi bersama dengan Safiya.
Zack mencengkam dadanya dengan kuat. Sakit itu sudah sampai kemuncak. Pandangannya semakin gelap. ‘Ayah dapat melihat aku.’ kata hati Zack. Perlahan-lahan merasa dirinya hilang dan ditarik balik ke dalam jasadnya.
Azlan menerpa ke arah Safiya. Di wajahnya jelas menampakkan kerisauan. Kerisauan? Benarkah?
“Kenapa dengan Zack?”
Safiya terkesima seketika. Selama ini, Suaminya itu tidak pernah melibatkan diri dalam hal yang berkaitan dengan Zack. Malahan, dia tidak mahu mengambil kisah pasal Zack dalam hidupnya. Tapi, kenapa dia muncul?
Keadaan semakin gawat apabila Zack menjerit lagi menahan kesakitan. Kedua-dua lututnya dirapatkan ke dada. Matanya dipejam rapat menandakan tahap kesakitan yang dialami itu sudah tidak mampu ditanggung lagi. Zack merasakan dadanya seperti ditekan masuk ke dalam sehingga dia tersekat-sekat menarik udara masuk.
Keadaan semakin mencemaskan.
“Apa kita nak buat ni, abang?” Safiya panik.
Azlan teringat akan ilmu rukyah yang pernah diturunkan kepadanya dahulu. Mungkin inilah masanya untuk dia mempraktiskan apa yang pernah diajar oleh arwah ayahnya.
Azlan membaca beberapa potong ayat Al-Quran lalu meniupnya ke wajah Zack. Mulutnya kembali terkumat-kamit membaca beberapa potong ayat lagi dan ditiupkan ke dada Zack. Semoga dengan berkat bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, maka larilah gangguan itu dari Zack.
Sesaat kemudian, Zack seakan diberi nafas yang baru. Kesakitannya beransur hilang. Perlahan-lahan suhu badannya kembali normal. Zack masih menutup mata tapi kali ini ada ketenangan yang kelihatan pada wajahnya. Sakit yang amat perih tadi menyebabkan seluruh tubuhnya menjadi kebas. Kini, ia semakin pulih. Namun Zack tetap kelihatan lemah. Tenaganya sudah habis.
Safiya menarik nafas lega. Di pipinya masih tersisa air mata walau bagaimanapun dia bersyukur dengan apa yang terjadi. Suaminya sudi untuk menenangkan keadaan. Walhal, selama ini tidak pernah sesekali suaminya itu melibatkan diri. Jangankan menjenguk, menanyakan kabar pun tidak pernah. Hanya dia sahaja yang mengambil berat tentang Zack. Mungkin keegoan Azlan sudah surut ketika mereka bertengkar tadi atau ketika mereka mendengar suara sayu Natra.
Azlan memapah Zack ke katil. Dibaringkan Zack di sana. Kemudian Safiya pula menyelimuti tubuh yang tidak bermaya itu.
“Abang..”
“Dah. Awak pergi siapkan makanan untuk budak ni. Nanti tak pasal-pasal pula dia kebulur nanti.” Baru sahaja Safiya ingin mengucapkan terima kasih, kata-katanya dicantas oleh Azlan.
Safiya mencebik. Dia ingatkan Azlan sudah berubah. Rupanya masih ada sisa keegoan yang masih disimpan. Apa-apa pun, lega juga hati Safiya akhirnya kerana Azlan sudi untuk membantu. Safiya akur lalu melangkah menuju ke dapur. Dalam diam dia kagum dengan kebolehan suaminya memberi rawatan rukyah. Ilmu itu memang sudah ditakdirkan berada di tangan Azlan. Sekali lagi dia bersyukur.
Di dalam bilik yang telah ditinggalkan oleh Safiya, Azlan duduk di tepi katil Zack. Dia berada di dalam lautan perasaannya yang bergelora. Saat wajah anaknya direnung, dia terpandang akan bayangan istrinya dahulu.
“Natra..” sebut Azlan perlahan. Dia merasa bersalah.
Entah apa yang telah dibuat dengan separuh hidupnya selama ini. Azlan merasa seperti dia telah mensia-siakan masa yang sepatutnya dia mencari hikmah dan pengajaran dari kejadian kisah lalu. Tetapi hatinya yang ego sekeras batu itu, menjadikan dia buta dengan jalan dan tindakannya sendiri.
Azlan melepaskan keluhan menyesal.
Dalam hati dia beristighfar. Besar dosanya terhadap orang sekelilingnya. Zack yang sepatutnya dilayan selayaknya seorang anak, dibiarkan sahaja membesar tanpa dapat merasa secubit pun kasih sayang dari seorang yang bergelar ayah.
Gangguan yang menghantui Zack semakin lama semakin menyakiti Zack. Baru sahaja tadi, dia melihat bagaimana roh Zack sengsara menghadapi situasi di saat jasadnya terpisah seketika. Kedua-dua merasa kesakitan.
“Maafkan ayah..”







Leave a Reply